Adsense

Rabu, 25 Januari 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Badan kental jiwa lembut

Posted: 24 Jan 2012 05:51 AM PST

PENGGUNAAN kamera digital sofistikated Fusion System yang dibangunkan James Cameron yang sebelum ini digunakan untuk Avatar, menjadikan Journey 2: The Mysterious Island sebuah lagi filem 3D yang harus ditonton. Malah pelakon utamanya, Dwayne Douglas Johnson mencadangkan agar peminat menyaksikan versi 3D ini.

Pelakon itu yang ditemui wakil Rap di Taipei, Taiwan minggu lalu berkata, dia sendiri kagum dengan usaha pengarah Brad Peyton menjadikan Journey 2 'begitu besar'. Tidak hanya visual tetapi kandungan plot cerita sekuel Journey to the Center of the Earth (2008) ini penuh dengan elemen moral dan hiburan.

Brad yang turut serta dalam sesi temu bual itu, memuji Dwayne yang menyifatkan dirinya bertuah berpeluang bekerja dengan bekas ahli gusti yang dikenali sebagai The Rock itu.

"Dalam filem ini, Dwayne sebagai Hank, seorang lelaki penyayang terhadap keluarganya. Dengan tumbukan berjuta dolar dan senyuman berbilion dolar itu, Dwayne senang-senang menghidupkan filem ini dengan aksi serta mempunyai sifat komikal yang baik. Cukup karismatik.


"Semua orang tahu kemampuannya tetapi apa yang menakjubkan saya ialah bakatnya yang besar termasuk dalam komedi. Dia boleh buat apa sahaja, dah macam Superman. Dia boleh 'masuk' dalam apa jua situasi," kata Brad.


Kata-kata Brad itu disambut senyuman oleh Dwayne. Malah ketika sidang media sehari sebelum ini, Dwayne diminta menunjukkan aksi senyuman mahalnya itu di depan rakan media.

"Namun biarlah senyuman itu datangnya dari sini (sambil menunjukkan ke dadanya). Bercakap pasal sekuel ini, ramai yang tahu ia penuh aksi dengan teknologi moden 3D tetapi dalam masa yang sama, saya cuba masukkan elemen komedi. Saya menggunakan badan saya menerusi 'pack pulp of love' untuk digabungkan dengan teknologi James Cameron," katanya sambil ketawa mengenai satu babak menyaksikannya melakukan 'pack pulp of love' yakni menggerak-gerakkan dada bidangnya.

Dwayne akui suka membuatkan orang sekelilingnya ketawa dan gembira. Lelaki yang berdiri pada ketinggian 1.96 meter ini sememangnya suka senyum walaupun terkenal selain aksi gusti World Wrestling Entertainment serta aksi-aksi serius dan kental menerusi filem The Mummy Returns (2001) dan The Scorpion King (2002).

Pun begitu Dwayne pernah membuktikan 'kelembutannya' menerusi filem kekeluargaan seperti Tooth Fairy dan The Game Plan. Justeru, dia tidak boleh menolak tawaran untuk Journey 2: The Mysterious Island yang juga disifatkannya penuh elemen keluarga. Mungkin pada sesetengah orang, ia kontra tetapi tidak bagi lelaki berusia 40 tahun ini.

"Itu antara yang membuatkan saya suka filem ini. Watak Hank cukup menarik kerana ia ada nilai kekeluargaan, ia mendorong saya untuk menerokai lebih mendalam. Malah Brad walaupun yang banyak meneroka pasal teknologi atau skrin hijau tetapi sering mengingatkan saya mengenai siapa Hank.

"Hank nampak besar pada saya tetapi ia memiliki kelembutan seorang lelaki dan bapa. Sebagai bapa tiri kepada Sean (Josh Hutcherson), dia memastikan hubungan mereka serapat mungkin. Tambahan pula Sean, remaja yang terperangkap dengan keinginan, kehilangan ayahnya serta kehadiran Hank di dalam hidupnya.

"Jadi Hank bertindak sebagai objek yang akan bergerak seiring dengan perjalanan keinginan Sean. Dia akan cuba apa sahaja untuk 'baik' dengan anak tirinya itu walaupun terpaksa ke Laut Pasifik Selatan yang Sean percaya wujudnya pulau misteri. Kebetulan juga Sean ingin mencari datuknya, Alexander yang hilang di pulau itu," katanya.

Dwayne turut diajukan soalan mengenai penjagaan tubuh badannya tetapi katanya, dia tidak ke gimnasium setiap hari tetapi gemar melakukan aktiviti riadah luar yang disifatkan banyak memberinya ketenangan.

"Saya sering ditanya perkara ini tetapi yang penting bagi saya adalah ketenangan dan kebahagiaan. Saya akan melakukan apa sahaja untuk itu. Saya suka ketawa, berseronok dan dihiburkan. Menghiburkan orang lain juga suatu hiburan buat saya, saya suka kalau orang ketawa dan senyum. Rasa bagus sangat!

"Macam membuat filem atau berlakon, memang kerja memenatkan kerana menuntut usaha yang banyak tetapi ia membuatkan saya bahagia. Malah melalui pengalaman berlakon juga banyak mendewasakan saya mengenai kehidupan ini.

"Buatlah apa yang kamu suka buat, janji bahagia. Cuma dalam hal saya, saya banyak terbabit dalam hiburan dan saya akan berusaha untuk mencari yang terbaik untuk mengekalkan kebahagiaan itu. Lagipun peminat tahu mana pelakon yang memiliki kesungguhan dalam kariernya," katanya yang cukup ramah.

Dwayne turut memberitahu yang dia gemar mengemaskini perkembangan dirinya kepada peminat menerusi twitter dan facebook. Walaupun katanya pernah diekori oleh seseorang tetapi ia tidak menjadi halangan untuknya terus menghargai peminat.

"Ia sebagai salah satu proses pengurusan kerana saya berfikiran terbuka.
Bagaimanapun, saya tetap 'mengikat diri' bersama peminat kerana itu juga buat saya gembira," katanya.

Ketika ini, Brad dan Dwayne bersama pasukan Journey 2: The Mysterious Island sedang menjelajah beberapa bandar raya di dunia untuk mempromosikan karya fantasi tulisan Richard Outten, Brian Gunn dan Mark Gunn itu.

"Sekiranya diberi peluang untuk sekuel ketiga, saya teringin sekali untuk bekerjasama dengan Dwayne serta yang lain seperti Josh, Vanessa Hudgens dan Luis Guzman. Pengalaman kami sepanjang penggambaran Journey 2: The Mysterious Island cukup berharga," kata Brad.

Kisah Journey 2: The Mysterious Island yang sedang ditayangkan di seluruh negara bermula dengan remaja berusia 17 tahun, Sean Anderson yang mendapati kod isyarat dari pulau misteri yang tidak tahu di mana lokasinya. Untuk tidak mengecewakan Sean, bapa tirinya, Hank turut serta dalam pengembaraan ke Pasifik Selatan. Pertemuan dengan juruterbang pelancong yang cuba mengambil kesempatan, Gabato serta anak daranya, Kailani, membawa mereka ke pulau berkenaan.



Full content generated by Get Full RSS.

Bawalah bertaubat

Posted: 24 Jan 2012 05:44 AM PST

"SAYA doakan dia berjaya hindari fitnah yang melanda diri dengan penuh sabar dan matang. Sebagai bekas suami dan dulunya pernah seketika hidup bersama, saya sentiasa memberi sokongan kepada bekas isteri.

"Pada pihak yang tidak bertanggungjawab, hentikanlah perbuatan menceroboh 'privasi' orang. Kasihan pada individu yang teraniaya," kata Hattan sewaktu diminta memberikan komen berhubung kenyataan bekas isterinya, Farah Ashikin, yang akhirnya tampil memberi kenyataan mengenai isu cerai dan gambar intimnya dalam sebuah akhbar mingguan, baru-baru ini.

Hattan yang menikahi Farah pada 11 November 2011, bercerai talak satu pada 12 Januari lalu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Pilah, Negeri Sembilan, selepas dua bulan melayari rumah tangga.

Perceraian pasangan ini dipercayai berpunca ekoran penyebaran gambar intim Farah dengan bekas teman lelakinya yang diambil lima tahun lalu.


Foto berkenaan yang pernah tersebar pada 2010 sehingga memaksa Farah membuat laporan polis untuk menjaga reputasinya sebagai usahawan berjaya, kembali hangat diperkatakan tatkala Hattan dan isterinya masih mengecap kemanisan pengantin baru.


Tidak lama kemudian mereka dikatakan bercerai, justeru ramai yang percaya penyebaran foto itu punca menggugat hubungan mereka sehingga akhirnya mengambil keputusan berpisah.

"Saya kalau boleh tidak mahu memberikan sebarang komen dan mahu tutup buku mengenai hal ini. Provokasi yang dilakukan banyak pihak buat benda kecil jadi panjang cerita," katanya.

Popular dengan lagu Mahligai Syahdu, Hattan menambah lagi, sebagaimana pernah dimaklumkannya sebelum ini, perceraian dengan bekas isterinya itu dilakukan secara baik.

"Sebenarnya tiada isu yang perlu dibangkitkan kerana saya bercerai dengan Farah secara baik. Seperti pernah saya katakan sebelum ini, punca kami bercerai bukan disebabkan gambar itu.

"Saya anggap perpisahan kami ini urusan Allah SWT dan Dia tahu apa yang terbaik untuk makhluk-Nya.

"Kepada pihak yang terbabit dalam perbuatan menceroboh kemudian menyebarkan dengan niat mengaibkan, bawalah bertaubat.

"Sebelum bertindak sebegitu, cuba fikir perasaan orang. Farah misalnya ada anak dan nama baik keluarga yang perlu dijaga. Setiap manusia pernah buat kesilapan dan beri peluang mereka untuk berubah, bukan menjatuhkan dengan cara begini," kata Hattan yang menyerahkan segala ketentuan kepada Yang Maha Esa dalam menentukan masa depan mereka berdua.



Full content generated by Get Full RSS.