Adsense

Sabtu, 4 Februari 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Nicholas lawan korupsi

Posted: 03 Feb 2012 04:58 PM PST

Hip

PEMILIK sorot mata yang menikam ini sering membekas di benak pencinta filem menerusi kemunculannya yang meninggalkan impak luar biasa seperti dilakukannya dalam Ada Apa Dengan Cinta, Gie, 3 Doa 3 Cinta dan 3 Hari Untuk Selamanya.

Dedikasi Nicholas Saputra terhadap dunia perfileman tidak diragui, malah aktor kelahiran Jakarta, Indonesia berusia 28 tahun ini dikenali sebagai seorang yang begitu selektif dalam produksi yang bakal dibintanginya.

Tiada siapa menduga, di sebalik pencapaian cemerlangnya, graduan Seni Bina dari Universiti Indonesia yang memuncak popularitinya lewat watak Rangga dalam Ada Apa Dengan Cinta juga menempuh hambatan berliku. "Permulaan saya dalam dunia lakonan tidak direstui keluarga yang lebih mengutamakan pendidikan.
Hakikatnya saya sudah lama jatuh cinta dengan dunia seni, sejak masih di bangku sekolah lagi. Saya cuba meyakinkan keluarga pilihan saya ini tidak salah. Biarpun usaha itu memakan masa, namun perlahan-lahan semua berubah dan keluarga semakin mengerti dengan kecintaan saya kepada bidang seni," kata jejaka yang terlebih dulu meneroka dunia peragaan sebelum menyerlah di layar perak.

Keampuhan bakatnya melayakkan Nicholas membolosi dua pencalonan untuk Aktor Terbaik, Festival Filem Indonesia 2004 menerusi filem Ada Apa Dengan Cinta dan Biola Tak Berdawai.

Bagaimanapun, dia tewas kepada Tora Sudiro yang memberikan persembahan luar biasanya dalam Arisan!.
Kekalahan itu bukan penamat untuk Nicholas membuktikan kebangkitannya sebagai aktor pelapis yang membanggakan negara kelahirannya. Empunya wajah yang menyimpan lapisan misteri untuk diselami dan difahami ini menebus kegagalan itu pada tahun berikutnya apabila kembali dicalonkan juga dengan dua filem, Gie dan Janji Joni.
Penghargaan itu menjadi miliknya apabila Nicholas yang mesra disapa Nico memenangi trofi berkenaan, impak peranannya sebagai Soe Hok Gie dalam Gie.

"Lakonan adalah dunia saya dan saya mahu terus di sini. Kalau tidak bermain filem, mungkin di balik tabir. Ia sudah saya mulai, namun hanya dengan projek kecil," katanya yang sudah hampir sedekad menekuni dunia perfileman.

Nicholas tidak pernah membataskan kemunculannya dalam filem kerana dia hanya akan kembali berlakon jika menemui watak yang serasi.

Sebelum memberikan kata persetujuan, Nicholas akan terlebih dulu mempertimbang hal seperti skrip, pembangunan karakter dan pembinaan jalan cerita filem itu sendiri.

"Saya tidak pernah menetapkan berapa jumlah filem akan dibintangi setahun. Sering dalam tempoh itu saya akan menemui satu atau dua filem yang cocok.

"Genre sesebuah filem itu bukan keutamaan kerana jalan cerita ringkas akan menjadi menarik jika digarap dengan idea luar biasa. Yang membuat seseorang aktor itu bertahan adalah kecintaan dan minat terhadap apa yang dikerjakannya," katanya.

Di sebalik keberkesanan setiap watak yang dijayakan, Nicholas mengakui tidak membuat persiapan rapi untuk watak yang dipersetujuinya.

Melihat industri perfileman Indonesia yang masih dikuasai filem seram dan komedi sensual, Nicholas berharap penonton akan melakukan sesuatu untuk memastikan produksi tempatan terus bernafas selesa.

"Kunci kepada semua itu ada di tangan penonton. Mereka yang mempunyai pilihan filem bagaimana yang mahu ditonton ketika melangkah ke pawagam," katanya dalam bicara berbalut nada serius dan tidak meletakkan fizikal kacak dan susuk tinggi lampai sebagai laluan mudah untuk meraih peluang yang mendatang.

Baginya, dalam karier seni, apa diutamakan adalah kemampuan selain membebaskan diri menerima segala kritikan dengan hati terbuka.

"Yang penting adalah skil dan kemampuan. Saya bukan bercakap kosong, lihat saja kepada Lukman Sardi. Fizikalnya mungkin tidak terlalu tinggi, namun filem lakonannya jauh lebih banyak berbanding saya. Seorang aktor juga harus membuka diri, sentiasa membenarkan diri untuk menerima perkara baru dan jangan menutup fikiran daripada mencerna sesuatu yang asing daripada kita," katanya.

Empat tahun menghindarkan diri daripada beraksi di skrin lebar selepas Cinta Setaman, Nicholas kembali mengisi jadual seninya dengan menjayakan filem pendek, Kita Versus Korupsi. Nicholas memberitahu, hatinya terbuka untuk kembali berlakon kerana ingin turut sama menggembleng tenaga membanteras rasuah di Indonesia.

Filem pendek itu diterbitkan hasil kerjasama Jawatankuasa Pembanteras Rasuah (KPK) - menyaksikan sejumlah nama hebat Indonesia menyumbang kudrat mereka tanpa sebarang bayaran. Filem memuatkan empat cerita berbeza itu menemukan Nicholas beradu lakonan dengan Revalina S Temat yang menjadi kekasihnya dalam Aku Padamu garapan Lasja F Susatyo.

"Sinopsis filem ini dan temanya juga menarik, membuatkan saya tidak teragak-agak untuk turut serta. Ia adalah satu bentuk sokongan saya dalam membanteras isu rasuah," katanya.

Produksi itu juga membariskan pelakon lain seperti Tora Sudiro, Dominique Diyose, Ringgo Agus Rahman, Teuku Rifnu Wikana dan Verdy Sulaiman. Aku Padamu adalah cerita kedua daripada empat judul yang mengisi Kita Versus Korupsi, mengisahkan sepasang kekasih yang ingin menikah namun terbantut kerana kerenah birokrasi.

"Mata saya lebih terbuka, malah temanya membuatkan saya terdorong untuk menyokong kegelisahan masyarakat. Harusnya kita diberi kesempatan untuk memperbaiki kelemahan ini," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Depe nafi kahwin peminat fanatik

Posted: 03 Feb 2012 04:55 PM PST

Hip

Depe

Depe

Dewi Persik sangkal laporan kononnya dia bernikah dengan pelajar universiti berusia 19 tahun

AKTRES dan penyanyi dangdut kontroversi, Dewi Persik atau Depe tidak mengenali lelaki bernama Abi Palutturi, 19, penuntut universiti berasal dari Makasar yang dikatakan bernikah siri dengannya, baru-baru ini.

Berita pernikahan Depe dan Abi tersebar dalam laman sosial, Twitter. Ia disebarkan seorang peminat yang menggunakan nama samaran, Roy Permana yang mendedahkan hubungan cinta dan perkahwinan Depe dengan peminat fanatiknya. Dua minggu lalu, berita pernikahan Depe dan Abi heboh diperkatakan. Mereka dikatakan mengadakan majlis pernikahan di Hotel Grand Clarion, Makassar pada 9 Januari lalu. Bagaimanapun, pihak pengurusan hotel menafikan majlis pernikahan atas nama Depe dan Abi pada malam berkenaan. Malah, ketika tarikh berkenaan, Depe bercuti di Bangkok, Thailand bersama anak dan beberapa pembantunya.

Bagi Depe atau nama sebenarnya, Dewi Murya Agung, 27, Abi hanya seorang peminat.
"Saya tidak mengenalinya. Saya tahu Abi berada di Makkasar, dia juga adalah peminat yang menunggu saya di lapangan terbang dan mengikut saya hingga ke Hotel Grand Clarion, Makassar. Dia beritahu, sudah menunggu saya selama enam jam, saya rasa kasihan padanya. Usianya baru 19 tahun. Abi juga bukan jejaka idaman saya. Tubuh Abi lebih kecil daripada saya.

"Jujurnya, saya tidak suka yang kecil-kecil, saya suka lelaki berbadan sasa. Saya bingung bagaimana Abi boleh menghebahkan cerita saya berkahwin dengannya. Terserahlah, saya tidak mahu ambil pusing mengenainya lagi. Bagi saya, sesiapapun boleh mengakui menjadi teman lelaki atau suami saya," kata ibu kepada seorang cahaya mata itu.
Hubungan cinta pelantun lagu Diam Diam dengan Abi itu dapat dihidu apabila mereka saling bermesra di laman Twitter. Antaranya, Depe pernah menulis, 'sebelum tidur jangan lupa nyanyi perlahan-lahan supaya ingat suara aku'. Manakala Abi pula membalasnya, `aku suka kerana kau mengajar aku cinta sayang, papa tidur dulu ya, love u mimpi indah muaahh'.

Bagaimanapun, pelakon filem Paku Kuntilanak dan Tali Pocong Perawan itu menafikan menjalin hubungan cinta dengan peminat fanatiknya itu.

Walaupun dicaci dan dikecam, Depe dan Abi tetap menunjukkan kemesraan menerusi Twitter.

"Saya bukan sombong, kenapa saya harus melayan peminat dengan kata-kata yang kasar? Saya mahu melayan peminat dengan baik dan mesra," katanya ringkas sambil menjelaskan, selepas tiga kali gagal dalam rumah tangga, dia masih memiliki impian mahu berkahwin lagi.

Bagaimanapun, dia tidak mahu bernikah siri. Nikah siri ialah nikah secara sulit tetapi sah mengikut hukum syarak.

"Saya sedar status sebagai janda. Saya akan menikah lagi, tapi bukan nikah siri. Dulu, saya bernikah dengan Aldi Taher bukan nikah siri. Saya bernikah dengannya secara rasmi. Soal jodoh, saya pasti bila impian berkahwin lagi dimakbulkan. Buat masa ini, saya tidak punya kekasih, saya baru saja putus cinta," katanya.

Pernah tiga kali bercerai

SEBELUM ini, dewi Persik atau Depe pernah berkahwin tiga kali bersama Saipul Jamiell, Yusuf Ferry Dzaatz dan Aldi Taher. Pada 2007, Depe berkahwin dengan penyanyi dangdut dan pelakon, Saipul Jamil.

Bagaimanapun, mereka bercerai pada tahun sama. Mereka berpisah dengan baik, malah Depe dan Saipul sempat membintangi filem Setan Budeg. Dalam filem itu, mereka melakonkan adegan ranjang bersama.

Selepas kontroversi pernikahan dengan Saipul reda, Depe bernikah dengan Jusuf Ferry Dzaatz yang tinggal di Belanda. Namun, pernikahannya juga tidak kekal lama, mereka bercerai tidak lama kemudian. Belum reda isu pernikahan dengan Jusuf, anak kelahiran Jember, Jawa Timur itu mengejutkan peminat dengan pernikahan dengan pelakon sinetron, pengacara dan penyanyi, Aldi Taher.

Pernikahan ketiga Depe kembali diselimuti kontroversi, dimulai isu pengguguran anak luar nikah dan mendesak Aldi untuk menikahi Depe.

Aldi juga khabarnya sengaja mahu menumpang populariti Depe. Bagaimanapun, pernikahan mereka juga terkandas apabila bercerai pada November 2009. Depe sempat menjalinkan hubungan cinta dengan Nicky Tirta pada 2011, tapi hubungan mereka terputus di tengah jalan.

Dan terbaru, berita pernikahannya dengan mahasiswa, Abi Palutturi digembar-gemburkan tahun ini. Bagaimanapun, banyak percanggahan pendapat mengenai isu pernikahannya kali ini. Selain isu pernikahan, Depe sememangnya dilahirkan sebagai penyanyi dan pelakon kontroversi. Sarat cerita panas yang menyelimuti hidupnya dengan isu pernikahan siri, suka bergambar separa bogel dan pergaduhan dengan Julia Perez, khabarnya payudara Depe turut diraba peminat.

Minggu lalu, Depe menghadiri majlis sebuah stesen TV. Dek suka mempamerkan aurat dan berpakaian seksi hingga mendedahkan payudaranya, seorang peminat pada mulanya mengambil gambar secara curi-curi. Dek 'geram' melihatnya, peminat berkenaan meraba payudara Depe. Depe khabarnya hampir pitam apabila diperlakukan sedemikian, lalu menangis sambil berlari ke arah keretanya.

Full content generated by Get Full RSS.