Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Perubahan radar Sheila On 7BAND Sheila On 7 (SO7) baru-baru ini terbang ke Kuala Lumpur kerana konsert Muzik Fiesta Indonesia di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Ternyata mereka kelihatan mereka masih penuh bertenaga sama seperti zaman kegemilangan mereka ketika popular dengan lagu Dan serta Sephia sekitar 10 tahun lalu. Cuma yang berbeza, kini mereka bukan lagi anak muda sebaliknya band yang dianggotai oleh Duta (vokalis), Eross (gitar), Adam (bass) dan Brian (drum) sudah semakin berkembang kerana masing-masing sudah berkeluarga dan mempunyai komitmen besar selain bermain muzik. Kedatangan mereka ke Kuala Lumpur selama empat hari juga turut membawa gerombolan kru muzik serta semua ahli keluarga masing-masing. Kata vokalisnya Akhdiyat Duta Modjo yang memiliki dua orang anak bersama isterinya Adelia Lontoh: "Memang berbeza, jika dahulu kalau kami mengadakan konsert jelajah dari satu kota ke kota yang lain, kami hanya fikirkan muzik serta keseronokan waktu itu. "Kalau di hotel, orang kiri kanan marah kerana kami yang buat bising, sekarang yang bising itu adalah anak-anak kami kerana jika lokasi konsert itu bersesuaian, kami akan bawa seluruh keluarga." Eros yang baru sahaja memiliki anak lelaki bernama El Pitu Candra pada tanggal 10 Februari lalu menambah: "Kalau naik bas, penuh dengan keluarga dan anak-anak kami sahaja. Sudah seperti pusat asuhan kanak-kanak. Tetapi itu caranya kami menghabiskan masa dengan keluarga. "Kami masih seperti dahulu, masih gila-gila dan suka bermain muzik, cumanya kami lebih fokus terhadap apa yang kami ingin lakukan pada masa hadapan. Setiap perbuatan harus difikirkan kesannya, kerana impak yang datang bukan sahaja kepada kami tetapi juga anak-anak." Meskipun sibuk dengan keluarga, itu tidak bermakna prestasi SO7 menurun, sebaliknya mereka masih sibuk seperti biasa. "Kami sibuk, jika tidak adakan konsert jelajah, kami menerima undangan persembahan. Tetapi pada masa yang sama kami juga seimbangkan masa di rumah dan bekerja. "Kalau waktu dahulu, kami boleh terus bekerja tanpa fikir pulang ke rumah tetapi selepas bernikah, jika terlalu lama di luar, isteri akan telefon menyoal apa yang kami lakukan. SHEILA ON 7 dari kiri: Eross, Brian, Duta dan Adam. Mereka tidak pernah berpecah sejak ia ditubuhkan. "Jika terlalu lama di rumah, isteri juga yang akan menyoal, kenapa lama di rumah, sudah tidak ada kerjakah? Kiranya, kehidupan kami semua lebih lengkap sekarang ini," jawab Duta sambil tertawa. Isu nada dering Jika dahulu jumlah jualan album fizikal yang menjadi penanda aras kejayaan sesebuah album, tetapi kini, album digital serta nada dering juga antara bukti populariti sesebuah lagu atau album. Di negara seberang kini sedang hangat dengan isu nada dering (ring back tone) diberhentikan buat sementara waktu oleh pihak berkuasa kerana didapati terdapat penyelewengan dalam proses pembelian lagu. Ketika disoal isu ini kepada SO7, mereka memberitahu, pembelian nada dering diberhentikan kerana pihak berkuasa mendapati berlakunya penyelewengan sehingga memberi kesan terhadap pendapatan artis serta syarikat telekomunikasi yang terbabit. "Langkah itu hanya bersifat sementara, tetapi buat kami ia satu langkah yang bagus kerana pihak berkuasa menyiasat dan akan menangkap dalang di sebalik penyelewengan pembelian nada dering. "Mereka yang menerima kesan adalah artis yang bergantung seratus peratus pendapatannya terhadap pembelian nada dering tetapi tidak SO7," jawab Duta. Sambung Duta lagi, meskipun jualan album serta lagu dalam bentuk digital mendahului album berbentuk fizikal, tetapi SO7 masih berpegang kuat terhadap jualan album berbentuk fizikal. "Kami tidak terjejas langsung kerana kami lebih utamakan kepada jualan album fizikal. Syukur alhamdulillah, peminat SO7 lebih suka mendapatkan album penuh berbentuk fizikal daripada membeli yang digital.
