Adsense

Khamis, 1 Disember 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Tidak tumpang populariti Maher Zain

Posted:

Tidak tumpang populariti Maher Zain

Tidak tumpang populariti Maher Zain

Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
Gambar HAFIZ JOHARI


Irfan Makki pada majlis pelancaran album keduanya, I Believe di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


FENOMENA dan pengaruh lagu-lagu nasyid di Malaysia sudah lama ditelan zaman walaupun sekitar tahun 1997, irama nasyid pernah menguasai industri hiburan tanah air.

Pintu kegemilangan irama nasyid diketuk oleh kumpulan Raihan yang pada ketika itu, pernah mencatat jualan album melebihi 600,000 unit.

Rentetan itu, barulah muncul kumpulan-kumpulan nasyid tanah air yang lain seperti Hijjaz, Rabbani, Brothers dan Inteam.

Ironinya, peredaran masa turut menenggelamkan irama nasyid kontemporari sehinggalah kebelakangan ini, irama itu cuba dibangkitkan semula tetapi bukan oleh penyanyi tempatan.

Sebaliknya anak muda dari Lebanon bernama Maher Zain dilihat menyemarakkan semula lagu-lagu nasyid di kalangan penggemar muzik hari ini.

Selain Maher yang pernah mengadakan konsert di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada Februari lalu, seorang lagi penyanyi nasyid solo yang pernah berkongsi pentas di Stadium Malawati, cuba meneruskan gelombang nasyid di kalangan pendengar muzik tempatan.

Penyanyi yang dimaksudkan itu ialah Irfan Makki yang juga bernaung di bawah label yang sama dengan Maher iaitu Awakening Records.

Irfan kembali mengunjungi Kuala Lumpur untuk mempromosikan album terbarunya berjudul I Believe. Album itu merupakan album keduanya setelah melahirkan Salam pada tahun 2003.

Dilahirkan di Pakistan tetapi kini menetap di Kanada, Irfan berkata, dia memilih untuk bergiat dalam genre nasyid kerana irama itu bukan hanya melodinya indah tetapi lebih daripada itu.

"Nasyid bukan sekadar muzik semata-mata, tetapi ia adalah kata-kata pujian kepada Yang Maha Esa serta Nabi junjungan kita.

"Selain itu, nasyid juga mengandungi kata-kata yang positif, menaikkan semangat serta memberikan pengajaran yang sangat berguna buat kita yang mendengarnya.

"Ringkasnya, nasyid adalah satu muzik yang diselitkan dengan tanggungjawab dan juga tindakan yang mampu mempengaruhi orang ramai untuk berbuat kebaikan," katanya yang ditemui di majlis pelancaran album keduanya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Album bertajuk I Believe mengandungi 13 buah lagu dan telah mula dijual di pasaran sejak tiga bulan lalu dan berjaya mencatat jualan melebihi 10,000 unit.

Irfan menjelaskan, keistimewaan album keduanya itu bukan hanya didendangkan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Urdu.

Ia juga diselitkan sedikit lirik dalam bahasa Melayu yang menonjolkan kebolehan penyanyi berusia 36 tahun itu untuk bertutur dalam pelbagai bahasa.

"Lagu yang menyelitkan lirik dalam bahasa Melayu ialah lagu yang berjudul Mabrook.

"Mungkin sebutan saya tidak berapa tepat tetapi saya berpuas hati dengan penghasilannya dan berharap peminat di Malaysia dapat menerima seadanya.

"Selain itu, lagu lain yang dapat dinikmati menerusi album kedua saya ialah Waiting For The Call, Mamma, Palestine, You & I dan juga sebuah lagu duet bersama Maher Zain, I Believe," katanya.

Apabila ditanya apakah dia menumpang populariti Maher Zain yang telah mencipta peminatnya di negara ini, Irfan berkata: "Saya tidak menumpang populariti sesiapapun termasuk rakan saya, Maher Zain.

"Bagi saya, setiap di antara kita pasti ada kekuatan sendiri. Jadi, kolaborasi berduet dengan Maher saya anggap sebagai satu penghargaan daripada seorang sahabat kepada sahabatnya.

"Tidak perlu untuk saya berdiri di atas bayang-bayang orang lain kerana saya percaya, peminat boleh menilai dan juga menerima saya dengan baik seperti mana mereka menerima kehadiran Maher Zain di sini."

Mesej keamanan dalam lagu

Bercakap tentang konsep dalam menghasilkan albumnya, pemilik nama sebenar, Muhammad Murtaza Makki menjelaskan, kebanyakan lagu-lagunya adalah berkonsepkan ketuhanan dan perjuangan kemanusiaan.

"Persekitaran dunia dan isu-isu semasa mencetuskan inspirasi untuk saya melahirkan lagu-lagu dalam album ini.

"Kita semua dapat lihat, bagaimana di dunia luar sana berlaku peperangan, penindasan dan masalah sosial yang tiada kesudahan.

"Saya suka untuk menegaskan di sini bahawa manusia adalah sama dalam segala segi tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

"Kita semua mempunyai tanggungjawab untuk hidup dalam kesejahteraan dan keamanan. Itu lebih baik daripada perbalahan," tuturnya lembut.

Biarpun hanya sekadar seorang penyanyi, Irfan merasa dirinya terpanggil untuk menunaikan tanggungjawab bagi menyampaikan mesej bahawa Islam itu bukanlah satu agama yang berkait rapat dengan keganasan.

"Dengan segala kebencian yang ditunjukkan oleh masyarakat dunia terhadap agama Islam, menjadi tanggungjawab penggiat muzik nasyid untuk menjernihkan semula pemahaman tersebut.

"Melalui muzik seperti ini, dapat kita sampaikan kepada orang ramai bahawa Islam adalah sebuah agama yang mementingkan keamanan, nilai-nilai yang murni serta sikap toleransi.

"Ini adalah kerana muzik nasyid itu sendiri bakal dilihat oleh orang lain sebagai lambang dan imej kepada agama Islam bagi mereka yang tidak mengenali agama ini secara dekat," jelasnya.

Suara mirip MJ

Bukan mahu memulakan langkah sebagai penyanyi dengan dipalit kontroversi namun Irfan pernah mencetuskan kekeliruan apabila lagu nyanyiannya, Waiting For The Call kedengaran hampir sama seperti suara legenda pop, Michael Jackson (MJ).

Kekeliruan yang menguntungkan penyanyi yang telah pun mendirikan rumah tangga sejak enam tahun lalu ini berkata, dia tidak dapat lari daripada memiliki suara mirip MJ.

"Saya memang meminati lagu-lagu MJ kerana di dalam lagu-lagunya, diselitkan juga unsur-unsur kemanusiaan tetapi bukan niat saya untuk menyerupai dia.

"Suara adalah anugerah Allah ke atas hamba-Nya dan saya bersyukur kerana dikurniakan suara sebegini kerana melalui lagu dan nyanyian, saya berdakwah.

"Seperkara lagi, mungkin kerana saya membesar dengan mendengar lagu-lagu nyanyian MJ maka sedikit sebanyak ia mempengaruhi gaya nyanyian saya," katanya jujur.

Irfan menegaskan, dia tidak berniat untuk meniru sesiapa termasuk MJ dan Maher Zain tetapi hanya berusaha untuk mempersembahkan lagu-lagunya dengan sebaik mungkin.

Full content generated by Get Full RSS.

Asmidar memukau

Posted:

Asmidar memukau

Asmidar memukau

Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
Gambar FAIRUZ IZYANA AYUB


Persembahan Asmidar bersama Hujan mendapat tepukan dan pujian juri Vokal.


RANCANGAN realiti terbitan TV3, Vokal Bukan Sekadar Rupa (Vokal) sudah menghampiri penghujungnya apabila persaingan hanya berbaki empat minggu sahaja lagi.

Rancangan yang lebih mementingkan kelebihan vokal para peserta berbanding rupa fizikal mereka itu nyata telah menimbulkan suatu kelainan kepada industri hiburan tempatan apabila lebih mengutamakan bakat yang dimiliki berbanding rupa.

Vokal yang kini sudah memasuki minggu ketujuh hanya melibatkan empat peserta iaitu Mafa, Asmidar, Irsa dan Azmarul.

Kelainan yang ditampilkan dalam minggu ini adalah apabila keempat-empat peserta berpeluang beraksi bersama kumpulan muzik terkenal bagi menghidupkan peluang mereka untuk terus memikat hati juri dan juga peminat.

Kumpulan muzik yang diundang untuk membuat persembahan bersama peserta bukan calang-calang apabila membariskan Hujan, Meet Uncle Hussain, Sofarz dan Tilu.

Setiap peserta diberikan peluang menyanyikan dua buah lagu kumpulan yang beraksi bersama mereka di mana sebuah lagu dinyanyikan secara duet manakala sebuah lagi secara solo.

Konsert dimulakan dengan persembahan Mafa berganding dengan Tilu bagi menyanyikan lagu Diam-Diam dan juga Ku Bukan Aku.

Penyanyi kedua yang membuat persembahan, Irsa pula berganding dengan Meet Uncle Hussain untuk menyanyikan lagu Pokok dan Lagu Untukmu.

Persembahan bertenaga pada malam tersebut diteruskan dengan penampilan Azmarul bersama Sofarz menerusi lagu Terasa Di Syurga dan Maaf Dari Hati.

Mengakhiri senarai empat peserta yang tinggal, Asmidar digandingkan dengan Hujan untuk menyampaikan lagu Mencari Konklusi dan Aku Scandal.

Nyata persembahan para peserta pada malam itu mampu meraih komen positif daripada Azmeer dan Erra Fazira selaku juri tetap Vokal.

Secara keseluruhan, antara empat peserta yang membuat persembahan, persembahan Asmidar bersama Hujan mendapat standing ovation daripada kedua-dua juri.

Azmeer memuji persembahan Asmidar kerana itulah yang dinanti-nantikan oleh pihak juri sejak minggu pertama, Vokal dimulakan.

"Ini yang saya mahu dengar dalam pertandingan selepas beberapa minggu, kawalan suara yang cukup baik dan ternyata, gandingan Asmidar bersama Hujan menjadi," jelasnya.

Erra yang juga sependapat dengan Azmeer berkata, walaupun berganding dengan kumpulan yang hebat, namun persembahan Asminda tidak tenggelam.

Erra juga berkata, walaupun berganding dengan kumpulan yang hebat, namun persembahan Asmidar tidak tenggelam dan menonjol.

Dengan komen dua juri tersebut, ia memberi gambaran bahawa persembahan anak jati Kuala Lumpur itu merupakan persembahan terbaik untuk konsert Vokal minggu ketujuh.

Format pemarkahan rancangan itu dibahagikan kepada dua bahagian dimana juri mewakili 50 peratus manakala selebihnya melalui undian khidmat pesanan ringkas (SMS).

Juara Vokal akan memenangi RM50,000 dan naib juara akan memenangi RM30,000.

Full content generated by Get Full RSS.