OHBULAN! |
Provokasi Berunsur Kata-Kata Kesat Punca Awie Mengamuk Di Langkawi! Posted: 14 Dec 2011 04:56 PM PST Siapa yang tidak kenal dengan pemilik nama bernama Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azham Othman. Kelibatnya di persada dunia hiburan baik sebagai penyanyi solo mahupun frontman kepada sebuah band Rock gergasi negara, Wings, sememangnya punya impak besar. Namun seiring dengan kejayaan demi kejayaan yang dilakarnya, Awie juga tidak pernah surut dihempas badai kontroversi apalagi yang membabitkan kehidupan peribadinya. Konotasi daripada pergaduhan demi pergaduhan melibatkan dirinya sedari kemuncak karier hingga kini membuatkan Awie dilabel sebagai 'Artis kaki pukul'. Terbaru, sebuah blog hiburan telah melaporkan Awie terlibat dengan sebuah pergaduhan sehingga dipukul dengan teruk oleh 30 orang penduduk tempatan di sebuah kelab di Pulau Langkawi November lalu dan sekali lagi Awie dituduh dalang utama sehingga pergaduhan tercetus. Susulan daripada dakwaan tersebut, OHBULAN! berjaya menemui Awie bagi mendapatkan penjelasan sebenar berhubung insiden 'dibelasah sampai lunyai' tersebut.
"Mereka mengatakan saya sengaja mencari gaduh dengan penduduk tempatan dan tunjuk besar kepala kepada mereka. Saya ada sebidang tanah di Langkawi, boleh jadi tempat untuk saya mencari rezeki dengan menjalankan perniagaan berunsur perlancongan, mengapa saya perlu berbuat demikian?" ujar Awie di awal perbualan. Awie mengakui dirinya memang terlibat dalam pergaduhan yang berlaku pada 22 November lalu dan menjelaskan insiden tersebut terjadi bermula dengan ketidakpuasan hati seterusnya mengundang provokasi sehingga mencetus pergaduhan fizikal.
"Cuba tengok sendiri, tidak ada satu kesan lebam 'singgah' di badan atau muka saya. Kalau betul saya dibelasah sampai lunyai, saya tidak akan hadir pada majlis hari ini. Jadi dakwaan yang dilaporkan oleh laman hiburan tersebut tidak benar sama sekali," ujar Awie lagi ketika ditemui pada majlis pelancaran Konsert Awie dan Ella, Raja dan Ratu Rock di Istana Budaya petang semalam. Tambah Awie lagi,dia berpendapat bahawa penduduk di sana, seakan-akan seperti menunggu kesilapannya waima kesilapan kecil di tempat mereka untuk dijadikan alasan bergaduh memandangkan dia dan tiga lagi rakannya dikepung hampir 30-40 orang kampung sebaik mereka keluar dari kelab tersebut.
"Dalam ramai-ramai yang cuba memukul saya termasuklah ada di antaranya yang kononnya guru silat, tiada seorang pun yang berjaya menyentuh saya. Mungkin sebab itulah mereka naik angin sehingga ada salah seorang daripada mereka bertindak memecahkan cermin kereta milik kawan saya menggunakan kayu cangkul," jelas Awie. Tambah Awie lagi, kunjungnnya ke kelab tersebut adalah untuk bercuti menikmati muzik di samping memenuhi undangan pihak kelab yang menjemputnya menyanyi di kelab tersebut jauh sekali tunjuk lagak seperti didakwa.
Meskipun pergaduhan tersebut melibatkan pergaduhan berskala besar, namun kedua-dua pihak tidak membuat sebarang laporan polis. Menurut Awie, dia ada pergi ke balai polis, tetapi bukan untuk membuat laporan mengenai insiden tersebut sebaliknya berbincang menyelesaikan pergaduhan tersebut tanpa perlu diakhiri dengan sebarang laporan polis. "Kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak melaporkan sebarang aduan, pihak polis juga bersetuju untuk tidak memperbesar-besarkan kes tersebut sehingga menjadi kes polis,"
Awie dalam masa yang sama juga memberi amaran kepada pihak-pihak yang menyebarkan fitnah mengenai insiden ini agar berhenti dari terus menyebarkan fitnah malah meminta pihak terbabit bersemuka cara baik sekiranya tidak berpuas hati. "Kenapa Langkawi dulu disumpah oleh Mahsuri? Sebab Fitnah! Hentikan fitnah. Jangan sampai terkena sumpahan 'MasAwie'," seloroh Awie mengakhiri perbualan. Full content generated by Get Full RSS. |
Hans Isaac Realisasikan Impian Bikin Konsert Awie & Ella, Raja & Ratu Rock! Posted: 14 Dec 2011 04:00 PM PST Setelah mengorak langkah dengan mewarnai pentas Istana Budaya dengan 'Cuci The musical' (musim 1 dan 2) serta 'Lat Kampung Boy Sebuah Musical', Tall Order Productions (TOP), milik pengarah dan pelakon terkenal, Hans Isaac sekali lagi menghangatkan pentas berprestij negara dengan sebuah konsert yang disifat 'pemanas' panggung Istana Budaya menerusi Konsert Awie dan Ella, Raja dan Ratu Rock. Menggabungkan dua figura berprolifik besar dalam persada hiburan tanah air, Awie dan Ella, terhasilnya konsert ini adalah bersandarkan impian Hans sendiri yang sudah lama menyimpan impian untuk mengadakan sebuah konsert mega menggabungkan dua artis pujaannya ini. "Sejujurnya, saya memang sudah lama memasang impian untuk mengadakan konsert seperti ini beberapa tahun yang lalu, Namun hajat saya terhalang memandangkan jadual ketat Tall order pada masa itu yang lebih menumpukan penghasilan teater dan muzikal,"
Konsert yang berlangsung selama enam hari bermula pada 12 hingga 15 Januari 2012, bakal menghimpunkan dendangan lagu-lagu hits Awie yang dipetik dari kelima-lima album solonya manakala Ella, yang mempunyai lebih dari 20 album solo akan mempersembahkan lagu-lagu pilihannya sendiri khusus buat peminat tersayang. Dari kiri: Pengarah Urusan TOP, Hans Isaac, Timbalan Ketua Pengarah Istana Budaya, Nik Kamarulzaman Husin, Awie, Ella dan Edrie Hashim bersama replika pentas Konsert Awie dan Ella, Raja dan Ratu rock yang bertemakan 'Metal Forest Evergreen' rekaan Raja Malek dan Jia-Wei Loo. Edrie Hashim yang sebelum ini pernah menjadi penerbit album untuk Awie dan Ella menggalas tugas sebagai pengarah muzik untuk konsert ini manakala rekaan pentas pula dipertanggungjawabkan kepada Raja Malek yang sebelum ini pernah menghasilkan rekaan pentas untuk 'Muzikal Puteri Gunung Ledang' dan 'P.Ramlee the Musical' bergandingan dengan pendatang baru dalam industri rekaan dan pembinaan set, Jia -Wei loo. Awie ketika ditemui pada majlis yang sama pula mengakui, gelaran 'Raja Rock' yang diberikan terhadapnya seakan satu beban dan tanggung jawab berat harus digalasnya. "Say tak berapa senang dengan gelaran tersebut, namun saya menganggapnya sebagai satu penghormatan besar buat diri saya sekaligus menjadi peniup semangat agar saya dapat memberi yang terbaik kepada karier saya dari semasa ke semasa,"
Menyaksikan dua figura Rock tanah air ini berduet di atas pentas lewat program hiburan kecil memang perkara biasa, tapi menyaksikan Awie dan Ella 'bersanding' atas pentas, diulangi 'bersanding' atas pentas mega sambil dihiburkan oleh lagu-lagu popular mereka selama hampir dua jam adalah sesuatu yang 'jarang-jarang' berlaku. Justeru, kepada sekalian peminat tegar Rock and Roll khususnya peminat Awie dan Ella, apa tunggu lagi? Jangan lupa temu janji anda menyaksikan Konsert Awie dan Ella, Raja dan Ratu Rock Januari ini. Tiket untuk konsert ini dijual pada harga RM40, RM80, RM140, RM210, RM300, RM400 dan RM450 yang boleh didapati menerusi pembelian secara online di www.ticket2u.biz atau bolehlah menghubungi 03-41478600. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from OHBULAN! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |