Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Elyana lupakan kontroversiPENYANYI yang seorang ini memang cukup unik dan punya identiti tersendiri. Tentunya ramai yang mengenali Elyana sebagai seorang penyanyi yang gemar berkaki ayam ketika beraksi di pentas. Erneelya Elyana Emrizal memulakan karier nyanyian sejak berusia 14 tahun sekitar tahun 2001, Elyana merupakan antara penyanyi remaja yang cukup popular dan mendapat tempat di hati peminat menerusi beberapa buah lagu seperti Niat dan Tak Tercapai Akalmu. Namun, karier seninya tidak hanya terhad kepada bidang nyanyian apabila turut membuat kemunculan dalam bidang lakonan setelah muncul dalam beberapa buah drama dan filem. Meskipun sudah bergelar seorang isteri kepada Khairul Anuar Hussin dan kini bergelar ibu kepada cahaya mata yang dinamakan Cinta Sumayyah sejak bulan Ogos lalu, ia langsung tidak menghalangnya untuk kembali aktif semula dalam dunia seni. "Tidak semestinya sudah memiliki seorang anak saya perlu mengehadkan pembabitan saya dalam bidang seni. Kini sudah tiba masanya untuk saya kembali aktif semula menyanyi dan berlakon. "Lagipun anak saya sekarang sudah mencecah usia lima bulan, jadi tiada masalah untuk saya meninggalkannya buat seketika. Suami juga tidak pernah menghalang kalau saya ingin meneruskan kerjaya dalam bidang seni," ujarnya ketika ditemui semasa penggambaran drama bersiri Menantu 3 Rasa baru-baru ini. Menariknya, biarpun dia dan suami mempunyai kerjaya masing-masing, Elyana memberitahu mereka telah mengambil keputusan untuk tidak menghantar Cinta Sumayyah ke rumah pengasuh. Jelasnya, keputusan yang dibuat itu bukanlah disebabkan terpengaruh dengan kisah-kisah kejadian di rumah pengasuh yang kerap tersebar di media, sebaliknya dia lebih gemar membesarkan anaknya sendiri.
"Sebagai seorang pemilik sebuah restoran Jepun di Bangsar, suami saya tidak mempunyai waktu kerja yang fleksibel. Jadi, kalau saya ada membuat persembahan atau penggambaran dia yang akan menjaga anak kami. "Sekiranya saya dan suami mempunyai sebarang urusan atau kerja pada masa yang serentak, saya hanya perlu menghantar anak untuk dijaga oleh ibu yang tinggal berdekatan dengan rumah kami," ujarnya yang masih menetap di Shah Alam, Selangor. Ditanya mengenai perjalanan karier seninya, Elyana meluahkan dia memang mempunyai keinginan untuk melahirkan sebuah album baharu setelah kali terakhir melakukannya pada tahun 2007 menerusi album berjudul Jadi Diriku. "Buat masa ini semua lagu untuk rakaman album baharu sudah pun ada, cuma saya masih belum berkesempatan untuk membuat rakaman di studio memandangkan baru sahaja lepas melahirkan anak. "Untuk album baharu ini, saya juga masih lagi mengekalkan elemen Pop Rock seperti sebelumnya dan saya memang sangat berharap agar ia dapat disiapkan dalam tahun ini," ujar nya yang sudah bernaung di bawah syarikat rakaman FMC sejak berusia 15 tahun. Bukan anak emas Bercerita mengenai kontroversi yang pernah melanda dirinya apabila tidak hadir pada majlis pelancaran single baharu, Elyana seperti cuba untuk tidak mengulas lanjut mengenainya. Menurut Elyana, dia mahu melupakan segala yang telah berlaku sebelum ini memandangkan perkara tersebut sudah lama berlalu dan mengakui kesilapannya kerana tidak hadir pada acara berkenaan. "Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak terhadap masalah yang timbul dahulu kerana saya menganggap ia adalah berpunca daripada masalah komunikasi. Kalau boleh biarlah isu ini tidak lagi dibangkitkan