Adsense

Rabu, 11 April 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Impak Hatimu Milikku

Posted: 10 Apr 2012 06:35 AM PDT

GOSIP ini sudah lama bertebaran cuma ia belum pernah diperjelaskan oleh gadis cantik yang dipilih sebagai penghias muka depan Rentak Artis Popular (RAP) hari ini.

Perihal yang lama membungkam itu menyorot kisah mistik yang membelenggu persekitaran hidupnya. Nera dikatakan mewarisi saka dan terikat dengan pantang larang di mana jika dia berkeinginan memotong rambut, hal itu harus dilakukan di kubur nenek moyangnya.

Terbeliak bebola matanya saat mendengar perkhabaran itu sebelum menafikan.

"Gosip itu mengarut! Saya tidak pernah mendengar gosip itu sebelum ini dan ini adalah kali pertama saya diajukan mengenainya. Jika ada yang mendakwa bintang Akademi Fantasia (AF) 9 yang mempunyai saka itu adalah saya, rasanya mereka mungkin tersalah orang atau terdengar khabar angin yang belum tentu benar.


"Apa yang pasti, keluarga saya tidak mempunyai saka dan tidak mempercayai amalan sebegitu. Kalau ada yang tidak percaya, bolehlah ke salun rambut yang sering saya kunjungi.


"Yang pasti bukan di kubur (ketawa). Saya penakut, tak mungkin saya memotong rambut di kubur," tegasnya.

Kehadirannya di pejabat RAP Jumaat lalu bukan sekadar untuk memperjelaskan isu berkenaan, sebaliknya usaha menjejak gadis 20 tahun kelahiran Likas, Sabah itu lebih sebulan yang lalu lantaran namanya semakin menjadi sebutan ramai seiring single pertamanya, Hatimu Milikmu yang mendaki carta dan menggila putarannya di radio.

Akui pemilik nama cukup indah, Queennera Francine Francis Kitingon, Hatimu Milikku membawa makna besar dalam hidupnya sehingga mula merasakan kehangatan bergelar artis.

"Sejauh mana lagu itu membawa nama Nera? Rasanya setinggi Kota Kinabalu (ketawa) kerana walaupun AF9 sudah lama berakhir, lagu itulah yang membuatkan sampai hari ini orang masih kenal Nera.

"Mana-mana Nera pergi pasti ada yang memperkatakannya. Nera sangat bersyukur kerana Astro memberi kepercayaan kepada Nera untuk menyanyikan lagu itu malah Nera turut rasa berbangga dapat bekerjasama dengan komposer yang berkebolehan seperti Kuncidemak.

"Nera sukakan lagu-lagu tulisannya dan salah satu daripadanya adalah Ombak Rindu. Kerana lagu Hatimu Milikku juga sedikit demi sedikit pandangan orang terhadap Nera mula berubah. Sewaktu di AF9 dulu ramai yang mendakwa Nera hanya menjual rupa selain merendah-rendahkan vokal Nera.

"Rezeki lagu berkenaan, sekarang Nera berpeluang membuat pelbagai persembahan dan melaluinya Nera gunakan untuk membuktikan kemampuan. Kalau bolehlah, Nera mahu merakamkan semula lagu itu untuk memberi penghayatan yang lebih baik.

"Masa rakamannya dibuat, Nera masih di AF9. Dalam keadaan sangat letih, sakit tekak serta kurang persediaan Nera merakamkan lagu itu dan ia juga adalah pengalaman pertama Nera masuk studio," katanya.

Besarnya impak lagu Hatimu Milikku sehingga namanya dicalon dalam kategori Artis Wanita Popular Online yang diperkenalkan Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011, berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands, Ahad lalu.

Mengakui AF9 adalah pertandingan nyanyian terbesar pernah disertainya, anak sulung daripada dua beradik itu adalah pemenang tempat kedua dalam pertandingan Miss Earth-Water Sabah 2010. Pertandingan bersempena Pesta Menuai itu, dalam bahasa orang Sabah dipanggil Pertandingan Unduk Ngadau.

Menuntut penuntut tahun akhir jurusan Diploma In Tourism di Asian Tourism International College, yang bercita-cita menjadi pramugari semasa kecilnya tekad untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang.

"Ikutkan ini tahun akhir Nera tetapi kerana bercuti satu semester ketika menyertai AF9 tahun lalu, pengajian Nera berbaki satu tahun lagi. Kesibukan sebagai pelajar juga membataskan aktiviti nyanyian Nera namun tetap berusaha memenuhi jika kelapangan.

