Adsense

Sabtu, 18 Februari 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Negatif bertukar positif

Posted:

Negatif bertukar positif

Negatif bertukar positif

SEJAK tahun lalu, nama Steven Tyler kembali berada dalam radar hiburan dunia. Semuanya gara-gara kemunculannya sebagai juri program realiti paling terkenal, American Idol 10 (AI). Belum mahu berhenti daripada menjadi pengkritik, bersama rakan jurinya, Jennifer Lopez dan Randy Jackson, Tyler kembali duduk di kerusi American Idol musim ke-11.

Walaupun sebelum musim ke-11 bermula ada terdengar berita bahawa Jeniffer Lopez tidak akan menyambung kontraknya bersama AI, namun hal itu berlalu apabila dia kembali duduk beriringan dengan Randy dan Tyler untuk mencungkil satu lagi bajat baharu daripada AI.

Kembaranya daripada seorang vokalis band terkenal yang cukup fenomena sejak ia ditubuhkan sekitar tahun 70-an, Aerosmith kepada menjadi seorang pengkritik telah mendapat respons yang pelbagai. Banyak sisi baharu lelaki berusia 64 tahun itu dibongkar - ironi, dia yang membongkar sisi hidupnya satu persatu, termasuk tentang ketagihan dadah yang menghancurkan kariernya kurang 10 tahun Aerosmith sukses.

Tanpa berselindung, Tyler juga memberitahu, dia yang memaksa pengurus baharunya mendapatkan dia kerja selepas masalah dengan anggota Aerosmith masih belum menemui kata putus. Padahal dari sisi anggota Aerosmith pula mengaku yang mereka akhirnya terpaksa mengugut dia dengan pengumuman bahawa Tyler bukan lagi vokalis mereka selepas gagal dihubungi. Dia juga membuat banyak masalah kepada band tersebut sepanjang mereka membuat konsert jelajah dunia pada tahun 2009.


LEGENDA. Seorang vokalis band rock Aerosmith, Steven Tyler kini membina reputasi baharu yang lebih bersih dengan menjadi pengkritik American Idol untuk dua musim iaitu musim ke-10 dan ke-11 yang kini sedang hangat ditayangkan di 8TV pada setiap Jumaat dan Sabtu.


"Saya paksa dia cari kerja untuk saya. Saya suruh dia dapatkan saya posisi pengkritik di American Idol musim baharu. Pembabitan saya dengan AI bukan untuk membuktikan apa-apa kepada Aerosmith, tapi saya cuma nak mereka tahu bahawa mereka juga susah kalau tanpa saya kerana saya boleh berdiri sendiri jika saya mahu," ujar Tyler mengenai pembabitannya sebagai pengkritik program tersebut sekitar penghujung tahun 2009 yang lalu.

Di dalam AI, pemilik autobiografi Does the Noise in My Head Bother You? Around itu terkesan menjadi seorang pengkritik yang penuh humor. Kritikan yang keluar daripada mulutnya jarang kedengaran kasar atau sakarstik, sebaliknya ia bersifat toleransi.

Akui pemilik nama sebenar Steven Victor Tallarico itu, dia sengaja berbuat demikian. "Saya ada pilihan untuk berkata 'suara awak tak sedap. tolong cermin diri bila pulang nanti.' Tapi saya memilih untuk tidak memberi kritikan yang kasar kerana saya mempunyai anak.

"Bagaimana perasaan seorang ibu atau bapa yang mendengar anaknya dikritik teruk dan dia barangkali tidak akan pernah menyanyi lagi untuk diri sendiri misalnya kerana menerima kritikan buruk daripada saya. Sebab itu saya memilih untuk bercakap dengan bahasa yang lebih baik," katanya yang memilih untuk lebih kelihatan diplomatik.

Hal itu juga didorong kerana dia sendiri pernah menjadi bapa yang tidak prihatin terhadap dua anaknya, Liv Tyler dan Mia Tyler kerana kesibukan bersama Aerosmith selain pengaruh dadah yang selalu membuat dia berada di luar paras normal.

Ditanya tentang persepsinya mengenai para peserta yang hadir ke sesi uji bakat, Tyler memberitahu, sepanjang dua siri tempoh menilai bakat baharu, terdapat banyak anak muda yang mempunyai bakat menyanyi namun tidak dilengkapi karisma yang akan membuat mereka bertahan dengan sepak terajang dunia hiburan.

Dia juga memberitahu: "Ini bukan soal mencari siapa yang menyanyi lebih baik. Itu yang saya beritahu penerbit kerana di luar sana, banyak orang yang boleh menyanyi dengan lebih baik. Sebaliknya seseorang itu perlu ada karakter. Macam orang menilai saya atau J.LO atau Randy. Mereka menilai kami secara pakej, dan itu yang kami cari dalam diri peserta AI."

Dadah

Tyler kemudian memutar memorinya ke belakang. Beberapa bulan sebelum menyertai AI, pelantun lagu-lagu hit seperti Dream On, Walk This Way dan I Don't Want To Miss A Thing itu, kehidupannya masih bercelaru dengan keluar masuk pusat pemulihan untuk membebaskan diri daripada dadah. Gagal berkali-kali untuk bebas daripada najis tersebut, sebenarnya ia terletak kepada kemahuan dirinya sendiri.

Beritahu Tyler, dia telah terjebak dengan dadah sejak awal lagi bersama Aerosmith. Ujarnya ia (dadah) adalah perkara normal yang berlaku di dalam hidup semua orang pada era 70-an.


AEROSMITH kini masih tergantung sama ada untuk berbaik semula atau bubar.


"Lebih-lebih lagi apabila anda berada di dalam band seperti Aerosmith. Dengan album yang terjual berjuta unit, lagu yang membuat banyak orang kecanduan, kehidupan yang dipuja semua orang, apa lagi yang lebih hebat daripada tidak menggunakan dadah?"

"Sementelah pada zaman kami, tiada MTV misalnya dan kami perlu selalu berkelana untuk memperdengarkan muzik kami kepada semua orang dan kami bermain di tiga persembahan dalam masa sehari, saya memerlukan sesuatu. Sesuatu itu adalah dadah," katanya yang mengambil dadah jenis kokain tanpa berselindung.

Namun hari ini, seperti mana dia memberi imej yang lebih sopan di kaca televisyen menerusi AI biar masih 'liar' dengan imej rock n roll yang telah sebati dengan dirinya, Tyler mahu mengembalikan kehidupannya sebaik mungkin.

"Sebenarnya, saya patut bersyukur dengan keadaan hidup saya sekarang dan penglibatan saya bersama AI. Saya terasa menjadi seorang yang lebih baik dan terasa sedang berada di antara kelompok manusia terbaik di dunia," katanya penuh bahagia.

Status hubungan Natasha, Carleed

Posted:

Status hubungan Natasha, Carleed

Status hubungan Natasha, Carleed

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN
amri.hassan@kosmo.com.my


NATASHA HUDSON enggan menjawab status hubungannya dengan Carleed Khaza. Carleed pula memberitahu hubungan baiknya dengan Natasha adalah atas dasar profesionalisme dan enggan memberi sebarang komen.


JARANG sekali kisah peribadi Natasha Liana Hudson atau lebih dikenali dengan panggilan Natasha Hudson, 30, dibongkar dan didedahkan kepada khalayak.

Setelah dua kali rumah tangganya roboh, kali pertama dengan seorang usahawan, Mohd. Faiz Mohd. Raih yang hanya mampu bertahan empat bulan dan keduanya, Datuk Shahrin Zahari yang bertahan cuma dua tahun, kini kisah baharu kembali melingkari perjalanan aktres jelita itu.

Kosmo! dikhabarkan bahawa ibu kepada seorang cahaya mata, Neesa Helena itu kini sedang mesra dengan seorang komposer bernama Carleed Khaza.

Benar atau tidak cerita yang dicanangkan itu, jawapan diberikan sendiri oleh kedua-dua individu berkenaan yang ditemui ketika sidang akhbar pelancaran album kompilasi di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, hari Khamis lalu.

Kosmo!: Natasha, ada gosip mengatakan bahawa anda dan Carleed Khaza kini lebih daripada seorang sahabat, benarkah?

NATASHA: Lebih elok bertanyakan individu yang dimaksudkan itu. (ketawa)

Sejauh mana anda mengenali Carleed?

Kami berkawan sejak zaman persekolahan. Selain Carleed, saya juga rapat dengan Joe Flizzow.

Bagaimana hubungan antara Neesa (anak Natasha) dan Carleed sekarang?

Setakat ini apa yang saya lihat mereka berdua sangat rapat.

Natasha sedia berkahwin buat kali ketiga memandangkan sudah dua kali mahligai bahagia anda runtuh?

Kenapa tidak? Tapi saya tak boleh merancang. Segalanya ketentuan Allah.

Carleed, bagaimana pula anda selaku individu yang digosipkan bersama Natasha melihat gosip ini?

Tiada komen!

Jadi, bagaimana kalian berdua menyifatkan hubungan yang terjalin sekarang?

Hubungan antara kami adalah hubungan yang profesional dan cuma atas dasar kerja. Saya tak nak bagi publisiti sangat. Kami mahu cuba kekalkan tahap profesionalisme ini di mata orang luar. Saya tak selesa dengan gangguan orang luar.

Tahap profesionalisme bagaimana yang anda maksudkan?

Saya senang dengan Tasha sebab kami banyak bekerja bersama-sama. Dia menghormati saya dan banyak memberikan inspirasi. Begitu juga saya yang banyak memberikan sokongan kepada dia.

Anda bersedia untuk sebuah perkahwinan? Mungkin juga perkahwinan itu bersama seorang artis mahu pun selebriti?

Saya tak nak cerita pasal perkahwinan atau perkara seumpama itu.

Selain gosip berkenaan hubungan anda berdua, ada juga khabar angin mengatakan bahawa anda bakal bekerjasama dalam album pertama Natasha?

Saya selaku komposer dan penerbit untuk album pertama Natasha. Kami bekerja di bawah satu bumbung syarikat milik Natasha, Dream Cloud Production, jadi kami mempunyai strategi sendiri untuk promosi album dia.

Boleh ceritakan serba sedikit mengenai album yang bakal dikeluarkan oleh Natasha?

Kebanyakan lagu untuk album itu sudah dirakamkan dan kini dalam proses menyiapkan video klip. Ada lima atau enam lagu di dalamnya dan kemungkinan besar akan dipasarkan pada tahun ini juga. Genrenya adalah campuran R&B, Hip Hop, Balada dan Urban.

Berbalik kepada Natasha, kenapa mahu menceburi bidang nyanyian?

Pertama kali menyanyi untuk filem Tipu Kanan Tipu Kiri, saya merasakan sudah sampai masanya untuk mengembangkan kerjaya saya sebagai seorang selebriti. Menyanyi sudah ada minat sejak kecil, saya pun pernah belajar teknik-teknik menyanyi jadi kenapa tidak mencuba.

Menerusi album itu, Natasha dikatakan bakal berduet dengan Adi Putra? Kenapa memilih dia?

Itu masih dalam peringkat perbincangan. Mungkin satu atau dua buah lagu. Mula-mulanya kami sekadar berbual kosong sebab kami pun rapat dengan Adi, mungkin saya boleh sifatkan ia secara kebetulan.

Selain terlibat dengan bidang nyanyian, apa perkembangan terkini dunia lakonan?

Saya baru habis penggambaran di Pulau Pangkor, Perak untuk drama bersiri lapan episod Pulau arahan Esma Danial. Turut sama membintangi drama ini, Sharifah Amani, Amyza Adnan, Bront Palarae dan ramai lagi. Drama ini akan disiarkan pada 22 Februari nanti di TV9.

Lawak Ke Der cipta rekod

Posted:

Lawak Ke Der cipta rekod

Lawak Ke Der cipta rekod

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my


GANDINGAN mantap pelawak-pelawak baharu dan lama telah berjaya memberi gelombang baharu terhadap hiburan di pentas Istana Budaya.


SEBELUM ini program-program yang berbentuk komedi dengan menampilkan pelawak-pelawak terkenal tanah air belum pernah lagi dipersembahkan di sebuah tempat berprestij seperti di Istana Budaya.

Bagaimanapun, pada tahun ini Istana Budaya telah mencipta sejarah tersendiri apabila telah berjaya mementaskan sebuah persembahan stand-up comedy berjudul Lawak Ke Der selama enam hari bermula 3 Februari lalu.

Persembahan anjuran Istana Budaya dan NRG Enterprise Sdn. Bhd. telah menampilkan barisan pelawak yang lahir menerusi rancangan Maharaja Lawak Mega (MLM) serta Maharaja Lawak (ML) seperti Osbon, Boboi, Jozan, Nabil serta Harith Iskandar.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, pihaknya menganggap persembahan komedi Lawak Ker Der sememangnya mencapai kejayaan biarpun ia baru kali pertama dipentaskan.

"Kalau melihatkan kepada penjualan tiket sepanjang enam hari ia dipentaskan setiap malam, boleh dikatakan semua tiket habis terjual dan membuktikan ia mendapat sambutan hangat daripada orang ramai.

"Bagi pihak kami sendiri ia adalah merupakan satu kejayaan di luar jangkaan dan tidak sangka ia mendapat sambutan yang sangat luar biasa. Ia merupakan satu sejarah telah tercipta sepanjang 12 tahun penubuhan Istana Budaya," ujarnya ketika ditemui pada malam terakhir pementasan Lawak Ke Der.

Menurut Juhari, idea untuk mementaskan sebuah program komedi di Istana Budaya sebenarnya sudah bermula sejak dua tahun lalu apabila Afdlin Shauki datang berjumpa dengannya dan memberikan cadangan tersebut.

Meskipun begitu, pada masa cadangan itu diberikan, dunia komedi tempatan masih belum lagi menjadi satu fenomena seperti sekarang dan pihaknya tidak yakin menerbitkan sebuah pementasan komedi berbayar.

"Saya tidak menafikan bahawa program-program yang berbentuk komedi kini semakin diterima ramai adalah disebabkan impak terhadap rancangan MLM dan ML yang telah diterbitkan oleh Astro.

"Oleh yang demikian, dengan kejayaan yang diraih oleh pementasan komedi berkenaan ia sekali gus dapat mengangkat martabat para pelawak di negara ini untuk setanding dengan program hiburan lain," ujarnya.

Tambah Juhari, berdasarkan kejayaan tersebut sudah tentu ia adalah sebagai permulaan untuk pihak Istana Budaya lebih banyak mementaskan program yang berbentuk komedi pada masa akan datang.

Ikut peraturan

Sepanjang enam hari dipentaskan di Istana Budaya, secara keseluruhannya pelawak yang tampil di Lawak Ker Der telah membuat persembahan yang sangat mencuit hati dan menghiburkan para penonton yang hadir.

Persembahan yang paling menjadi tumpuan pastinya daripada kumpulan Boboi dan Jozan, manakala persembahan oleh Harith Iskander dan Osbon juga tidak mengecewakan terutama kepada sebilangan penonton yang sanggup membeli tiket yang mahal untuk menyaksikannya.

Namun begitu, tidak dinafikan masih ada antara pelawak yang menampilkan aksi-aksi komedi yang seolah-olah mempunyai dua maksud serta komedi yang lebih sesuai untuk tontonan golongan dewasa.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Juhari menjelaskan, ia tidak mendatangkan masalah yang besar kerana beliau melihat para pelawak yang membuat persembahan masih tetap mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak Istana Budaya.

"Saya merasakan aksi-aksi yang mereka tampilkan tidaklah terlalu melampau, malah saya turut memuji mereka kerana dapat tampil dengan persembahan yang memukau penonton, biarpun persediaan yang dilakukan kira-kira tiga minggu sahaja.

"Boleh dikatakan itu adalah satu persiapan yang cukup singkat dilakukan oleh mereka. Namun, mereka masih lagi mampu untuk mempersembahkan aksi komedi yang menghiburkan dan digemari ramai," ujarnya.

Jelasnya, selepas Lawak Ke Der yang sudah pun berakhir pada 12 Februari lalu, sebuah lagi pementasan akan diadakan oleh Istana Budaya pada 27 hingga 29 September ini iaitu Bila Hati Digeletek - Pecah Perut terbitan Global Network Entertainment.