Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Hanya seragam tanpa fesyenFILEM bergenre sains fiksyen yang mengisahkan mengenai peperangan yang terjadi antara manusia dan makhluk asing sudah acap kali dihasilkan oleh produksi perfileman di Hollywood. Pada tahun ini terdapat sebuah lagi filem dengan konsep jalan cerita yang hampir sama telah dihasilkan iaitu berjudul Battleship. Filem arahan Peter Berg itu adalah berdasarkan kepada sebuah permainan yang dikenali sebagai Battleship keluaran syarikat Hasbro. Dibintangi oleh beberapa orang pelakon seperti Taylor Kitsch, Alexander Skarsgard, Brooklyn Decker, Liam Neeson dan Tadanobu Asano, filem berkenaan memiliki tarikan istimewa apabila ikon penyanyi antarabangsa iaitu Rihanna turut membuat kemunculan sulung sebagai seorang pelakon. Dalam satu temu bual eksklusif bersama wartawan yang berlangsung di Tokyo, Jepun baru-baru ini, penyanyi tersebut menyatakan keterujaannya apabila berpeluang tampil di layar perak. "Sudah tentu saya agak terkejut sewaktu pihak pengurusan menghubungi saya dan memberitahu bahawa ada seorang pengarah yang menyatakan minat untuk mengambil saya berlakon. "Pada mulanya saya ingatkan ia merupakan sebuah filem bercorak romantik, namun sangkaan saya ternyata meleset kerana ia merupakan filem perang dan saya pula membawa watak sebagai seorang anggota tentera laut," ujar penyanyi yang baru berusia 24 tahun itu. Memegang watak bernama Cora Raikes, selepas mendapat tawaran, dia telah bertemu sendiri dengan Peter dan diberi penjelasan dengan lebih lanjut terutamanya mengenai jalan cerita dan watak yang dibawanya. Biarpun berasa teruja dengan tawaran yang diterimanya itu, tetapi penyanyi tersebut tidak dapat menyembunyikan perasaan gugup memandangkan ia merupakan filem sulung lakonannya. "Memandangkan ini filem sulung saya dan diberi watak yang cukup mencabar, sudah tentu rasa gugup itu ada. Bagaimanapun, pengarah banyak memberi tunjuk ajar dan bimbingan sepanjang penggambaran berlangsung. "Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan hasil filem ini dan yakin ia akan mendapat sambutan hangat penonton. Mengenai lakonan saya pula, sejujurnya masih banyak yang boleh dipertingkatkan lagi," ujarnya. Sementara itu, ketika ditanya tentang pengalamannya sepanjang menjalani penggambaran filem tersebut di pangkalan Pearl Harbor, Honolulu, Hawaii, Rihanna menyatakan terlalu banyak pengalaman yang dikutip. PERTAMA kali berlakon, Rihanna membawa watak seorang tentera laut bernama Cora Raikes. Antaranya, dia perlu melakonkan sendiri kebanyakan babak-babak aksi, bermain bola sepak dan sepanjang penggambaran dia sekadar mengenakan pakaian seragam tentera laut. "Selain dikenali sebagai seorang penyanyi, saya juga dianggap sebagai ikon fesyen di kalangan para peminat. Menariknya, dalam filem ini penonton langsung tidak akan nampak saya memakai pakaian dengan fesyen-fesyen terkini, selain daripada seragam tentera laut sahaja. "Bagaimanapun, memakai seragam tentera bukanlah satu masalah besar dan saya sangat berbangga kerana berpeluang memakainya. Selain itu, dapat bergaul dengan anggota tentera laut sebenar juga merupakan satu pengalaman yang cukup menarik," ujarnya. Menurutnya lagi, sebelum memulakan penggambaran filem berkenaan, dia juga sempat meluangkan masa untuk menonton beberapa buah filem aksi sebagai rujukan untuk mendalami karakter Cora Raikes. "Sebagai seorang artis yang masih amatur dalam bidang lakonan, sudah tentu membuat rujukan sangat penting. Saya ada menonton beberapa buah filem aksi lakonan Angelina Jolie serta filem G.I Joe: The Rise Of Cobra," ujarnya. Filem Battleship mengisahkan tentang peperangan yang tercetus antara manusia dan makhluk asing yang telah menyerang bumi. Kemudian, berlaku peperangan hebat yang membabitkan armada perang antarabangsa mengharungi pertempuran sengit di laut dan udara. Platform terbaik Setelah muncul di layar perak menerusi filem Battleship, Rihanna atau nama sebenarnya Robyn Rihanna Fenty memberitahu, selepas ini dia tidak akan menolak sekiranya ditawarkan berlakon filem. Ujarnya, tidak dinafikan filem sulungnya itu telah menjadi platform terbaik buat dirinya untuk terus berkecimpung dalam dunia lakonan dan akan menerima tawaran, asalkan watak tersebut sesuai dan jalan ceritanya menarik. "Saya sangat berterima kasih kepada Peter yang telah menawarkan saya berlakon. Walaupun saya langsung tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam dunia lakonan, namun kepercayaan yang diberikan ini sangat saya hargai. "Sepanjang terbabit dalam penggambaran filem ini, banyak perkara yang telah saya pelajari. Malah, saya akui kini semakin tertarik untuk terus berlakon dan sedia menimbangkan kalau ada tawaran yang diberikan selepas ini," ujarnya. Menurutnya lagi, kalau masih lagi diberi peluang untuk tampil di layar perak pada masa akan datang, dia menyatakan minatnya untuk berlakon dalam filem yang bergenre romantik komedi. "Tidak dinafikan saya sekarang semakin jatuh cinta dengan bidang lakonan, tetapi karier nyanyian masih lagi menjadi keutamaan. Jadi, saya harap peminat tidak perlu risau kerana saya tidak akan berhenti menyanyi, meskipun saya sudah mula berlakon," jelasnya. Sangat disiplin Selaku pengarah, Peter Berg menyatakan pemilihan bekas teman wanita Chris Brown itu untuk memegang salah satu watak penting dalam filem berkenaan dianggap sebagai pemilihan yang sangat tepat. Ujarnya, dia sendiri mengakui agak terkejut kerana penyanyi berkenaan dapat menampilkan mutu lakonan yang cukup berkesan dan tidak mendatangkan banyak masalah sepanjang penggambaran dilakukan. "Selama ini Rihanna dikenali sebagai seorang penyanyi yang popular dan mempunyai jutaan peminat di seluruh dunia. Namun, apa yang saya perhatikan dia seorang individu yang suka merendah diri. "Malah, komitmennya sepanjang penggambaran juga sangat bagus. Bayangkan, ada kalanya dia merupakan orang pertama yang datang ke lokasi dan individu terakhir yang akan pulang sebaik sahaja selesai penggambaran," jelasnya. Sementara itu, Taylor Kitsch yang memegang watak Alex Hopper turut memuji lakonan Rihanna dan percaya penyanyi itu mampu pergi lebih jauh dalam bidang lakonan sekiranya terus diberi peluang. Menurutnya, pembabitan Rihanna dalam filem berkenaan dilihat sebagai satu proses untuk menjadi seorang pelakon yang lebih bagus dan menyatakan tidak sukar untuk mereka berdua bekerjasama, meskipun penyanyi berkenaan tiada sebarang pengalaman berlakon. "Sebelum ini sudah ada beberapa penyanyi wanita yang turut berjaya dalam dunia lakonan seperti Withney Houston dan Mariah Carey. Maka, tidak mustahil Rihanna juga mampu mengulangi kejayaan seperti yang pernah diraih oleh kedua-dua penyanyi tersebut," ujarnya. |
Posted: Raffi rebut hati YuniYUNI SHARA dan Raffi Ahmad sewaktu masih menjadi pasangan kekasih. HUBUNGAN Raffi Ahmad dan Yuni Shara memang sudah bukan sebagai pasangan bercinta sejak akhir tahun lalu. Ada yang mendakwa mereka berpisah kerana Yuni tidak tahan dengan sikap kurang matang Raffi dan sifat borosnya. Bagaimanapun, hanya Yuni dan Raffi yang mengetahui punca sebenar percintaan mereka gagal. Biarpun sudah tidak bersama, Raffi nampaknya seperti sedang berusaha keras untuk memenangi hati Yuni semula. Hal itu jelas terbukti apabila Raffi memberi satu kenyataan yang berbunyi: "Hidup saya sekarang adalah dengan niat untuk mendampingi perempuan yang bernama Yuni." Saat diajukan tentang kenyataan tersebut kepada Yuni, kakak kepada Kris Dayanti itu hanya ketawa. Dia kemudian menjawab: "Itu adalah usaha Raffi supaya dapat bernikah dengan saya." Jadi adakah Yuni akan kembali menerima cinta Raffi? Yuni tidak memberi sebarang jawapan kepada persoalan tersebut. |
Posted: Juri Versus tak takut dibenciOleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA Pertembungan lima buah kumpulan muzik tempatan hebat iaitu Hujan, Black Parallax (Black dan Meet Uncle Hussin), 6ixth Sense, Sofazr dan Go Gerila! (Aizat Amdan dan kumpulannya serta Amir Jahari) telah bermula malam semalam menerusi program realiti yang dikenali sebagai Versus. Menerusi Versus, mereka tidak bertanding menerusi tiket mendendangkan lagu-lagu sendiri, sebaliknya harus memberi sentuhan baharu dan meluahkan kreativiti untuk mengubah semula lagu-lagu lama menjadi lebih terkini. Program kolaborasi TV9 dan stesen radio Hot FM yang disiarkan setiap Jumaat pada pukul 9.30 malam itu menawarkan hadiah utama iaitu wang tunai berjumlah RM200,000. Selain mereka yang bertanding, turut merasai bahang pertempuran ini adalah dua juri tetap Versus iaitu Jennifer Thompson dan Khairil Ridzwan Anuar atau lebih dikenali sebagai Loque. Adakah Jennifer dan Loque benar-benar sudah bersedia? Kepada Kosmo! mereka luahkan perasaan itu. Kosmo!: Apakah perasaan anda dipilih sebagai juri tetap program realiti TV9, Versus? Sudah bersedia memikul tugas berat ini? JENNIFER (J): Bila saya meneliti format program ini yang tiada penyingkiran, saya begitu tertarik. Sudah terlalu klise kebanyakan program ada penyingkiran. Disebabkan itu, saya terima untuk menjadi juri tetap Versus. Buat pertama kali saya menjadi juri untuk program sebegini. Sebelum ini, saya tidak pernah jadi juri untuk mana-mana program yang memerlukan saya tampil di hadapan kamera. LOQUE (L): Saya nampak kelainan pada program ini kerana ia memfokuskan kepada kreativiti sesebuah kumpulan itu memberi nafas baharu terhadap lagu-lagu lama. Itu tarikan utama yang menjadikan saya teruja untuk menerima tugas sebagai juri Versus. Adakah anda telus dalam memberi komen? Ramai sedia maklum, Loque, mungkin anda sukar untuk memberi komen kepada kumpulan-kumpulan yang bertanding atas dasar mereka adalah kawan. Sama-sama naik dalam industri. Bagi Jennifer pula, adakah anda akan memberi komen-komen pedas dan menghentam kepada mereka nanti? J: Dari segi komen sudah tentu saya tidak akan menghentam sesuka hati. Saya akan memberi kritikan yang membina. L: Saya akan bersikap profesional dalam memberi komen walaupun mereka semua adalah kawan saya. Dari awal lagi bila diberi tugasan sebagai juri Versus saya sudah sedia maklum mereka adalah kumpulan-kumpulan yang popular. Jadi saya perlu bersikap profesional. Adakah anda berdua akan serasi dalam memberi komen? J: Program ini mengetengahkan kreativiti setiap kumpulan dalam memberi nafas baharu kepada lagu-lagu lama, jadi pandangan kami nanti lebih bersifat peribadi. Mungkin saya akan tengok dari segi persembahan manakala Loque dari sudut berbeza. L: Sudah semestinya komen kami nanti tidak akan serasi. Pendapat kami inilah yang akan menjadi pemangkin kepada pengundi untuk membuat penilaian. Apakah pandangan anda mengenai program realiti Versus? J: Kalau mahu industri muzik terus mekar perlu ada pendekatan sebegini. Saya percaya kumpulan-kumpulan yang bertanding mampu memberi perubahan yang besar kepada industri. L: Lagu-lagu lama memang tinggi nilainya. Stesen-stesen radio juga jarang memutarkan lagu-lagu lama. Program realiti Versus secara tidak langsung mengangkat lagu-lagu lama untuk diperdengarkan kepada muda mudi. Ia mementingkan kreativiti dalam muzik. Bukan menilai dari segi rupa atau imej. Kalau ikutkan peratusan program ini juga, sebanyak 60 peratus adalah kreativiti dan selebihnya adalah persembahan dan jalinan komunikasi dalam kumpulan tersebut. Apakah pandangan anda pula mengenai kumpulan-kumpulan yang bertanding? J: Setiap kumpulan ada kekuatan tersendiri. Lima kumpulan tersebut ada sesuatu yang akan dikongsikan kepada peminat muzik. L: Kumpulan-kumpulan yang bertanding sudah ada nama besar. Selepas ini mereka akan lebih popular. Mungkin sebelum ini ada yang tak minat dengan kumpulan Hujan akan minat dengan Hujan selepas menonton program Versus. Adakah anda takut jika ada pencipta lagu lama atau peminat yang marah dengan perubahan lagu yang dilakukan lima kumpulan itu nanti? J: Saya nak buat macam mana kalau ada yang suka dan tidak suka bila lagu-lagu lama diberi nafas baharu. Saya cuma terima sahaja. L: Tak perlu takut kalau pencipta tak suka. Bukan tujuan kita untuk rosakkan lagu-lagu lama tetapi cuma nak cipta kelainan dan kreativiti. Saya rasa semua orang patut berfikiran terbuka. Zaman sudah berubah. Kami menghormati orang lama. Tapi berilah peluang untuk lagu-lagu tersebut diberi nafas baharu. Bukan hendak buang yang lama. Cuma tujuannya di sini, kami mahu orang muda lebih kenal siapa penyanyi seperti DJ Dave misalnya dan lagu yang pernah didendangkannya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |