Adsense

Rabu, 25 Januari 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Tidak lupa doa dapat anak

Posted:

Tidak lupa doa dapat anak

Tidak lupa doa dapat anak

BARU sahaja balik daripada bercuti menyambut hari jadi di Morocco, Marakesh dan Dubai bersama suami tersayang, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K pada 13 Januari lalu, Siti Nurhaliza Tarudin dikejutkan dengan berita daripada sebuah agensi berita mengenai tawaran berlakon untuknya dalam sebuah produksi filem Indonesia yang berjudul Kekuatan Cinta. Agensi berita tersebut melaporkan sebuah syarikat penerbitan filem Indonesia berminat untuk mengambil Siti berlakon di dalam naskhah terbaharu mereka.

Malah, syarikat berkenaan sangat senang untuk menggandingkan Siti bersama pelakon Nicholas Saputra, Christine Hakim dan Dian Sastrowardoyo di dalam filem itu.

Begitupun, Siti sendiri tidak tahu mengenai tawaran tersebut dan tidak menerima sebarang tawaran rasmi melalui syarikat terbabit. Apatah lagi, menyatakan persetujuan untuk berlakon di dalam filem itu.

"Siti tahu tawaran syarikat itu pun daripada laporan secara atas talian. Siti tidak anggap berita tersebut sebagai tawaran. Mungkin syarikat produksi itu baru berhasrat untuk melamar Siti berlakon dalam filemnya," kata Siti yang anggun dalam busana Marakesh ketika ditemui selepas sidang media majlis sambutan Maulidur Rasul 1433 Hijrah Muhammad Al-Amin Siti Nurhaliza bersama Rabbani di Cyberview Lodge & Spa, Cyberjaya.

Memang sukar untuk Siti menentukan jawapan selagi tawaran rasmi tidak dibuat oleh pihak syarikat terbabit. Tegas Siti, walau bagaimanapun dia tetap memperhalusi tawaran yang diterimanya sebelum memberi persetujuan berlakon di dalam filem itu.

"Kalau dilihat dari barisan pelakonnya memang cerita itu kelihatan menarik. Siti ada gambaran bahawa filem itu besar kerana ia menggabungkan pelakon Indonesia dan Malaysia. Tetapi, selagi tidak ada sebarang tawaran rasmi daripada syarikat itu Siti tidak berani nak cakap terima atau tidak," ujarnya kelihatan gembira menyambut ulang tahun di negara yang diminati sekali gus percutian tersebut merupakan bulan madu kedua Siti selepas berkahwin.


KEMBARA di bumi Marakesh membawa Siti singgah ke Gunung Atlas.


Mengorek cerita di sebalik percutiannya, Siti mengaku begitu seronok dan teruja melawat ke negara yang belum pernah dikunjunginya. Malah, paling mempesonakan bagi Siti merupakan negara Marakesh.

"Marakesh memang cantik. Walaupun warna bangunan yang digunakan kebanyakannya hijau dan batu-bata sahaja tetapi ukiran dalamnya memang menakjubkan. Siti juga sangat teruja dapat menikmati makan malam di puncak Burj Khalifa pada tanggal 11 Januari," luahnya yang memberitahu, Datuk K turut memberi hadiah lain sempena hari jadinya tetapi enggan mendedahkannya kepada media.

Anak

Siti turut ditanya mengenai cahaya mata memandangkan penyanyi tersohor itu sudah berkahwin selama enam tahun.

"Siti memang merancang untuk memiliki anak sejak awal perkahwinan lagi tetapi sehingga sekarang masih belum ada rezeki menimang cahaya mata. Kita cuma merancang tetapi perancangan Allah itu lagi hebat. Rezeki di tangan Dia. Mungkin satu hari nanti Siti dikurniakan zuriat.

"Mungkin juga ada hikmah Allah melambatkan Siti untuk mendapat anak. Mungkin Dia mahu Siti sesuaikan dulu kehidupan bersama suami dan anak-anak suami atau mungkin Allah mahu Siti melaksanakan kerja-kerja Siti yang masih tertangguh. Jika sudah ada anak nanti perhatian akan beralih kepadanya pula," katanya yang sentiasa berdoa kepada Allah memohon zuriat sendiri selain mengaku turut berusaha untuk memperoleh zuriat.


SITI amat mengagumi seni reka bangunan di Marakesh.


Tanpa berselindung Siti juga mengaku, biarpun tanpa kehadiran cahaya mata, Datuk K menatangnya bagai minyak yang penuh. Tuturnya, sejak di awal perkahwinan sehingga usia perkahwinannya mencecah enam tahun layanan Datuk K terhadapnya tidak pernah berubah. Siti sentiasa dimanja dan dibelai suami. Selain belaian suami dan kesibukannya dalam menguruskan kerjaya nyanyian mahupun syarikat Siti Nurhaliza Production (SNP) miliknya tidak timbul rasa sunyi dalam hidup Siti.

Dalam perkembangan lain, Siti turut berkongsi mengenai produk terbaharu Simply Siti keluaran syarikatnya.

Selain kosmetik kini Simply Siti juga mengeluarkan produk penjagaan kulit. Produk yang menggunakan pelan endorfin dan mengandungi stem sel serta advance hidrohalogen itu dikeluarkan menerusi lima produk iaitu pelembab, krim mata, serum, skrub dan topeng muka.

"Produk ini sudah dilakukan ujian ke atas beberapa wanita dan ia memang memberi kesan beberapa minggu selepas memakainya. Ia dapat mengurangkan kedutan, mencerahkan kulit dan memberi seri pada wajah," ujarnya yang turut bakal mengeluarkan tiga pewangi jenama Siti Nurhaliza selepas kelima-lima produk penjagaan kulit itu dipasarkan pada bulan Februari ini.

Full content generated by Get Full RSS.

Penanggal naskhah cinta, bukan seram

Posted:

Penanggal naskhah cinta, bukan seram

Penanggal naskhah cinta, bukan seram

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


ANTARA salah satu babak cemas yang harus dilakukan aktor Azri Iskandar sewaktu penggambaran filem Penanggal di Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini.


SEBELUM ini, nama Ellie Suriati lebih sinonim sebagai seorang pelakon drama, filem dan teater yang cukup berkaliber. Malah, dia adalah antara pelakon yang sering dijadikan rujukan oleh ramai pelakon baharu sekarang.

Kini, pelakon berkenaan telah melangkah setapak lagi dalam mengembangkan kerjayanya sebagai seorang anak seni apabila bakal muncul dalam filem pertama yang diarahkannya sendiri iaitu Penanggal.

Ditemui ketika menjalani penggambaran filem tersebut baru-baru ini di Kuala Kangsar, Perak, Ellie memberitahu, duduk di kerusi pengarah adalah satu angan-angannya sejak mula berkecimpung sebagai seorang pelakon.

"Apabila mula bertapak dalam bidang lakonan pada tahun 1998, saya sudah memasang angan-angan untuk menjadi seorang pengarah suatu hari nanti dan sentiasa berdoa agar ia dapat direalisasikan.

"Namun, selepas 14 tahun barulah apa yang saya angankan itu akhirnya menjadi kenyataan. Lebih istimewa lagi, saya juga turut bertindak sebagai penulis skrip untuk filem ini," ujarnya.

Menurut Ellie, dia sudah menghasilkan skrip filem tersebut sejak tahun 2008 dan sudah melakukan banyak rombakan serta perbincangan bersama penerbit bagi menghasilkan jalan cerita yang lebih mantap.

Ujarnya, biarpun sudah banyak perubahan yang telah dilakukan, tetapi asas penceritaan yang ditampilkan dalam filem berkenaan masih lagi dikekalkan daripada skrip asal.

Berlatar belakang pada zaman sekitar 1930-an, Penanggal berkisarkan tentang seorang gadis bernama Murni yang telah mewarisi ilmu penanggal secara tidak sengaja daripada Mak Ajeng sehingga dia terpaksa melarikan diri ke sebuah kampung untuk mencari perlindungan.

Antara barisan pelakon yang membintangi filem tersebut adalah Ummi Nazeera sebagai Murni, Azri Iskandar (Syed Yusof), Fasha Sandha (Sharifah Zaharah) dan Zul Ariffin (Syed Umar).

Ketika ditanya tentang pemilihan genre seram sebagai filem sulung arahannya, pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-16 itu menyatakan ia dipilih berdasarkan minat penonton di negara ini yang gemarkan kisah-kisah mistik.

Jelasnya, kisah seram seperti Penanggal ini dilihat sesuatu yang cukup menarik untuk diterokai, namun menegaskan filemnya itu bukanlah sebuah kisah yang benar-benar seram.

"Apa yang boleh saya katakan, Penanggal yang saya hasilkan ini adalah sebuah filem cinta klasik kerana jalan ceritanya lebih menjurus kepada kisah percintaan di sebalik kisah tentang penanggal," jelasnya.

Mengenai harapannya terhadap filem arahannya itu, Ellie memberitahu dia sememangnya meletakkan harapan yang tinggi agar ia mendapat sambutan yang hangat daripada penonton.

"Penanggal adalah ujian pertama sebagai seorang pengarah dan sudah tentu saya mahukan yang terbaik untuk filem ini. Biarpun telah berdepan dengan ujian yang lebih berat sebelum ini, saya tetap bekerja keras biarpun telah dinasihatkan oleh doktor supaya berehat.

"Bagaimanapun, saya sangat beruntung kerana mendapat kerjasama yang baik daripada semua tenaga produksi serta para pelakon yang telah memberikan komitmen sepenuhnya agar filem ini dapat disiapkan dengan lancar," jelasnya.

Kerjasama dua syarikat

Apa yang menariknya tentang filem ini adalah ia membabitkan kerjasama dua buah syarikat perfileman iaitu Tayangan Unggul Sdn. Bhd. (TUSB) dan Grand Brilliance Sdn. Bhd. (GBSB).

Penerbit Eksekutif TUSB, Gayatri Su-Lin Pillai berkata, pihaknya memang sudah lama mahu menjalinkan kerjasama iaitu semenjak Ahmad Puah Onah menjadi Pengurus Besar GBSB.

"Sebenarnya kami sedang mencari skrip dan jalan cerita yang sesuai untuk jalinkan kerjasama tersebut. Kemudian Ellie berjumpa dengan saya dan memberitahu dia berhasrat untuk menghasilkan sebuah filem.

"Setelah beberapa perbincangan dibuat, akhirnya saya bersetuju untuk menerbitkan filem ini. Pada masa yang sama pihak kami turut mengundang GBSB dan ternyata mereka juga turut berminat untuk bekerjasama," jelasnya.

Menurut Gayatri, antara kerjasama yang akan dijalinkan oleh kedua-dua belah pihak adalah seperti pengagihan kos penerbitan yang sama rata serta promosi yang akan dilakukan nanti.

Memulakan penggambaran sejak 10 Disember lalu, antara lokasi yang menjadi pilihan seperti Kuala Kangsar dan Ipoh, Perak, Pulau Penarik (Terengganu) dan Kemensah di Hulu Klang, Selangor dengan kos sebanyak RM 2.1 juta.

Full content generated by Get Full RSS.

Daniel Lee mahu bangkit

Posted:

Daniel Lee mahu bangkit

Daniel Lee mahu bangkit

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


DANIEL LEE kini bangkit semula selepas beberapa tahun menyepi kerana keegoannya apabila menjadi seorang artis.


SEMENJAK muncul sebagai juara rancangan realiti Malaysia Idol 2 pada tahun 2005, penyanyi Daniel Lee Chee Hun, 30, atau Daniel Lee dilihat cukup berpotensi untuk menakluk peminat yang terdiri daripada golongan Melayu.

Entah di mana silapnya, sepanjang tempoh hampir tujuh tahun bergelar anak seni, kehadirannya dalam industri ini seolah-olah tidak disedari biarpun pernah merakamkan beberapa buah lagu Melayu.

