Adsense

Sabtu, 4 Februari 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Hayati sambutan Maulidur Rasul

Posted: 03 Feb 2012 05:22 AM PST

MANUSIA bukan saja memerlukan santapan fizikal bagi memperoleh tubuh yang sihat tetapi juga santapan rohani untuk mencapai keseimbangan di dunia dan akhirat.

Justeru, Irma Hasmie Ibrahim, 30, tidak pernah membiarkan dirinya kosong kerana kekosongan itu boleh membuatkan hatinya resah gelisah. Setiap masa dia membasahkan bibirnya dengan berzikir serta berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.

"Janganlah hanya tibanya Maulidur Rasul barulah kita mengingati Rasulullah s.a.w. sebaliknya kita mesti mengingatinya pada setiap hari. Baginda adalah idola yang sebenar yang perlu kita contoh sifat mulia dan pengorbanannya terhadap agama Islam.

"Baginda sangat menyayangi umatnya sehingga saat baginda akan menghembuskan nafas yang terakhir. Bibirnya hanya menyebut, umatku... umatku," katanya.


Anas bin Malik juga pernah berkata, apabila roh Rasulullah s.a.w. sampai ke dadanya baginda bersabda: "Aku wasiatkan kepada kamu semua menjaga solat dan apa-apa yang sudah diperintahkan ke atas atasmu."


Sewajarnya kita hendaklah berselawat ke atas baginda tak kira di mana kita berada.

Begitulah juga Irma kerana setiap kali memandu keretanya menuju ke pejabat atau balik rumah, dia akan tergerak hati untuk berselawat.

"Daripada kita marah atau mencerca pemandu yang lain, lebih baik kita mengingati Rasulullah s.a.w. kerana sesungguhnya ia mampu memberi ketenangan pada kita," katanya.

Malah Irma masih ingat apa yang dipelajarinya dulu, ketika nyawa Nabi Muhammad s.a.w. mahu dicabut malaikat Jibrail, baginda memberitahu malaikat itu betapa dahsyatnya rasa mati dan baginda sanggup untuk menanggung kesakitan setiap umatnya yang sedang menghadapi kematian.

Apa yang jelas, membaca sejarah Rasulullah s.a.w. dari zaman kanak-kanak sehingga saat kematiannya, ia begitu memberi keinsafan kepada Irma. Hatinya tambah sayu apabila tatkala dia sempat menziarahi makam Rasululah s.a.w. di Madinah ketika mengerjakan umrah, tahun lalu.

"Berdiri di sisi makam baginda, terbit rasa rindu kepadanya. Saya terbayangkan kalau saya dapat hidup sezaman dengannya, alangkah bahagianya. Semua sahabat baginda dapat merujuk terus segala masalah dan kemusykilan kepadanya.

"Namun sudah ditakdirkan kita hanya menjadi umatnya tetapi masih boleh mengikuti segala sunnah dan ajaran yang baik itu. Saya sangat bernasib baik kerana pada tahun ini saya dapat menyambut Maulidur Rasul dalam keadaan yang tersusun, apatah lagi tahun ini saya terbabit dengan program khas anjuran TV AlHijrah.

"Sempena menyambut Maulidur Rasul, esok (Ahad), TV AlHijrah akan mengadakan program Cinta Masjid mulai hari ini bertempat di Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur," kata Irma.

Pelbagai acara dianjurkan dan ia terbuka kepada orang ramai. Irma yang juga pengacara program Assalamualaikum akan ke udara secara langsung dari sana.

Acara lain sepanjang hari ini dan esok adalah Kelas Pengurusan Jenazah, Pertandingan Nasyid, Pertandingan Mewarna, Raptai KL Berselawat, Pertandingan Khat, Kelas Fardu Ain, Pertandingan Azan, Sesi Bersama Ustaz Don, Majlis Pelancaran Program Cinta Masjid, Sesi Bersama Hos TV Al-Hijrah dan Pertandingan Memakai Hijab.

Turut diadakan Sesi Bersama Wan Kamaruddin (Khidmat Syariah), Qasidah Bergendang oleh Ratib Hadad, Majlis Gotong-Royong Kenduri, Tazkirah, Kuala Lumpur Berselawat (Siaran Langsung), Program Dikir Zikir (Siaran Rakaman) dan acara kemuncak Perarakan Maulidur Rasul.

"Selama dua hari saya akan berada di masjid itu dan insya-Allah, saya akan menyertai program yang sudah diatur. Marilah kita bersama-sama meraikan sambutan Maulidur Rasul kerana ia hari yang lebih mulia daripada hari biasa. Tunjukkan rasa kasih dan cinta kepada kekasih Allah SWT itu," katanya.

Diintai insan bukan anak seni

SELAMA ini nyata hijrah yang dilakukan Irma apabila memakai tudung mendatangkan banyak keberkatan kepadanya dalam bidang seni. Dia akui masih berlakon dan dia beruntung kerana industri hari ini bersikap terbuka dalam menerima perubahan pelakon bertudung.

Apa yang utama, jalan cerita dan watak yang ditawarkan kepada Irma juga sesuai dengan imej terbarunya.

"Tiada apa yang berubah dari segi tawaran. Ramai pengarah masih panggil saya berlakon. Kalau kita mengikut segala perintah Allah s.w.t. tiada apa yang perlu dibimbangkan. Saya rasa sekarang hidup saya lebih baik, hati tenang apabila bekerja dan tiada masalah dengan orang sekeliling. Semua ini juga datang daripada rezeki Tuhan, jadi saya amat mensyukuri nikmat yang Allah s.w.t. berikan," katanya.

Irma baru saja selesai penggambaran telefilem untuk siaran TV3, bertajuk Jujur Aku Dayus lakonan bersama Nora Danish (Lisa) dan Beto Khusyairi (Edry). Ia mengenai kisah cinta dan pengorbanan.

Namun dalam dunia realiti, bekas kekasih Nabil Raja Lawak ini masih belum temui pengganti. Pada usia mencecah 30 tahun, Irma akui berhasrat untuk menamatkan zaman solonya secepat mungkin tetapi belum temui yang sesuai di hati.

"Memang ada yang ingin mengenali saya tapi belum ada yang betul-betul berkenan di hati. Kali ini dia orang luar, bukan daripada kalangan orang seni dan hiburan. Saya tidak pernah serik nak cinta dengan artis. Apapun saya pasrah.

"Walaupun jodoh itu ketentuan Allah s.w.t. tapi kita kena juga berusaha. Dalam pada itu, kita harus berdoa semoga dipertemukan dengan insan yang baik dan soleh," katanya.

Irma yang juga duta tudung jenama D'haja serta produk kecantikan dan kesihatan untuk wanita, Femina, kini sedang menyiapkan buku motivasi bersama rakan karibnya yang akan dilancarkan pada Pesta Buku Kuala Lumpur Antarabangsa menjelang April ini.

Trivia Irma

  • Selalu beli tudung
    Di Butik D'Haja di Seksyen 7 Shah Alam.
  • Novel terkini yang dibaca
    Biografi Rasululllah s.a.w tulisan Ustaz Rusydi Ramli Al Jauhari.
  • Juadah terkini yang sempat dimasak
    Ayam goreng minggu lalu.
  • Binatang yang paling geli
    Kumbang kerana kalau melekat pada baju, susah nak tanggal kerana kakinya berduri.
  • Filem P Ramlee yang paling diminati
    Labu Labi dan Madu Tiga.


  • Full content generated by Get Full RSS.

    800 sertai MyTV3 Extravaganza

    Posted: 03 Feb 2012 05:15 AM PST

    STESEN TV terunggul TV3 mempunyai cara tersendiri bagi meraikan kelab peminatnya, My TV3. Saban tahun, perancangan disusun bagi mengumpulkan anggotanya dalam majlis istimewa bertujuan mengeratkan hubungan sesama mereka.

    Aktiviti yang dirancang pula sememangnya mengujakan dan sebagai pembuka kalendar 2012, MyTV3 menghimpunkan 800 ahli dari seluruh negara untuk menyertai acara istimewa, MyTV3 Day Out Extravaganza! yang berlangsung meriah pada 13 hingga 15 Januari lalu.

    Berbanding sebelumnya, edisi kedua ini lebih istimewa kerana diadakan di luar Kuala Lumpur dan Taman Tema Melaka Wonderland menjadi lokasi pilihan buat ahli MyTV3 beriadah bersama MyTV3 Roverz serta pengacara MyTV3, Aidid Marcello.

    Bertambah menarik, MyTV3 yang aktif mengadakan pelbagai aktiviti, beruntung kerana acara istimewa dan meriah ini turut mendapat penajaan daripada Taman Tema & Resort Melaka Wonderland untuk lokasi, Ayer Keroh Country Resort (penginapan) dan Streetz Crib (hadiah).


    Menurut Aidid, keghairahan ahli MyTV3 untuk terbabit dengan acara menarik ini dapat disaksikan apabila sesi pendaftaran yang bermula seawal jam 9 pagi mendapat sambutan menggalakkan.


    "Ahli MyTV3 kelihatan ceria dan tidak sabar untuk memulakan aktiviti yang disediakan seperti sesi suai kenal antara ahli, cabutan nombor bertuah dan permainan menarik yang terdapat di Taman Tema & Resort Melaka Wonderland antaranya Slide Racer, Squeeze Me, Cup Of Water, Crab Race, Dukung Cinta dan Kerusi Terbang.

    "Ramai yang teruja untuk mencuba menyertainya kerana ia suatu pengalaman baru buat mereka. Tidak lupa, kami turut menyediakan hiburan berganda apabila menampilkan artis popular tanah air untuk beramah mesra serta menghiburkan mereka.

    "Artis terbabit iaitu Adi Hamiz Johar dan Ila Damiaa dari Mentor 4, Azuan Mazlan dan Dedeq (Colabr8), Eone (Remaja Ekstrem), Wana (MyStarz LG), Mimi Harris (MyStarz LG), Adam Shah, Talha Harith, Comel Fana, Ika Nabila, Mia Sara Nasuha, Shahril (Fuyoo Magic) dan bintang daripada program Idola Kecil iaitu Fifa, Irish, Abby dan Harris.

    "Karakter comel, maskot Boboiboy dan Yaya turut ditampilkan yang menerima sambutan hebat terutama daripada kanak-kanak yang ingin merakam gambar kenangan dengan mereka," katanya yang gembira kerana program ini berjalan lancar.

    Mengulas penubuhan MyTV3, Aidid berkata, ia mula diperkenalkan sejak 2004 bertujuan memberi pendekatan kepada ahli untuk menjadi sebahagian daripada keluarga TV3. Tawaran ini disambut baik peminat yang memberikan sambutan hangat untuk menyertainya.

    "Edisi pertama MyTV3 Splash Bash Party diadakan di Surf Beach, Sunway Lagoon pada Januari tahun lalu dan sambutannya juga hebat. Kini, jumlah keahlian MyTV3 mencecah lebih sejuta orang.

    "Justeru, sebagai tanda penghargaan kepada sokongan mereka, MyTV3 mengadakan 'day out' yang padat dengan aktiviti menarik untuk meraikan ahlinya sebagai hadiah tahunan iaitu mereka dapat berkumpul, berkenalan sambil bertukar-tukar pendapat dan merapatkan lagi hubungan silaturahim.

    "Selain itu, acara istimewa ini diharap dapat dijadikan platform untuk mendidik keluarga ahli MyTV3 ke arah gaya hidup yang sihat.

    "Kami menyeru lebih ramai peminat menyertai MyTv3 kerana setiap ahli ditawarkan keahlian seumur hidup dengan bayaran serendah RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi mereka yang berumur 18 tahun ke bawah.

    "Mereka bukan saja berpeluang menghadiri acara berprestij stesen seperti Anugerah Juara Lagu, Anugerah Skrin, Anugerah Bintang Popular Berita Harian, acara padang seperti Karnival Jomheboh dan School Attack serta menyaksikan filem terbaru terbitan Grand Brilliance, bahkan turut diberikan keutamaan untuk diterima sebagai pelatih stesen TV3 dalam menimba ilmu dalam bidang penyiaran. "Ini adalah inisiatif ideal dan bermakna untuk penonton setia khususnya ahli
    MyTV3," kata Aidid.

    Kru penerbitan program MyTV3 diterajui Aidid selaku Penerbit Eksekutif merangkap pengacara, Faizal Affendy Roos Affendy selaku penerbit dan dibantu Roziela Rusli.

    Program MyTV3 disiarkan setiap Ahad jam 5.30 petang dan ulangannya pada setiap Rabu jam 6 pagi.

    Edisi MyTV3 Day Out Extravaganza'! disiarkan selama dua minggu iaitu pada 29 Januari dan 5 Februari ini. Jangan ketinggalan menyaksikan kemeriahan aktiviti ini menerusi saluran TV3.



    Full content generated by Get Full RSS.