Harian Metro: Rap |
‘Anje’ belum sedia bercinta Posted: 15 Nov 2011 06:22 AM PST PERJALANAN seni yang ditempuh Norliana Samsudin atau lebih mesra dipanggil Yana, 27, mungkin berbeza dengan artis lain. Bermula sebagai penyanyi, Yana mencuba pula dalam bidang lakonan dan waktu sama diberi kepercayaan duduk di kerusi pengarah, satu pencapaian besar buat pelakon. Selepas lapan tahun pembabitannya dalam bidang seni, kehadiran Yana jarang diberi perhatian walaupun banyak filem yang dibintangi. Bermula sebagai pelakon tambahan, kesungguhan Yana membuahkan hasil apabila kini menjadi antara pelakon kesayangan produser David Teo dan diberi kepercayaan sebagai teraju utama. Gadis kelahiran Yong Peng, Johor pada 25 September 1984 ini mula diberi peluang memegang watak utama menerusi filem Aku Masih Dara arahan Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang ditayangkan pada 16 Disember tahun lalu. Sejak itu, satu demi satu tawaran membintangi filem terbitan Metrowealth Pictures (MIG) dengan watak utama diberi kepada Yana. Filem Bini-Biniku Gangster (BBG) menyerlahkan lagi nama Yana apabila digandingkan dengan Intan Ladyana dan Shaheizy Sam. Kini beberapa filem lakonannya menanti tayangan seperti 8 Jam, 3 Temujanji, Adnan Semp-it 2 dan Minyak Dagu.
Apapun anggapan orang, Yana mengakui dirinya sangat bertuah kerana diberi peluang bekerja di belakang tabir. Katanya, peluang itu memberi pengalaman menarik pada dirinya supaya lebih teliti terhadap proses pembikinan sesebuah filem. Dalam berkongsi pandangan sendiri di lokasi penggambaran, dia juga masih mengharapkan tunjuk ajar orang lain dan kerjasama kru produksi dalam memastikan sesuatu projek itu berjaya dilaksanakan. "Sepatutnya saya kembali mengarah filem baru pada tahun lalu tetapi perancangan ini tidak menjadi kerana saya sibuk dengan komitmen berlakon. Saya juga dijadualkan mula mengarah filem kedua akhir tahun ini tetapi sekali lagi ditunda kerana sibuk dengan komitmen lakonan. "Sejak tahun lalu hingga sepanjang tahun ini, memang saya sibuk dengan komitmen sebagai pelakon. Ketika ini, saya mempunyai lima filem baru yang menanti tayangan iaitu Adnan Semp-it 2; Aku Ada Kau Ada; 8 Jam; 3 Temujanji dan Minyak Dagu. "Selepas dua tahun berlalu, saya rasa sudah tiba masanya untuk saya kembali mengarah pada tahun depan," katanya ketika ditemui pada acara Jelajah Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) di Johor Bahru, Johor, baru-baru ini. Walaupun sibuk dengan lakonan fokus pada kerja belakang tabir tetap diberi perhatian. Yana meraih pengalaman pembantu pengarah menerusi filem Syurga Cinta dan V3: Samseng Jalanan. Melebarkan pengalaman seni, dia juga bertindak sebagai penulis skrip filem BBG yang berjaya mencatat kutipan RM4.71 juta. Di sebalik kejayaan BBG diminati ramai penonton, Yana mengakui tarikan filem itu didukung hero yang menjadi pelakon utamanya, Shaheizy Sam. Dalam BBG, Yana bergandingan bersama Sam dan Intan Ladyana sebagai teraju. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM23 ini menyatakan, dia selesa berlakon bersama Sam yang kini menjadi pelakon paling popular memberi tarikan, Yana kembali bergandingan bersama Sam menerusi Adnan Semp-it 2; Aku Ada, Kau Ada dan 8 Jam. "Saya tidak bosan berlakon dengan Sam kerana setiap karakter yang kami bawa berbeza. Dalam 8 Jam, kami tampil sebagai pasangan kekasih manakala filem konsep muzikal, Aku Ada, Kau Ada, memberi tarikan baru apabila saya dan dia turut menyanyi bersama. "Bagi saya, bekerjasama dengan Sam tidak memberi masalah kerana dia seorang yang mudah mendalami karakter dan profesional dalam bekerja," katanya. Yana juga gembira kerana respons yang diterima terhadap lakonannya dan Sam dalam BBG cukup positif. Menariknya, gelaran 'anje' yang digunakan Sam pada Yana meninggalkan ingatan kuat pada penonton. Melihat pada pencapaiannya ketika ini, Yana mampu tersenyum bangga atas peluang membawakan watak utama yang diberikan produser. Dia sendiri tidak terkilan melihat kariernya untuk menduduki puncak di kalangan artis popular lambat berbanding rakan seangkatannya, Farid Kamil dan Pierre Andre. "Mungkin pada masa itu tidak kena tetapi saya anggap bukan rezeki untuk terima tawaran watak utama. Ketika mula berlakon, saya masih belajar dan mungkin jika asyik berlakon, pelajaran terganggu. "Dalam memberikan komitmen pada kerjaya lakon, saya tidak terlalu memilih antara filem atau drama. Saya beranggapan ia bergantung pada permintaan. "Pada pandangan penonton, saya lebih popular di layar perak sebaliknya drama turut membantu dalam meluaskan kerjaya seni saya," katanya yang mengidamkan watak superhero. Dalam sibuk berlakon, Yana mengakui lebih selesa memberi sepenuh perhatian pada komitmen kerja berbanding soal cinta. Di sebalik senyuman manjanya, Yana tidak menolak andai perasaan cinta kembali mengusik jiwanya. "Ada ketika perasaan itu wujud tetapi apabila memikirkan komitmen pada kerja, saya rasakan ia sukar untuk kembali bercinta. Begitu juga, apa yang saya bimbangkan perasaan itu hanya wujud di satu pihak. "Buat masa ini, saya belum lagi bersedia berikan komitmen pada cinta. Tahun depan, saya akan muncul dengan lima filem baru dan ini memerlukan sepenuh perhatian untuk saya jayakannya," katanya. PROFIL: NAMA SEBENAR: Norliana Samsudin FILEM: 7 Perhentian, Mami Jarum Junior, Main-Main Cinta, Histeria, Shh... Dia Datang, Adnan Sempit, Aku Masih Dara, Kongsi dan Bini-Biniku Gangster DRAMA: E-toyol.com, Bionik, Lu'Lu, Siti Kelembai, 3 Janda dan Suri Bakawali PENCAPAIAN: Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-23 (Adnan Sempit) Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: 15 Nov 2011 05:53 AM PST SEARCH bukan nama asing buat peminat muzik dan industri seni negara malah cukup popular di rantau Asia. Sepanjang 30 tahun penubuhannya, pelbagai pencapaian diraih malah pelbagai kisah suka duka ditempuhi kumpulan dianggotai Amy, Yazid Ahmad (dram), Hillary Ang (gitar), Din dan Kid (gitar). Walaupun dibarisi anggota berusia, kumpulan ini masih aktif berkarya dalam dunia seni selain sering diundang menjayakan persembahan pentas.
Kemunculan band baru serta fenomena muzik indie sejak beberapa tahun kebelakangan ini tidak langsung menjejaskan sokongan peminat terhadap Search. Justeru dalam usaha mereka menghargai sokongan peminat dan meraikan penubuhan kumpulan itu lebih tiga dekad, Konsert Fenomena 30 tahun Search yang dianjurkan di tiga negeri bermula di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada 19 November diikuti Stadium Larkin, Johor Bharu (3 Disember) dan Padang Astaka, Kuala Lumpur (17 Disember).
Amy berkata, tawaran hadiah menerusi konsert itu tidak sama nilai sokongan daripada peminat yang setia menyokong mereka selama ini. "Kami bersyukur dan bertuah kerana mempunyai peminat yang menyokong kuat pembabitan kami hingga ke usia 30 tahun dalam industri muzik. "Pelbagai cadangan diajukan sebelum ini untuk menghargai sokongan peminat dan akhirnya penganjur bersetuju menghadiahkan kemeja-T eksklusif untuk semua peminat yang hadir pada konsert itu. "Sejak dari awal kami ada berbincang bagaimana untuk menyampaikan tanda terima kasih kami kepada peminat, ia bukan hanya sekadar pada ucapan saja, tetapi sesuatu dalam bentuk barangan yang boleh dijadikan kenangan berharga buat peminat. "Kami mahu peminat tidak perlu memikirkan apa-apa cuma bersantai dan menikmati persembahan. Lebih menarik, peminat bertuah akan pulang bersama kereta Perodua Viva bernilai RM25,300 untuk sesi cabutan bertuah berdasarkan nombor pada tiket mereka," kata Amy pada majlis sidang media di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, baru-baru ini. Konsert berkenaan turut menampilkan persembahan artis dan band jemputan sebagai satu strategi penganjur untuk menarik kelompok peminat menyaksikan konsert itu. Antaranya komposer dan penyanyi terkenal, Datuk M Nasir di Kuala Lumpur, band pembuka Sofea (Pulau Pinang), Koffin Kanser (Johor) dan Projek Pistol (KL).
Kehadiran personaliti radio seperti Burn, Nana, Jehan Miskin dan alumni Raja
Bakal mempersembahkan lebih daripada 20 lagu terbaik tanpa sebarang medley, Search menjanjikan persembahan yang berlainan daripada konsert mereka terdahulu. Sementara itu, Pengarah Aktivasi Oracle Accord, Jerome Lee berkata, tiket untuk menyaksikan konsert itu ditetapkan pada harga berpatutan malah pihak penganjur turut menyediakan pelbagai hadiah menarik. Kadar tiket yang sangat berpatutan bersesuaian dengan konsep penghargaan kepada peminat Search. Pada majlis itu, penganjur turut mengumumkan sokongan dan penajaan daripada jenama minuman terkenal seperti Lipton, Red Bull, KFC, Pizza Hut, Walls, Garnier, Nut King dan Hard Rock Hotel Penang. Ticket Hotline bertindak sebagai pengedar tiket rasmi manakala Sinar.fm dan Era.fm sebagai radio rasmi. Tiket boleh dibeli di cawangan Petronas yang mengambil bahagian, Rock Corners dan wakil jualan sah yang tersenarai di www.tickethotline.com.my dan berharga RM59 untuk konsert di Pulau Pinang dan Larkin, manakala harga tiket bagi konsert di Kuala Lumpur adalah RM69. Peminat juga boleh melayari Facebook di www.facebook.com/SEARCH30. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |