Adsense

Sabtu, 10 Disember 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Supermodel Wilson

Posted: 10 Dec 2011 12:29 AM PST

Hip

KACAK, bertubuh tegap dan tinggi mencecah 190 sentimeter - semuanya membentuk pakej sempurna Wilson Tan di pentas peragaan. Di sebalik status supermodel lelaki Malaysia, jejaka ini tanpa berselindung berkongsi rahsia diri. Mari dekati figura ini...

ANDAI supermodel wanita Malaysia menyaksikan nama-nama besar seperti Tengku Azura, Amber Chia dan Tinie gah beraksi di pentas peragaan, Wilson Tan tidak kurang hebat mewakili kelompok model lelaki.

Biarpun baru tiga tahun bertapak dalam bidang glamor itu, Tan segera mencipta fenomena dalam dunia fesyen tempatan lalu melonjak dirinya ke puncak kemasyhuran. Kesungguhan untuk bergelar model berjaya, diiringi minat serta tekun mendalami ilmu peragaan dan fesyen, menjadi azimat jejaka kelahiran Grik, Perak. Ditambah dengan pakej sempurna dan ketinggian ideal persis model antarabangsa, Tan umpama aset yang perlu tampil di setiap pentas peragaan atau majalah fesyen.

Ketika bertemu Tan, anak muda ini mengakui bukan mudah berdiri dengan nama-nama besar dalam bidang peragaan andai semangat serta kesungguhan untuk belajar tidak berada di genggaman.

"Ketika peringkat awal pembabitan saya pada 2008, selama enam bulan saya tidak menerima tawaran pertunjukan fesyen lalu terfikir apa yang saya sudah buat. Mengapa tidak, sebelum itu saya sudah memiliki kerjaya selesa sebagai jurutera yang mengkhusus dalam bidang minyak dan gas.

"Namun, inilah kisah pengorbanan saya. Andai anda bertanya apakah saya menyesal meninggalkan profesion dulu, sudah pasti saya jawab tidak. Ini kerana apabila saya memutuskan mahu menjadi model, saya berazam menjadi seperti supermodel Amber Chia dalam versi lelaki," kata jejaka lulusan kejuruteraan kimia dari Universiti Sains Malaysia (USM) ini.
Ditanya rahsia mencipta kejayaan sepantas tiga tahun, Tan berkata, beliau sudah tidak ada banyak masa kerana mengambilkira usianya yang mencecah 29 tahun, ia sudah dikira lewat berbanding muka baru yang lazimnya menjadi model sejak berumur 18 tahun.

"Saya fikir, amat penting bagi seseorang model mencipta identiti sendiri seperti cara berjalan, teknik fotografi selain pakej diri. Jika hendak memperkatakan soal model lelaki, sudah ramai bilangan mereka. Namun, siapa yang benar-benar memenuhi definisi 'model' serta mampu memberi impak dan gaya tersendiri.... Itulah yang sukar dicari," katanya.

Jom kenali jejaka tampan ini...

Mengapa anda sanggup meninggalkan profesion dalam bidang kejuruteraan untuk menggapai impian bergelar model?

Memang ini suatu keputusan berat bagi diri saya. Sudah pasti ia juga mendapat maklum balas kurang menyenangkan daripada keluarga. Tetapi, saya berazam untuk
membuktikan tanggapan yang salah. Ini kerana bagi saya, bidang peragaan boleh membawa kejayaan asalkan ada kesungguhan untuk itu.

Terus terang, saya lebih berminat dengan dunia peragaan daripada melakukan tugas dalam bidang kejuruteraan atau melakukan kerja pejabat.

Bagaimana anda mampu mencipta kejayaan pada usia lewat 20-an sedangkan model lain mula berjinak-jinak dalam industri ini sejak usia belasan tahun?

Penampilan serta pembawaan diri kita menjadi kunci kejayaan. Seperti saya nyatakan, identiti diri itu perlu sekalipun menjadi model lelaki. Saya percaya, kesungguhan serta komitmen yang tinggi terhadap apa saja yang kita lakukan pasti membawa kejayaan.

Bagaimana anda mampu mencipta nama sepantas ini?

Pencapaian serta anugerah yang mengiktiraf saya menjadi antara pendorong melakar kejayaan. Ini sangat dirasakan terutama apabila saya menjulang anugerah utama pada acara Asia Model Festival Awards 2011 (AMFA) di Seoul, Korea, awal tahun ini.

Anugerah ini memang bermakna bagi diri saya dan membuktikan usaha saya untuk bergelar model tidak sia-sia.

Ceritakan lebih lanjut pencapaian anda dalam industri peragaan?

Sebenarnya, saya pernah mendapat tawaran melakukan tugasan peragaan dan penggambaran majalah sebaik menerima anugerah dalam kategori peragaan di World Championship of Performing Arts (WCOPA) 2009 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Tetapi, tawaran itu memerlukan saya menetap di New York. Oleh kerana memikirkan ibu bapa, saya batalkan hasrat itu. Tetapi, saya tekad, jika menerima tawaran sama pada masa depan, mungkin saya akan melebarkan sayap ke Eropah untuk tugasan singkat. Ini sudah tentu boleh dianggap suatu pencapaian bagi model tempatan mencipta nama di luar negara.

Apakah impak yang anda ingin tinggalkan dalam dunia peragaan tempatan?

Saya baru selesai projek bengkel grooming dikenali sebagai Dreams di mana saya menjemput seramai 30 peserta lelaki dan wanita untuk mempelajari seni menambah keyakinan diri serta mendalami kunci kecantikan dalam diri.

Selain tip berguna untuk mereka yang minat menceburi bidang peragaan, inilah ruang sebenar untuk mereka yakin dengan kemampuan diri. Bagi saya, semua orang boleh menjadi model.

Siapa inspirasi anda dalam bidang peragaan?

Saya melihat Amber Chia sebagai seorang yang boleh dijadikan contoh. Dia sendiri cukup merendah diri serta model-model senior lain. Saya mengkaji dan bertanya kepada mereka yang berpengalaman selain melihat beberapa perkembangan baru di Youtube atau internet.

Boleh ceritakan suka duka anda dalam dunia peragaan?

Terus terang, bukan mudah untuk meraih kepercayaan orang tanpa usaha bersungguh-sungguh. Saya masih ingat, saya terpaksa berulang-alik dari tempat kerja di Terengganu ke Kuala Lumpur semata-mata mahu memenuhi tawaran peragaan pentas.

Tugasan besar pertama saya ialah pertunjukan fesyen jenama SEED pada 2008. Saya masih ingat, saya diberi tugas itu pada hari peragaan lalu saya jadi panik. Tetapi itulah antara pengalaman saya sebelum saya mula mendapat tawaran lain termasuk dari gedung fesyen terkemuka seperti Gucci.

Apa perancangan masa depan anda?

Saya melihat sesuatu yang cukup positif dalam hidup dan mensasarkan lima tahun lagi untuk memiliki akademi peragaan sendiri. Ketika itu, saya tidak tahu apakah saya masih lagi bergelar model atau sekadar menguruskan akademi peragaan.

Profil
Nama: Wilson Tan Siong Ping
Umur: 29 tahun
Tarikh lahir: 9 Februari 1982
Tempat lahir: Grik, Perak
Tinggi: 190 sentimeter
Berat: 77 kilogram

Pencapaian dan anugerah

  • Model Top Star Award/Best Asia Model Awards sempena 6th Asia Model Festival Awards 2011 pada Januari 2011, Seoul, Korea
  • 50 Gorgeous of Female Magazine (Malaysia ) 2010
  • Model Industrial Awards 2009, finalis World Championship Of Performing Arts in Hollywood (WCOPA), Los Angeles, Amerika Syarikat
  • Pingat perak kasual dan formal wear (kategori model lelaki di World Championship of Performing Arts (WCOPA) 2009 di Hollywood, Los Angeles)
  • Finalis Ford Model Supermodel Of The World 2009
  • Pemenang World Star 2009 - Road To Hollywood (kategori model)
  • The Best Legs and Sexiest Models 2009 in Malaysia - The Top 10 Walk Of Fame by FACES Magazine
  • Mewakili Malaysia di 1Malaysia Fashion Week 2010 (10-18 April 2010) Washington DC, Amerika Syarikat
  • Mewakili Malaysia di Malaysia Fashion Week 2008, Potters Fields Park (30 Julai - 3 Ogos 2008) London, England.
  • Full content generated by Get Full RSS.

    Wajah lumayan

    Posted: 09 Dec 2011 09:07 AM PST

    Hip

    LALUAN direntasi Kareena Kapoor cukup menarik untuk disorot. Dibesarkan dalam keluarga berdarah seni, Kareena sudah terbiasa menjadi tumpuan media sejak usia muda, namun hanya memperoleh peluang pertama untuk berlakon pada 2000 menerusi filem, Refugee.

    Namanya melonjak menerusi filem melodrama, Kabhi Khushi Kabhie Gham yang mencipta kejayaan luar biasa di pasaran antarabangsa pada 2001. Bagaimanapun, kejayaan itu tidak menjamin ruang selesa bagi gadis yang dilahirkan di Mumbai, India pada 21 September 1980 ini.

    Kerap disogok watak serupa, Kareena menerima kritikan hebat membuatkan dia bingkas mencari peranan mencabar supaya tidak terus dibelenggu dalam peranan stereotaip. Serlahan bakat sebenar Kareena dapat dilihat selepas melakonkan watak pekerja seks dalam Chameli pada 2004 yang menjadi titik permulaan untuk dia meneroka peranan berat. Dua filem seterusnya iaitu Dev (2004) dan Omkara (2006) memperlihatkan keunggulan Kareena untuk berada dalam senarai utama aktres pilihan. Lalu, bukan sesuatu yang mustahil jika hari ini, Kareena selesa menuai pelbagai tawaran lumayan termasuk terbaru, menerima peratusan keuntungan daripada filem yang bakal dibintanginya, Heroine.

    Tawaran itu sekali gus meletakkan Kareena dalam senarai eksklusif superstar Hollywood yang menerima bayaran lumayan daripada hak cipta filem.

    Ia bergantung kepada projek dan pelakon itu sendiri. Tiada siapa yang mengetahui bagaimana perancangan itu disusun. Namun bersesuaian bajet dikeluarkan, saya akui menerima bayaran agak lumayan tetapi keuntungan bukan milik saya seorang, sebaliknya akan dikongsi bersama, katanya.

    Kalendar 2011 bakal ditutup Kareena dengan pencapaian cemerlang apabila dua filem yang menampilkannya sebagai watak utama, Bodyguard dan Ra.One mencatat kutipan luar biasa. Sebelum memberi persetujuan membintangi Heroine, Kareena pernah dilamar dua kali tetapi ditolak penerbit yang tidak bersetuju dengan bayaran ditetapkannya.
    Bagaimanapun, isu itu berjaya diselesaikan dan Kareena dilaporkan menerima habuan besar melebihi RM4.2 juta, mengatasi Aishwarya Rai Bachchan untuk diletakkan sebagai aktres dengan bayaran paling lumayan.

    Saya tidak pernah membincangkan isu bayaran di media namun untuk Heroine, saya cuma menerima apa yang sepatutnya saya terima, katanya.

    Aishwarya pada asalnya menjadi pilihan membawakan watak utama dalam filem itu, namun Kareena dipilih sebagai pengganti apabila bekas Ratu Cantik Dunia 1994 mengumumkan kehamilannya.

    Karakter dalam filem itu tidak jauh beza dengan diri saya, jadi saya berharap dapat membawakan watak itu dengan baik, katanya yang memulakan penggambaran Heroine, akhir bulan lalu.

    Apa yang diterima Kareena itu tidak mengejutkan penggiat industri perfileman Bollywood, apatah lagi dia memiliki trek rekod filem pecah panggung yang mengagumkan. Persoalannya, apakah cara Kareena itu akan mencipta satu trend baru kepada dunia perfileman Bollywood?

    Penerbit-pengedar filem, Shyam Shroff yang pernah menghasilkan filem seperti Chandni Bar berkata, konsep itu tidak akan berhasil di India.

    Cuba ambil contoh lima filem yang meraih pendapatan tertinggi sepanjang lima tahun lalu, kemudian nilaikan sumbangan yang dilakukan oleh pelakon utama wanita dalam produksi berkenaan, katanya.

    Faktor lain, katanya, sifat kurang telus yang diamalkan sebahagian besar pemain industri perfileman di negara itu menyebabkan perkongsian keuntungan sulit untuk dilakukan.

    Cara pengendalian bisnes di sini mendesak pengamalnya supaya berurus niaga dengan menerima pendahuluan, berbanding menanti keuntungan jangka panjang, katanya.

    Biarpun diletakkan dalam kelompok antara artis wanita yang menerima bayaran tertinggi, namun apa yang diperoleh Kareena itu cuma separuh pendapatan sepupunya, aktor Ranbir Kapoor. Tetapi itu tidak bermakna Bollywood mengenepikan peranan pelakon wanita kerana Madhuri Dixit dilaporkan pernah menerima bayaran melebihi pelakon utama lelaki dalam beberapa filem dibintanginya.

    Namun, keselesaan itu tidak menjadi ruang untuk mereka beraksi di layar perak. Nama Aishwarya pernah digugurkan daripada sebuah produksi dan diganti Amisha Patel apabila dia dikatakan meminta bayaran mencecah RM600,000 untuk 10 hari penggambaran di Mangal Pandey.

    Peningkatan bayaran di kalangan aktres menyebabkan ramai penerbit mengeluh. Kebanyakan mereka berpendapat, sebahagian besar pelakon utama wanita tidak layak menerima bayaran diminta.

    Mampukah pelakon wanita hari ini menarik penonton untuk memenuhi pawagam pada hari pertama tayangan. Saya memang mengagumi Kareena. Tetapi dia hanya akan berjaya apabila digandingkan dengan Shah Rukh Khan, Salman Khan atau Aamir Khan, kata penulis veteran filem, Udaya Tara Nayar.

    Barangkali kerana tanggapan itu, kebanyakan pelakon wanita hari ini berani keluar daripada kepompong selesa dan mencuba watak sukar bersesuaian dengan bayaran diterima. Katrina Kaif umpamanya, bukan saja terpaksa bergelut melancarkan pertuturannya, namun turut menerima peranan luar biasa dalam Rajneeti.

    Priyanka Chopra pula sedia berdepan risiko besar dengan membintangi filem 7 Khoon Maaf, manakala Kareena mencabar diri membawakan watak pelakon schizophrenia dalam Heroine. Namun, jika dibandingkan bayaran diterima aktres Hollywood, jumlah yang diterima mereka tidak terlalu besar hingga menimbulkan perdebatan media.

    Harga Angelina Jolie jauh lebih tinggi daripada apa diterima mereka yang mendapat bayaran tertinggi di Bollywood, kata Kareena yang turut menjadi pilihan pengiklan sebagai duta produk.

    Full content generated by Get Full RSS.