Harian Metro: Rap |
Posted: 09 Dec 2011 04:26 AM PST PENAMPILANNYA menerusi sinetron Safa dan Marwah, Nikita dan terbaru, Putri Yang Ditukar kini rancak disiarkan di TV3 setiap Isnin hingga Khamis, jam 2 petang semakin menyerlahkan bakat lakonan bintang remaja Indonesia, Nikita Purnama Willy atau Nikita, 17. Lakonan gadis kelahiran Jakarta, yang sopan dan penuh emosi sebagai Amira dalam sinetron yang mula disiarkan sejak 27 September lalu, menunjukkan kematangan dalam membawakan watak. Penampilan Nikita sekali lagi menarik perhatian dan sebutan peminat sinetron tanah air. Penerima Anugerah Artis Paling Digemari Peminat pada Anugerah Panasonic Gobal dua tahun berturut-turut itu membuktikan usia bukan halangan buatnya melakonkan watak yang lebih dewasa. Seperti lakonan, sisi peribadi gadis genit ini turut mendapat perhatian ramai. Terutama selepas tersebarnya beberapa gambar seksi seterusnya gambar berparti bersama teman lelaki yang disebarkan di ruang maya membuatkan ada yang melabelkan Nikita semakin remaja liar dan gemar bersosial.
Mengulas tuduhan itu, Nikita menganggap ia sebagai gosip biasa dan tidak perlu diperbesar-besarkan. Apa yang lebih penting buatnya, dia tahu apa yang berlaku dan begitu juga ibu bapanya yang sering memberi sokongan. "Saya sering ditemani ibu sebagai pengurus jika terbabit dalam aktiviti seni. Paling tidak teman rapat atau penerbit malah ibu bapa juga tahu ke mana saja saya pergi. "Gambar-gambar seperti yang disebarkan di Internet itu hanya gambar biasa dan saya sendiri tahu batasannya. Tidak timbul langsung soal saya semakin liar atau gemar bersosial," katanya. Nikita yang mula berlakon sejak usia lapan tahun, dikaitkan mempunyai hubungan istimewa dengan Bara Tampubolon dan terbaru, bersama pemain bola sepak kebangsaan Indonesia, Diego Michiel. Kata Nikita, dirinya masih solo biarpun mempunyai ramai teman lelaki. Buat masa ini dia mahu menumpukan bidang seni terlebih dahulu. Nikita akui, pembabitannya dalam dunia seni pada awalnya tidak mempunyai perancangan untuk terbabit dalam dunia hiburan. Namun selepas diberi peluang oleh bapa saudaranya yang mengambilnya sebagai pelakon iklan dan terjun dalam bidang peragaan pada zaman kanak-kanak, membuatkan dirinya semakin berani untuk menceburi dunia lakonan. Apa pun kata Nikita, dia menaruh impian bergelar doktor suatu hari nanti dan lebih selesa terbabit dalam lakonan berbanding nyanyian. Memandangkan didedahkan dalam lakonan sejak kecil jadi tidak timbul banyak masalah ketika terbabit dalam penggambaran. "Jika menyanyi saya masih ada perasaan gementar dan boleh dianggap masih baru berbanding lakonan. Begitupun saya sentiasa ingin mencuba apa saja yang membabitkan bidang seni. "Saya sentiasa meletakkan sasaran melakukan yang terbaik terhadap kerjaya yang diceburi. Alhamdulillah, usaha saya berbaloi apabila menerima anugerah Artis Paling Digemari pada Anugerah Panasonic Globel yang saya idamkan sejak kanak-kanak lagi. "Namun saya masih belum puas dan mahu berusaha tampil dalam seberapa banyak sinetron dan filem yang boleh, seterusnya menambah koleksi anugerah," katanya. Nikita yang turut ditemani produsernya, Natasha Lam, bangga kerana lagu nyanyiannya dipilih sebagai runut bunyi sinetron Putri Yang Ditukar. Lagu Kutetap Menanti mencatat sejarah sebagai muat turun nada dering tertinggi melebihi satu juta. Sinetron berkenaan juga mencatat jumlah penonton tertinggi di kalangan stesen televisyen nasional Indonesia. Katanya, jadualnya sangat padat untuk menyiarkan Putri Yang Tertukar yang mempunyai lebih 200 episod hingga selama hampir dua bulan tidak berehat. Selepas promosi single terbaru, Lebih Dari Indah di Kuala Lumpur, Nikita yang gemar membeli belah dan melancong mempunyai perancangan untuk menjelajah seluruh Asia selain memikirkan untuk bercuti di Amerika Syarikat jika semuanya berjalan lancar. Mengenai nyanyian, Nikita yang sudah mempunyai lima lagu iaitu Kutetap Menanti, Lebih Dari Indah, Tafakur (lagu Ramadan), Maafkan dan lagu duet bersama Oskar Mahendra, mempunyai perancangan menghasilkan album penuh selewat-lewatnya Januari depan. "Setakat ini album saya sudah hampir 80 peratus siap. Saya sudah mempunyai lima lagu dan mungkin tambahan untuk satu atau dua lagi lagu untuk melengkapkan album penuh. "Jika tiada aral, album penuh dijangka siap awal tahun depan. Siapa tahu jika ada rezeki saya dapat mempromosikan album pertama saya di Malaysia," katanya. PROFIL NAMA PENUH: Nikita Purnama Willy |
Kami ‘tak makan’ penulis Posted: 09 Dec 2011 04:12 AM PST KENYATAAN penulis novel Ombak Rindu, Fauziah Ashari menerusi artikel Memang Tak Berbaloi dalam ruangan Interaksi Rabu lalu, mengundang episod kontroversi terbaru filem ini. Luahannya yang menyifatkan penerbit novel ini, Alaf 21 seakan tidak adil, ternyata kurang disenangi Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub.
Beliau bersama Penerbit Eksekutif Alaf 21, Firdaus Hussamuddin, Penasihat Alaf 21, Nordin Mohamed dan peguam Alaf 21, Zuwita Kamaruzaman tampil menjawab dakwaan ini pada sidang media khas yang diadakan di pejabat Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam, semalam untuk memberi penjelasan dan gambaran sebenar apa yang berlaku. Katanya, perbincangan untuk adaptasi novel kepada filem bermula pertengahan 2009 apabila mereka dihubungi Tarantella Pictures Sdn Bhd untuk meminta kebenaran mengangkatnya ke filem.
Hussamuddin mengakui antara novel terbaik terbitan Alaf 21 ialah Ombak Rindu
"Kalau Fauziah pernah dapat lebih RM200,000 tanpa filem, bayangkan berapa dia akan dapat sekiranya filem ini meletup. Kami dah ulang cetak Ombak Rindu sebanyak 20,000 keping dan habis dan ulang cetak lagi 20,000. "Saya jangkakan fenomena ini boleh pergi jauh mungkin kami akan cetak lagi banyak. Kalau jumlah 40,000 kami cetak terjual, dia akan dapat sekurang-kurangnya RM50,000. "Jadi kami rasa perlu perjelaskan di sini, adalah tidak adil memberi kenyataan yang boleh memberi gambaran kami 'makan' penulis. Fauziah tahu kerana dia sudah tandatangan kontrak. Kalau dia tidak baca, itu salahnya sendiri. Dia seorang penulis sepatutnya dia kena jadi seorang pembaca. "Kami nak jelaskan juga, Fauziah dan juga semua penulis-penulis Alaf 21 sudah menandatangani kontrak untuk memberi kuasa kepada kami menguruskan buku, penerbitan dan kami berhak secara mutlak menerbitkan karya ini dalam penerbitan lain seperti pementasan filem, video, 3G dan apa juga bentuk mengikut perkembangan teknologi elektronik. "Kami juga diberi kuasa untuk mengurus dan buat keputusan. Sebelum kewujudan Alaf 21, novel-novel di Malaysia hanya dijual sekitar 3,000 hingga 5,000 naskah sahaja dan adakalanya lima tahun pun tidak habis. Tapi sejak kemunculan Alaf 21, bayangkan novel boleh dijual sehingga ratusan ribu hingga kami bayar royalti dengan jumlah ratusan ringgit kepada Fauziah. "Biasanya novel hanya meletup sekejap sebelum menurun jualannya. Apabila kami lihat stok dalam gudang tidak laris dan kami didatangi untuk dijadikan filem, kami buat keputusan untuk menjual dengan harga yang kami rasa patut. Kita tahu graf jualan filem di Malaysia pun tidak bagus sangat sebelum ini. "Bila novel ini dijadikan filem dan ia meletup di pasaran, novelnya juga kembali meletup," katanya. Menjawab pertanyaan mengapa tidak meminta lebih dari produser filem, Hussamuddin berkata, dia menyedari kesukaran kos yang perlu dikeluarkan dan tidak mahu membebankan mereka. Baginya, ini adalah situasi menang-menang kerana walaupun Fauziah tidak dapat banyak dari filem, dia boleh mendapatkan hasil menerusi royalti. Bahkan Fauziah perlu berterima kasih kepada Alaf 21. "Sebagai penerbit, kami sentiasa terbuka menerima pandangan dan menjaga kepentingan semua pihak. Saya mahu menutup isu ini. "Saya juga tidak berhasrat mengambil tindakan terhadap Fauziah dan sudi menjalinkan kerjasama selanjutnya," katanya.
|
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |