Hip
FENOMENA filem Ombak Rindu memberi impak kepada karier lakonan Maya Karin sehingga meninggalkan kesan dalam dirinya. Menganggap dunia hiburan sebagai lubuk rezekinya, impiannya untuk menceburi bidang nyanyian masih belum kesampaian.
Album sulungnya yang dijanjikan sekian lama sehingga kini masih belum dapat dihasilkan dek kerana masalah dalaman.
Bagaimanapun, Maya masih menyimpan harapan bagi membuktikan keupayaan bakat yang dimilikinya. "Memang sudah ada syarikat rakaman berminat untuk mengambil saya tetapi sehingga kini masih belum mendapat sebarang kata putus. Saya akan tunggu tetapi jika masih belum ada sebarang keputusan mungkin saya akan beralih kepada cara lain.
"Album tujuh lagu ini sepatutnya sudah menjalani proses rakaman, tetapi disebabkan masalah ini, saya jadi malas nak fikir. Apa pun, saya berserah saja kepada takdir," katanya pada majlis pelantikan sebagai duta Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK), di Hartamas, Kuala Lumpur, semalam.
Terjun ke bidang nyanyian bukan kerana dirinya sudah tidak laku dalam dunia lakonan, sebaliknya Maya ingin menjadi artis yang serba boleh dan mencuba sesuatu yang baru.
Menganggap kerjaya lakonan menjadi keutamaan, dia masih belum terfikir untuk bersara awal sebaliknya beranggapan peluangnya dalam bidang itu terbuka luas.
"Ombak Rindu melonjakkan kembali karier saya selepas Pontianak Harum Sundal Malam meskipun ada yang beranggapan pelakon baru umpama roda yang hanya mampu bertahan lima tahun kemudian tenggelam.
"Biar buat 10 filem dan orang ingat lapan daripada buat banyak filem. Saya mengharapkan orang boleh ingat empat ke lima filem saya. Itu sudah cukup," katanya yang pernah membintangi filem Pisau Cukur, Cun dan Duyung.
Berasakan faktor usia mungkin akan memberi kesan dari segi pemilihan watak untuk 10 tahun akan datang, Maya percaya khidmat pelakon senior masih diperlukan untuk menghiasi dunia lakonan.
"Sama ada di Hollywood mahupun Malaysia ianya sama saja seperti Angelina Jolie dan Sandra Bullock masih diperlukan walaupun sudah meningkat usia tetapi yang penting bakat," jelasnya yang merancang terbabit dalam dua filem tahun ini.
Mahu memberi sepenuh tumpuan kepada lakonan tahun ini, Maya akan terbabit dalam penggambaran filem Lagenda Budak Setan 3 (LBS 3), Mac depan meskipun LBS 2 masih belum ditayangkan.
Maya yang memegang watak Katerina menggantikan Fazura dalam filem itu menganggap keserasiannya bekerjasama dengan pengarah Osman Ali dan Datin Paduka Shuhaimi Baba membantu lakonannya.
"Saya kenal Shuhaimi sejak 2007, manakal Osman Ali selepas filem Bara Jiwa dan Cun. Kedua-duanya ada gaya sentuhan tersendiri dan boleh dikatakan beberapa filem mereka meninggalkan kesan pada saya," katanya yang akan terbabit dalam penggambaran NBC Universal di Singapura.
Mengulas tugasnya sebagai duta YOKUK, Maya bukan saja mendekati dan membantu golongan kelainan upaya, malah memberi semangat kepada keluarga mereka.