"Boleh dikatakan hampir setiap bulan Nera akan turun ke Kuala Lumpur untuk memenuhi sesi fotografi, rakaman program, undangan persembahan serta promosi yang diaturkan pihak Astro.

"Apapun jua yang Nera lakukan sekarang ini, pelajaran tetap di tangga pertama.
Nera mahu menjadi artis yang berilmu bukan sekadar berbakat atau rupa saja.
Ilmu bagi Nera adalah jaminan masa depan yang tidak boleh dijual beli," katanya.

Masih dalam proses membiasakan diri dengan kehidupan glamor sebagai artis, akui Nera kebebasannya kini terbatas. Kadang-kadang di kuliah juga dia berasa aneh apabila teman-teman yang dulunya menyapa dengan panggilan Queen kini memanggilnya Nera.

"Dulu kawan-kawan panggil Queen. Tetapi sekarang semua menyapa dengan nama Nera. Memang rasa janggal namun, paling penting sama ada Queen ataupun Nera, orangnya tetap sama tidak pernah berubah walau seinci pun," katanya.

Barangkali ramai yang tidak tahu Nera adalah anak saudara kepada bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Panglima Joseph Pairin Kitingan. Bapa Nera adalah adik kandung kepada tokoh politik itu.

Walaupun, nama keluarga sangat berpengaruh di Sabah, Nera lebih gemar menjalani kehidupan dengan penuh kesederhanaan.

"Nera tidak pernah membangga-banggakan latar belakang keluarga tetapi ada kalanya tidak boleh disorok kerana Kitingan itu adalah nama keluarga kami.

"Pun begitu, terus-terang Nera lebih senang memilih kehidupan seperti orang kebanyakan dan bersederhana dalam serba-serbi. Cara amalan orang tua Nera juga tidak mewah, biasa-biasa saja," katanya.

Trivia Nera

  • HOBI...Menyanyi dan membaca
  • CIRI-CIRI PERIBADI...Sederhana, gembira, emosional, lembut hati dan sayang haiwan
  • KELEMAHAN...Sambil lewa dan suka fikir negatif
  • TIDAK PERNAH JEMU MAKAN...Spaghetti
  • KALAU DAHAGA CARI AIR...Teh lemon
  • SUKA DENGAR MUZIK...Jazz
  • SANGAT MEMINATI PENYANYI...Jaclyn Victor, Stacy AF, Siti Nurhaliza, Celine Dion dan John Legend
  • SUKA MENONTON LAKONAN...Hans Isaac, Baim Wong, Linda Jasmay dan Marsha Londoh
  • MERONTA HENDAK KE PANGGUNG WAYANG...Untuk menonton filem Harry Potter
  • RASA CERIA BILA MEMAKAI WARNA...Merah jambu , putih dan coklat



  • Bukan tidak hormat

    Posted: 10 Apr 2012 06:18 AM PDT

    SELEPAS lapan tahun berturut-turut menjulang trofi Pengacara TV Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011), Aznil Nawawi yang sememangnya punya profil tinggi sebagai pengacara terbaik di Malaysia akur dengan keputusan apabila pengiktirafan itu beralih tangan kepada Zizan Razak.

    Bukan sekadar mengejutkan kerana tersasar daripada banyak ramalan, malah keputusan undian peminat yang meletak Zizan melangkaui Aznil turut mengundang rasa bahagia dan kenangan paling manis buat Zizan.

    Lebih indahnya, Aznil yang sudah lama menanti detik kemenangan pelapis legasi pengacaraan ini lekas berlari ke pentas sebaik nama Zizan diumumkan oleh dua penyampainya, Datin Seri Normala Shamsuddin dan Nurul Syuhuda Nurul Ain bagi menyerahkan sendiri trofi itu kepada Zizan.

    Ramai juga menyifatkan tindakan Aznil itu sesuatu di luar jangkaan.

    Penghargaan yang diterima Zizan apabila Aznil berlari ke pentas untuk memberikan trofi juga dipuji ramai pihak baik di anugerah itu sendiri mahupun menerusi laman sosial twitter.

    Bagaimanapun tidak kurang yang mempersoalkan Aznil sengaja mencetus drama sekali gus tidak menghormati majlis. Sepatutnya trofi itu perlu diserahkan oleh dua penyampainya. Mengapa harus Aznil yang mesra disapa Pak Nil pula yang sibuk meluru ke pentas dan merampas ruang Normala dan Nurul Syuhada.

    Aznil ketika dihubungi bagaimanapun tidak mudah melatah dan kekal dengan sikap profesionalnya. Menyifatkan pandangan dan persepsi mata yang memerhati sebagai sekelumit kritikan yang harus diterima sebagai pengajaran, Aznil yang terkenal dengan sikap mudah mesra dan bijak menyusun kata ini hanya mengharapkan agar penonton meninjau dari perspektif positif.

    "Mengapa pula saya tidak menghormati majlis atau penyampai kerana ABPBH adalah satu gelanggang yang dianjurkan untuk menghargai golongan artis dan pembaca.
    Anugerah ini seperti rumah buat saya. Saya lihat tindakan itu hanya sekadar ingin memberi penghargaan dan rasa hormat kepada Zizan yang akhirnya berjaya membolosi gawang trofi itu selepas sekian lama menjadi milik saya.

    "Saya tidak merancang dan semuanya berlaku secara spontan kerana saya terlalu seronok dan terharu dengan keputusan itu. Tidak timbul soal mengenepikan penyampai kerana sejurus babak penyerahan trofi saya ada berbual dengan Normala Shamsuddin dan dia sendiri menyifatkan tindakan itu sesuatu yang cukup manis dan istimewa.

    "Lantas tidak timbul soal itu jika dilihat dari aspek positif. Usah lekas meletak hukum atau andaian kerana apa yang berlaku adalah satu simbolik penghargaan dari saya buat penyambung legasi pengacaraan," katanya.

    Mungkin ramai yang tidak tahu, Aznil yang mencetus fenomena pengacaraan menerusi program realiti Akademi Fantasia, Jangan Lupa Lirik, Tom Tom Bak hingga yang terbaru Mania sudah terlebih dulu ingin menarik diri daripada penyertaan ABPBH kerana ingin melihat pelapis pula naik merangkul trofi.

    Lapan kali diumumkan menerima trofi dan kekal diangkat sebagai paling popular sedikit sebanyak mengundang rasa gusar buat Aznil yang inginkan penyambung lapangan seni yang diperjuangkan itu.

    Zizan sendiri yang sudah empat kali dicalonkan sebelum ini namun belum pernah terusik rezekinya hingga malam Ahad lalu turut mengakui Aznil adalah legenda yang akan terus menjadi idolanya dan kekal sebagai pengacara nombor satu negara.

    Jelas Aznil, sudah tiba masanya kategori ini disemarakkan dengan kehadiran wajah dan nama baru.

    "Jujur saya sudah lama ingin menarik diri. Malah sebelum ini sudah beberapa kali saya katakan kepada pihak penganjur untuk tidak dicalonkan namun kerana menghormati peminat dan pengundi, saya akur untuk terus bertanding namun tidak sekali mengharapkan lagi pengiktirafan. Saya hanya hadir dan mengharapkan agar ada lagi pengganti lain namun alhamdulillah rezeki itu masih berpihak pada saya sebelum ini.

    "Jika terus saya diberikan trofi yang sama berulang kali, mana perginya kemeriahan dan rasa teruja untuk menonton? Tampuk populariti itu perlu digantikan untuk memastikan suasana anugerah tampak segar dan sentiasa 'current'. Saya bimbang jika tiada penyambung atau pelapis, lapangan pengacaraan ini akan mati tanpa pewaris.

    "Saya turut ada menulis dalam ruangan Borak Pak Nil dalam Metro Ahad lalu dan sempat mengucapkan tahniah terlebih dulu buat Zizan kerana sememangnya saya meramalkan dia akan menggantikan saya. Dia punya bakat yang besar dan gaya pengacaraan yang boleh diasah lagi untuk terus ke depan. Insya-Allah jika tepat dengan mutu kerja, ilmu dan disiplin, Zizan punya masa depan yang cerah dan jauh.

    "Justeru jika ada yang beranggapan saya kecewa dengan kekalahan atau cuba mencuri tumpuan, itu adalah tidak benar," katanya.

    Meskipun ada yang memandang tindakan itu kurang menyenangkan, namun Aznil dan Zizan pula masih tidak henti membalas pesanan dan ucapan dari peminat masing-masing di laman Twitter yang memuji momen mereka bersama di atas pentas.

    Jika ada yang sibuk mempertikai, apa kata letak sedikit rasa positif dan melihat dari mata optimis, ia adalah sesuatu yang manis dan tidak ada kedua kalinya.