PETANG itu, sesi fotografi yang diaturkan menemukan dua pengacara muda ini mengundang gelak tawa. Reza Mohamed yang memang terkenal dengan sikap 'gila-gila' tidak lekang mengusik Iesya Toh. Namun, peribadi dan karakter selamba Iesya membuatkan setiap usikan Reza itu menjadi sesuatu yang disukainya.
Kebetulan mereka mengendalikan program baru Pilih Kasih (PK) bersama, lantas keserasian dan persefahaman yang ada antara mereka jelas tergambar.
Reza buat kali ketiga mengacarakan Pentas PK yang menjadi gelanggang utama pertaruhan 16 peserta tahun ini dan Iesya pula diberi kepercayaan sekali lagi mengacarakan sebuah program baru, Zoom PK.
Pertama kali menembusi gawang komersial yang mana memperkenalkan wajahnya sebaris Reza yang lebih popular daripadanya membuatkan Iesya atau nama sebenarnya Nor Iesyatirradiah Sanny Toh melihat rancangan itu sebagai sesuatu yang positif.
Jelas Iesya yang juga pengacara Selamat Pagi Malaysia (SPM) di RTM1 dan Ping! di saluran TVi (Astro 180), kali kedua mengendalikan PK membuatkannya yakin untuk terus mencatur langkah ke fasa yang lebih tinggi.
"Meskipun kurang publisiti dan baru berusia 28 tahun, saya sebenarnya sudah lebih lapan tahun terbabit dalam dunia penyiaran selaku pengacara SPM. Namun, adat dunia seni yang begitu menuntut nilai komersial dan ruang populariti, lantas saya akur akan senario yang mana nama dan wajah saya tidak begitu dikenali.
"Bagaimanapun, saya berharap agar kali kedua mengendalikan PK ini membuka peluang untuk saya menyelinap ke depan. Alhamdulillah rezeki dan ruang itu diberikan kepada saya oleh pihak Suhan Movies dan RTM sendiri.
"Ia sebuah program baru yang akan menjejaki peserta yang terdahulu selain mendekati kesemua tenaga pengajar dan keadaan di balik tabir produksi," katanya.
Tambah Iesya, tugas barunya itu mencerminkan satu sisi lain daripada penampilan kebiasaannya yang mana dirinya lebih luas menterjemah ekspresi dan keperibadian diri.
"Lapan tahun mengendalikan SPM, saya terikat dengan personaliti seorang penyampai program bual bicara yang lebih serius. Namun menerusi Zoom PK, saya berpeluang menayangkan karakter sendiri yang mana lebih bebas dalam menyusun kata, lenggok penyampaian di depan kamera dan paling penting, pemakaian saya jauh lebih 'ranggi'.
"Saya mengharapkan agar peminat dan mereka yang mengikuti perkembangan kerjaya saya sejak di SPM akan terus menyokong kerana ini satu lagi kayu ukur yang melihat sejauh mana kemampuan saya sebagai pengantara," katanya.
Usik Reza atau nama sebenarnya Syaiful Reza Mohamed, penonton dapat melihat kelainan pada Iesya yang mana sebelum ini begitu anggun mengacarakan SPM kini sudah berubah gaya 360 darjah menjadi seorang gadis periang!
Bagaimanapun, pengalaman mengacarakan PK musim pertama lagi bersama Raja Azura dan kemudiannya seorang diri tahun lalu dan juga musim ketiga ini membuatkan Reza juga bekas bintang kelahiran Akademi Fantasia 3 (AF3) ini berasa selesa bersama PK.
Menurutnya yang menyifatkan PK sebagai sebuah program realiti terbaik dalam mencungkil bakat seni lakon, kali ketiga di pentas yang sama akan menguji kemampuannya bagi memberikan sesuatu yang berlainan kepada penonton.
"Alhamdulillah pihak produksi masih lagi meletak kepercayaan kepada saya untuk menggalas tanggungjawab selaku pengacara. Ikhlas cakap, ia memberikan satu pengalaman luar biasa sepanjang mengendalikan program ini kerana ia begitu dekat dengan jiwa saya. mana tidaknya, selain idea dan konsepnya adalah asal daripada Rosyam sendiri, keseluruhan keluarga produksi, tenaga pengajar dan peserta sendiri begitu akrab bagai sebuah keluarga besar.
"Kali ketiga berdiri di pentas yang sama pastinya menguji kredibiliti saya mencari kelainan dalam terus menghiburkan penonton selain mengikat perhatian mereka untuk kekal setia ke akhir rancangan. Itu bukanlah satu tugas yang mudah sebaliknya ia menuntut pengamatan dan komitmen yang tinggi. Lantas saya sudah pun membuat sedikit persediaan bagi mencari formula baru kali ini.
"Insya-Allah saya berharap agar peminat terus setia menyokong saya dan tidak terlepas peluang menyaksikan program ini setiap minggu nanti," katanya.
Pengacara yang keletah dan lucu ini mengambil keputusan meninggalkan konti Era FM yang sudah enam tahun dipegangnya. Jelasnya, dalam perjuangan mengejar sesuatu, kita harus berkorban meninggalkan sesuatu agar fokus dan perhatian itu tidak terusik hingga menjejaskan kualiti.
"Memang saya sedih ketika meninggalkan Era kerana itulah permulaan saya dalam lapangan seni. Tawaran menduduki kerusi di dalam konti Era memang menjadi satu laluan terbaik untuk kekal dalam dunia seni selepas AF. Alhamdulillah, saya bersyukur dengan peluang yang diberi selama enam tahun di situ. Namun, bagi terus mengejar apa yang saya impikan, saya harus membuat keputusan walaupun berat di hati.
"Saya memang memerlukan sepenuh perhatian bagi menumpukan kepada beberapa kerja lain termasuk menguruskan syarikat sendiri, Patung Studio selain mengacarakan beberapa program televisyen lain. Kini, saya punya lebih masa bagi menyusun langkah dalam membina empayar sendiri.
"Patung Studio menyediakan kelas tarian, lakonan dan beberapa kelas lain termasuk vokal dan menyediakan studio juga kian berkembang. Kerjasama dengan sahabat baik, Sufie Abu Bakar dalam membina nama dan pengurusan Patung Studio akhirnya membuahkan hasil. Saya berbangga dan gembira atas usaha dan penat lelah selama ini," katanya lagi.
Trivia Iesya Toh
Berdarah campuran Melayu, Arab, Cina dan Thailand Pernah menjadi Juara Puteri Wilayah Persekutuan, Juara Idola Remaja, Juara Gemersik, Juara Suara Merdeka, Bintang Sensasi Menara Kuala Lumpur, Bintang Radio Malaysia Johor, Juara Pepsi & Media Hiburan, Juara Bintang Emas Johor dan Juara Talentime Berlakon filem Tangkai Jering, I Know What U Did Last Raya dan Potret Mistik
Anak sulung tiga beradik
Popular sebagai penyanyi di Singapura
Berlakon drama TV termasuk Tarian Melayu Terakhir, Simbiosis, Suara HatiTrivia Reza
Lahir di Kampung Dato, Sibu, Sarawak pada 25 Ogos 1978
Mulakan kerjaya pada 2006 sebagai penyampai di Radio Era Sebelum menyertai penyiaran, Reza seorang penari, penyanyi di hotel dan kelab pada tahun 1998 Pada 2006, berlakon filem Malaikat Maut arahan Bade Hj Azmi
Pada 2008, mengacara program Kelab Pop
Kini, menguruskan syarikat sendiri, Patung Studio.