Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Kerja amal JimmyPASTINYA ramai yang sudah tahu tentang pergolakan rumah tangga yang berlaku di antara pengacara Jimmy Shanley dan isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy yang ketika ini masih lagi dibicarakan di mahkamah. Dengan kemelut yang melanda pasangan tersebut, ia seolah-olah turut memberi impak kepada hubungannya sebagai bapa kepada anak mereka iaitu Zahrah Shanley yang telah dilahirkan pada 24 Jun yang lalu. Masakan tidak, pengacara yang popular menerusi rancangan Trek Selebriti ini meluahkan sehingga kini dia tidak berkesempatan untuk berjumpa dengan Zahrah setelah kali terakhir menatap anaknya pada bulan Jun lalu semasa baru dilahirkan. Jimmy mendakwa, dia dihalang daripada bertemu dengan anaknya yang kini tinggal bersama keluarga isterinya. "Bapa mana yang tidak sedih kalau tidak dibenarkan untuk berjumpa dengan anak kandung sendiri. Seboleh-bolehnya saya ingin menjadi seorang bapa yang mampu memberi kasih sayang sepenuhnya seperti bapa-bapa yang lain. "Melihat ibu bapa yang membawa anak mereka keluar bersiar-siar, sudah tentu saya ingin lakukan perkara yang sama. Dalam hati, hanya Allah yang tahu tentang perasaan rindu saya terhadap Zahrah," ujarnya yang ditemui pada majlis pelancaran drama Antara Garisan baru-baru ini. Untuk mengubati kerinduan terhadap anak sulungnya itu, Jimmy memberitahu, cuma gambar-gambar sahaja yang menjadi pengubat kelukaan, selain sentiasa berdoa agar anaknya terus berada dalam keadaan yang sihat. Ujarnya lagi, dia hanya berkesempatan dapat bermanja dengan Zahrah sewaktu baru dilahirkan, kini peluang tersebut seolah-olah semakin sukar dan dia seperti dihalang untuk bertemu dengan anaknya itu. "Saya tidak kisah kalau sudah ditakdirkan tidak bahagia untuk menjadi seorang suami. Saya lebih rela sekiranya dapat menjadi seorang bapa yang terbaik kepada anak saya dan mahu melihatnya membesar seperti kanak-kanak lain," ujarnya. Pada masa yang sama, Jimmy secara terus-terang mengaku masih lagi mencintai isterinya itu dan tidak berhasrat untuk melepaskannya, biarpun Suhaila sudah memfailkan penceraian di mahkamah. Akuinya, walaupun kini dia mempunyai ramai kenalan wanita, tetapi dia tidak pernah terfikir untuk mencari pengganti dan terus berharap agar isterinya itu akan kembali hidup bersama dengannya. "Secara terus-terang saya bersedia untuk memberi kemaafan kepada isteri atas segala kesalahan yang dilakukan. Setiap hari saya berdoa supaya Allah dapat melembutkan hati dia. TANPA disedari rumah tangga yang dibina Jimmy dan Suhaila sudah menjangkau usia setahun. "Ibu mertua juga turut memberi nasihat supaya saya tidak melepaskan Suhaila. Buat masa ini, saya sudah lali dengan apa yang berlaku dan menyerahkan semua keputusan kepada mahkamah," jelasnya. Mengenai pendedahannya di Mahkamah Rendah Syariah baru-baru ini dengan mendakwa isterinya itu seorang kaki judi dan perokok yang menjadi punca permasalahan rumah tangga mereka, Jimmy enggan mengulas panjang memandangkan kesnya itu masih lagi dalam proses perbicaraan. Ujarnya, selepas ini dia berharap supaya kes perbicaraan tentang kesnya itu akan dibicarakan secara tertutup supaya tidak mengaibkan mana-mana pihak termasuk dirinya sendiri. "Lagipun sehingga sekarang dia masih lagi isteri saya dan pada masa yang sama saya perlu menjaga nama baik dan reputasi keluarga mertua memandangkan mereka agak dikenali ramai," ujarnya. Ditanya sama ada dia berasa kesal terhadap apa yang menimpa dirinya saat ini, pengacara tersebut memberitahu dia tetap menerima dengan hati terbuka walaupun agak pahit untuk ditelan. "Ada peminat yang memberikan nasihat supaya saya terus tabah dalam mengharungi kehidupan seharian. Bila difikirkan semula, saya rasa patut bersyukur kerana ada orang lain yang lebih tidak bernasib baik," ujarnya. Ceramah motivasi Selain kelihatan tenang dan ceria sewaktu bertemu dalam majlis pelancaran drama Antara Garisan baru-baru ini, ternyata tubuh pengacara itu juga dilihat lebih berisi berbanding sebelumnya. Menurut Jimmy, jika sebelum ini berat badannya cuma sekitar 54 kilogram, tetapi kini berat badannya meningkat kepada 64 kilogram sehingga menampakkan bentuk badannya yang berisi.