Pernah popular menerusi lagu berjudul Pasti serta pernah melahirkan sebuah album mini Melayu yang mengandungi lima buah lagu, namun lagu-lagu nyanyiannya itu agak kurang diputarkan di stesen-stesen radio.

Berkesempatan bertemunya di pejabat Sony Music baru-baru ini, penyanyi yang berasal dari Changlun, Kedah ini mengakui kegagalannya untuk muncul sebagai penyanyi popular adalah berpunca daripada kesilapan yang dilakukannya sebelum ini.

Memandangkan Daniel beragama Kristian, adakah sambutan Tahun Baru Cina semeriah seperti Hari Krismas?

Pada saya kedua-dua sambutan perayaan tersebut sama-sama meriah. Lagipun perayaan Tahun Baru Cina turut disambut oleh semua masyarakat Cina tanpa mengira agama. Seperti ahli keluarga saya, ada yang menganut agama Buddha dan Kristian serta ada yang tidak menganut sebarang agama.

Sudah tujuh tahun Daniel bergelar penyanyi, tetapi tidak ramai yang menyedari kehadiran Daniel dalam industri ini. Apakah puncanya?

Secara jujurnya sebelum ini saya seakan-akan tidak tahu arah tujuan sebagai seorang penyanyi. Walaupun pernah menjuarai rancangan Malaysia Idol 2 dahulu, tetapi saya rasa seolah-olah belum bersedia untuk menjalani kehidupan baharu.

Misalnya, saya rasa kurang selesa untuk berhadapan dengan peminat atau jarang turun padang untuk membuat promosi apabila baru menghasilkan album. Sedangkan sebagai seorang penyanyi, itu adalah perkara paling utama yang harus dilakukan.

Kemudian sekitar tahun 2008 saya mula tidak berminat untuk menjadi penyanyi selepas melihat sambutan lagu-lagu saya kurang memberangsangkan. Malah sekitar tahun 2007 juga, saya pernah cuba untuk memasuki pasaran Taiwan, tetapi ia gagal. Hal itu telah membuat saya berasa putus asa untuk menjadi penyanyi.

Apakah yang membuatkan Daniel bersikap sedemikian?

Sebenarnya saya sendiri keliru kerana beranggapan apabila menjadi penyanyi, maka segala gaya hidup saya juga perlu berubah. Sehingga saya menjadi kecewa serta pernah berputus asa dan mahu mengambil keputusan untuk berhenti menyanyi dan menyambung pelajaran. Pada masa itu juga, saya tidak nampak masa depan dengan muzik, sebaliknya saya merasakan muzik memberi tekanan dalam hidup saya.

Tapi sekarang kenapa anda kembali aktif sedangkan anda pernah berfikiran bahawa muzik tak punya masa depan?

Memang pada mulanya saya mahu membuat keputusan tersebut, tetapi apabila difikirkan semula buat apa saya perlu berputus asa. Sebenarnya dalam waktu saya keliru tentang masa depan saya, saya telah bertemu dengan seorang orang kuat agama yang saya sifatkan sebagai mentor saya yang telah membantu saya untuk memahami erti kehidupan. Selepas mentor saya mengajar saya untuk lebih menghargai kehidupan, saya mula bersemangat semula dan meninggalkan pemikiran kolot saya selama ini.

Akhirnya, saya telah mendapatkan semula kekuatan dan baru-baru ini saya telah berjaya menghasilkan album baharu saya yang berjudul Sincerely Yours, Daniel yang mengandungi 10 buah lagu berbahasa Cina dan Inggeris. Apa yang istimewanya, ada empat buah lagu dalam album ini adalah hasil ciptaan saya sendiri.

Jadi, apakah langkah Daniel untuk dikenali semula di kalangan pendengar Melayu setelah agak tenggelam sebelum ini?

Bagi saya tahun 2012 merupakan zaman kebangkitan saya sebagai seorang penyanyi. Saya menyasarkan untuk menghasilkan sebuah album Melayu pada tahun ini agar dapat menembusi pasaran muzik Melayu.

Bagaimanapun, buat masa ini saya ingin memberi tumpuan untuk mempromosikan album baharu saya terlebih dahulu.

Full content generated by Get Full RSS.