Utusan Online - Hiburan |
Posted: Search 'tua' yang berbisaOleh ABD. AZIZ ITAR
DI KALA banyak kumpulan rock era tahun 1980-an berkubur, Search antara yang terus aktif bermain muzik. Mereka bukan sahaja bertahan sejak ditubuhkan pada 1981, malah masih diterima oleh para peminat, termasuklah generasi muda. Sambutan para peminat itu dapat dilihat berdasarkan beberapa siri Konsert Fenomena 30 Tahun Search yang diadakan baru-baru ini. Ia termasuklah yang diadakan di Pusat Konvensyen Mines (MIECC), Seri Kembangan Selangor, Sabtu lalu. Pada siri konsert terbaru Search selepas di Pulau Pinang dan Johor Bahru itu, kumpulan lima anggota tersebut berjaya membuktikan mereka masih bisa dan mempunyai ramai peminat. Buktinya, hampir 15,000 peminat membanjiri MIECC biarpun pada asalnya lokasi konsert itu ialah di Padang Astaka, Petaling Jaya, Selangor. Bagaimanapun, bagi mengelakkan risiko cuaca terutama musim hujan, ia bertukar ke MIECC. Ternyata pertukaran lokasi itu tidak menghalang para peminat membanjiri MIECC sehingga berlaku kesesakan hampir dua jam di sekitar kawasan pusat membeli-belah The Mines yang berdekatan tapak konsert tersebut. Dengan tiket berharga RM70, para peminat yang membanjiri MIECC cukup teruja dan berbaloi menyaksikan persembahan tanpa henti selama tiga jam daripada kumpulan rock legenda itu bermula pukul 9.10 malam. Hampir menangis Menurut vokalis Search, Amy, dia dan anggota-anggota kumpulan berpuas hati dengan konsert yang dianjurkan sempena 30 tahun penubuhan mereka. "Malam ini kami memang letih. Kami dapat merasakan yang kami betul-betul merayakan ulang tahun Search. Sewaktu di atas pentas tadi saya hampir hendak menangis tetapi saya tahan sahaja," komennya sewaktu ditemui selepas konsert itu. Dengan pentas berskala besar termasuklah kemudahan sistem bunyi, penataan cahaya dan set pentas yang canggih, bukan setakat Search yang berpuas hati tetapi para peminat juga pulang dengan rasa berbaloi. Justeru, apabila Search muncul di pentas dengan memulakan persembahan dengan lagu berjudul Panggung Khayalan dan Gothik Malam Edan, suasana dewan di MIECC bingit dengan pekikan penonton. Ramai peminat yang turut menyanyi sambil berasak-asak sehingga belumpun tamat dua lagu itu, seorang peminat lelaki pengsan dan terpaksa dipapah keluar dari dewan tersebut. Sebagai pemuzik berpengalaman, Search bijak mencuri hati para penonton pada malam itu. Salah satunya menerusi pemilihan lagu-lagu popular mereka antaranya berjudul Fenomena, Musnah, Melayar Bahtera, Serigala Segalanya, Balada Pemuzik Jalanan, Rozana dan Bisa. Pastinya, dewan MIECC paling gamat apabila Search menyampaikan lagu Isabella di mana hampir kesemua penonton menyanyikan rangkap lagu itu bersama-sama Amy dari mula hingga ke klimaknya. Tambah penyanyi berusia 52 tahun itu, pertukaran lokasi konsert ternyata tidak menghalang para peminat menyokong konsert itu. Apatah lagi, sewaktu konsert itu diadakan turut berlangsung ialah konsert Ruth Sahanaya dan Datuk Sharifah Aini, Dewi Yull serta Grace Simon di Kuala Lumpur. "Kalau diikutkan lokasi asal konsert ini di Petaling Jaya lebih sesuai kerana di situ ada kemudahan seperti LRT Putra. Sedangkan di sini pengangkutan awam payah sedikit. "Tetapi apa yang kami paling risaukan ialah soal musim hujan yang tidak menentu sekarang ini. Contohnya, konsert kami di Pulau Pinang pada bulan lalu dilanda hujan lebat sehingga ia lewat bermula. Apa pun kami bersyukur kerana para peminat tetap datang meskipun lokasi konsert ini ditukar pada saat akhir," jelasnya. Sungguhpun beraksi tanpa henti selama tiga jam, namun Search tetap bertenaga. Jelas pemain dram Search, Yazit Ahmad masa yang panjang itu tidak mematahkan semangat kumpulannya. Biarpun dia menghidap penyakit buah pinggang, tetapi ketukan dramnya terus mantap dari lagu pertama sehinggalah ke penghujung lagu ke-26 yang dipersembahkan Search pada malam itu. "Saya rasa kami cukup bertenaga pada malam ini kerana adanya sokongan daripada semua pihak. Ia bukan sahaja daripada segi peralatan canggih yang banyak membantu saya dan Search tetapi juga sokongan para peminat. Kalau tidak saya mungkin sudah lembik malam ini," ujarnya. Tidak pernah mengecewakan Konsert itu tambah hangat apabila Search mengundang komposer dan penyanyi, Datuk M. Nasir sebagai artis undangan mereka. Penyanyi kelahiran Singapura itu berbesar hati apabila diundang pada konsert berskala besar itu. Jelas Nasir, dia menganggap jemputan beraksi dan berduet dengan Amy menerusi lagu berjudul Mat Rock, Paranoid dan Meniti Titian Usang sebagai suatu penghargaan buatnya yang selama ini banyak mencipta lagu untuk Search. "Sebelum ini saya pernah buat persembahan dengan Amy tetapi dalam persembahan-persembahan yang kecil sahaja. Bagi saya undangan ini suatu penghargaan buat saya di mana secara tidak langsung mereka ingat pada saya. "Saya gembira dengan persembahan ini dan hanya mengikut lagu-lagu yang Search cadangan untuk kami persembahkan malam ini. Saya menyanyikan lagu-lagu itu sedaya upaya saya biarpun nada vokal saya lebih 'bass' bunyinya berbanding Amy yang lantang suaranya. "Setakat ini, belum ada mana-mana kumpulan rock tempatan yang menyamai kehebatan Search di mana mereka pernah mencetuskan fenomena tersendiri selepas era Sweet Charity. Search berjaya menaikkan kegemilangan muzik rock selepas era itu. "Apatah lagi, tidak ramai artis kita yang mampu menarik ramai peminat bagi menyaksikan konsert yang berbayar seperti Search. Kumpulan ini pula memang jarang mengecewakan para peminat mereka," tuturnya. Search seterusnya menghangatkan lagi konsert itu pada suku terakhir dengan lagu-lagu popular mereka seperti Isi Atau Kulit, Langit Dan Bumi, Menara Kesesatan, Mentari Merah Di Ufuk Timur, Pelesit Kota, Pawana dan diakhiri dengan lagu Fantasia Bulan Madu. Selain Amy dan Yazit, Search pada konsert itu turut disertai oleh Din (gitar), Nasir (bass) dan Kid (gitar). Full content generated by Get Full RSS. | ||
Posted: Anugerah SAG pembuka tiraiOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
SENARAI akhir pencalonan Anugerah Screen Actors Guild Ke-18 yang diumumkan baru-baru ini memperlihatkan kehebatan filem The Help yang berjaya dicalonkan untuk empat kategori utama. Ia termasuklah Persembahan Barisan Pelakon Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik untuk Viola Davis serta dua pencalonan untuk Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Jessica Chastain dan Octavia Spencer). Walaupun Davis sudah boleh tersenyum bangga dengan pencalonan ini, dia harus sedar bahawa saingannya bukan sembarangan. Saingan Davis kali ini termasuklah dua aktres veteran, Glenn Close dan Meryl Streep yang masing-masing dicalonkan untuk Albert Nobbs dan The Iron Lady. Dua calon lain iaitu Tilda Swinton dan Michelle Williams juga tidak kurang hebatnya apabila lakonan mereka dalam filem We Need To Talk About Kevin dan My Week With Marilyn antara yang terbaik dalam musim anugerah kali ini. Sememangnya dari awal lagi, The Help telah dilihat sebagai salah sebuah filem yang mampu memberikan saingan hebat. Mengenengahkan jalan cerita tentang dilema dan permasalahan yang dihadapi oleh orang gaji berkulit hitam dalam berhadapan dengan isu diskriminasi pada tahun 60-an, The Help juga antara filem yang mencatatkan kutipan pecah panggung. Namun, laluan The Help dilihat tidak mudah kerana filem arahan Tate Taylor itu perlu berhadapan dengan filem The Artist yang mendapat tiga pencalonan termasuk Persembahan Barisan Pelakon Terbaik. Dua pelakon filem tersebut, Jean Dujardin dan Berenice Bejo pula masing-masing dicalonkan untuk Pelakon Lelaki dan Pembantu Wanita Terbaik. Seperti mana filem The Help, The Artist juga merupakan antara calon kegemaran dalam musim anugerah kali ini kerana nilai-nilai estetika yang ditonjolkan. Apatah lagi, The Artist bukan filem sembarangan apabila ia merupakan silent film yang dihasilkan dalam hitam putih lalu menjadikan The Artist sebuah karya unik serta mampu memberikan cabaran kali ini. Filem-filem lain yang mendapat perhatian dalam Anugerah SAG kali ini termasuklah The Descendants, Bridesmaids dan Midnight In Paris. Sementara itu, filem-filem seperti My Week With Marilyn, Albert Nobbs, J. Edgar dan Moneyball pula menyaksikan dua pelakon dari setiap filem tersebut menerima pencalonan bagi kategori Pelakon dan Pelakon Pembantu. Bukan hanya filem, Anugerah SAG juga memberi pengiktirafan kepada karyawan televisyen dan sekali lagi, siri komedi popular, Modern Family menjadi pilihan juri untuk terus dicalon. Modern Family mendahului kategori televisyen apabila menerima lima pencalonan termasuk Persembahan Barisan Pelakon Siri Komedi Terbaik selain empat pelakonnya, Ty Burrell, Eric Stonestreet, Julie Bowen dan Sofia Vergara yang masing-masing dicalonkan untuk Pelakon Lelaki dan Wanita Siri Komedi Terbaik. Dalam kategori lakonan juga, SAG tidak melupakan pelakon senior dan ini sekali gus membuktikan kuasa mereka masih kebal untuk menembusi tembok pencalonan. Ini termasuklah pemenang enam kali Pelakon Lelaki Siri Komedi Terbaik, Alec Baldwin yang dicalonkan untuk 30 Rock selain Steve Carrel (The Office) dan Jon Cryer (Two and a Half Men). Begitu juga dengan kategori wanitanya apabila nama-nama seperti Edie Falco, Tina Fey dan Betty White menjadi pilihan juri untuk disenaraikan dalam kelompok lima calon terbaik. Dalam kategori siri drama pula, Boardwalk Empire yang memenangi Persembahan Barisan Pelakon Siri Drama Terbaik tahun lalu, sekali lagi menjadi pilihan untuk dicalonkan tahun ini. Kali ini, Boardwalk Empire bakal berhadapan dengan saingan hebat daripada Breaking Bad, Dexter, Game of Thrones dan The Good Wife. Menerusi pencalonan edisi terbaru ini, hampir kesemua pemenang tahun lalu dicalonkan sekali lagi termasuklah Steve Buscemi yang memenangi Pelakon Lelaki Siri Drama Terbaik untuk Boardwalk Empire di samping Patrick J. Adams (Suits), Kyle Chandler (Friday Night Lights), Bryan Cranston (Breaking Bad) dan Michael C. Hall (Dexter). Begitu juga dengan Julianna Margulies yang mengulangi kejayaan serupa apabila menerima pencalonan kedua kali ini untuk siri drama The Good Wife. Saingannya untuk kategori Pelakon Wanita Siri Drama Terbaik juga bukan calang-calang kerana ia dibarisi aktres hebat dan ternama seperti Kathy Bates (Harry's Law), Glenn Close (Damages), Jessica Lange (American Horror Story) dan Kyra Sedgwick (The Closer). 'Mangsa' terbaru juri Saban tahun dalam musim anugerah di Hollywood, pasti akan ada pertikaian dan persoalan yang dibangkitkan apabila ada karya serta nama yang dipinggirkan pihak juri. Musim kali ini juga tidak terkecuali apabila jemaah juri SAG dikatakan terlepas pandang filem dan pelakon yang seharusnya mendapat pencalonan berdasarkan kecemerlangan mereka. Salah satunya adalah filem The Tree of Life arahan Terrence Malick yang sedari awal sudah dicanang sebagai filem yang berpotensi besar untuk mendominasi musim anugerah kali ini. Dibarisi dengan pelakon hebat seperti Brad Pitt, Sean Penn dan Jessica Chastain, namun, The Tree of Life terpaksa berputih mata apabila gagal dicalonkan dalam mana-mana kategori. Nasib yang sama turut dialami oleh filem Extremely Loud and Incredibly Close yang dikatakan antara filem yang dihasilkan dengan cukup teliti dan merupakan salah sebuah karya yang sewajarnya diberi pengiktirafan. Begitu juga dengan Michael Fassbender yang menjadi 'mangsa' kali ini apabila gagal dicalonkan dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Shame. Menerusi filem itu, Fassbender memegang watak seorang lelaki yang mengalami masalah ketagihan seks melampau dan wataknya dalam filem itu dikatakan antara yang terbaik untuk musim ini. Seorang lagi 'mangsa' yang senasib dengan Fassbender, Ryan Gosling juga berdepan dengan masalah apabila haknya 'dirompak' sedangkan lakonannya dalam filem Drive dan The Ides of March juga cukup hebat. Joseph-Gordon Levitt juga gagal memenangi jemaah hati juri SAG apabila tidak berupaya menempatkan dirinya dalam kategori itu walhal lakonannya sebagai pesakit kanser dalam filem 50/50 meninggalkan impak. Adalah sesuatu yang sangat pelik apabila nama Kirsten Dunst juga terlepas pandang sedangkan filem Melancholia telah memberikannya gelaran Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Cannes tahun ini. Salah seorang lagi pelakon yang dikatakan mampu meraih pencalonan iaitu Datuk Michelle Yeoh yang memegang watak sebagai Aung San Suu Kyi dalam filem The Lady juga tidak diendahkan. Siapa tahu, tuah untuk mereka menanti dalam Anugerah Academy di mana senarai akhir pencalonan anugerah berprestij Hollywood itu akan diumumkan pada 24 Januari depan. Anugerah Screen Actors Guild Ke-18 akan berlangsung pada 29 Januari 2012 di Los Angeles, Amerika Syarikat dan ditayangkan secara langsung di Fox Movies Premium. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |