Adsense

Isnin, 13 Februari 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Popular cuma bonus

Posted: 12 Feb 2012 06:29 AM PST

BUKAN baru sehari usaha menjadi pelakon, Beto Kusyairy cuba memperkenalkan bakat namun ramai yang belum percaya untuk membawanya ke pentas komersial. Sejak hampir sedekad lalu, wajahnya mula mewarnai beberapa drama dan telefilem tetapi hanya membantu si teraju utama.

Namun benar kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki dan tuah manusia tiada siapa yang menduga. Nama Beto lekas meniti di bibir penonton. Hanya bersandar pada satu watak dalam drama siri Juvana, bakat yang dulunya jauh tersembunyi kini tinggi melangit disanjung.

Peminat mula bertanya dan mencari, teman media sendiri ramai yang memuji.
Lebih indahnya, banyak pelakon dan penerbit sudah mula menghargai bakat dan pesona yang ada dalam dirinya.

Percaya atau tidak, ada segelintir pelakon wanita yang sibuk ingin bergandingan dengannya atas alasan kagum dengan bakatnya. Begitulah besarnya impak yang diberi.

Bagaimanapun tatkala kesemua ini dibentangkan di depannya ketika bertemu dengannya minggu lalu, anak seni berusia 32 tahun ini hanya mengukir senyum.

Jelasnya, itu semua rezeki dan hadiah di atas kerja kerasnya selama ini.

"Apabila ramai sudah nampak dengan apa yang saya tampilkan, itu sudah cukup membuatkan saya gembira kerana laluan saya untuk ke tahap ini tidak semudah dilihat. Mungkin inilah ketentuan yang sudah tertulis untuk saya. Berusaha lebih sedekad dan menimba pengalaman dan ilmu terlebih dulu sebelum merasa apa yang dikatakan populariti seorang anak seni.

"Bagaimanapun tidak sesaat saya merasakan diri ini popular atau menjadi pilihan utama. Mungkin kerana sudah lali dengan hidup bersederhana dan menjadi orang yang tersorok jauh ke belakang membuatkan saya tidak lekas ketawa dengan apa yang ada hari ini. Namun inilah rezeki yang impian yang sudah lama saya inginkan.

"Alhamdulillah penerbit sudah percaya, teman artis mula rasa selesa dan ada pula peminat yang memberi sokongan. Akhirnya saya berjaya memimpin diri ke peringkat ini," katanya.

Bercerita soal popular yang datang melekat dengan bakat lakonannya yang tiba-tiba mendadak diperkata, Beto hanya menyifatkan semua itu satu musim bertuah yang datang untuknya.

Jika salah percaturan atau silap cara menerimanya, ia akan menjadi lebih teruk hingga mampu menjerumuskan namanya tertinggal ke belakang.

"Saya hanya mahu menjadi pelakon. Itulah yang saya impi dan lakukan. Sejak awal pembabitan lagi sekitar 2003 menerusi drama Rel Waktu arahan Zulkifli M.
Osman, apa yang saya inginkan adalah peluang untuk menjadi pelakon dan memperkenalkan bakat yang ada. Lantas walaupun kini ramai sudah melabelkan saya popular, mustahil tiba-tiba wujud pula satu perasaan lain yang akan mendorong sikap dan tindakan saya.

"Soal popular adalah satu bonus buat seseorang selebriti. Ia memang penting dan menentukan sejauh mana seseorang pelakon itu boleh pergi, namun jika tanpa disiplin dan rasa tanggungjawab atas kerjaya itu, ia juga tidak akan membawa ke mana. Lantas saya percaya, apa yang perlu dilakukan hanya kekal dengan apa yang ada.

"Teruskan bekerja, sentiasa bersyukur, ikhlas dan jujur dengan apa yang kita lakukan," katanya tersenyum.

Terbaru, jelas Beto yang tampil bersahaja menerusi drama Runtuhnya Sebuah Dosa dan Jujur Aku Daus sebelum ini, drama siri terkini lakonannya berjudul Pelangi Kasih yang sedang ditayangkan di TV3 adalah sebuah perjalanan cerita yang menarik dengan lakonan ramai pelakon hebat.

Bergandingan dengan Nabila Huda, Puteri Sarah, Johan Ariff Asa'ri dan Watie Sadali, drama 25 episod terbitan Global Station ini membuka ruang buat Beto menghidupkan watak Zafrul yang misteri.

"Pelangi Kasih adalah satu cabaran besar buat saya sebagai pelakon. Lihat secara kasar, perwatakannya memang biasa namun sebaik saya meneliti skripnya dan mendengar kehendak pengarahnya, Mohamed Feroz Kader, ia bukan mudah dan memerlukan fokus yang besar. Saya sendiri merasai tekanan daripada karakter yang dibentuk itu.

"Mana tidaknya, mulanya penonton akan melihat sikap Zafrul yang baik namun lama-kelamaan sikapnya berubah hingga mampu mengundang rasa meluat kerana tindakannya yang pentingkan diri sendiri dan hanya menggunakan perasaan dua wanita, Sofea dan Azlin untuk kepentingan peribadinya.

"Cintanya untuk Sofea namun Zafrul terpaksa mengahwini Azlin kerana duit. Justeru saya percaya penonton akan benci dengan apa yang saya terjemahkan," katanya.

Pastikan anda tidak melepaskan peluang mengikuti kemelut tiga jiwa ini dengan seorang lagi lelaki yang akan muncul, Omar lakonan Johan menerusi Pelangi Kasih setiap Selasa hingga Khamis jam 10.30 malam di TV3.

Beto akan turut tampil di layar perak tahun ini menerusi Bara Jiwa yang kini sudah pun dilabelkan judul baru, Jiwa Taiko, Istanbul Aku Datang arahan Bernard Chauly dan Chow Kit sentuhan pengarah, Brandon Lee.

Beto suami bertuah

MENGENALI Beto secara dekat, jelas graduan jurusan Komunikasi Massa dari Universiti Teknologi Mara ini seorang yang perahsia. Bukan sekadar memegang rahsia diri, malah Beto berat menyusun bicara setiap kali ditanya soal lain yang tersasar dari episod kerjayanya.

Petang itu, Beto ditemani isterinya yang kini menjadi pengurusnya, Tisha Shahar. Kesemua persiapan dilakukan isterinya yang juga seusia dengannya.

Terlanjur bercerita mengenai populariti dan wajahnya yang kini menjadi pilihan ramai penerbit dan pelakon wanita yang ingin menjadi heroinnya, timbul pula idea untuk bertanya bagaimana impak yang ada kepada hubungan mereka suami isteri.

Jelas Beto yang menyifatkan isterinya seorang yang memahami dan penyokong nombor satunya, apa yang menjadi keutamaan dan penting dalam sebuah perkahwinan adalah percaya dan yakin.

"Saya mengenali Tisha sejak di UiTM lagi. Kami bercinta dan mengenali antara satu sama lain hinggalah berkahwin pada 1 Februari empat tahun lalu. Justeru keserasian dan persefahaman yang ada antara kami begitu kuat dan utuh. Tisha sentiasa menyokong saya dan percaya dengan apa yang saya ada.

"Kini walaupun sudah mula dikenali, tiada apa yang berubah. Cuma sebagai seorang suami, rasa tanggungjawab perlu sentiasa ada. Umpamanya kini saya sudah banyak menerima tawaran berlakon dan digandingkan dengan ramai pelakon wanita lain, apa yang perlu dilakukan adalah melihat perwatakan dan skripnya terlebih dulu.

"Saya tidak buat apa saja kerana ada hati yang perlu dijaga. Walaupun isteri faham dan tidak pernah mempersoalkan perkara itu, namun saya sendiri sedar pasti terbit juga rasa cemburu. Lantas saya fikir tidak manis jika saya tidak meletak garis panduan dalam setiap lakonan kerana status suami itu terlalu besar tanggungjawabnya.

"Mujur Tisha menemani saya dan menguruskan jadual lakonan. Saya bertuah. Lihat saja sekarang, saya selesa apabila semua urusan kerja dipikul sepenuhnya isteri," katanya.

Tambah Beto, status selebriti hanya satu kerjaya namun jiwanya masih sama seperti orang lain.

Lantas jelasnya, jika tidak terikat dengan mana-mana lakonan, Beto dan isteri akan meluangkan masa makan dan menonton wayang bersama.

"Kerja sebagai pelakon memang sibuk dan ada kalanya membataskan aktiviti menarik seperti mana pasangan lain. Mana tidaknya, hari cuti atau hujung minggu pun selalunya saya duduk di lokasi penggambaran.

"Justeru jika ada saja kelapangan, saya akan membawa isteri untuk makan malam bersama atau bersiar-siar menenangkan fikiran," katanya.

Walaupun sudah menjengah usia empat tahun perkahwinan, Beto bersama isterinya masih menanti rezeki menimang cahaya mata.

Jelasnya, siapa pula yang tidak mahu anak cuma rezeki itu saja yang belum sampai buat mereka berdua.

"Memang saya ingin menjadi seorang ayah kerana itulah yang kami berdua impikan sejak awal bercinta lagi. Namun hingga kini belum ada rezeki. Bagaimanapun saya dan isteri tidak mengeluh kerana setidak-tidaknya dalam usia perkahwinan yang masih baru seperti ini, dapat juga kami meluangkan masa bersama.

"Insya-Allah jika sampai waktunya nanti, kami berdua menerima dengan hati yang terbuka," katanya.



Diva tiada tara

Posted: 12 Feb 2012 06:08 AM PST

IRONI saat mendengar khabar penyanyi terkenal dunia, Whitney Elizabeth Houston meninggal dunia jam 3.55 petang Sabtu lalu (waktu tempatan) di Hotel Beverly Hilton, Los Angeles. Mana tidaknya, penghibur tersohor itu pernah mencetus fenomena dengan meraih enam anugerah Grammy selain menjadi ikon kepada dunia muzik antarabangsa, menghembus nafas terakhir beberapa jam sebelum Anugerah Grammy ke-54 berlangsung.

Whitney yang popular menerusi lagu I Will Always Love You dilaporkan meninggal dunia dan dijumpai terbaring di dalam bilik hotelnya di tingkat empat di Beverly Hilton selepas pihak polis menerima panggilan daripada salah seorang pembantu peribadinya yang dilihat cuba membantu menyelamatkan penyanyi itu yang sudah terbujur kaku.

Pihak polis dan bantuan kecemasan bergegas ke bilik hotelnya sebaik menerima panggilan dan cuba memberi bantuan namun usaha itu gagal selepas Whitney disahkan meninggal dunia tepat jam 3.55 petang.

Berita kematian yang cukup mengejutkan selepas ikon pop dunia, Michael Jackson pada Jun 2009 ini bagaimanapun tidak dikaitkan dengan sebarang unsur jenayah dan siasatan masih dijalankan kerana punca sebenar kematian belum disahkan.


Anugerah Grammy yang dijadualkan berlangsung semalam (pagi ini waktu Malaysia) bertempat di Staples Center akan menjadi sebuah majlis yang sugul kerana pemergian Whitney juga seorang penyanyi yang sudah sinonim dengan pentas majlis pengiktirafan itu pergi lebih awal sebelum karpet merahnya dibentangkan.


Malah memetik beberapa kenyataan menerusi laman sosial Twitter yang
menghimpunkan lebih 10 juta ucapan takziah daripada peminat dan rakan artis, ada menyebut yang Whitney berada di Beverly Hilton kerana dijadualkan akan membuat persembahan sempena makan malam perhimpunan bintang Grammy yang berlangsung di hotel yang sama malam semalam.

Jelas Mariah Carey yang sebelum ini pernah menyanyi bersama dengan Whitney menerusi lagu When We Believe menyifatkan pemergian idolanya itu adalah satu kehilangan yang tiada gantinya.

"Tiada lagi yang mampu menggantikannya dan perginya Whitney terus membawa segala apa yang dimilikinya. Selepas ini, tidak lagi kita berpeluang mendengar vokal terbaik yang pernah ada di muka bumi ini," katanya menerusi laman sosial Twitternya.

Kronologi perjalanan penyanyi yang pergi di usia 48 tahun ini memang begitu mengerikan apabila terjerat dengan penyalahgunaan dadah lebih 10 tahun selepas berkahwin dengan Bobby Brown pada 18 Julai 1992.

14 tahun perkahwinan bersama Bobby dan dikurniakan seorang cahaya mata, Bobbi Kristina Houston Brown, penyanyi bersuara emas ini bagaimanapun berdepan dengan pelbagai kemelut termasuk pernah dipukul dan berterusan menerima rawatan kerana mengambil dadah yang berlebihan.

Bintang terkenal yang turut pernah membintangi filem The Bodyguard bersama Kevin Costner ini bagaimanapun berjaya melepaskan dirinya daripada cengkaman Bobby yang banyak menghancurkan hidup dan kerjayanya selepas memfailkan perceraian pada September 2006.

Malah dalam satu temubual pada tahun 2002, penyanyi kelahiran Newark, New Jersey ini pernah membuat kenyataan yang dirinya terikat dengan masalah dadah termasuk kokain, marijuana serta alkohol dan sukar untuknya melepaskan diri.

Walaupun punca kematiannya belum disahkan pihak penyiasat, namun spekulasi kononnya Whitney mati disebabkan kandungan dadah berlebihan sudah pun bertiup kencang diperkatakan.

Menurut penerbit album dan televisyen yang juga teman rapat mendiang, Simon Cowell, kehilangan Whitney adalah sesuatu yang cukup mengecewakan.

"Saya amat terkejut dengan berita ini dan apa yang boleh saya katakan, ia adalah sesuatu yang sangat mengecewakan. Bakat dan kehebatan vokalnya adalah sesuatu yang tidak akan ada gantinya. Namun sayang, semua itu sia-sia kerana percaturan dirinya sendiri. Saya sangat kecewa dan terlalu sedih dengan pemergiannya," jelas Cowell.

Tambah Cowell lagi, peminat dan semua rakan artis sudah bersedia menantikan kemunculannya semula untuk mengadakan konsert jelajah namun semua itu tinggal sejarah apabila Whitney lebih awal meninggalkan industri.

"Whitney layak untuk diiktiraf sebagai diva kerana bakatnya yang terlalu besar sebagai penyanyi. Setiap lagu nyanyiannya menjadi emas dan sudah pasti saya tidak akan lagi berpeluang menyaksikan penggantinya," katanya.

Mendiang pernah menghasilkan tujuh album termasuk Whitney Houston pada 1985, Whitney (1987), I'm Your Baby Tonight (1990), My Love Is Your Love (1998), Just Whitney (2002), One Wish: The Holiday Album (2003) dan I Look to You tiga tahun lalu.

Selain The Bodyguard pada 1992, bintang pop dan R&B popular ini pernah membintangi filem Waiting to Exhale pada 1995 dan The Preacher's Wife memegang watak sebagai Julia Biggs setahun kemudian.

Lebih menyedihkan, penyanyi yang berjaya meruntun jiwa peminat seluruh dunia menerusi lagu How Will I Know dan Saving All My Love For You baru saja selesai penggambaran filem terbarunya, Sparkle yang mana mendiang memegang watak utama sebagai Emma. Sparkle dijadualkan akan ditayangkan tahun ini.

Mendiang yang tersenarai sebagai penyanyi wanita paling berjaya dan berpengaruh sebelum ini dengan rekod jualan album melebihi 170 juta unit di seluruh dunia turut dinobatkan sebagai pemilik anugerah paling banyak iaitu sebanyak 415 pengiktirafan termasuk 30 trofi anugerah Billboard dan 22 trofi American Music Awards.