Adsense

Khamis, 29 Mac 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Impak kontroversi

Posted: 28 Mar 2012 02:41 PM PDT

Hip

Apek, Liuniey hiasi iklan wangian Siti

KEMUNCULAN penjaga gol Harimau Muda, Khairul Fahmi Che Mat atau lebih dikenali dengan panggilan Apek, serta gadis yang pernah dikaitkan dengannya iaitu Nur Eilunie Natasha Nazri atau Liuniey di lokasi penggambaran iklan tiga wangian terbaru keluaran SimplySiti iaitu Pure, Memoir dan Precious, menimbulkan pelbagai spekulasi serta tanda tanya.

Sewaktu gosip kononnya Fahmi menjadi punca Liuniey putus tunang dengan pasangannya tersebar, kedua-duanya bermati-matian menafikan perkara berkenaan. Malah Liuniey ketika ditemubual mengakui terkejut kerana hal terbabit langsung tiada kaitannya dengan ahli sukan terkenal itu.

Saya tiada masalah untuk berlakon dalam iklan ini walaupun mungkin ada pihak yang akan mengaitkannya dengan kontroversi sebelum ini. - Khairul Fahmi, Che Mat, Penjaga Gol Harimau Malaya

Justeru, apabila mereka berdua berada di lokasi penggambaran, timbul pertanyaan apakah gosip yang tersebar sebelum ini adalah benar? Apakah Apek dan Liuniey memang mempunyai hubungan intim, tetapi sengaja dirahsiakan? Namun apabila persoalan itu diajukan kepada penerbit iklan berkenaan, Datuk Siti Nurhaliza, dia menafikan kemunculan pasangan itu dalam iklan wangiannya sebagai satu pengesahan mereka memang bercinta.

Tegas Siti yang juga Presiden SimplySiti Sdn Bhd, pihaknya juga tidak berhasrat menangguk di air keruh, dengan mengambil kesempatan atas kontroversi yang menimpa mereka sebagai perencah iklan terbabit.

"Kami sedar, apabila iklan ini menampilkan Khairul Fahmi dan Liuniey sebagai sebahagian daripada pelakonnya, mesti ramai yang beranggapan kami sengaja memilih mereka berdasarkan kontroversi yang dilalui pasangan itu sebelum ini. Bukan saja Apek dan Liuniey yang akan berlakon dalam iklan ini, tetapi kami juga menggunakan khidmat dua lagi bakat baru iaitu ahli korporat muda, Pengurus Akaun di Naza Italia Sdn Bhd, SM Zul Khalis SM Zulkifli, dan Pengarah Kumpulan Ibex, Mohamed Adam Yahya.

"Apek dipilih untuk mewakili minyak wangi yang menonjolkan elemen aktif dan ceria, sesuai dengan statusnya sebagai ahli sukan. Dalam iklan ini, tiada babak membabitkan mereka berdua. Itulah juga syarat dikenakan kepada kami sebelum kedua-duanya setuju untuk membintangi iklan ini," kata Siti ketika ditemui pada sesi penggambaran komersial wangian itu, di Bandar Sri Damansara, Isnin lalu.
Menurut Siti lagi, pemilihan Liuniey sebagai watak utama dalam iklan itu bukanlah dibuat secara suka-suka, tetapi gadis berusia 21 tahun itu perlu menjalani uji bakat, sama seperti calon lain.

"Memang kami akui, kami mengenali Liuniey berdasarkan cerita membabitkan dirinya dengan Apek. Namun, pemilihannya bukanlah disebabkan kontroversi itu semata-mata. Ketika sesi uji bakat, dia menunjukkan lakonan cemerlang apabila berjaya mempamerkan pelbagai ekspresi mengikut mood dikehendaki.

"Iklan ini memerlukan dia banyak bergerak, jadi kebolehannya dalam bidang tarian memberi kelebihan padanya untuk membawakan watak gadis misteri itu. Ternyata pilihan kami tepat kerana dia bukan saja bagus dari segi lakonan, malah Liuniey mempunyai komitmen dan disiplin amat baik. Sekurang-kurangnya impiannya untuk bergelar pelakon iklan tercapai dengan kemunculannya dalam komersial ini," ujar Siti.

Bagi Liuniey, walaupun pada awalnya dia gementar kerana bimbang kemunculan dalam iklan itu akan membuatkan isu membabitkan dirinya dan Apek kembali dibangkitkan, namun dia akhirnya mengambil prinsip berani kerana benar.

"Antara kami memang tiada apa-apa. Jadi, untuk apa saya perlu rasa takut atau bimbang? Lagipun, ibu saya ada menemani saya di sini dan dalam iklan itu, memang tiada babak yang menemukan kami berdua. Cukup-cukuplah dengan apa yang sudah disebarkan sebelum ini. Berilah saya peluang untuk menumpukan perhatian pada perniagaan dan juga kerjaya baru saya ini," pinta gadis jelita ini.

Sementara itu, Apek yang kelihatan tenang sepanjang penggambaran itu berkata, apa yang perlu dilakukan adalah sentiasa bersikap profesional.

"Saya tiada masalah untuk berlakon dalam iklan ini walaupun mungkin ada pihak yang akan mengaitkannya dengan kontroversi sebelum ini. Kita harus bersikap profesional. Lagipun antara kami memang tiada hubungan apa-apa, jadi tak ada apa yang perlu dirisaukan," ujar jejaka berusia 23 tahun ini.

Iklan arahan Casper sepanjang 30 saat itu bakal ditayangkan buat julung kali pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 yang dipancarkan secara langsung di saluran TV3, 8 April ini.

  • Tajaan pakaian Datuk Siti Nurhaliza: Dewi Sofia oleh Raffie Nasir
  • jaan pakaian Liuniey: Amir Luqman
  • Saluran artis selesai isu perundangan

    Posted: 28 Mar 2012 02:37 PM PDT

    Hip

    NEELOFA dan Ana Raffali mendengar penerangan diberikan Khairul Anwar
di Wangsa Maju, semalam.

    NEELOFA dan Ana Raffali mendengar penerangan diberikan Khairul Anwar di Wangsa Maju, semalam.

    KESEDARAN untuk melindungi hak penggiat seni mendorong dua artis terkenal menjalinkan kerjasama bersama Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SUKAGUAM) bagi membolehkan selebriti yang berdepan dengan masalah seperti fitnah, saman, hak cipta dan royalti mendapatkan khidmat nasihat serta rundingan guaman secara percuma.

    Sebagai permulaan, pelakon yang juga pengacara Nona, Neelofa, dan penyanyi, Ana Rafali, dilantik sebagai 'duta kecil' sebagai penghubung antara artis dan SUKAGUAM.

    Persetujuan itu dicapai dalam pertemuan di antara Pengerusi SUKAGUAM, Datuk Khairul Anwar Rahmat, dan kedua-dua artis terbabit di Wangsa Maju, di sini, semalam. Kedua-dua artis muda ini menyifatkan langkah berkenaan cukup tepat kerana golongan terbabit mudah terdedah dengan pelbagai masalah dan ancaman terutama di laman sosial seperti Facebook dan blog.

    Bercakap kepada pemberita, Neelofa berkata, kesedaran untuk mengunjungi SUKAGUAM timbul sejak menyertai bidang seni kerana mereka sentiasa terdedah kepada pelbagai risiko.

    Pelakon filem Azura (2012) itu berkata, sudah sampai masanya artis diberi pendedahan mengenai hak dan peraturan bagi membolehkan mereka bergiat tanpa dibebani dengan kemungkinan sekiranya tindakan dilakukan melanggar undang-undang.

    "Saya berharap, kerjasama ini turut mendapat perhatian rakan artis lain supaya kebajikan dan keselamatan semua pihak terjamin, selain memberi gambaran mengenai garis panduan lebih jelas dalam industri ini," katanya.
    Ana pula berkata, dia mahu golongan artis sedar, mereka mempunyai saluran terbaik untuk menyelesaikan masalah berkaitan perundangan.

    "Jika dulu, kebanyakan artis tidak mengetahui ke mana hala tuju mereka jika disaman atau difitnah, tetapi kini kita mempunyai saluran yang menawarkan khidmat nasihat secara percuma," katanya.

    Sementara itu, Khairul Anwar berkata, kerjasama itu dijalin bagi menjelaskan kepada selebriti bahawa mereka mempunyai saluran untuk menyelesaikan sesuatu isu yang timbul berlandaskan hak dan langkah sewajarnya.