Adsense

Isnin, 5 Mac 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Artis popular depan mata

Posted: 04 Mar 2012 03:20 PM PST

Hip

Ribuan peminat penuhi Berjaya Megamall meriahkan siri jelajah ABPBH

LAUTAN manusia yang membanjiri setiap inci ruang legar pusat beli-belah Berjaya Megamall, Kuantan, Pahang, petang semalam membuktikan siri jelajah promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 masih mempunyai pengaruh dan menjadi platform penting untuk mendekatkan peminat dengan artis kesayangan mereka.

Saban tahun, setiap kali acara promosi ini mengunjungi mana-mana lokasi terpilih, itulah juga pemandangan yang biasa dilihat. Ruang legar dan setiap tingkat pusat beli-belah akan menjadi sesak kerana masing-masing berebut-rebut untuk melihat artis yang diminati beraksi di atas pentas, dengan lebih dekat. Jika selama ini wajah popular itu hanya mampu ditatap menerusi layar kaca dan media cetak, kini artis yang diminati berada di depan mata. Andai bernasib baik, pengunjung yang hadir pada acara itu berpeluang mendekati, beramah-mesra dan merakamkan foto kenangan bersama.

Tidak keterlaluan andai dikatakan inilah masanya untuk peminat menerima ganjaran atau habuan atas sokongan yang tidak berbelah bagi selama ini. Hati mana yang tidak berbunga keriangan apabila berpeluang bersiar-siar dengan idola menaiki kenderaan Nissan Livina X-Gear dan Nissan Teana 2.5L (A) tajaan Edaran Tan Chong Motors Sdn Bhd.

Walaupun ada ketika pengunjung yang diundang ke atas pentas 'teruk' dikenakan pengacara petang itu iaitu Faizal Ismail, AG dan Along Cham, apabila mereka diminta melakukan pelbagai aksi yang boleh mengundang gelak ketawa penonton, namun usaha itu berbaloi kerana hadiah yang dibawa pulang cukup untuk dijadikan kenangan paling indah sepanjang hayat mereka.

Sebagai contoh, seorang peminat wanita pastinya tidak tidur malam dan bakal dicemburui teman lain apabila aktor kacak, Aaron Aziz, melutut di depannya sambil menyampaikan hadiah. Aksi spontan pelakon Ombak Rindu itu membuatkan penonton yang hadir bersorak kegirangan.
Lain artis lain pula gelagatnya. Andai Aaron mencuri perhatian penonton dengan gaya seorang lelaki budiman, Diana Danielle dan Fauzi Nawawi berjaya membuatkan penonton terhibur dengan tarian 1Malaysia yang menjadi tema persembahan mereka petang itu.

Kemunculan pengacara nombor satu, Aznil Nawawi, terus menggamatkan suasana apabila dia mengarahkan peminat untuk melakukan aksi 'head banging' mengikut rentak muzik metal yang diputarkan. Apa yang penting, aksi mereka mendapat imbuhan apabila Aznil bermurah hati menghadiahkan wang tunai sebanyak RM210 kepada pemenang bertuah.

Selain Aznil, Aaron juga bermurah hati menghadiahkan rantai kepada seorang peminat cilik.

Penangan filem Ombak Rindu nampaknya menjangkiti siri promosi ini apabila sebuah sketsa yang diadaptasikan daripada filem popular itu dipentaskan Aaron, Tasha Shilla dan juga peminat terpilih.

Bersesuaian dengan kepelbagaian kategori yang dipertandingkan, siri promosi itu juga mengundang penyanyi yang bergelar finalis untuk menghiburkan peminat serta pengunjung pusat beli-belah terbabit. Antaranya finalis kategori Penyanyi Lelaki Popular, Aizat, yang menyampaikan lagu terbarunya, Jerrypah, sambil diiringi petikan gitar.

Satu-satunya kumpulan remaja yang berjaya melepasi tangga untuk bergelar finalis, Forteen, terus menjadi tumpuan penonton dengan persembahan mantap, selain wajah comel mereka. Kemunculan kumpulan ini menyampaikan lagu hasil ciptaan Edry Abd Halim mendapat tepukan gemuruh pengunjung terutama remaja
wanita.

Turut dinantikan kehadirannya pada siri promosi ini ialah Shila Amzah yang menyampaikan dua lagu, Set Fire To The Rain, nyanyian Adele dan juga single terbarunya, Patah Seribu. Sebelum menyampaikannya, sempat juga Shila menujukan lagu terbabit kepada seseorang. Walaupun tidak menyebut namanya namun rasanya ramai yang sedia maklum siapakah gerangan individu dimaksudkan.

Ternyata, orang Pantai Timur memang beruntung apabila siri promosi ini membariskan ramai finalis yang bukan calang-calang. Kehadiran Bintang Paling Popular ABPBH2010, Shaheizy Sam, kumpulan Meet Uncle Hussain, Yana Shamsuddin, Adi Putra, Fizz Fairuz, Scha Alyahya, Black serta artis baru seperti Awi Rafael, Tasha dan Izara Aishah berjaya memujuk peminat untuk menunggu sehingga acara berakhir.

