Adsense

Sabtu, 18 Februari 2012

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Nera janji lebih sensitif

Posted:

Nera janji lebih sensitif

Nera janji lebih sensitif

Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT
amirah.amaly@utusan.com.my
Foto SHAHRIL AZMAN ZAIN



LANGKAH awalnya memasuki industri seni dilihat tempang selepas penyebaran gambar bikini sewaktu menyertai pertandingan ratu cantik, Miss Earth Sabah 2010 yang turut melayakkan dia ke peringkat akhir Miss Earth Malaysia 2010.

Insiden tersebut turut memberi kesan kepada penyertaannya sebagai salah seorang daripada 12 pelajar program realiti, Akademi Fantasia ke-9 (AF9) terbitan Astro pada Mac tahun lalu.

Meskipun pihak pengurusan Astro mengesahkan Nera "bersih" dari sebarang kontroversi selepas berulang kali membuat pemeriksaan, namun gambar dari laman rasmi pertandingan tersebut tetap dijadikan modal bicara orang ramai.

Macam-macam perkara yang diperkatakan termasuk soal peribadi, gaya hidup anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini sehingga membabitkan maruah diri dan keluarga.

Mengenangkan semula peristiwa itu secara tak langsung menimbulkan garis kekesalan di wajah Nera, 20.

"Nera rasa semua perkara ini berpunca daripada kekeliruan orang ramai, sebab mungkin mereka ingat Nera orang Melayu. Semua itu perkara kecil yang kemudiannya diperbesarkan. Perbuatan orang bacul, mungkin punya niat tersendiri nak kenakan Nera.

"Apa pun, Nera sedih dengar cerita tak betul, rasa nak menangis. Kalaulah Nera ada kuasa nak perbaiki semuanya, Nera nak minta penyebar gambar itu siasat dahulu latar belakang Nera.

"Nera pakai bikini atau baju yang hanya tutup bahagian wanita bila keluar berjalan-jalan di kompleks membeli-belah atau ke tempat awam tanpa sebab.

"Ia dipakai sebagai salah satu syarat dalam pertandingan ratu cantik. Nera terikat dengan syarat dan terma penganjur," bicara awal Nera membuka permasalahan yang melibatkan namanya itu.

Anak sulung dari dua beradik ini turut menyatakan rasa kurang senang dengan sikap sesetengah masyarakat gemar melabel artis dengan peristiwa hitam dilaluinya sebelum ini. Satu penyakit masyarakat yang boleh merebak dan menjadi virus jika seseorang artis itu berterusan berdiam diri.

"Terus terang, Nera rasa terpukul dengan peristiwa ini. Tak adil bukan kalau kita berterusan melabel artis atas kesalahan lama dia. Nera sedar, masih terlalu hijau dalam industri, tak bermakna Nera tak ada hak bersuara.

"Hina sangatkah peserta pertandingan ratu cantik? Bukannya tidak ada wanita yang masuk pertandingan ratu cantik sebelum menjadi artis. Kenapa mereka masih diterima peminat?," soal Nera.

Adakah kenyataan yang dikeluarkan oleh pemilik nama Queenera Francine Francis Kitingon ini seolah-olah ingin mencabar sensitiviti peminat seni tanah air yang begitu sensitif dengan cara pemakaian artis?

"Nera cuma beri pandangan sendiri kerana masyarakat berhak menilai seseorang artis. Mereka juga ada kuasa menentukan sama ada artis tertentu layak jadi idola atau tidak," ringkas Nera.

Mengulas tentang pengajaran yang diterima, Nera kelihatan begitu yakin sekali.

"Banyak perkara yang Nera belajar, Nera kena jadi lebih peka dengan sensitiviti masyarakat setempat, tak boleh pakai baju menjolok mata dan perlu berhati-hati pada setiap tingkah laku.

"Apa pun, fobia dengan pakaian semakin menebal, termasuk sesi fotografi. Nera kena minta banyak pandangan supaya masyarakat tak kata Nera cakap bohong," katanya jujur.

Tidak jual rupa

MENGAJUKAN persoalan sama ada penuntut tahun akhir Diploma Pengurusan Pelancongan di Kolej Antarabangsa Pelancongan Asia (ATIC), Kota Kinabalu, Sabah ini sandarkan rupa bagi menarik lebih peminat terutama di kalangan lelaki.

Menjadi produk pelaris yang menyenangkan orang lain supaya lebih tertarik kepadanya menyebabkan nada suara Nera bertukar lebih serius.

