Adsense

Selasa, 6 Disember 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Harapan Livonia

Posted: 05 Dec 2011 03:41 PM PST

Hip

Tidak sia-siakan bakat, mahu lebih dikenali

KALAU selama ini banyak bakat realiti TV dari Sabah atau Sarawak memang diakui menonjol dalam bidang nyanyian, lain pula dengan Livonia yang menceburi lakonan pula.

Masih muda, solo dan bersemangat dalam bidang seni, Livonia seperti bakat baru lain tidak mahu ketinggalan untuk mengukir nama sebagai anak seni, iaitu pelakon TV atau filem. Memang namanya baru, kurang dikenali namun gadis Sarawak ini sedang menunggu masa untuk menjadi perhatian penerbit dan sutradara filem mahupun drama. Juara program realiti Pilih Kasih musim kedua, ketika ini menerima banyak bimbingan secara langsung atau tidak langsung daripada sutradara dan pelakon berpengalaman, Erma Fatimah.

Mahu mengikut langkah Neelofa, Fathia, Miera Liyana mahupun Anzalnan yang cepat melonjak menjadi bualan ramai walaupun dianggap baru, dia juga mahu membuktikan bakatnya dalam program realiti tidak disia-siakan.

Bertemu pemilik nama sebenar Livonia Ricky Guing, 20, pada satu sesi undangan fotografi di Studio Balai Berita, NSTP, baru-baru ini, memang tidak banyak boleh dikongsi bersama gadis yang senang dipanggil Nia ini berkenaan perjalanan seni kerana namanya masih tidak biasa disebut media.

Setakat ini dia pernah berlakon dalam telefilem Antara Maghrib dan Isyak arahan Erma selain berdebar menunggu kemunculan filem pertama yang dibintanginya iaitu Azura 2 diarahkan oleh Aziz M Osman.
Gadis ini meraih kejayaan dengan cukup sederhana dan tidak kisah lambat naik asalkan ia berpandukan 'jalan selamat' yang tidak merosakkan imej atau nama baik keluarganya. Timbul satu pertanyaan kenapa pakej lengkap seperti ketinggian, raut wajah indah dan disusuli bakat tidak mampu menarik minat mana-mana 'orang kuat' industri untuk menyuntingnya sebagai 'bunga' filem?

Hanya mencalitkan gincu warna merah jambu, berseluar jeans gaya ranggi dan baju blouse potongan sederhana, kecantikan yang dimiliki cukup asli dan sentuhan solekan kemas dari Syafiq Ayman lebih menyerlahkan wajah yang sedia rupawan ini.

"Saya akui lapan bulan itu sepatutnya sudah mampu melonjakkan nama saya. Mungkin belum ada rezeki dan peluang secukupnya untuk saya naik sehingga menjadi perhatian pengarah dan penerbit. Lagipun, saya cuba untuk mengelakkan daripada cerita kontroversi walaupun itu mungkin itu boleh mempercepatkan nama saya dikenali," katanya ramah berbicara.

Sesekali menguis rambut panjang yang mengurai menutupi dahinya, Livonia memberitahu dia lebih bersyukur kerana hasratnya untuk berada dalam bidang seni akhirnya direstui keluarga terutama ayah tersayang.

"Sebenarnya, hajat saya untuk berada dalam dunia seni pernah dihalang ayah kerana dia tidak mahu saya tertipu. Ibu pula sentiasa memberi sokongan dan akhirnya saya dapat membuktikan pada ayah bahawa program pilih kasih yang saya sertai itu adalah program yang betul dan bukan mahu menipu anak gadis yang dikhuatiri ayah," kata pemenang Miss Borneo Beautiful 2009 berkenaan laluan seninya.

Turut menjadi juara ratu cantik Bidayuh, Livonia menambah penyertaannya dalam pentas Pilih Kasih itu pada mulanya hanya sekadar suka-suka dan membantu rakan baiknya yang teruja untuk menjadi pelakon.

"Saya hanya mahu teman rakan untuk ke sesi uji bakat di Kuching. Kebetulan setiap peserta yang hadir memerlukan pasangan untuk membaca skrip dan melakonkan watak yang diberikan. Saya mendapat watak ibu tua manakala rakan pula sebagai anak.

"Tidak sangka pula saya yang terpilih dan bukan rakan saya itu. Sebaik dihubungi pihak penganjur, hati saya mula tidak tenteram dan berdebar-debar untuk memberitahu hasrat hati untuk ke Kuala Lumpur menyertai program itu.

"Akhirnya saya berterus terang kepada ayah dan katakan padanya berkenaan perkara sebenar," kata pelajar jurusan perhotelan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kuching, Sarawak ini.

Berusaha jadi pelakon berdisiplin

BERBICARA adakah dia sudah lama memasang impian untuk bergelar pelakon, anak ketiga daripada lima beradik ini berterus terang memberitahu hasrat hatinya yang sebenar.

"Saya tidak pernah terfikir untuk menjadi pelakon dan menyimpan cita-cita untuk menjadi juruterbang wanita pertama dari Sarawak.

"Tetapi untuk melaksanakan perkara itu, ia bukan sesuatu yang mudah kerana kos perbelanjaan amat tinggi dan atas sebab itu saya melupakan hasrat hati dan memilih untuk berada dalam bidang perhotelan," katanya.

Gemar pada rona warna hitam dan merah, gadis yang cintakan aktiviti lasak seperti sukan tinju ini, memberitahu jika ditanya adakah dia mahu terus berada dalam dunia lakonan dan menjadikan ia sebagai kerjaya, dia sendiri masih mencari arah itu.

"Buat masa ini, lakonan hanyalah kerja sambilan. Saya masih simpan cita-cita menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi. Selepas itu, barulah saya akan memikirkan ia sama ada menjadikan kerjaya ini sebagai bidang serius.

"Saya akui berlakon bukanlah mudah dan perlu memberikan komitmen yang tinggi terutama daripada segi masa. Ini kerana jika kita gagal mengikut masa, ia bukan saja menyusahkan kita tetapi semua krew produksi," katanya yang mahu menjadi artis berdisiplin sambil menambah jika dalam masa terdekat ini ada tawaran filem atau drama, dia akan mengambil peluang itu sebaik mungkin dan tidak kisah diberikan apa saja watak.

Katanya, setakat ini dia sedang membintangi drama muzikal berjudul Inspirasi Varsiti arahan Erma Fatima sebanyak 26 episod.

"Saya memegang watak sebagai Cinta dan bergandingan bersama Nabil Zamanhuri. Ia sebuah kisah pelajar kolej yang mana memerlukan saya menari," katanya yang sebelum ini turut berlakon dalam drama Antara Maghrib dan Isyak dan memegang watak isteri kedua bersama pelakon seperti Liza Abdullah dan Watie Elite.

Full content generated by Get Full RSS.

Mael, Ali kongsi pentas

Posted: 05 Dec 2011 03:39 PM PST

Hip

KUMPULAN XPDC

KUMPULAN XPDC

Empat gergasi rock bakal gegarkan Stadium Merdeka

SEANDAINYA diselak kembali kalendar seni, dua kumpulan rock legenda iaitu Search dan Wings boleh dikatakan pilihan utama tauke konsert. Walhal, industri muzik kita mempunyai banyak lagi kumpulan rock yang memiliki himpunan lagu popular, di negara ini.

Kumpulan XPDC umpamanya, turut mempunyai deretan lagu yang pernah menduduki kedudukan terbaik dalam carta lagu popular di corong radio. Album mereka yang berjudul Brutal pula terjual melebihi 300,000 unit. Namun nasib mereka tidak seperti dua kumpulan terbabit, dalam arena muzik tanah air. Bagaimanapun anggotanya sedar, penganjur mungkin masih meragui kemampuan kumpulan yang ditubuhkan pada 1987 itu untuk menarik peminat membeli tiket.

Ketika yang sama, tidak sekelumit pun mereka mudah mengaku kalah. Sebaliknya XPDC sentiasa sabar menanti, sehingga impian itu benar-benar menjadi kenyataan apabila Red Garage Group Sdn Bhd melamar mereka menjayakan Konsert Loudspeaker bersama tiga penyanyi lain iaitu Wings, Faizal Tahir dan Azlan & The Typewriter, yang akan berlangsung pada 25 Disember ini.

Bakal beraksi dalam konsert berskala besar buat julung kalinya di Stadium Merdeka, konsert itu juga mencipta satu sejarah buat kumpulan itu apabila Mael dan bekas vokalis, Ali, bergabung tenaga di atas pentas yang sama.

"Kami memang mengharapkan penganjur menawarkan kami mengadakan konsert. Tapi nampaknya kami tidak pernah mendapat tawaran sedemikian.
"Kami tidak menyalahkan penganjur kerana kami tahu, mereka pun memerlukan artis yang boleh jual tiket dan mampu menggamit penaja. Lagipun, kita ada ramai penyanyi, jadi kalau nak buat konsert, kenalah tunggu giliran. Kalau semua artis hendak buat konsert dalam satu masa, nanti susah pula jadinya.

"Memandangkan ini kali pertama kami diundang menjayakan konsert, kami tidak akan mensia-siakan peluang diberikan. Kami akan cuba memberikan persembahan terbaik supaya peminat puas menontonnya," kata Mael.

Bercerita mengenai konsert itu, kata Mael, dia dan Ali akan bergilir-gilir muncul di pentas dalam slot mereka yang berdurasi selama satu jam. Dijangkakan antara lapan hingga 10 lagu popular XPDC, dari awal pembabitan mereka dalam dunia muzik, akan didendangkan pada malam berkenaan. Mael dan Ali juga dijangka akan berpadu suara buat kali pertama dalam konsert terbabit.

Menurut Mael, konsert itu juga ialah persembahan pemanas buat XPDC yang dijangka muncul dalam konsert solo mereka tahun depan.

Pada 28 Januari nanti, XPDC bersama-sama Search akan mengadakan persembahan mereka di Singapura.

"Sebenarnya tahun depan XPDC ditawarkan mengadakan konsert jelajah yang pertama. Persembahan kami dalam konsert Loudspeaker mungkin boleh dijadikan pengenalan buat konsert sendiri kami nanti.

"Kami berharap benar konsert itu akan menjadi kenyataan. Buat permulaan kita akan lihat bagaimana sambutannya. Sekiranya sambutan menggalakkan, konsert itu akan diadakan di beberapa negeri sekitar Semenanjung. Ali juga akan terbabit sama di dalam konsert ini," katanya lagi.

Bergantung pada lagu lama

KUMPULAN yang turut dianggotai Izo (gitar), Amy (dram), Yan (bes), Lola (dram) dan Zua (bes) pernah melakar nama menerusi lagu C.I.N.T.A, Semangat Yang Hilang, Titian Perjalanan dan sebagainya mengakui mereka mampu bertahan disebabkan populariti lagu lama.

Mael mewakili rakan-rakannya berkata, lagu baru sukar mendapat maklum balas peminat. Justeru, XPDC tidak begitu memikirkan hasrat untuk tampil dengan album terbaru.

Paling tidak kata Mael, bagi memberitahu peminat XPDC masih lagi aktif, mereka lebih selesa untuk tampil dengan single.

"Bukan kami tidak mahu menghasilkan lagu baru, tetapi sekarang ini peminat kurang dapat menerima lagu baru. Sebab itu kami lebih selesa menyanyikan lagu lama kumpulan ini. Tetapi kami tidak akan berhenti daripada menghasilkan lagu baru, cuma bukan dalam bentuk album. Cukuplah dengan penghasilan single saja memandangkan pada era sekarang, peminat lebih senang memuat turun saja lagu kesukaan mereka," katanya.

Album XPDC bersama vokal Mael:

- Darjah 1 (1990)
- Timurbarat (1992)
- Kita Peng-Yu (1994)
- Brutal (1997)
- Rock Union (2008)
- Rasopariso (2009)

Bersama vokal Ali:

- Samurai (1998)
- Un'Metal (2000)
- V6 (2002)
- Un'Metal II (2004)
- MdLey Rugged (2006)

Full content generated by Get Full RSS.