Adsense

Rabu, 22 Februari 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Tahun cerah Aeril

Posted:

Tahun cerah Aeril

Tahun cerah Aeril

DIA pernah menubuhkan sebuah kumpulan nyanyian yang dikenali sebagai CanDo Sahaja pada tahun 2008. Namun, terkubur begitu sahaja berikutan penerbitan album mereka dengan sebuah syarikat rakaman dibatalkan.

Gara-gara kumpulan itu juga, sosok kacak dan muda yang boleh dilabelkan sebagai awet muda kerana masih kelihatan seperti pelajar sekolah menengah biarpun sudah mencecah usia 24 tahun itu pernah dihambat kontroversi, ekoran beraksi di ranjang dengan hanya berselimut, khusus untuk gambar promosi kumpulan itu.

Kisah-kisah sensasi itu bagaimanapun berlaku sebelum namanya sudah dikenali ramai seperti hari ini. Biar permulaan kariernya sebagai seorang artis tidak memberangsangkan selain dilanda kontroversi yang memalukan itu, dia kini dilihat lebih matang dan kebal.

Tidak lagi terpalit dengan sebarang kontroversi negatif setakat ini, Aeril Zafrel juga tidak pernah dilanda gosip cinta dengan sebarang individu.

"Saya melihat tanggungjawab yang saya pikul sekarang sebagai satu harapan untuk memajukan diri sendiri," ujarnya.

Sememangnya ada sinar lebih cerah diimpikan Aeril terutama tahun 2012 yang menantikan kemunculan empat buah filem lakonannya masuk panggung.

"Tahun 2012 merupakan tahun positif bagi saya, filem saya banyak keluar tahun ini dan 2012 juga tahun permulaan bagi saya dalam industri," katanya yang sebelum ini terpaksa berundur diri seketika untuk menjaga ibu dan bapanya yang masing-masing menderita penyakit kanser payudara dan kanser leher.

Selepas pemergian kedua-dua orang tuanya, Aeril kembali menyemat tekad untuk bermula dengan lebih deras dalam industri.

Bakal muncul dalam filem Cinta Kura Kura yang akan memulakan tayangan pada 1 Mac ini, Aeril juga turut membintangi tiga buah filem yang dijadualkan untuk tayangan sepanjang tahun ini iaitu 7 Petala Cinta, Budak Pailang dan Hanya Aku Cinta Kau Seorang (HACKS).

"Keluarga saya tiada yang berdarah seni, memandangkan arwah bapa saya suka setiap kali melihat wajah saya muncul di televisyen, dari situ saya berikrar untuk jadi yang terbaik," tuturnya.

Imaginasi Aeril

Fokus dan tidak tamak membolot semua peluang yang hadir, ujar Aeril lagi dia lebih pentingkan komitmen untuk satu-satu perkara dan kaedahnya belajar adalah melalui daripada pengalaman silam.

Selain empat buah filem tersebut, Aeril bakal muncul di layar kaca menerusi naskhah berjudul Pelarian dalam slot Cerekarama TV3 pada hari Sabtu ini, 25 Februari. Bergandingan bersama Noorkhiriah, Sharifah Amani dan Vanidah Imran, telefilem itu mengisahkan kehidupan budak gelandangan.

Bercerita tentang pengalamannya berlakon dalam filem Cinta Kura Kura, nyata ia adalah filem pertama yang menggandingkan Aeril dan heroin drama rantaian Nur Kasih, Tiz Zaqyah.

Bukan sekadar seronok berlakon di samping aktres jelita itu, Aeril memberitahu Cinta Kura-Kura telah memberikan pengalaman menarik buat dirinya.

Sementelah dalam filem yang turut menampilkan lakonan Bob AF2 itu, pemilik nama sebenar Suhairil Suhari itu menghidupkan karakter lurus bendul dan perlu berkomunikasi dengan kura-kura yang diberi nama Nico. Ini bermakna Aeril lebih banyak berimaginasi.


DARI kiri: Tiz Zaqyah, Aeril (duduk) dan Bob pertama kali berganding bersama untuk menjayakan filem Cinta Kura-Kura.


"Memang sukar dan untuk menjadikan lakonan saya tersebut kelihatan selamba dan tidak kekok, saya ada membeli patung kura-kura di rumah untuk berlatih (berlakon) dengannya. Ini untuk membiasakan diri dan saya gunakan ia sebagai latihan di rumah.

"Saya perlukan imaginasi yang tinggi. Jadi saya perlu bayangkan bagaimana kura-kura itu membalas percakapan saya hanya berpandukan dialog yang diberi," ujar Aeril yang mengakui berlakon bersama manusia dan haiwan adalah dua perkara yang sangat berbeza.

Tambah pelakon filem Aku Tak Bodoh itu, ada satu babak yang memerlukan dia menggoncang Nico, namun tanpa diduga kura-kura tersebut mula buang air di atas tubuh Aeril.

"Jadi, selepas kejadian itu, saya hanya memegang sahaja kura-kura itu tanpa menggerakkannya lagi," kenang Aeril tentang pengalaman manis berlakon dalam filem tersebut.

Hajat Latiff tunai umrah tak kesampaian

Posted:

Hajat Latiff tunai umrah tak kesampaian

Hajat Latiff tunai umrah tak kesampaian

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL


TIGA beradik. Allahyarham Latiff Ibrahim bergambar dengan kakaknya, Sophia Ibrahim (kiri) dan adiknya, Datuk Khatijah Ibrahim. Gambar sempena sambutan Aidilfitri ini dirakamkan pada tahun 2009.


PERGINYA seorang lagi seniman yang berbakat besar dalam bidang nyanyian dan lakonan, Latiff Ibrahim memang memberi kesan bukan sahaja terhadap keluarganya malah rakan-rakan artis dan peminat.

Tanggal 20 Februari 2012 merupakan tarikh Abdul Latiff Ibrahim menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 6.10 petang di samping isteri tersayang, kedua-dua anaknya serta sanak saudara yang telah berkumpul di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur kerana malam sebelumnya Latiff telah disahkan kritikal.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Masriah Mahadan, 57, serta dua orang anak iaitu Mohd. Hazriq, 35, dan Haznally, 34. Jenazah beliau kemudian dibawa pulang ke kediamannya sebelum dikebumikan semalam di Tanah Perkuburan Islam AU4, Taman Keramat, Kuala Lumpur.

Latiff yang pernah popular menerusi lagu hit Mengenang Dikau Kembali dan Nora itu telah dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU) sehari sebelum meninggal setelah seminggu berada di wad biasa akibat sakit jantung dan komplikasi penyakit lain seperti kencing manis dan masalah paru-paru berair.

Menurut balu Latiff, Masriah berkata, dia puas menjaga arwah kerana sepanjang suaminya tidak sihat, dia memang sentiasa berada di sisi arwah. Namun, dia sedikit terkilan kerana arwah sememangnya begitu teruja untuk ke tanah suci Mekah menunaikan umrah.

"Kami sepatutnya menunaikan umrah bersama keluarga pada 13 Mac depan namun ia tidak kesampaian. Apabila ditanya, dia memang begitu teruja untuk ke Mekah. Tambahan pula, tiga hari lagi arwah bakal menyambut hari kelahirannya yang ke-60 pada 23 Februari ini.

"Saya tidak sangka kerana semuanya berlalu dengan pantas dan tidak percaya dia sudah tinggalkan saya. Sebelum itu saya masih berharap untuk dia sihat semula kerana dia memang begitu teruja namun, Allah lebih menyayanginya," tutur Masriah yang telah mendirikan rumah tangga bersama Latiff selama 38 tahun.

Antara rakan artis yang dilihat hadir di kediaman penyanyi dan pelakon itu di AU3, Taman Keramat untuk memberikan penghormatan terakhir termasuklah Datuk Sharifah Aini, Hail Amir, Ramli Sarip, Azlina Aziz, Halil Chik dan ramai lagi.

Sementara itu, menurut adik Allahyarham, Datuk Khadijah Ibrahim, Latiff memang dikenali dengan sifat penyayang dan gemar membuat lawak oleh semua kaum keluarga serta sahabat handai yang lain. Tambahnya lagi, dia bukan sahaja kehilangan seorang abang, tetapi juga seorang sahabat karib kerana apabila mengadakan persembahan, mereka pasti akan bersama.

"Selain menyanyi, arwah juga seorang yang kuat makan. Kali terakhir kami makan bersama ialah di Restoran Johnny's, Jusco Keramat, awal bulan ini," imbau dua orang sahabat karibnya pula, Halil Chik dan Azlina Aziz.

Latiff merupakan seorang penyanyi dan pelakon yang telah membintangi lebih 15 buah filem termasuk Hapuslah Air Matamu, Dendang Perantau, Sumber Ilhamku, Bintang Pujaan dan Senja Merah. Filem terakhirnya merupakan filem arahan Profesor A. Razak Mohaideen yang berjudul 4 Madu pada tahun 2010.

Avril didakwa mabuk

Posted:

Avril didakwa mabuk

Avril didakwa mabuk

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL


GAYA agresif Avril mengiringi persembahannya merupakan antara faktor keistimewaan pelantun hit, Sk8er Boi ini.


BAGI peminat fanatik penyanyi rock kelahiran Kanada, Avril Lavigne, Sabtu lepas telah memberikan kepuasan dan rindu mereka terhadap penyanyi tersebut yang telah mengadakan konsert siri jelajahnya pada hari tersebut.

Malaysia yang merupakan lokasi terakhir jelajah The Black Star Tour Concert Live In Malaysia 2012 itu telah diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur yang telah dibanjiri oleh hampir 10 ribu peminat yang menanti kehadirannya di sini sejak kali terakhir mengadakan konsert solo pertama pada tahun 2008.

Konsert anjuran Tune Talk dan dibawakan oleh JS Concert itu merupakan siri konsert jelajah, Avril Lavigne di negara-negara Asia, Amerika dan Eropah dan walaupun cuaca ketika itu hujan renyai, namun peminat Avril tetap tidak berganjak menanti kehadiran penyanyi itu yang mula membuat persembahan pada pukul 9 malam.

Dimulakan dengan muzik putaran DJ yang dijemput bagi menghangatkan dahulu suasana konsert yang telah dipenuhi peminat yang hadir sejak petang untuk memastikan mereka mendapat tempat di barisan hadapan, kemunculan Avril pada pukul 9 malam dengan berpakaian serba hitam di atas pentas membuatkan peminat fanatiknya menjerit seperti terkena histeria. Tanpa berlengah lagi, Avril memulakan persembahan dengan lagu yang berjudul Black Star.

Pada konsert yang berlangsung hanya dalam tempoh satu setengah jam itu, Avril berjaya menyampaikan lebih 17 lagu termasuk lagu popularnya When You're Gone, Complicated, I'm With You dan Sk8er Boi serta lagu-lagu dari album terbaharunya, Goodbye Lullaby iaitu Wish You Were Here, Smile dan Black Star.

Tidak mengecewakan

Tidak menjemput mana-mana artis tempatan untuk membuat persembahan pembukaan, seperti biasa, gimik pasti dilakukan untuk memberi debaran kepada penonton yang masih tidak cukup dengan lagu-lagu yang disampaikan.

Avril muncul semula di atas pentas setelah namanya 'diseru' oleh ribuan peminatnya yang inginkan lebih persembahan dari penyanyi kecil molek yang bersuara nyaring ini.

Sepanjang konsert itu juga, Avril tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepada peminat yang membanjiri stadium tersebut dan meluahkan keterujaannya berada di Malaysia.

Namun, bekas isteri kepada vokalis band Sum 41, Deryck Whibley ini kelihatan sedikit hambar dan kualiti vokalnya juga tidak mencapai tahap yang memuaskan seperti yang dijangkakan.

Bagaimanapun, lagu-lagu popularnya menjadi penyelamat kerana ramai yang turut menyanyi sama ketika dia menyampaikan lagu-lagu tersebut membuatkan konsert kembali ceria.

Kesimpulannya, konsert jelajah Avril, The Black Star Tour Concert Live In Malaysia tidak mengecewakan peminatnya di Malaysia dan kebanyakan mereka pulang dengan senyuman yang tidak lekang dari bibir dan berpuas hati dengan persembahan idola yang ditunggu kehadirannya selama ini walaupun dikatakan mabuk ketika melakukan konsert tersebut.

Konsert diakhiri dengan lagu yang ditunggu peminat fanatiknya iaitu Complicated sebelum Avril terus beransur ke belakang pentas dan ghaib dari pandangan kira-kira 10 ribu pengunjung konsert

tersebut.