Adsense

Sabtu, 18 Februari 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Ekasari malu, Pierre membantu

Posted: 17 Feb 2012 04:51 AM PST

PASTINYA ramai yang terpaut dengan seraut wajah manis milik pelakon dan pengacara berbakat besar dari seberang, Nurul Ekasari Anwar. Kerana kelembutan dan sifat naif padanya, model komersil yang terjun dalam bidang lakonan ini juga berjaya menawan hati pengarah muda, Pierre Andre untuk bergandingan dengannya dalam filem Chantek.

Bagi Nurul, 24, dia mengakui dirinya paling bertuah kerana diberi kepercayaan oleh Pierre untuk memegang watak utama sebagai Chantek, seorang pembantu rumah warga Indonesia dalam filem itu.

Ternyata, Nurul memang pelakon tepat digandingkan dengan Pierre dalam filem genre komedi romantik itu. Bukan saja serasi, malah, mereka cukup akrab dan mesra bagaikan sepasang kekasih seperti digambarkan dalam filem itu. Namun, benarkah mereka bercinta atau ia sekadar mesra dalam filem?

"Saya memang suka Pierre kerana dia seorang yang bersemangat dan suka kongsi pengalamannya sepanjang berkecimpung dalam bidang seni. Namun, saya tidak mempunyai sebarang perasaan padanya.


"Selain itu, saya juga dapat tahu mengenai pelakon Malaysia seperti Fasha Sandha dan Julia Ziegler melalui Pierre yang menceritakan pengalamannya berlakon dengan mereka dalam filem.


"Pada masa sama, saya juga tahu Pierre seorang pengarah ketika dia buat uji bakat mencari pelakon filem Chantek di Jakarta, Indonesia, sebelum ini. Cuma saya tidak tahu, Pierre juga seorang pelakon," katanya.

Pelakon yang dilahirkan tanggal 13 Disember 1987 yang cukup mengagumi Dian Sastrowardoyo dan Nicholas Saputra ini mengakui berasa gementar ketika melakonkan babak romantik dengan Pierre dalam Chantek itu.

"Pada mulanya saya gementar tapi Pierre berjaya mengurangkan perasaan itu dengan mengajar saya untuk menjiwai babak romantik dengannya. Pierre juga banyak membantu saya untuk menjayakan babak itu dengan baik. Memang, saya sedikit malu tapi Pierre banyak membantu saya membangunkan karakter dengan banyak bergurau dengan saya di lokasi. Perasaan kita memang cair dibuatnya," katanya.

Bagaimanapun, Nurul mengakui dia memang menolak babak ranjang dalam sinetron dan filem, sejak dulu.

"Setiap kali dapat tawaran berlakon, saya akan minta pandangan dan nasihat mama terlebih dulu. Saya juga tidak kisah nama lambat naik asalkan tidak dikenali kerana babak ranjang dilakonkan dalam filem.

"Saya juga ingin pertaruhkan minat dan bakat dalam bidang lakonan dan bukannya paras rupa," katanya.

Mengulas lanjut babak yang paling mencabar dilakonkan, kata Nurul, dia perlu menukar suaranya menjadi lelaki apabila Chantek terpaksa menyamar kerana tidak ingin mendedahkan identitinya adalah wanita kepada majikannya Ad.

"Ia memang sukar dilakonkan kerana babak Chantek bersuara seperti lelaki membabitkan sebanyak 40 peratus dalam filem ini. Dengan bantuan `proses dubbing,' ia berjaya dilakukan dengan sempurna seperti dikehendaki pengarah.

"Selain itu, saya juga buat kajian mengenai watak pembantu rumah di Indonesia bagi menjiwai watak Chantek dengan baik. Secara kebetulan, sepupu saya juga ada pembantu rumah dan saya juga banyak bertanya mengenai kerja pembantu rumah.

"Maklumlah, saya tidak pandai kemas rumah dan nasib baik tidak banyak babak Chantek buat kerja rumah dipaparkan dalam filem ini," katanya. Filem ini mula menjengah pawagam 16 Februari lalu.

Pemegang ijazah Komunikasi (pengkhususan Penyiaran), Universiti Upiyai ini bermula sebagai model komersil sebelum terbabit dalam bidang pengacaraan dan lakonan selama dua tahun.

Antara lakonannya ialah telefilem Chewekku Preman Cinta, Ku Gapai Cinta di Bali, Sweet Bitter Sweetheart. Manakala, filem pula ialah Bait Cinta dan Soulquest yang semuanya ditayangkan di Indonesia.

Nurul tidak mudah jatuh cinta

RAMAI yang tidak percaya bila Nurul mendedahkan dirinya masih belum mempunyai kekasih. Malah, namanya juga tidak pernah digosipkan dengan mana-mana artis lelaki di negara seberang.

"Sebenarnya, saya seorang yang tidak mudah jatuh cinta dengan mana-mana lelaki. Kriteria lelaki yang saya cari biarlah orang biasa, bijak dan baik.

"Saya juga tidak berminat untuk menjalinkan hubungan cinta dengan rakan artis di Indonesia kerana rata-rata artis lelaki yang terbabit dalam bidang komersil, sinetron dan filem, mereka dalam kategori playboy ataupun `gay'. Justeru, biarlah saya pilih orang biasa saja untuk dijadikan kekasih," katanya.

Buat masa ini, kata Nurul, fokusnya adalah bekerja keras untuk menyara keluarganya.

"Saya adalah anak sulung dalam keluarga dan berasal dari keluarga yang sederhana saja. Selepas setahun terbabit dalam komersil, saya mula berjinak-jinak dalam bidang lakonan kerana ingin mencuba sesuatu yang baru dengan dorongan mama dan aktif sampailah sekarang.

"Kalau artis lain berlakon untuk mengejar glamor dan suka-suka, saya pula sebaliknya bersandarkan minat dan ingin mencari wang. Soal glamor, saya letak nombor dua kerana percaya ia akan datang dengan sendirinya," katanya.

Di sebalik perwatakan lemah lembutnya rupa-rupanya, Nurul mengidamkan untuk berlakon dalam filem aksi pada masa depan.

"Saya seorang yang ringkas dan suka memakai jeans dan kemeja T kalau di luar lokasi penggambaran. Saya juga tidak suka bersolek ataupun memakai kasut tumit tinggi bila keluar rumah.

"Saya harap ada pengarah yang akan beri kepercayaan pada saya bawa watak sedemikian nanti," katanya.

Trivia Nurul

  • Aktor Hollywood yang ingin dating
    Taylor Lautner
  • Aset yang mahu dibeli
    Kereta
  • Haiwan yang paling ditakuti
    Ular
  • Kali terakhir anda menangis
    Menonton filem Korea
  • Anda tidak boleh hidup tanpa...
    Ibu bapa
  • Destinasi percutian impian
    Eropah
  • Kalau tak jadi pelakon anda akan jadi...
    Orang belakang tabir


  • Himpunan karya seni Sudirman

    Posted: 17 Feb 2012 04:40 AM PST

    APABILA bercakap mengenai simfoni orkestra, ramai hanya memikirkan hanya muzik Beethoven atau Mozart sering mendapat tempat. Bagaimana pula jika lagu artis legenda negara, Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad dipersembahkan oleh 40 pemuzik Orkestra Radio Televisyen Malaysia (ORTM) dan seramai sembilan artis popular tanah air?

    Jawapan terbaik adalah menonton Siri Orkestra RTM 2012 mempersembahkan Konsert Sudirman Abadi Di Hati pada 24 Februari (Jumaat) bermula jam 9 malam. Konsert ini akan diadakan di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur.

    Bercakap pada sidang media pelancaran konsert itu, Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran Strategik RTM, Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata, konsert Sudirman ini adalah pencetus 'trendsetter' melalui usaha berterusan dilakukan oleh RTM.

    "Program dirangka memberi gambaran jelas hala tuju arah seni muzik. Apapun, semuanya bukan mudah tanpa komitmen jitu daripada pelbagai pihak dalam memartabatkan industri seni kreatif ke tahap lebih tinggi," katanya pada majlis pelancaran Siri Orkestra RTM 2012 di Auditorium P Ramlee, Angkasapuri, Khamis lalu.


    Hadir sama adalah Pengarah Perkhidmatan Muzik, Datuk Mokhzani Ismail dan Penerbit Perkhidmatan Muzik, Ali Shaib.


    Konsert ini mengenengahkan karya-karya seni Penghibur Nombor 1 Asia dan Juara Bintang RTM 1976 ini secara kronologi. Ia bermula daripada album-album yang pernah dihasilkan bermula Teriring Doa (1977), Aku Penghiburmu (1978), Perasaan (1979), Anak Muda (1980) hinggalah ke album terakhir.

    Artis yang bakal menjayakan persembahan terbabit adalah Adibah Noor, Jaclyn Victor, Dayang Nurfaizah, Alyah, Bob, Shila Amzah, Tomok, Black, Aril dan Rey Bintang RTM.

    Mengenai harapan membawa Orkestra RTM ke tahap lebih tinggi, Mokhzani berkata: "Impian utama adalah menarik masyarakat meminati orkestra. Kita masih belum boleh bercakap konsert pemuzik instrumental seperti Kenny G atau Yanni yang boleh menjayakan konsert instrumen mereka sendiri.

    "Paling penting orkestra mengenengahkan kelainan menerusi penggubah hebat kita sendiri. Konsert Sudirman ini berbeza kerana banyak lagu jarang didengar akan disampaikan pada hari berkenaan," katanya.