"Biasanya kalau tidak ada sebarang pekerjaan, saya lebih suka duduk di rumah dan memasak. Bila ada masa terluang, saya akan mengajak rakan-rakan untuk datang ke rumah dan menjamu mereka makanan yang saya masak. "Bagi saya, itu adalah salah salah satu cara yang mampu saya lakukan dalam usaha untuk melupakan segala masalah yang dialami sekarang ini dan rasa lebih tenang dengan kehidupan sekarang," ujarnya. Menurutnya lagi, kini dia juga telah dilantik sebagai salah seorang ahli jawatankuasa masjid di kawasan kediamannya dan diberi tugas untuk memberi ceramah motivasi kepada kanak-kanak. Ujarnya, ia adalah salah satu aktiviti secara sukarela yang dilakukan ketika ini dan gembira kerana dapat mendampingi kanak-kanak, sekali gus turut dapat mengubat kerinduan terhadap anaknya itu. "Pada masa yang sama, saya kini turut menyertai Islamic Relief Malaysia untuk menjalankan kerja-kerja sukarelawan. Pada bulan hadapan, saya sudah ada perancangan untuk memberikan ceramah motivasi di sekolah-sekolah," ujarnya. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Posted: Masa depan peserta MasterchefOleh HARYATI KARIM CHEF RIZ meminta agar audiens tidak terlalu emosi apabila peserta disingkirkan kerana masa depan mereka tetap cerah. PROGRAM realiti masakan terkenal Masterchef yang ditayangkan di Astro Ria (saluran 104) kini hanya tinggal 8 orang peserta bagi merebut gelaran juara Masterchef sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 serta menerbitkan buku masakan sendiri. Sehingga hari ini, program Masterchef sudah memasuki episod yang yang ke-59. Cabaran yang diberikan semakin hari semakin sukar. Hanya mereka yang berbakat, kreatif dan tabah sahaja akan kekal sehingga ke peringkat akhir kelak. Mengulas mengenai prestasi peserta sepanjang program ini berlangsung, Chef Mohd. Nadzri atau Chef Riz, 29, yang merupakan salah seorang juri tetap program ini berkata, prestasi peserta semakin bagus meskipun kadangkala dia kecewa dengan hasil masakan peserta. "Dalam program ini prestasi peserta saya lihat semakin bagus tetapi ada naik turunnya. Mereka yang sudah sampai tahap top 10 ada masanya mengecewakan saya walaupun masakan mereka okey tetapi ada yang belum cukup baik. "Tetapi dalam ramai-ramai peserta ada tiga dan empat orang yang saya lihat layak berada sehingga ke peringkat final kerana konsisten serta kualiti masakan yang diberikan," ujarnya yang merahsiakan nama-nama peserta yang dianggap terbaik itu. Chef Riz yang merupakan suami kepada aktres Ana Dahlia itu turut menambah program Masterchef bukanlah sebuah program realiti berlandaskan emosi dan membidas penonton yang mempertikaikan keputusan juri ketika proses penyingkiran berlaku. "Penonton harus ingat bahawa ini sebuah program realiti masakan, kita nilai daripada segi rasa, persembahan dan skil masakan seseorang peserta. "Sebaliknya pula yang berlaku terhadap penonton yang cepat berasa kasihan serta emosi contohnya ketika penyingkiran Mohamad Saiful Alip, seorang penoreh getah. "Akhirnya, juara Masterchef mewakili tukang masak amatur di Malaysia. Mungkin pada masa depan mereka akan diundang untuk menyertai program Masterchef negara lain, jadi kita harus bersiap sedia memilih yang terbaik daripada yang terbaik," balasnya. Kesemua peserta Masterchef dikuarantin selama 12 minggu sepanjang penggambaran program berlangsung dan sepanjang itu juga penonton dapat menyaksikan tekanan yang diberikan buat peserta. Kata Chef Riz, tekanan itu sengaja diberikan kepada peserta untuk membiasakan diri mereka dengan situasi dan tekanan sebenar bekerja di dapur sebagai tukang masak profesional. "Memang juri Masterchef sengaja beri tekanan kerana itulah hakikat sebenarnya dalam bidang masakan. Masa diberi terhad, kehendak kami sebagai juri sangat tinggi, jika mereka boleh bertahan maknanya mereka boleh bekerja sebagai tukang masak profesional," tuturnya. Bercakap mengenai masa depan peserta program ini, Chef Riz memberitahu ada antara peserta yang tersingkir pada peringkat awal sudah mula bekerja dalam bidang masakan. "Sebenarnya masa depan peserta bergantung kepada impian masing-masing. Ada yang masuk program ini sekadar ingin mencari pengalaman dan ada yang benar-benar ingin menukar bidang pekerjaan ke bidang masakan.
