Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Bertudung sebab diri sendiriBERKAT 12 Rabiulawal sempena kelahiran junjungan besar, Nabi Muhammad SAW, Ana Nur Hidayah Mohd. Raffali, 27, membawa arus perubahan besar dalam hidup dan kerjayanya dengan tampil bertudung. Selepas mengejutkan banyak pihak menerusi pengumuman majlis perkahwinannya dengan seorang jejaka kelahiran Selangor, Ahmad Aznaim Abdullah atau dikenali sebagai Naim, 30, gadis yang menggunakan nama pentas Ana Raffali itu sekali lagi membuka mata ramai terutama peminatnya. Melangkah setapak lebih dekat dengan tanggungjawabnya sebagai khalifah di muka bumi, Ana yang ditemui ketika sesi fotografi di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, semalam mengakui dia kini merasakan dirinya lebih dekat dengan Maha Pencipta. "Saya tak melihat pemakaian tudung sebagai satu imej atau trend, ini merupakan pelaksanaan tanggungjawab saya. Sebagai seorang wanita beragama Islam, tidak salah untuk saya mendekatkan diri dengan ajaran agama yang memayungi saya sejak dari kecil," ujarnya yang ditemani buah hatinya yang juga seorang jurufoto bebas itu ketika sesi fotografi tersebut. Jujur, tatkala lensa kamera jurufoto Kosmo! ,Jeffri Iran membidik tepat ke arah dirinya, si gadis itu kelihatan lebih manis dan tenang. Kata Ana, penghijrahan itu merupakan doa daripada peminat dan individu sekeliling yang sentiasa menyokongnya selama ini. "Ramai orang tanya bila nak pakai tudung dan saya jarang memberikan komen mengenai perkara itu. Malah, tidak sesekali saya menangkis atau menolak untuk memakai tudung. "Dan sekarang syukur Alhamdulillah, doa anda semua dimakbulkan Allah. Jodoh pun sudah ketemu dan kini tanggungjawab saya sebagai seorang wanita beragama Islam semakin lengkap," katanya. Perasaan yang menusuk terus ke dalam sanubarinya saat dia memutuskan untuk bertudung dirasakan anugerah teragung baginya. "Alhamdulillah sekarang rasa lebih tenang dan sewaktu hari saya nak pakai tudung itu pun perasaan itu datang dengan sendirinya dan bukan secara mengejut atau tiba-tiba. "Sebelum keluar makan petang bersama Naim, saya terasa mahu memakai tudung dan saya rasa sangat selesa. Ini perkara terbaik yang pernah berlaku dalam hidup saya, ditambah pula dengan keberkatan Maulidur Rasul pada hari itu," ucap Ana setinggi-tinggi pujian kepada yang Maha Esa atas sinar yang ditunjukkan. Bertudung bukan satu perkara asing bagi Ana kerana setiap kali menghadiri majlis keagamaan mahupun kenduri dia bakal mengenakan hijab di kepalanya. Malah, dari zaman belajar lagi menurut Ana, dia sememangnya bertudung. Lisa Jatuh Cinta Menyangkal sama sekali seandainya ada dakwaan yang mengatakan bahawa dia bertudung disebabkan perjalanan hidupnya yang bakal berkahwin tidak lama lagi, ditambah pula dengan faktor latar belakang keluarga Naim yang bersangkut paut dengan Jawi (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan). Bapa Naim sebenarnya pernah bekerja di Jawi. "Saya bertudung bukan disebabkan keluarga Naim tapi sebab diri saya sendiri, saya bersyukur kerana dikurniakan nikmat dan rezeki yang melimpah ruah dari Allah. "Beginilah cara saya membalas kasih sayang-Nya kepada saya iaitu kepercayaan bukan saja dari dalaman tapi juga secara lahiriah. Allah bukakan hati dan mata saya untuk mendapat kesedaran secara halus," luah Ana. Tambahnya, sepanjang jalinan hubungannya dengan Naim dia tidak pernah dipaksa untuk bertudung dan disebabkan itu mereka berasa semakin selesa dan serasi. "Kami pun banyak berbincang mengenai hal agama dan masing-masing memberikan pendapat masing-masing," katanya. Ditanya mengenai persiapan Ana menuju hari bahagianya bersama jejaka yang dipanggilnya Naim, jawab Ana segalanya berada di landasan yang tepat. "Alhamdulillah sedang berjalan lancar, hantaran sikit lagi nak siap, kami sudah buat perjumpaan kedua-dua belah pihak begitu juga dengan pihak masjid dan aturcara majlis pun dah siap," katanya yang bakal menggunakan khidmat Ezuwan Ismail dan Safura Azali sebagai pereka pakaian nikah dan resepsi nanti. Menerusi perbincangan yang sudah dibuat, tambah Ana, sebanyak tujuh dulang hantaran dari pihak lelaki dan sembilan dulang hantaran dari pihak perempuan sudah dipersetujui.
Sementara, mas kahwin dan perkara lainnya masih dalam proses perbincangan. Memikul tanggungjawab bergelar isteri pastinya sedikit sebanyak menghadiahkan jiwa gemuruh buat Ana. Diakui sendiri oleh empunya badan, katanya lagi: "Saya bersyukur sangat-sangat, senang cerita perasaan saya gemuruh dan gembira. Semuanya bercampur-baur." Memilih untuk berkahwin tatkala karier masih berada di puncak sekali gus bersama satu tanggungjawab yang makin berat, Ana menegaskan dia tidak akan sesekali meninggalkan kariernya sebagai anak seni. "Saya akan terus berkarya dan insya-Allah pada bulan Mei nanti saya bakal muncul bersama album kedua saya yang memuatkan 10 buah lagu termasuk sebuah lagu baharu, Lisa Jatuh Cinta. "Material semua dah ada cuma konsepnya masih belum diputuskan. Biar tanggungjawab saya sudah bertambah tapi saya tetap Ana Raffali yang anda semua kenali," tegasnya. Bingkisan lagu buat Naim Sebagai seorang karyawan merangkap penulis lirik dan komposer muda yang berbakat, Ana Raffali tidak ketinggalan mendedikasikan sebuah lagu khas buat sang kekasih, Ahmad Aznaim Abdullah, 30. Lagu Sampai Bila dihasilkannya dua tahun lalu dan katanya tidak sengaja ditujukan khas buat bakal suaminya itu. "Dua tahun lalu kalau tak silap saya cipta lagu itu dan yang menariknya setiap intipati dalam lagu itu menceritakan kisah saya dan dia (Naim)," singkapnya. Secara literal, lagu itu menurut Ana berkisar tentang kisah kekasih yang sudah sekian lama bercinta. Jadi sudah sampai masanya untuk setiap pasangan itu meneroka peringkat lebih tinggi dalam sesebuah ikatan perhubungan untuk menyatukan dua hati. "Lagu ini sebagai pesanan mesra kepada mereka yang sedang bercinta dan merancang masa depan bersama," ucap Ana. | ||
Posted: Kelainan On AirOleh RONI HIDAYAT RIDWAN PROGRAM On Air bakal melatih pengacara untuk menjadi serba boleh. SELAMA ini penonton sering dihiburkan dengan pelbagai rancangan realiti televisyen berbentuk hiburan yang mencari bakat-bakat baharu sama ada dalam bidang nyanyian atau lakonan. Memandangkan sudah terlalu banyak rancangan sebegitu menjadi santapan penonton, maka pihak Astro telah mengambil inisiatif dengan menghasilkan sebuah program untuk mencungkil bakat dalam bidang pengacaraan. Diterbitkah khusus untuk saluran Astro Ria, dikenali dengan judul On Air, ia adalah sebuah rancangan mencari bakat baharu sebagai seorang pengacara yang bukan hanya terhad kepada televisyen, seluruh entiti industri penyiaran termasuk radio. Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata, biarpun rancangan tersebut baru pertama kali diperkenalkan, tetapi ia telah mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai. "Sebelum ini kami sudah mengadakan sesi uji bakat di tiga buah lokasi iaitu di Pulau Pinang, Johor dan Sarawak. Kehadiran orang ramai untuk mencuba nasib menyertai rancangan On Air ini sangat memberangsangkan. "Apa yang menariknya rancangan ini mendapat sambutan yang baik daripada bukan Melayu, terutamanya kaum Cina dan India yang turut tidak ketinggalan untuk sama-sama hadir pada uji bakat yang diadakan," ujarnya ketika ditemui pada sesi uji bakat yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini. Tambah Raqim, peserta yang terpilih hingga ke peringkat akhir akan menjalani kursus melalui silibus yang ditentukan untuk memantapkan lagi pengetahuan dalam pelbagai genre pengacaraan. Jelasnya, dalam tempoh 10 minggu para peserta akan diberi tunjuk ajar, pendedahan serta tugasan tertentu yang berlandaskan format televisyen iaitu berita, majalah dan hiburan. "Biarpun matlamat utama rancangan On Air adalah untuk mencari perintis dalam dunia pengacaraan, namun sasaran kami bukanlah sekadar untuk melahirkan seorang pengacara semata-mata. "Pada masa yang sama, para peserta yang terpilih ini akan turut dilatih dengan kerja-kerja di belakang tabir supaya kami dapat membentuk pengacara yang serba boleh dan tidak terlampau mengejar glamor," ujarnya. Merupakan rancangan yang julung-julung kalinya diadakan oleh Astro, On Air turut menampilkan dua orang ikon dalam bidang pengacaraan iaitu Aznil Nawawi dan Suhaimi Sulaiman. Selain itu, kedua-duanya turut dibantu oleh beberapa orang pengacara terkenal lain sewaktu sesi uji bakat seperti Datin Normala Samsudin, Dang Suria, Sarimah Ibrahim dan Wan Zaleha Radzi. Sudah memulakan siaran pada 1 Februari lalu, ia akan disiarkan pada pukul 9 malam setiap hari Rabu di saluran Astro Ria sebanyak enam episod yang mengimbas kembali rakaman semasa sesi uji bakat sehinggalah pemilihan 14 orang peserta. Bahasa Melayu dan Inggeris Menurut Aznil Nawawi atau lebih sinonim dengan panggilan Pak Nil, antara kriteria utama dalam pemilihan peserta untuk rancangan On Air adalah mereka yang mampu memberikan kelainan dalam cara pengacaraan yang ditampilkan. Jelasnya, sepanjang sesi uji bakat yang berlangsung di keempat-empat buah lokasi, dia melihat kebanyakan yang hadir untuk mencuba nasib terlalu terikut-ikut dengan gaya pengacara sedia ada. "Saya lihat rata-rata yang menjalani sesi uji bakat ini terperangkap kerana mereka cuba meniru cara penyampaian pengacara pujaan mereka dan banyak menghafal sehingga berasa gugup apabila berada di hadapan kami. "Sedangkan apa yang kami mahukan adalah untuk melahirkan seorang pengacara yang mempunyai identiti tersendiri serta gaya penyampaian yang sesuai keadaan sekarang, bukan seperti gaya 15 atau 20 tahun yang lalu," ujarnya. Menurut Aznil, untuk layak bergelar sebagai pengacara, seseorang individu itu perlulah memiliki bakat, berpengetahuan luas, mempunyai personaliti menarik dan mahir dalam dua bahasa. "Sepanjang mengendalikan sesi uji bakat di keempat-empat buah tempat, saya berharap supaya ada yang mampu tampil mengacara dalam bahasa Melayu dan Inggeris kerana ia dilihat satu kelebihan untuk menceburi bidang pengacaraan. "Namun, saya juga berasa sangat kagum kerana ada di antara peserta bukan Melayu yang datang semasa sesi uji bakat mampu bertutur dalam bahasa Melayu dengan lancar dan fasih," ujarnya. | ||
Rumah bintang Glee diserbu polis Glee Posted: Rumah bintang Glee diserbu polis Glee
PARTI anjuran seorang bintang siri TV popular, Glee telah menimbulkan kekecohan sehingga menjadi kes polis. Namun, bintang Glee yang mana satukah yang buat hal kali ini? Pihak polis dilaporkan telah menyerbu kediaman pelakon watak Finn Hudson dalam Glee iaitu aktor Cory Monteith yang terletak di Hollywood Hills pada pukul 4.30 pagi, 5 Februari lalu selepas menerima laporan daripada jiran-jirannya yang tidak tahan dengan bunyi bising melampau sehingga mengganggu ketenteraman mereka. Menurut laporan contactmusic, aktor berusia 29 tahun itu yang tinggal bersama seorang rakannya di rumah tersebut telah bersetuju untuk menamatkan parti anjurannya yang turut dihadiri sebahagian besar rakan-rakan gandingannya dalam Glee. Ujar sumber: "Cory dan rakan serumahnya itu tidak dikenakan sebarang dakwaan polis tetapi mereka diberikan amaran supaya tidak mengulangi perkara tersebut di masa-masa hadapan." Monteith dalam kenyataan akhbarnya sebelum ini pernah mendedahkan tentang sikap liarnya. Katanya: "Saya mula hisap dadah dan minum arak sejak berusia 13 tahun dan pada usia 16 tahun saya berhenti sekolah." Namun menjelang usia 19 tahun, Monteith telah dihantar oleh keluarganya ke pusat pemulihan sebelum kini mampu menjalani kehidupan normal. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |