Adsense

Rabu, 28 Disember 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Muzik Bunkface bergema di Indonesia

Posted: 27 Dec 2011 06:00 AM PST

PELUANG mendekati jiwa anak muda ini mengungkap seribu macam kisah peribadinya. Namun, seberapa banyak persoalan yang ditanya, sebanyak itu juga pesannya agar segala apa yang disembangkan tidak diterjemah dalam sebuah lembaran cerita.

Kata Shamsul Annuar Mohd Baharom atau lebih dikenali sebagai Sam juga vokalis kumpulan Bunkface, biar episod peribadinya terus kekal dalam simpanannya sendiri tanpa perlu dikongsikan bersama khalayak kerana keutamaan dalam lapangan seni adalah untuk memperdagangkan bakat nyanyian yang ada bukannya mempamerkan kisah diri sendiri.

Kronologi yang pernah meletak nama Sam jauh ke atas adalah kisah cintanya bersama pelakon jelita, Juliana Evans. Ketika itu, wajahnya mula banyak menghiasi majalah dan dada akhbar. Namun, entah apa puncanya, hubungan itu berakhir.

Tatkala mengusik persoalan mengenai itu, Sam tersenyum dan menyifatkan apa yang pernah berlaku adalah pengajaran dan pengalaman tanpa perlu diungkit lagi.


"Saya optimis dan terus pandang ke depan. Saya tidak mahu lagi berbicara soal cinta atau apa saja yang berkaitan peribadi kerana ia sedikit-sebanyak memberikan tekanan kepada saya selain mengganggu perjalanan Bunkface. Lihat saja sebelum ini, wajah saya tidak lagi diletak selari dengan perjuangan muzik Bunkface sebaliknya penuh dengan kisah cinta dan peribadi.


"Cukup-cukuplah dulu ketika baru sibuk mengenal rentak. Kini, saya mula belajar untuk menjadi insan yang lebih berhati-hati dan matang untuk menentukan langkah sendiri," katanya.

Bagaimanapun, kata anak muda berusia 24 tahun ini, kisah cintanya sebelum ini tidak sekali mengundang rasa kesal atau kecewa sebaliknya ia menjadi satu titik permulaan buatnya melihat senario bergelar selebriti dengan lebih luas dan logikal.

"Saya seorang yang berterus terang dan mudah. Saya tidak licik dalam berteka-teki terutama membabitkan soal cinta dan hubungan. Namun, lama-kelamaan saya sedar, sisi peribadi ada kalanya perlu disimpan kemas tanpa meluahkan kepada sesiapa. Lantas peristiwa itu saya jadikan sebagai pengalaman.

"Saya tidak kata menyesal dengan apa yang berlaku. Itulah rencah dan warna menjadi anak seni. Selepas ini apa yang boleh dikatakan, saya inginkan seorang wanita yang memahami dan bukan lagi mereka yang terbabit dalam lapangan yang sama dengan saya. Bukan cuba menyalahkan atau meletak hukum pada hubungan terdahulu sebaliknya itulah keinginan saya sekarang.

"Jujurnya, saya melihat pasangan atau kekasih adalah insan yang tidak henti menyokong dari belakang selain menjadi tempat terbaik meluahkan segala masalah dan perasaan. Mungkin jika datang masanya nanti akan diketahui juga. Saya tidak pernah mencari dan hanya membiarkan ketentuan itu yang datang sendiri.

"Setakat ini, saya lebih selesa sendirian dan meletak sepenuh fokus pada percaturan Bunkface," katanya yang mengakui enggan kisah cinta mengaburi kariernya lagi.

Mengikuti Sam bersama dua lagi temannya, anggota Bunkface iaitu Paan atau nama sebenarnya Ahmad Farhan Hashim dan Mohd Farouk Jaafar (Youk) bulan lalu ketika mereka bertiga sibuk menjelajah kota Jakarta, Indonesia bagi mengintai peluang menembusi pasaran sana, jelas terlihat kesungguhan anak muda ini dalam memperjuangkan muzik mereka.

Sesekali Sam mengusik sambil berseloroh, mana tahu jika tepat percaturan yang dilakukan, mungkin dirinya bersama Bunkface akan menjadi bintang terkenal di serantau Asia Tenggara nanti.

"Alhamdulillah, Bunkface masih bertahan selepas lima tahun memperjuangkan genre dan imej muzik kami. Siapa sangka apa yang kami persembahkan mendapat tempat dan ruang di hati peminat. Namun, sejauh itu perjalanan kami ia tidak semudah yang disangka sebaliknya pelbagai ranjau dan dugaan yang kami tempuhi bersama.

"Kini selepas berpuas hati dengan apa yang kami capai dan lakukan di industri tempatan, kami beranikan diri untuk melangkah setapak lagi ke depan untuk menyebarkan pengaruh muzik kami di Indonesia. Itulah impian kami bertiga dan saya bersyukur akhirnya jalan itu terbuka untuk kami mencuba nasib. Saya tidak mahu meletak keyakinan tinggi melangit, namun apa yang kami lakukan setakat ini adalah permulaan yang baik.

"Insya-Allah jika ada rezeki, kami akan terbang 'menjual' muzik kami di sana pula," katanya.

Bunkface berada di kota Jakarta selama seminggu November lalu bagi mengadakan persembahan di Hard Rock Cafe, Jakarta di depan wakil syarikat rakaman untuk menilai kemampuan dan kekuatan muzik mereka.

Kemudian, kumpulan yang menyuntik eksperimen melodi dalam jalur muzik alternatif rock ini diundang pula menyerikan festival Urban Fest 2011 di Pasar Seni Ancol, Jakarta sebagai satu-satunya bakat Malaysia yang diberi ruang menghiburkan golongan muda di sana.

Tidak hanya itu, Bunkface turut diundang menjadi tetamu istimewa, sekali gus membuat persembahan di program bual bicara popular di sana, Bukan Empat Mata.

Melihat peluang dan profil seni yang dihidangkan buat mereka, Sam yang juga anak kelahiran Basildon, England hanya mampu mengukir senyuman dan menyifatkan apa yang diberikan itu sebagai sebuah cenderahati indah atas segala usaha yang mereka berikan selama ini.

"Memang saya sendiri terkejut pada awalnya apabila diberitahu mengenai undangan ke Urban Fest dan membuat persembahan di Hard Rock Cafe. Maklumlah sejak dulu, ia bagai satu persepsi dan stigma kononnya bakat kita sukar menembusi tembok industri muzik di Jakarta. Lantas apabila kami diterima baik seperti ini, ia sudah tentu satu kenangan dan pengalaman indah buat kami bertiga.

"Kami ke sana untuk mencuba nasib. Mungkin darah muda berkobar-kobar, kami sentiasa memikirkan soal untuk ke depan dan memberikan yang terbaik buat pencinta muzik. Syukur alhamdulillah peluang ini sampai buat kami. Bayangkan Bunkface berada di Hard Rock Cafe dan membuat persembahan di depan wakil syarikat rakaman.

"Paling menggembirakan kami apabila tiga daripada wakil syarikat rakaman yang hadir sudah mula merisik kami. Sekarang semuanya dalam proses perbincangan dan pertimbangan.

"Kami ingin sekali melebarkan pengaruh kami ke sana dan itu sudah tentu menjadi misi terbaru Bunkface ketika ini," katanya lagi yang kini sedang sibuk mengumpul material baru untuk album terbaru Bunkface.

PROFIL

Nama penuh: Shamsul Annuar Mohd Baharom
Tarikh lahir: 11 Disember 1987
Umur: 24 tahun
Tempat lahir: Basildon, England
Keluarga: Anak kedua daripada empat beradik
Kerjaya: Vokalis kumpulan Bunkface dan komposer
Album: Phobia Phoney
Pencapaian: Anugerah Kembara di Anugerah Industri Muzik ke-17, Lagu Rock Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-17 menerusi lagu Situasi, menerima pengiktirafan di Asia Voice Independent Music Awards 2009, Komposer Muda Berbakat di Malam Mesra Badan Pelindung Hak Cipta Muzik (MACP) 2011



Full content generated by Get Full RSS.

Mface tiru facebook?

Posted: 27 Dec 2011 05:38 AM PST

DILAHIRKAN pada tanggal 14 Mei 1984, usianya kini 28 tahun. Namun sejak tiga tahun yang lalu yakni 2008 beliau sudah pun bergelar bilionair, sekali gus diumumkan sebagai juwatan termuda dunia. Kekayaan milik Mark Zuckerberg bukan warisan turun-temurun keluarga sebaliknya bersandarkan aset perniagaannya sendiri.

Facebook, yang berinteraksi sekitar Universiti Harvard pada 2004 mencetuskan fenomena seluruh dunia sehingga menjulang nama Mark.Kejayaan Mark dibaca, memberi inspirasi kepada orang ramai khususnya golongan remaja mengikuti jejaknya.

Berasakan Malaysia juga berkemampuan mewujudkan laman sosial sendiri setanding facebook, pelakon dan pengacara, Datuk AC Mizal memperkenalkan laman sosial pertama Malaysia iaitu Mface.

Membawa pengertian Malaysian Face (Mface), dicetuskan hasil perkongsian idea AC Mizal bersama rakan kongsi juga pengasas laman itu, Tedy Teow.


Majlis pelancarannya diadakan di Hotel Doubletree By Hilton, Ampang, Rabu lalu dan dimeriahkan dengan kehadiran Afdlin Shauki, Zizan Razak, Amyza Adnan, Ezlynn, Aril AF7, Linda dan Diana Rafar, Kumpulan Forteen, Serina Redzuan, Sathiya dan ramai lagi.


Menurut AC, Mface sebuah laman sosial tempatan diilhamkan daripada facebook bagaimanapun konsep yang diketengahkan sedikit berbeza kerana ia membawa pulangan buat pelayarnya.

"Fungsinya sama seperti facebook apabila pengguna boleh mengemas kini gambar, status dan berkongsi perkembangan serta maklumat mereka dengan orang ramai.

"Cuma yang berbeza adalah kita wujudkan laman ini dengan cara yang lebih bijak dan bermanfaat, dengan menawarkan peluang menjana pendapatan kepada 60 artis tanah air yang sama-sama berusaha membangunkan menerusi laman itu.

"Jika sebelum ini golongan artis kerap mengemas kini status dan perkembangan mereka di laman sosial seperti facebook dan twitter secara percuma, penyertaan dalam Mface ini memberikan pendapatan apabila syer mereka dilaburkan ke dalam pasaran saham kelak.

"Setiap seorang artis meskipun mereka pasangan suami-isteri tetap akan diberikan 100,000 unit. Bagaimanapun, sebelum mendapat perolehan syer kita perlu mencapai satu juta pengguna bagi melayakkan laman ini disenaraikan dalam bursa saham.

"Apabila ia disenaraikan dalam bursa saham kelak, semua artis akan menerima pendapatan daripada syer mereka," katanya.

AC menambah, dia berniat membantu golongan artis kerana kebanyakan mereka tidak berpendapatan tetap dan melihat Mface salah satu ruang niaga yang baik
"facebook mahupun twitter menjadi sangat terkenal kerana golongan selebriti turut menggunakan medium itu, sekali gus mempopularkannya tetapi apa yang mereka dapat sedangkan setiap hari pengasasnya bertambah kaya.

"Saya mewujudkan Mface ini supaya artis juga boleh mendapatkan hak mereka dengan melantik 60 artis terawal yang datang mendaftar di pelancaran ini sebagai pemilik syer, MFace.

"Hanya ini mampu saya lakukan untuk menyatakan keprihatinan saya sebagai anak seni dan agar suatu hari apabila sudah tiada saya akan diingat kerananya," katanya.

Cara mendaftar Mface cukup mudah sama seperti facebook atau twitter tanpa memerlukan sebarang modal atau bayaran.

Sebagai bentuk promosi dalam tempoh enam bulan, setiap pemilik akaun Mface yang mengumpul mata tertinggi menerusi kemas kini status mereka pada setiap minggu berpeluang untuk memenangi hadiah iPad 2.

"Pemilik akaun Mface tidak kira golongan artis atau orang awam akan berpeluang untuk memenangi hadiah iPad 2 menerusi mata terkumpul tertinggi yang diperoleh daripada kemas kini status mereka.

"Untuk berlaku adil, pemenang mingguan tidak akan diberi kepada individu yang sama meskipun kita boleh menjangkakan siapakah artis yang mempunyai paling ramai pengikut berdasarkan populariti mereka," katanya.

Merancang untuk meluaskan jaringan Mface ke negara serantau Asia, AC yakin ia bakal diterima rakyat negara ini, sekali gus mencapai sasaran 1 juta pengguna dalam tempoh beberapa bulan dari sekarang.

Untuk menyertai laman ini, pengguna boleh layari www.mface.me. Temubual yang sama, AC turut mengesahkan penerimaan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato' bersempena sambutan hari keputeraan Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah ke-81 pada Khamis.

Pengesahan AC itu sekali gus menepis pelbagai spekulasi yang mempertikaikan pengurniaan itu sebelum ini kepadanya.

"Saya menerima surat pengurniaan Datuk dua tahun lalu pada hari keputeraan baginda yang ke-79. Cuma pengurniaan darjah itu belum dilaksana secara rasmi pada satu majlis dinamakan pengkalungan.

"Apabila ada wartawan menemubual saya, benarkah saya memperoleh gelaran datuk saya mengakulah kerana memang itulah perutusan yang saya terima. Entah bagaimana hal itu menjadi kontroversi.

"Bertitik-tolak daripada kes saya, pihak istana memberi arahan selagi tidak tiba hari pengkalungan maka gelaran datuk tidak boleh diguna walaupun sudah memperoleh surat penganugerahan darjah," katanya.



Full content generated by Get Full RSS.