dan saya percaya semua orang sudah melupakannya. "Segala yang terjadi itu saya anggap sebagai satu pengajaran berguna buat diri saya dalam bidang nyanyian dan bertekad kejadian yang sebegitu tidak akan berulang lagi selepas ini," ujarnya. Pada masa yang sama, penyanyi berkenaan turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menganggap bahawa dia adalah merupakan anak emas kepada syarikat rakaman di bawah naungannya iaitu FMC. "Selepas kejadian yang berlaku itu memang ramai yang membuat tanggapan sendiri sehingga melabelkan saya sebegitu. Biarlah apa orang hendak kata, tetapi sehingga kini saya memang selesa bekerjasama dengan FMC Music. ELYANA terbuka untuk menerima tawaran berlakon asal ia bersesuaian dengan status dirinya sebagai isteri dan ibu kepada seorang anak. "Sudah hampir 12 tahun kami bekerjasama serta melahirkan empat buah album setakat ini. Malah, saya sebenarnya rasa cukup beruntung kerana memiliki seorang bos yang baik dan mampu memenuhi kehendak saya sebagai penyanyi," ujarnya. lagi Dua watak Setelah beberapa bulan berehat daripada sebarang aktiviti seni, Elyana telah kembali bergiat aktif semula dalam dunia lakonan dengan membintangi drama bersiri berjudul Menantu 3 Rasa. Sudah memulakan penggambaran sejak bulan Januari lalu di beberapa buah lokasi seperti Shah Alam dan Hulu Langat, dia berhadapan dengan tugas yang mencabar apabila membawakan dua watak dalam drama berkenaan. "Menerusi drama ini saya membawakan dua watak iaitu sebagai Anis dan Nisa. Saya merasakan ia memang cukup mencabar kerana kedua-dua watak tersebut memiliki karakter yang berlainan. "Anis merupakan gadis yang berasal dari kampung, manakala Nisa pula seorang model yang agak urban. Jadi, semasa menjalani penggambaran saya perlu sering bertukar karakter setiap masa agar lakonan yang ditampilkan lebih baik," jelasnya mengenai watak yang dibawakannya itu. Menurut pelakon yang pernah popular menerusi drama bersiri Renjis dan Dunia Baru itu lagi, kini dia juga sedang menanti tawaran untuk kembali muncul di layar perak semula. "Walaupun sekarang ini saya sudah memiliki seorang cahaya mata, saya akan tetap bersedia untuk menerima apa sahaja tawaran berlakon filem asalkan mendapat watak atau cerita yang bersesuian," ujarnya. | ||
Posted: Rekod rating Tanah KuburOleh RONI HIDAYAT RIDWAN
SEBAGAI salah sebuah saluran yang khusus untuk rancangan yang berbentuk keislaman, Astro Oasis menerusi saluran 106 sememangnya banyak menyiarkan pelbagai rancangan yang menarik untuk tatapan penonton. Salah satu rancangan yang telah berjaya menambat hati para penonton adalah drama bersiri Tanah Kubur yang memaparkan kisah mengenai pengalaman seorang penggali kubur yang telah disiarkan selama dua musim. Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, sejak mula disiarkan pada tahun lalu ternyata drama berkenaan adalah antara rancangan yang paling banyak mendapat sambutan penonton. "Pihak kami mulanya memang tidak menjangkakan drama berbentuk keagamaan sebegini akan menarik minat penonton, tetapi dengan rating sebanyak 4.5 juta penonton tentunya ia adalah drama yang paling tinggi ditonton di saluran ini. "Menerusi pemerhatian yang dibuat kami mendapati antara golongan yang menjadi penonton setia drama Tanah Kubur ini terdiri daripada suri rumah, pelajar dan pesara," ujarnya dalam satu acara pertemuan dengan pihak media baru-baru ini. Menurut Izelan, berdasarkan penerimaan penonton Astro Oasis bakal menyiarkan drama berkenaan untuk musim ketiga bermula pada 24 Februari ini pada pukul 7.30 malam sebanyak 13 episod. Ujarnya, untuk musim yang terbaharu ini pengolahan, jalan cerita dan sinematografi akan lebih dipertingkatkan lagi bagi memberi kesan kepada penghayatan penonton untuk setiap mesej yang ingin disampaikan. "Astro Oasis sentiasa komited dalam menyiarkan rancangan-rancangan yang berbentuk dakwah dengan setiap pengajaran yang ingin dikongsi dan disampaikan adalah menerusi cara yang santai untuk menarik minat para penonton," ujarnya. Sementara itu, pengarah Tanah Kubur, Rashid Sibir memberitahu untuk musim terbaharu ini dia masih mengekalkan konsep penceritaan yang sama iaitu setiap episod akan memaparkan kisah-kisah yang berlainan. Jelasnya, setiap kisah yang dipaparkan adalah realiti yang berlaku kepada masyarakat sekarang seperti mempersiakan anak-anak yatim, menipu dalam perniagaan, bermain nombor ekor, kehidupan gigolo dan isu murtad. "Mengenai pengolahan setiap kisah yang dipaparkan, saya juga banyak merujuk kepada hadis-hadis dan buku-buku agama sebagai panduan dan sehingga kini tiada masalah yang timbul terhadap jalan cerita drama ini. "Bagi saya apa yang lebih penting adalah pengajaran yang mahu disampaikan iaitu pembalasan yang diterima oleh seseorang individu yang meninggal dunia terutama ketika jenazah hendak dikebumikan," ujarnya. Sepanjang menjalani penggambaran selama 40 hari di beberapa lokasi seperti Hulu Langat, Kuang dan Paya Jaras, Selangor, Rashid mengakui dia dan kru produksi turut berdepan dengan beberapa halangan. Antaranya, mereka telah dihalang untuk meneruskan penggambaran di sebuah kawasan tanah perkuburan oleh seorang penduduk kampung sehingga menyebabkan mereka terpaksa berpindah ke lokasi lain. "Bagaimanapun, kami tetap mendapat kerjasama yang baik daripada orang ramai semasa menjalani penggambaran. Ada juga yang menyatakan mereka sangat sukakan drama ini terutamanya kisah-kisah yang dipaparkan sangat dekat dengan masyarakat," ujarnya. Melihatkan kepada sambutan hangat terhadap drama berkenaan, Rashid tidak menolak kemungkinan bahawa Tanah Kubur akan diangkat ke layar perak dan perkara tersebut sudah ada dalam perancangannya. Tok Adi Bagi mereka yang sering mengikuti drama bersiri Tanah Kubur selama dua musim pastinya sudah cukup sinonim dengan watak Tok Adi yang dibawakan oleh seorang pelakon hebat iaitu Nasir Bilal Khan. Ditemui pada acara yang sama, Nasir menyatakan sudah lama dia ingin berlakon dalam drama-drama yang berbentuk keagamaan dan gembira kerana drama lakonannya itu mendapat sambutan baik. "Sebelum ini saya pernah juga memegang watak sebagai penggali kubur, namun watak saya dalam drama ini sebagai Tok Adi lebih memberi impak kepada penonton dah tidak kisah membawakan watak sebegini. "Dalam usaha untuk menghayati watak Tok Adi yang saya bawakan ini, saya banyak bergaul dengan penggali kubur sebenar dan mendengar sendiri cerita tentang pengalaman yang dilalui mengenai pekerjaan mereka itu," ujarnya dalam usaha memantapkan watak yang dibawakannya itu. Menurut Nasir, pada masa ini juga dia telah mengambil keputusan untuk lebih selektif untuk memilih sebarang tawaran lakonan yang diterima dan akan menolak sekiranya watak atau cerita yang kurang sesuai buat dirinya. "Saya akui ada menyenarai hitam beberapa orang pengarah sekarang ini kerana agak mustahil untuk kami bekerjasama memandangkan pemikiran yang berbeza serta pendirian saya lebih terarah kepada drama yang berunsur positif dan memberikan pengajaran," jelasnya. | ||
Posted: Kahwin, Iqram cari RM100,000Oleh HARYATI KARIM
SEPANJANG bergelar aktor pelbagai pahit manis anak seni telah dilalui oleh Iqram Dinzly atau nama sebenarnya Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin. Pernah dua kali terlintas di fikirannya untuk meninggalkan dunia seni kerana enggan terus hanyut dalam syurga dunia serta beralih angin ke bidang perniagaan. Bagaimanapun jiwa seninya mahu dia meneruskan kerjaya sebagai aktor. Kini, Iqram menjadi seorang lelaki yang lebih matang, malah, dia turut terfikir untuk berumah tangga namun, akui Iqram dia masih mengumpul duit untuk berkahwin. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Iqram yang ditemui pada majlis pelancaran produk dan pelantikannya sebagai duta produk Ayamazz Roti Impit baru-baru ini. Kosmo!: Tahun lepas Iqram pernah berkata ingin menamatkan zaman bujang pada tahun ini, jadi perkahwinan Iqram akan berlangsung tahun ini? Iqram: Sebenarnya diri saya telah bersedia untuk berkahwin tetapi untuk berkahwin bukan perkara yang mudah. Jika saya ingin berkahwin saya akan pastikan saya mempunyai wang sebanyak RM100,000. Maknanya, Iqram belum bersedia daripada segi kewangan? Saya ada duit tetapi untuk meminang anak dara orang perlu pakai banyak duit, kalau orang biasa perbelanjaan mencecah RM50,000. Saya artis, jika saya kahwin saya merancang untuk buat tiga majlis, satu untuk keluarga di Ipoh, Perak, rakan-rakan dan pihak media di Kuala Lumpur serta sebelah pihak perempuan. Jadi bajet perkahwinan saya adalah RM100,000, selagi saya tidak dapat kumpul RM100,000 saya tidak akan berkahwin. Bukankah perkahwinan artis selalu mendapat tajaan daripada pelbagai pihak? Ya, memang benar tetapi saya juga harus mengeluarkan wang sendiri. Rasa tidak seronok kalau semuanya ditaja sedangkan majlis perkahwinan itu majlis saya. Bercakap mengenai perkahwinan, adakah Iqram sudah mempunyai kekasih hati? Memang saya ingin berkahwin kerana usia pun sudah masuk angka 31 tahun, tetapi saya masih belum bertemu dengan gadis pilihan hati. Berkasih, bersayang itu senang tetapi untuk bercinta itu satu perkara yang sukar. Sebelum ini Iqram pernah berkata, jika tidak bertemu gadis pilihan, Iqram akan melepaskan tanggungjawab itu kepada ibu untuk mencari calon isteri. Benarkah? (Ketawa) Saya rasa lebih baik saya cari sendiri, kalau jadi lelaki kasanova senang sahaja tetapi untuk menjadi lelaki yang mencintai hanya seorang wanita dalam hidupnya, bagi saya susah. Senang cakap saya belum bertemu orang yang sesuai. Wanita yang jadi pilihan hati Iqram? Saya ingin wanita yang memahami saya, kalau boleh bila saya kahwin saya mahu isteri saya berkahwin bukan sahaja dengan saya tetapi keluarga dan rakan-rakan saya. Saya tidak mahulah bila saya berkahwin, saya berubah terlalu drastik seperti tidak boleh keluar jumpa rakan-rakan. Kenapa Iqram pernah terfikir untuk meninggalkan dunia seni sebanyak dua kali? Sepanjang lima tahun saya berkecimpung dalam dunia seni, saya akui yang kadangkala saya hanyut dengan syurga dunia. Pertama kali perasaan untuk berhenti berlakon datang ketika saya menunaikan umrah pada tahun 2006, kali kedua perasaan itu datang apabila saya balik daripada lawatan ke Turki baru-baru ini. Saya terfikir untuk berhenti dan lakukan perniagaan tetapi jiwa saya mahu terus dekat dengan dunia seni. Alhamdulillah, walaupun masih berlakon, sekarang ada perubahan positif mendekatkan diri dengan Allah. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |