MEMEGANG peranan sebagai penembak tepat bernama Shirai dalam filem termahal Korea, My Way, aktres China, Fan Bing Bing terpaksa melupakan penampilannya yang anggun dan jelita.
Bakat Bing Bing mula diiktiraf antara pelakon terhebat di negaranya dan kedudukannya sebaris dengan pelakon terkenal Gong Li dan Zhang Ziyi selepas memegang peranan penting dalam filem Bodyguards and Assassins. Bermula dengan drama bersiri The Emperor's Daughter, dia mula menjadi siulan ramai kerana kecantikan dan bakat yang dimiliki.
Tahun lalu, selepas tampil dalam filem Shaolin dan Buddha Mountain, popularitinya terus meningkat dan namanya tersenarai pada kedudukan kesembilan Forbes China Celebrity 100.
Dalam My Way, walaupun dia terpaksa berhadapan dengan babak sukar, namun sikap dedikasinya terhadap peranannya mampu menggambarkan satu tragedi perang kepada penonton.
Sebagai Shirai, jelas penderitaan yang ditanggung Bing Bing bagi menghidupkan karakter wanita yang berusaha membalas dendam terhadap tentera Jepun yang merogol ibu dan adiknya.
Meskipun Bing Bing tampil dalam beberapa babak saja, kemunculannya mendapat pujian aktor berpengalaman Korea Selatan, Jang Dong Gun, yang turut berlakon dalam filem itu.
Bagaimanapun, pada awalnya pelakon kacak itu khuatir kemampuan Bing Bing melaksanakan watak gadis lincah dan berpakaian kotor kerana aktres itu sering tampil cantik dan anggun di lokasi penggambaran.
Namun sebaik pengarah memintanya beraksi, Bing Bing berjaya memberi rasa dan lakonan yang sangat hebat. Babak berlawan Bing Bing begitu 'hidup', malah dia langsung tidak merungut. Walaupun sekejap, lakonan aktres itu meninggalkan kesan mendalam.
Menurut Bing Bing, dia belum pernah melakonkan watak seperti itu yang penuh dengan jiwa dendam dan kemarahan.
"Pengalaman yang indah dapat bekerja dengan pengarah dan pelakon terhebat di Korea. Filem ini sangat istimewa kerana selepas mengarahkan filem Taegukgi: The Brotherhood Of War pada 2004, baru kini Kang Je-Gyu yang digelar pengarah legenda Korea berkarya semula.
"Dek kerana terlalu mengagumi Kang Je-Gyu dan menyukai Taegukgi, saya sanggup berlakon dalam My Way. Watak Shirai sukar untuk dibawa. Sepanjang pembikinan My Way, seluruh wajah dan tubuh saya kotor kerana diliputi pasir dan debu. Saya terpaksa mandi dan basuh rambut banyak kali untuk membuang pasir yang melekat," katanya.
My Way turut dibintangi pelakon terkenal Jepun, Joe Odagiri. Antara kedua-dua hero itu, Bing Bing lebih banyak beraksi dengan Jang Dong Gun.
"Jang Dong Gun sangat kacak, tinggi dan mempunyai bentuk badan yang menarik. Saya yakin mana-mana wanita pun akan 'cair' apabila memandang wajahnya. Kali pertama saya ke Korea untuk berbincang mengenai skrip, dia ada sama. Selepas selesai perbincangan, dia dan kakitangan syarikat produksi hantar saya ke kereta kerana saya perlu ke lapangan terbang untuk balik ke China.
"Saya ingatkan selepas dia mengucapkan selamat tinggal, dia akan pergi tetapi Jang Dong Gun masukkan beg saya dalam kereta dan dia tunggu sehingga kereta beredar.
"Pelakon lelaki Korea sangat 'budiman', bertuahlah wanita yang dapat mengahwini mereka. Melihatkan aksi mereka di layar, wajah mereka serius dan garang tetapi apabila berjumpa di luar lokasi, mereka sangat baik, melayan wanita dengan lemah lembut dan mudah mesra," katanya.
Reaksi Bing Bing terhadap Joe Odagiri pula, jelasnya, lelaki itu suka berfesyen, tenang dan mempamerkan lakonan yang mantap.
My Way berdasarkan kisah benar peristiwa Perang Dunia Kedua ini bermula dengan pertemuan dua pemuda dari dua negara. Jun-Shik (Jang Dong-Gun), pemuda Korea yang bercita-cita ingin menjadi jaguh maraton dan Hasegawa Tatsuo (Joe Odagiri), pemuda Jepun yang mempunyai kehebatan larian seperti Jun-Shik.
Mereka bertemu sebagai musuh sejak zaman kanak-kanak apabila masing-masing mahu menunjukkan kehebatan larian mereka. Namun segalanya berubah apabila Jun-Shik dan rakan baiknya Kim In-Kwon (Lee Jong-Dae) dikerah menjadi tentera Jepun akibat rusuhan yang mereka lakukan ketika kemenangan yang sepatutnya milik Jun-Shik, diberikan kepada Tatsuo dalam pemilihan maraton Olimpik Tokyo. Lebih menyakitkan apabila Tatsuo pula mengetuai tentera Jepun sebagai Kolonel.
Pembabitan mereka berdua dalam Perang Dunia Kedua merapatkan jurang permusuhan, terutama apabila tentera Jepun kalah kepada Soviet dan memaksa Tatsuo melucutkan jawatannya dan menjadi tawanan perang Soviet bersama Jun-Shik.
Mereka dikerah bersama-sama tawanan perang yang lain untuk berperang dengan tentera Jerman sehingga menyebabkan perpisahan terjadi antara kedua-duanya dalam peperangan paling teruk dalam era Perang Dunia Kedua.
Tatsuo yang mula menyedari sikapnya yang mementingkan diri akhirnya berjaya bertemu semula dengan Jun-Shik apabila mereka bersama-sama berada di kem tentera Jerman di Normandy, Perancis.
Kali ini mereka sepakat untuk melarikan diri dari kem tentera itu dan kembali ke Korea untuk meneruskan cita-cita mereka menjadi jaguh maraton.
Filem yang menelan belanja RM77.3 juta ini setaraf filem Hollywood. Fakta menarik mengenai pembinaan set filem itu, ia dibuat di atas tapak Saemangeum seluas 401 kilometer persegi untuk babak Normandy, peperangan Soviet-Jerman dan pangkalan kem tawanan perang.
Dua kereta kebal turut ditempah khas dari England yang menepati kriteria jenis kereta kebal zaman dulu selain lori, trak dan jip tentera Jepun, motosikal tentera Jerman serta kereta perisai.
Menggunakan seramai 16,668 pelakon tambahan, 2,000 unit pakaian seragam dan 57,500 butir peluru digunakan untuk babak peperangan. Bintang opera, Andrea Bocelli meminjamkan suaranya untuk lagu tema filem ini yang berjudul To Find My Way, ciptaan Lee Dong-Jun.
My Way ditayangkan di negara ini mulai kelmarin.