"Seperti salah seorang peserta, Aishah seorang pemandu lori, dia tidak dapat masuk top 24 tetapi kerana semangat, minat dan impiannya untuk bekerja dalam industri makanan, saya ambil dia bekerja. Sekarang dia bekerja di restoren milik saya, On The Table Cafeteria di Putrajaya," katanya. Timbul minat Seorang lagi juri tetap program Masterchef, Chef Zubir atau nama sebenarnya Zubir Md. Zain, 45, memberitahu kebanyakan peserta program ini mempunyai minat untuk mendalami bidang masakan secara serius. "Walaupun pada peringkat permulaan mereka sekadar mencuba nasib dan ingin pengalaman tetapi apabila mereka masuk program ini, perasaan cinta terhadap bidang masakan bercambah. "Ramai yang tanya saya, apa yang mereka perlu lakukan selepas tersingkir atau program ini tamat. Bagi saya setiap peserta yang keluar daripada Masterchef mempunyai peluang cerah tetapi belum boleh terus jadi chef profesional kerana mereka harus belajar dan bermula daripada bawah sebelum jadi yang terbaik," jawabnya. Kagum dengan semangat yang ada dalam diri setiap peserta Masterchef, kata Chef Zubir andai kata program ini akan diteruskan untuk musim yang kedua pesertanya kelak harus lebih banyak menimba ilmu masakan sebagai persediaan. "Sekurang-kurangnya peserta harus tahu masakan tempatan, Barat dan Asia. Lebih baik jika mereka tahu bagaimana untuk memasak pencuci mulut atau masakan sejuk kerana dalam Masterchef bukannya semua tugasan memasak masakan panas sahaja," ucapnya. Selain bertindak sebagai pengacara dan juri, Chef Zubir, Chef Riz dan seorang lagi juri tetap iaitu Chef Johari Edrus turut terlibat memberi idea dalam pemberian cabaran kepada peserta. Program Masterchef versi Malaysia yang merupakan sebuah program francais di lebih 10 buah negara seperti Amerika Syarikat, Greece, Indonesia, India, Croatia, Australia, New Zealand, Filipina dan Sweden bersiaran setiap hari Rabu sehingga Sabtu pada pukul 9 malam hanya di Astro Ria.c Full content generated by Get Full RSS. | ||
Posted: Kemewahan anak Cruise
PASANGAN Tom Cruise dan Katie Holmes dilaporkan telah menyewa tempat meluncur ais yang ditutup daripada dikongsi orang ramai khusus untuk puteri mereka, Suri, dengan harga RM16,000 selama satu bulan. "Cruise menyewanya selama musim (dingin) ini sehingga tidak ada orang lain yang boleh menggunakannya," ujar sumber kepada New York Daily News. Sebelum ini, Cruise dan Holmes juga dikhabarkan telah membelanjakan sebanyak RM410,000 untuk membeli hadiah Krismas yang diinginkan Suri iaitu seekor kuda poni, subang berlian dan gaun buat anak mereka yang hanya berusia lima tahun itu. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |