Adsense

Rabu, 22 Februari 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Fasa baru Misha Omar

Posted: 21 Feb 2012 03:21 PM PST

Hip

Majlis pertunangan tamatkan spekulasi pernah berkahwin dengan usahawan

SEKIAN lama dihambat spekulasi, termasuk dikatakan mendirikan rumah tangga dengan usahawan bergelar Datuk, Misha Omar meleraikan segala kekeliruan apabila menjalin pertunangan dengan juruterbang, Firos Ezzwan Rossly, petang semalam.

Majlis pertunangan itu berlangsung secara tertutup di kediaman keluarga Misha di Kampung Guchil Bayam, Kota Bharu, jam 1 tengah hari. Misha yang anggun dalam persalinan kurung klasik biru rekaan Syaiful Baharim tidak dapat melindungi perasaan sebaik acara menyarung cincin disempurnakan ibu Firos, Asmah Kenin.

Pada majlis itu, penyanyi berkenaan menerima lima dulang hantaran berbalas lima.
Pasangan sebaya usia 30 tahun itu bagaimanapun belum menetapkan tarikh pernikahan, namun menjelaskan, mereka bakal diijabkabulkan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Misha ketika ditemui mengakui keanehan perasaannya selepas bergelar tunangan kepada Firos, namun bersyukur kerana ia menamatkan segala spekulasi dan tohmahan yang terpaksa ditelannya, lebih setahun lalu.
Penyanyi ini berharap fasa baru dalam kehidupannya menerima keberkatan Ilahi dan memohon semua pihak mendoakan kebahagiaannya.

"Tiada lain saya harapkan kecuali doa semua supaya impian saya untuk bergelar isteri terlaksana. Bukan niat saya mahu menyembunyikan berita pertunangan ini.

"Saya mohon maaf jika ada pihak tersinggung kerana saya cuma memenuhi permintaan kedua-dua keluarga yang mahu pertunangan ini dilakukan secara sederhana dan tertutup," kata Misha.

Acara penuh sederhana itu menyaksikan Misha menerima dua bentuk cincin, merisik dan bertunang, yang disarungkan bakal ibu mentuanya.

Ibu bapa Misha, Zainan Mohd Noor dan Omar Ismail, bersyukur apabila anak keempat daripada tujuh beradik itu selamat bertunang dengan jejaka pilihan, sekali gus melenyapkan pelbagai cerita kurang enak selama ini.

Pasangan itu bertemu lima tahun lalu selepas diperkenalkan teman masing-masing dalam satu majlis. Biarpun pernah menempuh detik perpisahan, jodoh yang tertulis akhirnya menemukan mereka sebagai pasangan bertunang.

"Pertunangan ini juga menjawab segala teka-teki mengenai status saya sebelum ini. Saya berdepan detik paling menyulitkan sepanjang tahun lalu apabila diuji Tuhan dengan pelbagai dugaan.

"Ketika saya bergelut mencari kekuatan, Firos datang menawarkan sesuatu yang saya dambakan daripada seorang lelaki. Selain cinta yang tulus, Firos juga mempamerkan ciri-ciri kepimpinan yang akhirnya membuka pintu hati saya menerimanya sebagai bakal suami.

"Firos rapat dengan anak angkat saya, Muhammad Adam Emir, 6, malah sentiasa di sisi ketika diperlukan. Alhamdulillah, saya dipertemukan dengan lelaki yang begitu memahami," katanya.

Sementara itu, Firos berkata, dia memahami perjalanan hidup Misha yang penuh dugaan, malah mengerti segala kontroversi yang pernah dilalui bakal isterinya itu sebagai lumrah kehidupan selebriti.

Enggan menoleh laluan silam yang pernah ditempuhi penyanyi itu, Firos melihat kehadiran Misha bakal melengkapi hidupnya yang mempunyai kerjaya tidak menentu masa.

"Saya tidak melihat dirinya sebagai Misha Omar kerana sepanjang bersama, dia seperti gadis biasa lain. Dia tidak pernah hipokrit, malah kesederhanaannya buat saya terpaut hati.

"Kami berkenalan ketika saya masih belajar. Tetapi Misha mempamerkan sifat rendah diri dengan menjemput saya di Hentian Putra, Kuala Lumpur, ketika kami sedang cuba mengenali hati masing-masing.

"Lima tahun mengenalinya, saya yakin dia ialah wanita terbaik yang layak mendampingi saya. Percintaan kami juga tidak sentiasa indah, namun alhamdulillah, jodoh kami kuat," kata Firos.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

melepas

alamakkk, melepas betaaa

sheila yusof

alhamdulillah, syukur akhirnya misha mendapat jodohnya. mudah2an kekal dan bahagia hingga ke jinjang pelamin dan akhir hayat. amin...

Ziana hashim

TAHNIAH MISHA SEMOGA HUBUNGAN KALIAN KEKAL DAN BAHAGIA DUNIA AKHIRAT

Besmah

THANIAH..SEMOGA SAMPAI PERJODOHAN DI JINJANG PELAMIN HINGGA KEANAK CUCU..AMIN..AMIN..AMIN.

onn

TAHNIAH, MISHA SEMOGA ANDA DIPANJANGKAN UMUR HINGGA KE ANAK CUCU

Noor Aini Bt Sulaiman

TAHNIAH, MISHA SEMOGA ANDA BERTEMU JODOH DENGAN SI DIA YANG SANGAT SAYANGKAN ANDA


Yahya Sulong koma terjatuh di bilik air

Posted: 21 Feb 2012 03:13 PM PST

Hip

Datuk Yahya Sulong

Datuk Yahya Sulong

PELAKON dan pelawak veteran, Datuk Yahya Sulong, 85, atau mesra dengan panggilan Pak Ya kini berada dalam keadaan koma akibat terjatuh di bilik air di kediamannya di Bandar Baru Sentul, petang kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang selepas isterinya, Datin Alisah Ali, 65, mengesyaki sesuatu tidak kena apabila panggilan kepada suaminya yang sudah lama memasuki bilik air tidak bersahut.

Alisah yang juga kurang sihat meminta bantuan jirannya, Maimunah Ahmad, 51, sebaik saja menemui suaminya yang terbaring tidak sedarkan diri. Daripada jirannya difahamkan, sejak jam 11 malam hari kejadian hingga petang semalam, Pak Ya masih tidak sedarkan diri dan kini ditempatkan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Ampang.

"Pada mulanya Pak Ya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan ambulans, tetapi kini dia ditempatkan di Hospital Ampang. Ketika kejadian, anaknya baru saja mahu keluar bekerja.

"Kebetulan ketika itu saya di luar rumah dan mendapati Pak Ya tidak sedarkan diri. Sebelum ini, saya kerap menolong menghantarnya berjumpa doktor malah tiga hari lepas saya baru membawanya ke klinik.

"Sehingga lawatan saya malam tadi, keadaannya masih tidak berubah dan kami meminta jasa baik orang ramai untuk mendoakan semoga dia cepat sembuh," katanya ketika dihubungi.
Wakil Berita Harian yang melawatnya di hospital dimaklumkan, bapa kepada 11 cahaya mata itu semakin uzur selepas menghidapi pelbagai penyakit seperti asma, masalah jantung serta kesukaran bernafas yang membuatkannya terpaksa berulang alik ke hospital.

Sepanjang terbabit dalam dunia seni, aktor veteran ini cukup dikenali dengan keletah lawaknya malah hingga kini sudah membintangi lebih 20 filem termasuk Gila Gila, Putus Sudah Kasih Sayang, Da Di Du, Toyol, Prebet Lapok dan Senario The Movie.