Harian Metro: Rap |
Posted: 31 Jan 2012 04:53 AM PST MELIHAT susunan trofi miliknya, Liyana Jasmay sudah mampu tersenyum dengan apa yang dimilikinya. Selama sembilan tahun menjadi anak seni, Liyana, 24, bersyukur dengan kejayaannya dan sekarang meneroka bidang baru yang lebih mencabar. Selepas anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-22 menerusi filem Papadom dan sekali lagi Pelakon Wanita Terbaik Filem menerusi Anugerah Skrin 2009 (Kami The Movie), Liyana yang mesra disapa Nana, sedang giat membuat percaturan baru. Bintang kelahiran Kuantan, Pahang yang mula mengukir nama menerusi filem Castello ini sedang berusaha menjadi seorang produser pula dengan mengendalikan syarikat produksi penerbitannya sendiri. Mermaid Studio Sdn Bhd yang mula ditubuhkan tahun lalu menjadi bukti kesungguhan dan kreativiti dalam dirinya. Memilih untuk bekerjasama dengan keluarga sendiri, Liyana menyifatkan syarikat produksi itu satu platform terbaru untuk berkarya.
"Justeru, menerusi Mermaid Studio yang saya bertindak selaku Pengarah Kreatif, saya berpeluang untuk mencipta sendiri apa yang baik dan mencabar untuk diri sendiri selaku pelakon. Kebebasan dalam ekspresi pada watak serta pembangunan plot cerita itu terletak di tangan sendiri. "Pendek kata, saya sudah punya pilihan untuk diri sendiri dan tidak lagi terikat dengan kehendak orang lain semata-mata," katanya yang kecewa kerana terpaksa menolak tawaran berlakon daripada Datin Paduka Shuhaimi Baba kerana jadual bertindih dengan Papadom 2. Tambahnya lagi, tanggungjawab memantau skrip dan memberikan idea bagi menerbitkan sebuah drama adalah sesuatu yang menyeronokkan. "Idea dan konsep banyaknya daripada saya kerana itulah minat dan kesungguhan saya. Saya suka untuk melihat pembangunan watak dan mencantikkan lagi plot cerita sesebuah drama agar ia tampak berbeza dan menghiburkan. Setakat ini, saya sendiri yang membuat pembentangan kertas kerja setiap drama kepada stesen televisyen. "Saya bertuah kerana ada ramai kawan yang semuanya terdiri daripada orang berpengalaman di belakang tabir. Lantas apabila ingin mengumpulkan mereka yang berpengalaman untuk menerbitkan drama, saya tidak punya masalah. Ada kalanya mereka sendiri yang ketawa kerana mula mengenali saya ketika masih kecil tapi sekarang saya pula yang jadi produser. "Namun sebagai orang baru dalam lapangan penerbitan, saya ingin sekali mengawal semua kualiti drama. Biar perlahan dan sedikit penghasilannya, namun setiap satu itu mempunyai kualiti yang baik. Insya-Allah kalau ada rezeki, saya memang memandang jauh untuk menjadi seorang pengarah dan menerbitkan sebuah filem pula," katanya. Mermaid Studio Sdn Bhd sudahpun menerbitkan drama Tudung Tweet pada Oktober lalu untuk tayangan TV9 yang membuka ruang buatnya memegang watak Zubaidah. Ia satu peranan yang berbeza daripada lakonan sebelumnya. Sibuk mencatur perancangan masa depan untuk syarikat bersama kakaknya, Liyana bakal muncul dalam sebuah lagi drama berjudul Paris Masuk Kampung yang akan ditayangkan di Astro Prima, Mac depan. Jelas Liyana lagi, inspirasi untuknya beranikan diri melangkah ke fasa yang tinggi ini adalah berpaksikan semangat Afdlin Shauki dan Rosyam Nor. "Kelakarnya, sejak awal pembabitan dalam pentas seni, saya banyak bergaul dengan pelakon 'senior' dan orang yang jauh lebih dewasa. Macam-macam yang kami lakukan bersama dan sembangkan terutama ketika berjam-jam berada di lokasi penggambaran. "Jadi gerak percakapan dan pemikiran saya memang jauh lebih dewasa dan logikal daripada mereka yang sebaya dengan saya. Gadis remaja lain sibuk memikirkan soal kahwin, kerja seharian dan aktiviti remaja, saya pula sudah jauh memikirkan soal perniagaan dan langkah membina empayar bagi mengukuhkan masa depan sebagai anak seni. "Alhamdulillah, rezeki itu datang awal buat saya. Meskipun masih muda, saya sudahpun berpeluang memiliki sebuah syarikat yang saya kira mampu menolak diri ke depan. Saya percaya akan frasa tiada siapa yang mampu memimpin kita ke depan melainkan diri sendiri. Lantas inilah peluang terbaik untuk saya membuktikan sesuatu yang lebih baik," katanya. Selain sibuk dengan penubuhan Mermaid Studio dan jadual penggambaran filem Papadom 2, 2011 juga adalah tahun yang padat buatnya menghabiskan pengajian dalam jurusan Seni Persembahan di Kolej Sunway. Mungkin ada yang beranggapan kononnya bintang filem Duhai Si Pari Pari, Niyang Rapik dan Senjakala ini sendu seketika dek kemunculan banyak wajah baru. Liyana sebenarnya tidak lari jauh kerana meletakkan sepenuh fokus untuk mencatur langkahnya sebagai penyanyi. Selepas lagu Aku Tak Percaya Cinta yang setidak-tidaknya membolosi corong radio, Liyana akan muncul dengan lagu terbarunya, Cinta Bersatu, tahun ini. "Saya masih aktif menyanyi. Selepas lagu Aku Tak Percaya Cinta, saya akan kembali ke studio rakaman untuk pembikinan album mini akan datang dan mengumpul segala material. Setakat ini, lagu Cinta Bersatu ciptaan kumpulan Tilu sudahpun siap dan akan menemui peminat pada bulan depan serentak dengan kemunculan drama Paris Masuk Kampung yang juga bertindak sebagai lagu soundtrack. "Itulah strategi terbaik yang saya nampak. Saya akan cuba merakamkan sebuah lagu untuk setiap drama yang saya terbitkan. Kemudian semua lagu itu akan saya kumpul untuk dihimpunkan dalam sebuah album mini nanti," katanya yang kini sibuk dengan proses pembikinan drama terbaru terbitannya berjudul Fiksi Fixie tayangan Astro April depan. Trivia Liyana Jasmay |
Posted: 31 Jan 2012 04:45 AM PST DIA sedar, pasti ramai tertanya-tanya bagaimanakah namanya boleh berada dalam kelompok yang membariskan empat wanita jelita yang masing-masing pernah menggenggam trofi di atas tiket populariti. Mereka yang dimaksudkan adalah Lisa Surihani, Diana Danielle, Maya Karin dan Sharifah Sharizah (Eja), membuatkan Norliana Samsudin, 28, mesra disapa Yana terasa begitu kerdil.
Rasa kecil apabila menyedari namanya dipilih peminat untuk bersaing sama dengan mereka menerusi kategori Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011). Apa yang dilihat peminat pada dirinya, juga tidak diketahui Yana. Malah, gadis zodiak Libra ini tidak menolak andai ada yang menabur cerita kononnya dia mengundi diri sendiri.
"Ia sangat bermakna kerana Anugerah Bintang Popular Berita Harian ini menyerahkan sepenuhnya kepercayaan kepada peminat untuk mengundi artis kesayangan mereka. "Ia memberikan saya satu semangat untuk lebih maju dalam bidang lakonan dengan mempersembahkan serta menghasilkan karya yang berkualiti pada masa akan datang. "Mengundi diri sendiri? Kalau benarlah saya mahu buat begitu, lebih baik saya buat dari dulu. Tapi saya tidak mahu naik dengan cara begitu, saya mahu peminat menghargai bakat saya. Syukur, selepas beberapa kali muncul di layar perak terutama dalam Bini Biniku Gangster, ramai yang mula mengenali saya. "Perubahannya dapat dirasakan setiap kali saya muncul di khalayak. Mereka datang menegur dan mahu bergambar, tidak kurang memuji hasil kerja. Syukur saya mahu lebih berjaya selepas ini," katanya. Ramah dan cukup merendah diri tatkala bertutur, siswazah Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu senang mendaki populariti tanpa tergesa-gesa. Dalam tenang mendayung perjalanan seninya, Yana juga pernah dikecam kerana kegagalan filem arahan sulungnya, Selamat Pagi Cinta. Hingga ada menyindir dirinya pengarah yang hanya pandai menyebut 'cut & action' saja. Namun, bagai datang satu semangat setelah bakat lakonannya mendapat pengiktirafan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-23 menerusi filem Adnan Sempit. Terbaru, Yana kini rancak membintangi drama seram, Santau Merasuk yang bersiaran setiap Khamis, jam 9.30 malam di TV3. Memegang watak Nina, dia bukan saja perlu menghayati watak seorang isteri dan ibu tetapi perlu membayangkan dirinya terikat dengan permasalahan yang tidak berkesudahan. Tahun ini juga, Yana akan muncul dengan beberapa filem antaranya 3 Temujanji bersama bekas kekasihnya, Pierre Andre, Adnan Sempit 2 dan 8 Jam. "Inilah drama pertama saya sebagai heroin. Sebelum ini pernah juga berlakon cerita hantu antaranya Minyak Dagu tetapi saya hanya sebagai pembantu. "Penggambaran drama arahan Bob Hashim ini sangat menguji kesabaran bukan disebabkan penat tetapi perkara aneh yang berlaku. Saya ini sudahlah penakut!," katanya sambil ketawa. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |