Hip
KEPULANGANNYA ke Jakarta, Indonesia awal April lalu kembali menghembus luka kepada Sophia Latjuba apabila persoalan mengenai rumah tangganya yang berantakan berterusan dibangkitkan.
Semua itu bagaimanapun, tidak membekas di hati aktres kelahiran Berlin, Jerman itu yang mengambil pendirian tegas menolak untuk tidak melayan sebarang pertanyaan mengenai rumah tangganya.
"Kebenarannya bagaimana, lihat saja nanti," jawab Sophia pendek, enggan mengesahkan berita mengenai rumah tangganya dengan lelaki warga Amerika Syarikat (AS) Michael Anthoni Villarea yang dikatakan sudah berakhir. Berita perceraian hangat diperkatakan apabila pada Ogos tahun lalu, Michael menerusi akaun Twitter peribadinya mengumumkan perpisahannya dengan aktres berusia 41 tahun itu.
"Dalam kesedihan yang dalam, saya mengumumkan pernikahan kami akan berakhir. Perkara ini sudah dibincangkan bersama dan kami sepakat untuk mengakhirinya. Namun ketika ini, kami masih suami isteri," kata Michael.
Perkahwinan yang berjalan selama tujuh tahun itu dikatakan sulit untuk diselamatkan apabila Sophia dikatakan berlaku curang hingga menyebabkan rumah tangganya dan Michael goyang.
Sophia dan Michael bernikah pada 30 April 2005 di Gereja Anglican All Saints, Jakarta ketika bekas isteri Indra Lesmana itu sedang hamil lima bulan. Mereka dikurniakan sebagai cahaya mata perempuan, Manuella.
Percintaan mereka sempat menuai kontroversi kerana ketika itu Michael masih bergelar suami kepada Louisa Ibbotson yang diceraikan ketika sedang hamil.
"Bagaimana mungkin saya digelar ibu tunggal sedangkan bapa kepada anak saya masih ada. Sama ada saya berpisah atau sebaliknya, itu soal rumah tangga saya.
"Tidak penting untuk saya kongsi di sini," kata Sophia yang kembali ke Jakarta untuk menjayakan Konsert Chrisye 2012: Kidung Abadi di Gedung Nyi Ageng Serang, Kuningan, Jakarta Selatan pada 2 April lalu.
Pelakon Bilur-Bilur Penyesalan, Catatan Si Boy V dan Kuldesak itu menegaskan, hubungannya dan Michael masih berjalan baik.
"Michael akan datang ke sini dua minggu lagi untuk menjemput Manuella ke AS. Dia terpaksa pulang dulu kerana masih sekolah sedangkan saya pula terikat dengan jadual kerja.
"Saya sudah kebal digosip, malah saya tidak peduli dengan apa yang diperkatakan. Ia tidak membuat saya terganggu," katanya menolak dipanggil ibu tunggal kerana merasakan bekas suaminya masih memainkan peranan dalam pendidikan anak mereka.
Berita perceraian mereka hangat diperkatakan apabila Sophia yang sudah tiga tahun menetap di AS mengambil keputusan untuk pulang ke Indonesia, Oktober tahn lalu.
Bagaimanapun, Sophia sehingga hari ini masih bungkam dan enggan berterus terang mengenai perkara itu sebaliknya, selesa membiarkan ia menjadi teka teki umum.
Riak wajah yang tadi keruh beransur ceria apabila diajak berbicara mengenai kehidupannya di Los Angeles (LA). Biarpun tidak lagi aktif dengan aktiviti seni, namun masanya terisi dengan beberapa kegiatan bermanfaat lain.
Selain menghabiskan masa di rumah dengan dua cahaya matanya, Eva Celia, 20 dan Manuella, 6, Sophia juga memanfaatkan waktunya dengan mengajar yoga.
"Saya tidak mempunyai pembantu rumah di LA, jadi masa saya dihabiskan dengan menjaga anak selain mengajar yoga. Saya tidak janggal menetap di LA, malah berasa seperti dialu-alukan setiap kali pulang ke sana.
"Saya datang ke Jakarta berdua dengan Manuella kerana Eva terikat dengan kuliah. Dia mengambil jurusan pendidikan muzik dan memilih untuk tinggal di LA.
"Bakatnya terarah ke muzik, saya tidak pernah menghalang. Dia sudah betah dengan cuaca di sana. Eva tetap rapat dengan bapanya, malah setiap hari dia akan berbual dengan Indra menerusi skype.
"Kali terakhir dia pulang ke Jakarta pada sambutan Krismas lalu. Eva cukup merindui makanan di sini, dia cukup suka masakan yang pedas," katanya.
Biarpun selesa menetap di LA tetapi Sophia tidak membiarkan dua anaknya terlalu bebas hingga lupa asal usul mereka.
Katanya, sedikit sebanyak dia berusaha memberikan pendedahan mengenai budaya Indonesia kepada mereka malah cuba mengaitkannya dalam kehidupan seharian di sana.
"Manuella boleh bertutur dalam bahasa Indonesia, cuma tidak terlalu fasih. Sampai sekarang ketika mendidik mereka, saya akan menerapkan sedikit budaya Indonesia supaya tidak lupa kepada tanah kelahiran," katanya.
Mengakui berulang alik antara LA dan Jakarta bukan masalah yang besar baginya, Sophia berkata, minatnya terhadap dunia seni tidak pernah bernoktah.
Sophia berkata, tidak akan menolak jika ada yang berminat untuk menawarkan peluang rakaman begitu juga dengan lakonan.
"Saya ada menerima tawaran merakamkan single. Tiada masalah kerana jika tidak terikat dengan sebarang urusan kerja, saya akan pulang ke LA.
"Anak saya sekolah, masih memerlukan perhatian. Saya akan berada di Jakarta sehingga akhir April, jadi saya jalani hari demi hari di sini tanpa perlu memikir jauh," katanya.
Turut diajukan tawaran bermain filem, namun Sophia enggan mengulas lanjut kerana segala butiran mengenai perkara itu masih dalam perbincangan.
"Saya akan ke lokasi penggambaran akhir bulan ini tetapi masih banyak yang boleh diperkatakan. Kebarangkalian untuk kembali berlakon itu 80 peratus.
"Saya hanya berkesempatan bertemu penerbit dan pengarah selepas selesai konsert. Hanya selepas kontrak ditandatangani, baru saya akan bercerita mengenainya," kata Sophia yang mengaku ditawarkan watak utama.