"Nera geram bila orang cakap Nera 'jual rupa' supaya orang minat sama Nera. Nera tak pernah bongkak bila ada pakej sempurna. Nera tak faham kenapa perlu orang pertikai bab ini.

"Sebab Nera yakin bahawa setiap orang itu ada kelebihan masing-masing. Cantik ada bonus dan bukan bahan pelaris. Perkara itu perlu difahamkan betul-betul," tegasnya.

Pada masa yang sama, Nera mahu kembangkan bakat seninya, buat permulaan ini, Nera mahu fokus pada bidang nyanyian walaupun terbatas lantaran terikat dengan komitmen pengajian yang bakal berakhir pertengahan 2013.

"Nera masih muda, nak cuba macam-macam. Sekarang fokus pada belajar. Lepas habis nanti, baru boleh tumpu bidang nyanyian. Kalau ada peluang, boleh jadi pelakon atau belajar belakang tabir nanti," luncur laju bicara di bibirnya.

Alyah ciplak idea patung?

MENGAJUKAN persoalan mengapa ada yang lebih mengenali lagu single Hatiku Milikmu berbanding penyanyinya, peminat Stacy ini mengatakan mungkin ia pernah menjadi tema lagu dalam drama Cinta Elysa di TV3 pada tahun lalu.

"Saya gembira bila dapat tahu Hatiku Milikmu dapat sambutan, walaupun ramai tak kenal siapa penyanyinya. Buat Nera lebih bersemangat bila nak rakam single kedua pada bulan depan nanti," girangnya.

Mengulas tentang persembahan Alyah menerusi lagu Kisah Hati yang memenangi persembahan terbaik di Anugerah Juara Lagu Ke-26 (AJL26) yang menggunakan konsep patung bergerak seperti klip video Hatiku Milikmu, buat Nera terdiam.

Adakah Nera sedar tentang persamaan tersebut?

"Nera perasan bila menonton persembahan Alyah sewaktu bersama keluarga di Kota Kinabalu. Alyah guna konsep patung bergerak di awal kemunculan persembahan. Jujurnya, Nera tak kisah sebab konsep itu berjaya menarik hati juri dan ternyata menang.

"Semua ini membuatkan Nera bertambah teruja nak ke pentas AJL dan Nera pun nak buat bersungguh-sungguh macam Alyah," katanya yang enggan dikata cemburu lantaran kemenangan Alyah.

Ditanya di mana keikhlasan kenyataan yang dikeluarkan itu? Nera tersenyum sambil berkata: "Betul, tak ada benda nak dicemburukan. Itu rezeki Alyah, dan Nera patut kena usaha lebih untuk jadi macam dia."

"Dicabul" lagu nada dering

Posted:

"Dicabul" lagu nada dering

"Dicabul" lagu nada dering

HARI ini adalah hari terakhir minggu ketiga bulan Februari tahun 2012 sebelum tibanya hari pertama minggu keempat esok. Tiada peristiwa istimewa berlaku pada hari esok, cuma peringatan buat kita semua. Tentang satu perkara yang semakin dilupakan berlaku dalam industri rakaman tanah air.

Satu ajakan yang ditawarkan kepada semua tentang kesedaran agar lebih menyayangi dan menghargai produk fizikal karya penggiat seni tempatan.

Signifikan ini berlaku apabila ramai yang alpa tentang tanggungjawab sejagat bagi menyelamatkan hasil karya pemuzik tempatan.

Penyusutan peratusan "cinta" produk fizikal seperti cakera padat (CD) kerana dipengaruhi dengan laluan alternatif lebih cepat untuk mendapatkan salinan lagu kegemaran iaitu cara digital.

Perkhidmatan nada dering yang disediakan syarikat-syarikat telekomunikasi berdaftar adalah salah satu cara mudah mendapatkan senarai lagu paling popular dan kerap dimainkan di stesen radio.

Nada dering turut dijadikan pengukur utama kesetiaan seseorang peminat terhadap kumpulan muzik yang diminati.

Namun tanpa disedari bahawa cara berkenaan ternyata tidak memberikan sebarang penghayatan kepada naskah pencipta lagu kerana sifat hiburan ketika itu kosong semata-mata.

Mana mungkin kita boleh memahami keindahan isi kandungan lirik pencipta lagu tertentu kepada pemanggil kalau masa diberikan hanya tempoh 30 saat di telefon?

Adakah lagu yang siap disunting sebagai nada dering pemanggil (sama ada dipotong di bahagian korus, awal atau akhir) itu mampu dihayati dalam tempoh berkenaan?

Pemegang master content provider dari syarikat gergasi telekomunikasi ini pula sentiasa mempromosikan 'pustaka lagu' yang sentiasa dikemaskini oleh syarikat label muzik.

Sama ada menerusi poster, di belakang kulit album artis di bawah naungannya, kedai menjual cakera padat (CD) dan macam-macam lagi.

Tanpa kita sedari bahawa penjualan nada dering paling banyak mengaut keuntungan menerusi penjualan lagu secara digital.

Contoh terbaik adalah bintang kelahiran program realiti, Akademi Fantasia ke-5 (AF5), Aizat Amdan yang pernah mencatatkan pencapaian muat turun tertinggi iaitu RM2 juta menerusi lagu Hanya Kau Yang Mampu bermula tahun 2008 sehingga hari ini.

Malah syarikat telekomunikasi turut mendapat tempias atas kerancakan industri lagu tempatan dengan melapangkan dada menaja majlis anugerah muzik tempatan.

Celcom misalnya, pernah menaja dua majlis berprestij iaitu Anugerah Industeri Muzik Ke-18 (AIM 18) dan Anugerah Juara Lagu Ke-26 (AJL 26) pada tahun lalu.

Pada waktu itu, kumpulan Sixth Sense menerima Anugerah Mobile Celcom Terbaik di AIM 18 dengan mencatatkan muat turun terbanyak iaitu RM1.8 juta.

Lagu Sedetik Lebih ciptaan sepenuhnya oleh komposer Edry. Abd. Halim yang dinyanyikan Anuar Zain turut memenangi nada dering pemanggil terbanyak menerusi The Cube.

Sebenarnya, tiada masalah dalam penjualan hasil rakaman harta intelek yang dilakukan pihak syarikat label muzik dengan master content provider?

Sebab perjanjian yang digunakan memang 'halal' di sisi undang-undang.

Terma pembahagian royalti keuntungan antara master content provider dan syarikat label muzik buat setiap satu lagu juga jelas, iaitu antara 40 hingga 50 peratus dibahagi kepada syarikat telekomunikasi.

Peratusan pembahagian itu bergantung kepada perjanjian yang ditentukan dan perkara itu juga termaktub dalam kontrak.

Tiada istilah mengaut keuntungan atas angin, malah ia mampu membanteras masalah cetak rompak nada dering MP3 secara haram yang pernah berleluasa sekitar tahun 2006 dahulu.

Bagaimanapun, sebagai penyokong industri rakaman, adakah wajar kita tunjukkan rasa setia kepada industri tempatan dengan menyokong jualan digital semata-mata, dan meminggirkan jualan fizikal atas pelbagai alasan.

Kononnya, harga CD terlalu mahal dan tidak munasabah tetapi boleh pula mengeluarkan sejumlah wang sehingga puluhan ringgit untuk melanggan nada dering setiap bulan.

Ada juga yang beranggapan jualan digital lebih mudah kerana tidak terikat dengan terma yang berat tetapi kenapa terlalu berkira untuk mendapatkan satu hasil karya yang bagus.

Kalau difikirkan semula, kenapa ada yang sanggup membeli karya lukisan yang harganya beratus ribu sebagai salah satu daripada koleksi berharga?

Perkara ini perlu kita fikirkan kerana ramai yang mula melupakan tentang kepuasan dan keistimewaan dalam bentuk fizikal karya seni seseorang artis itu.

Bagaimana dengan nilai sentimental apabila kita menyimpan karya itu walaupun sudah berzaman lamanya. Di sinilah timbulnya kemanisan buat seorang pemuja seni yang tegar apabila lebih banyak menghargai titik peluh sesuatu hasil karya.

Sementara karya digital yang bersifat sementara itu pasti dilupakan apabila timbul karya lain yang lebih bagus, lebih sedap dan lebih rancak daripada sedia ada.

Masa itu juga, karya digital diumpamakan sebagai kain buruk - digunakan, dimainkan semula apabila ada situasi yang memerlukan. Kalau tidak, diperam sahaja. Untung disimpan, kalau nasib tak baik, terus dipadam!

Oleh itu, marilah sama-sama kita renungkan nasib karya fizikal kita untuk generasi akan datang. Selamat berhujung minggu!