"Bagi kami sendiri, album fizikal lebih puas diperolehi daripada digital. Walaupun begitu, kami tidak mengatakan yang kami menentang terus jualan digital kerana kami juga terlibat dalam proses perkembangan teknologi. "Cuma, bagi SO7 identiti sebuah band terletak pada albumnya. Jadi, kami akan terus berkarya dan mengeluarkan album berbentuk fizikal kerana ia masih mendapat permintaan yang tinggi daripada peminat, selain untuk kepuasan diri kami sendiri," ujar Duta yang memberitahu peminat boleh berkomunikasi bersama mereka di akaun Twitter SO7. Jutaan unit Bercerita lanjut mengenai album ketujuh berjudul Berlayar yang dilancarkan pada Februari 2011 itu, jualannya sudah mencecah angka 1 juta unit. Malah, SO7 juga menerima anugerah Double Platinum dek kejayaan album tersebut. "Di Indonesia selepas lagu single Hari Bersamanya, kami sekarang sedang promosi lagu single kedua. Ada daerah yang popular dengan lagu Hujan Turun dan ada daerah pula popular dengan lagu Pasti Kubisa. "Kami tidak kisah mana satu lagu yang menjadi hits, kerana dalam album Berlayar semua anggota SO7 ada menyumbang lagu. Album Berlayar juga dirasakan album terbaik kami kerana ia memuatkan semua cerita naik turun, serta suka duka kami sepanjang kewujudan SO7," jelas Eros. Disoal bagaimana mereka bersaing dengan band-band baharu yang muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan di Indonesia, dengan nada merendah diri, kata Eros mereka bermain muzik daripada hati. "Lagu yang dibikin daripada hati dan perasaan yang benar itu lagi lama bertahan dan mudah menyentuh perasaan orang yang mendengarnya. "Selain itu, kami masih mengekalkan identiti muzik kami sambil menambah elemen baharu yang segar untuk peminat. Jika orang dengar muzik kami, sudah tahu itu muziknya SO7. Mungkin kerana itu, kami masih dikurniakan rahmat dan peminat terus menyokong kami," balas Eros yang menyimpan impian untuk mengadakan konsert di Malaysia lagi. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Posted: Zuriat sulung Along, Shuib Raja LawakOleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA SITI SARAH dan Shuib bakal muncul dengan single duet mereka, Cinta Itu Nyawa. TERNYATA rezeki Along Cham bukan sahaja murah dalam bidang seni tetapi juga kehidupan peribadinya. Terbaru, dia baharu sahaja menimang cahaya mata lelaki pada 12 November lalu setelah mendirikan rumah tangga pada 23 Januari tahun lalu. Biarpun pada mulanya pelawak kelahiran program Raja Lawak ini dikhabarkan bakal menimang cahaya mata kembar, namun, Tuhan lebih menyanyangi seorang daripada anaknya itu. Tidak menyalahkan takdir, Along berkongsi pengalaman sedihnya mengenai isterinya, bekas peserta Akademi Fantasia 4, Zila atau Azilah Seeron Nur, 22,yang keguguran seorang anak mereka ketika kandungan baru mencecah dua bulan. "Ketika kejadian kami berada di Genting Highlands untuk Anugerah Bintang Popular tahun lalu. Akibat tekanan tempat tinggi dan kandungan Zila masih belum kuat iaitu dua bulan. Seorang daripada anak kami meninggal di dalam kandungan," katanya sedih namun gembira dengan kelahiran anak lelakinya yang dinamakan sebagai Ahmad Danial. Terlalu gembira dengan kelahiran anak sulungnya itu, Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad, 28, berkongsi video kelahiran putera sulungnya dan Zila, kepada media di kala pertemuan selepas sidang media Anugerah Bintang Popular 2011 di Holiday Villa, Subang. Malah, air mata pelawak itu tertumpah tatkala melihat dan memangku anaknya Ahmad Danial. "Alhamdulillah Zila selamat melahirkan anak kami yang seberat 2.55 kilogram itu di Hospital Pakar An-Nur, Bangi, Selangor. Memang saya menangis kegembiraan apabila melihat Ah mad Danial lahir. Patutlah syurga di bawah telapak kaki ibu. "Baru saya tahu betapa sukarnya seorang ibu yang melahirkan anak. Zila hampir pengsan ketika meneran," katanya kini lebih menghargai isteri dan ibunya selepas melihat kesengsaraan yang dialami mereka ketika melahirkan anak. Biarpun sibuk, Along sering berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Johor Bahru untuk berjumpa isteri dan anaknya yang sedang berpantang. Tegasnya, setelah menjadi bapa dia perlu lebih bekerja keras untuk membesarkan anaknya. Bercerita tentang nama Ahmad Danial, kata Along yang merupakan pelakon utama Alamak Toyol itu, nama tersebut dipilih oleh pakar motivasi terkenal, Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah. "Saya tanya pada Datuk Fadzilah Kamsah nama apa yang sesuai dan elok diberi kepada anak saya. Kata dia, tahun ini elok sekiranya cari nama yang berkaitan dengan nama nabi atau pemimpin di zaman Rasulullah," katanya yang memanggil nama Ahmad Danial sejak anaknya itu masih di dalam kandungan lagi. Mungkin sebab nama tersebut biasa dipanggil Along, menurutnya, anaknya itu kini akan bertindak diam tatkala namanya disebut Along ketika dia menangis. Uwais Alqarni Sementara itu, penyanyi lagu Kesetiaan, Siti Sarah Raisuddin, 27, dan suaminya anggota Sepahtu, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 27, juga baru sahaja menimang cahaya mata lelaki pada 4 Disember lalu di Hospital Pakar Ampang Putri, Selangor. Biarpun kelahiran anak mereka dilakukan secara pembedahan kerana dikatakan jantung bayi dalam kandungan Siti Sarah lemah, namun tiada apa yang lebih menggembirakan pasangan ini saat bayi comel yang diberi nama Uwais Alqarni selamat dilahirkan pada pukul 10.19 pagi.
Shuib ketika dihubungi Kosmo! melahirkan rasa syukur dan merasakan kehadiran cahaya mata sulung berkenaan umpama tuah yang menyinari hidup mereka pada masa kini dan akan datang. "Dialah tuah saya dan Sarah untuk tahun 2011. Kehadirannya memberi saya semangat dan inspirasi untuk lebih maju di masa akan datang terutama tahun 2012 yang bakal menjelang. "Memang pada asalnya saya nak letak nama dia Tuah Uwais Alqarni sebab saya menganggap kelahirannya merupakan tuah saya dan Sarah tetapi disebabkan maksud nama asalnya lari jadi saya mengekalkan nama Uwais Alqarni sahaja," kata Shuib mengenai nama anaknya yang dipilih bersempena nama seorang lelaki yang hebat dan gagah di zaman Rasulullah. Shuib juga menganggap Uwais tuah kerana ketika Siti Sarah mengandungkan anaknya itu, dia bersama kumpulan Sepah berjaya memenangi pertandingan Maharaja Lawak. Malah, selepas Uwais lahir, rezeki Shuib dalam bidang lakonan dan nyanyian bersama kumpulan Sepahtu mencurah-curah. "Memang betul orang cakap rezeki anak. Ketika Sarah mengandung sehinggalah Uwais lahir rezeki saya dan Sarah tak putus-putus. "Sekarang, saya banyak menerima tawaran lakonan solo. Salah satunya adalah telefilem Astro berjudul Bila Shuib Speaking London. Saya juga sekarang sedang merakam lagu untuk Sepahtu bersama Jep dan mengadakan persembahan di beberapa negeri," tuturnya. Tambah Shuib: "Single saya dan Sarah berjudul Cinta Itu Nyawa juga sekarang dalam proses mixing," ujarnya. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Posted: Konsert percuma YunaYUNA di samping T. Kugan. KEUNIKAN vokal dan personalitinya membuatkan Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai, 25, berada dalam kelasnya tersendiri. Lagu Dan Sebenarnya mengangkat nama Yuna biarpun ketika itu khalayak masih tidak mengenali wajah dan personaliti sebenarnya. Kini, dia cukup dikenali malah tuahnya berterusan apabila dia dinobatkan sebagai Penyanyi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular (ABP2010) dan tersenarai dalam anugerah-anugerah dalam industri seni. Dia juga kini dalam usaha mengembangkan bakatnya keluar negara iaitu Amerika Syarikat. Impak popularit, bakat dan kreativiti mencipta lagu, Yuna mencipta sejarah dengan menjadi artis pertama diberi peluang mengadakan konsert maya pertama di Asia oleh Hotlink. Konsert yang akan berlangsung pada 14 Disember ini akan berlangsung secara percuma buat 10,000 pelanggan Hotlink yang bertuah. Pelanggan Hotlink hanya perlu membuat tempahan tiket di laman web www.nowyoucan.my/yuna dan mereka boleh melihat konsert Yuna secara maya itu menerusi kamera online seperti telefon bimbit mahupun komputer riba. Menurut Ketua Bahagian Produk, Peralatan, Inovasi dan Perantauan Maxis, T. Kugan, pihaknya begitu teruja untuk menjayakan konsert pertama maya itu yang nyata sesuai dengan tagline mereka Kini Anda Boleh (Now You Can). "Kami memilih Yuna kerana dia seorang artis yang diminati ramai dan dia juga pandai mencipta lagu sendiri. Yuna juga sukacita memberitahu dia ingin bekerjasama untuk menjayakan konsert yang boleh ditonton eksklusif secara online ini. Konsert ini adalah khas buat peminat-peminatnya yang terdiri daripada pelanggan Hotlink," katanya pada sidang media konsert secara maya Yuna di The Bee, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. BAKAT, kreativiti dan populariti Yuna meraih kepercayaan dan begitu dihargai banyak pihak. Malah, kata T.Kugan, Yuna akan mendendangkan lagu terbaharu ciptaannya dan ia akan didendangkan buat pertama kalinya di hadapan 10,000 peminatnya. T. Kugan juga memberitahu, jika konsert ini mendapat sambutan yang menggalakkan pihak Hotlink akan berterusan menjayakannya pada masa akan datang dengan jumlah penonton yang akan ditambah. Pihak Hotlink juga akan cuba memilih artis-artis terkenal lain untuk menjayakan konsert secara maya itu. Sementara itu, bagi Yuna, dia begitu teruja kerana dipilih sebagai artis pertama untuk menjayakan konsert secara maya itu. "Adalah sesuatu yang unik apabila saya perlu membuat persembahan di hadapan kamera dan penonton tiada di depan mata. sebaliknya mereka melihat persembahan saya itu menerusi kamera online," katanya yang anggun mengenakan baju dan tudung berwarna merah. Melalui konsert pada 14 Disember ini, penonton online boleh memberi tajuk pada single terbaharu Yuna dan mungkin berpeluang muncul pada video muzik untuk kempen promosi single berkenaan Penonton yang telah membuat tempahan pada konsert itu boleh mendaftar masuk bermula pada pukul 7 hingga 7.45 petang untuk menonton konsert itu secara eksklusif. – FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |