Adsense

Rabu, 11 April 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Luar jangkaan

Posted: 10 Apr 2012 03:53 PM PDT

Hip

Maya, Fasha janji pamer lakonan lebih hebat puaskan hati peminat

PENANGAN Ombak Rindu sememangnya tidak dapat disangkal lagi. Mana tidaknya, bukan setakat penyanyi runut bunyi filem itu, Hafiz, membawa pulang trofi Penyanyi Lelaki Popular, malah dua pelakon utamanya, Aaron Aziz dan Maya Karin, masing-masing berjaya menjulang pulang trofi bagi kategori Pelakon Filem Popular.

Aaron juga dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita (ABPBH) 2011, yang berlangsung penuh gemilang di Arena of Stars, Genting Highlands, 8 April lalu.

saya juga sangat bersyukur dan berpuas hati dengan kemenangan ini. Saya berasakan, tahun ini amat menarik bagi perjalanan kerjaya seni saya. Walaupun tahun lalu saya tidak banyak berlakon, tapi rezeki tetap berpihak kepada saya. Semua ini memang di luar jangkaan. - Maya Karin

Maya yang ditemui di belakang pentas sejurus diumumkan pemenang dengan mengetepikan empat finalis lain, Diana Danielle, Eja, Lisa Surihani dan Yana Samsudin, mengaku kemenangannya disebabkan impak watak Izzah yang dijayakannya.

"Saya berterima kasih kepada penerbit dan pengarah Ombak Rindu kerana menghasilkan skrip dan naskhah yang begitu hebat, sekali gus meninggalkan kesan mendalam kepada orang ramai. Ombak Rindu filem yang hebat dan sudah memenangi hati ramai orang, sehinggakan saya sendiri jatuh hati pada naskhah berkenaan.

"Saya sangat gembira dengan kemenangan ini, dan sememangnya saya berdebar saat Syamsul Yusof ingin mengumumkan pemenang. Nasib baik dia menyebutnya dengan cepat. Lega rasanya apabila semuanya berlalu dengan pantas.

"Pada masa sama, saya juga sangat bersyukur dan berpuas hati dengan kemenangan ini. Saya berasakan, tahun ini amat menarik bagi perjalanan kerjaya seni saya. Walaupun tahun lalu saya tidak banyak berlakon, tapi rezeki tetap berpihak kepada saya. Semua ini memang di luar jangkaan," katanya sambil menyifatkan, 2012 ialah tahun yang bagus buat kerjayanya apabila menerima paling banyak tawaran.
Melihat pencapaiannya itu, Maya akui dia agak cerewet dalam memilih watak serta karakter yang akan dibawanya selepas ini. Dia mahu watak dilakonkan olehnya mampu meninggalkan impak mendalam.

Cintanya yang kuat terhadap lakonan pastinya akan memacu wanita jelita ini lebih jauh dalam dunia seni tempatan, apatah lagi dengan kejayaan yang baru dikecapi, tentu membuatkan Maya ingin memberikan persembahan lebih baik buat peminat.

Inilah kejayaan ketiga Maya menggenggam trofi Pelakon Filem Wanita Popular selepas dia melakukannya pada ABPBH2005 dan ABPBH2008.

Sementara itu, Pelakon TV Wanita Popular, Fasha Sandha menganggap kemenangan kali ini sebagai hadiah terindah buat hari jadinya yang ke-28, begitu juga buat perkahwinannya yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Kata Fasha, kejayaan pada ABPBH2011 sememangnya di luar jangkaan. Malah dia langsung tidak menyediakan sebarang teks ucapan kerana berasakan, peluangnya untuk menang agak tipis berbanding tahun sebelumnya.

"Saya bersyukur sangat dan inilah yang dikatakan rezeki. Kemenangan ini juga hadiah paling bermakna untuk saya dan semua peminat yang mengundi. Saya ingatkan, saya hanya datang sebagai penonton. Tapi tidak sangka saya akan membawa pulang trofi lagi pada tahun ini.

"Semestinya saya akan membuat yang lebih baik sebagai penghargaan kepada peminat yang setia memberikan sokongan. Sejujurnya, saya tidak pernah puas hati dengan diri sendiri, oleh itu anugerah ini memangkin semangat saya untuk berusaha lebih kuat pada masa akan datang," katanya yang mengungguli kategori sama pada ABPBH2005, 2006 dan 2010.

Fasha juga pernah memenangi trofi Pelakon Filem Wanita Popular pada ABPBH2006 dan 2007.

Dengarnya... Zed ada masalah peribadi dengan Aaron ke?

Posted: 10 Apr 2012 03:50 PM PDT

Hip

SEBELUM Cik Normah membebel panjang lebar mengenai sikap kebudak-budakan seorang pelakon ini, Cik Normah ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 yang melabuhkan tirainya malam Ahad lalu.

Seronok melihat penonton serta pembaca akhbar tempat Cik Normah bekerja ini gembira dan terhibur dengan persembahan yang kami sajikan. Walaupun ada cacat-cela di sana sini, tapi tak kisahlah itu. Dalam hidup ini mana ada yang sempurnakan? Macam orang selalu kata, yang baik datang dari Tuhan, yang buruk datang daripada diri kita sendiri.

Tapi ada juga yang perasan dirinya selalu sempurna dan orang lain semua tak bagus. Contohnya, apabila seorang pelakon memburukkan artis lain di laman sosial miliknya. Terkejut Cik Normah apabila membaca Twitter milik pelakon Zed Zaidi yang secara terang-terangan mempertikaikan kemenangan aktor Aaron Aziz sebagai Bintang Paling Popular ABPBH2011. Meskipun tidak menulis nama Aaron, tapi rasanya semua orang tahu siapakah orang yang dimaksudkannya itu. Bukan main lagi Zed menyindir dengan mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mengundi pelakon itu.

Lebih mengejutkan Cik Normah apabila Timbalan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) itu menyifatkan tindakan peminat seperti menggalakkan artis luar merosakkan industri seni tempatan.

Apa yang dimaksudkan Zed dengan merosakkan industri seni tempatan? Cik Normah hendak tanya pada Zed, tidakkah dia membuat kaji selidik terlebih dulu sebelum membabi buta mengeluarkan kenyataan?

Seandainya Zed terlupa, cuba semak balik susur galur sejarah pelakon kita yang hebat-hebat zaman dulu, semuanya berasal dari Studio Jalan Ampas, Singapura. Jadi, apa masalahnya dengan status kewarganegaraan dengan industri seni? Masing-masing nyata hendak hidupkan lagi industri seni hiburan Melayu.
Datuk M Nasir, yang juga warga Singapura pernah memenangi anugerah itu sebelum ini. Apakah dia seorang yang merosakkan industri seni tempatan seperti yang didakwa? Kalau iya pun dia ada masalah peribadi dengan Aaron, tak perlulah sampai melemparkan tuduhan seperti itu. Tak baik! Lagipun kemenangan Aaron diputuskan peminat dan pada pandangan Cik Normah, dia memang layak berdasarkan fenomena yang diciptanya itu.

Cik Normah rasa, tak perlulah nak diperbesarkan perkara kecil seperti ini. Sudahlah industri kita tak sebesar mana, tak ada kerja lain asyik nak bermasam muka. Cik Normah risau pula nanti bila benda ini menjadi kecoh, akan ada sidang media dari pihak Seniman menuduh media pandai-pandai membuat cerita palsu seperti yang berlaku sebelum ini.

Pesan Cik Normah, henti-hentikanlah membuat gimik murahan seperti ini kerana popular dengan cara sebegini lazimnya jangka hayat dalam industri tak lama. Okay, bye!