Meskipun tempoh 'kempen' yang diberikan penganjur amat singkat, namun masa itu digunakan sepenuhnya oleh finalis untuk menghargai peminat mereka serta mengucapkan terima kasih di atas sokongan yang tidak berbelah bagi selama ini.

Siri promosi jelajah ini akan diteruskan ke lokasi ketiga, Dataran Pahlawan, Melaka, pada 10 dan 11 Mac ini.

Peserta bukan Melayu pertama juara BIBH

Posted: 04 Mar 2012 03:18 PM PST

Hip

PENGERUSI Bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH 2011, Hanizam Abdullah dan Zainuri Misfar bersama-sama pemenang dan finalis BIBH di Berjaya Megamall, Kuantan.

PENGERUSI Bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH 2011, Hanizam Abdullah dan Zainuri Misfar bersama-sama pemenang dan finalis BIBH di Berjaya Megamall, Kuantan.

SIAPA sangka, khabar duka kematian datuk tercinta yang diterima Ang Hui San sehari sebelum dia menyertai pertandingan Bintang Idola Berita Harian (BIBH) berganti berita gembira apabila gadis berusia 20 tahun itu dinobatkan sebagai juara pertandingan nyanyian yang diadakan sempena siri jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 di Berjaya Megamall, Kuantan, semalam.

Kesedihannya bagaikan terubat apabila penyertaan julung kalinya itu membuahkan hasil sekali gus mencatat sejarah buat dirinya dan juga BIBH apabila menjadi peserta bukan Melayu pertama yang berjaya bergelar juara pada peringkat Mall.

Persembahan bertenaganya ketika menyanyikan lagu Matahariku yang dipopularkan Agnes Monica, membolehkan Hui San mengetepikan saingan sembilan peserta lain, termasuk seorang lagi peserta bukan Melayu, Lily. Katanya, sewaktu menyampaikan lagu itu, perasaannya bercampur baur, antara sedih dan juga gembira.

"Berita kematian datuk yang saya terima semalam membuatkan saya sangat sedih.
Dia meninggal akibat sakit tua. Sebab itulah dalam pertandingan hari ini (semalam), saya cuba meluahkan perasaan itu menerusi lagu yang saya nyanyikan.
Kebetulan melodi dan lirik lagu itu ada persamaan," katanya yang kini sedang menunggu keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Fasih berbahasa Melayu, dia berkata, kecenderungannya menyanyikan lagu Melayu banyak didorong keluarga angkatnya yang berbangsa Melayu.
"Saya banyak belajar daripada mereka bagaimana menyanyikan lagu Melayu dengan lenggok dan sebutan yang betul. Mereka banyak menggalakkan saya dan jika ada peluang, saya memang ingin menjadi penyanyi. Saya ingin menjadi seperti Stacy," katanya yang juga pembaca setia Berita Harian.

Walaupun sekadar menduduki tempat kedua, namun pencapaian itu sudah cukup membuatkan Muhammad Faizal Fadzil berpuas hati.

"Ini percubaan kali pertama saya menyertai BIBH dan alhamdulillah saya berjaya. Sebelum ini abang saya turut menyertai pertandingan ini, tapi nasib tak menyebelahinya. Saya menyertai BIBH kerana ia peluang terbaik saya untuk mencapai cita-cita menjadi penyanyi," ujarnya yang menyampaikan lagu Lamunan Terhenti.

Bagi pemenang ketiga, Muhammad Firdaus Muhammad Mustapha, perkataan putus asa tidak pernah wujud dalam kamus hidupnya. Walaupun hasratnya menyertai BIBH sebelum ini tidak kesampaian kerana tidak melepasi syarat kelayakan, namun kerana minat, dia tetap terus mencuba.

"Sebelum ini saya pernah mencuba nasib dalam pertandingan ini tapi tak layak kerana tak cukup umur. Waktu itu saya berada di tingkatan 1. Kini selepas empat tahun, saya datang kembali untuk melunaskan impian itu dan syukur kerana akhirnya saya berjaya juga," kata pelajar berusia 17 tahun ini.

Tuah memihak kepada Firdaus apabila dia berjaya menyampaikan lagu Sampai Syurga yang dipopularkan oleh Faizal Tahir dengan cara dan gayanya yang tersendiri.

Finalis lain ialah Nur Syahirah Mustaffa (Tunggu Sekejap), Lily (Jangan Kau Pergi), Mohd Iqtisar Mohd Suhimi (Nadiku), Sharril Faizie Samsuddin (Kepadamu Kekasih), Mohd Adib Adamey Abd Rahman (Biarlah Bulan Bicara), Aini Syuhada Shahrom Fahmi (Cobalah Untuk Setia) dan Siti Fazanah Akul Zainal (Teratai Layu Di Tasik Madu).