Adsense

Rabu, 16 November 2011

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Dira Helmi saling melengkapi

Posted:

Dira Helmi saling melengkapi

Dira Helmi saling melengkapi

KELEGAAN dan kegembiraan jelas terpancar pada wajah pelakon dan pengacara rancangan popular Melodi, Dira Abu Zahar sebaik sahaja sah menjadi isteri kepada pengarah fotografi, Mohd. Helmi Mohd. Yusof tanggal 11.11.11 lalu.

Manakan tidak, pada tarikh yang dianggap ramai sebagai amat unik malah 'keramat' buat sesetengah individu kerana ia tidak lagi akan muncul di masa hadapan itu adalah hari penuh bermakna buat Dira.

Ini kerana, tarikh itu menandakan figura berusia 27 tahun itu kini kembali menjejakkan kaki ke alam rumah tangga dan bergelar isteri, selepas perkahwinan pertamanya selama tiga tahun bersama salah seorang anggota kumpulan Bau, Tengku Shafiz-Rullah Tengku Mohd. Shahid atau Ash, 28, berakhir dengan episod perceraian pada 8 April tahun lepas.

Ditemani zuriat tunggal hasil perkahwinannya bersama Ash, Tengku Anggun Deandra yang sudah mencecah usia dua tahun, Dira dan Helmi dinikahkah oleh Imam 1 Masjid Merlimau Pasir, Mat Yamin Long menjelang pukul 4.16 petang dengan tiga kali lafaz nikah.

Majlis resepsi serba sederhana itu diadakan di kediaman keluarga pemilik nama lengkap Khaidirah Abu Zahar di Batu Gajah, Merlimau, Melaka yang menyaksikan kedua-dua mempelai kelihatan bak pinang dibelah dua apabila menggayakan persalinan serba putih rekaan Anizam Yusof, manakala solekan Dira hasil sentuhan Zamri Zainol.


HELMI tiada halangan andai Dira ingin meneruskan aktiviti seninya.


Dira yang merupakan anak bongsu kepada bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abu Zahar Ithnin menerima mas kahwin sebanyak RM7,777.77 dan wang hantaran berjumlah RM17,171.71 daripada Helmi. Sememangnya cukup unik. Sudahlah memilih tarikh 11.11.11 untuk melangsungkan perkahwinan, angka wang hantaran dan mas kahwin masing-masing pula diwakili nombor satu dan tujuh.

Apa yang menarik, biarpun pengantin perempuan lebih dikenali umum atas dasar kerjayanya sebagai hos Melodi dan pelakon, namun pengantin lelaki juga tidak betah untuk beramah mesra dan melayan kerenah pihak media yang mengajukan soalan demi soalan bertubi-tubi kepada mereka.

Setiap topik yang dibincangkan, bukan sahaja menyaksikan Dira yang membuka mulut tetapi Helmi turut tidak ketinggalan memberikan info menjadikan sesi temuramah dengan pasangan pengantin ini agak meriah!

Kata Dira, dia dan Helmi memilih nombor satu dan tujuh sebagai mas kahwin dan hantaran kerana kedua-dua nombor berkenaan merupakan nombor kegemaran mereka berdua.

Mengenai 11.11.11 sebagai hari pernikahan pula, akui Dira, tarikh itu dipilih memandangkan ia cantik dan mudah diingati selain jatuh pada hari yang mulia dalam Islam iaitu hari Jumaat.

"Harapan saya ialah rumahtangga yang dibina ini juga cantik secantik tarikh hari ini (11.11.11) dan berkekalan hingga ke akhir hayat. Itu harapan setiap insan yang berkahwin tidak kira apa tarikh sekalipun," luah Dira yang pernah membintangi drama Tower 13, Akinabalu dan Arjuna.

Helmi, 33, pula berkata, dia dan Dira sebenarnya merancang untuk bernikah pada 1 Julai tahun ini namun kesibukan tugas masing-masing menyebabkan ia terpaksa ditangguh dan mereka akhirnya bersetuju memilih 11.11.11.

Air dan Api

Helmi dalam pada itu mengakui betapa dia sangat gembira bergelar suami kepada Dira kerana apa yang dirancang selama ini berjalan lancar walaupun perkenalan mereka singkat, tidak sampai setahun.

Boleh dikatakan ia merupakan cinta kilat antara Dira dan Helmi.

Namun, impak daripada kelancaran dalam perhubungan itu sebagaimana dijelaskan Helmi, dan takdir pula mengatakan jodoh mereka kuat untuk bergelar suami isteri, lantas segala-galanya itu lalu bersatu menjadi pencetus kepada penyatuan Dira dan Helmi untuk melayari bahtera rumahtangga.

"Saya sudah lama simpan niat nak kahwin dan Alhamdulillah bertemu Dira kami tak ambil masa yang lama untuk bercinta. Mungkin seru dah sampai dan jodoh kami kuat. Umur saya sudah mencecah 33, kawan-lawan cakap tunggu apa lagi. Dira pelengkap hidup saya," bicara bekas tunang aktres dan model popular Nasha Aziz itu.

Dalam senyuman yang cukup manis, Dira yang berada di sisi Helmi lantas menjelaskan hubungannya dan Helmi mula rapat ketika mereka terbabit dengan penggambaran drama arahan Afdlin Shauki, Untuk Tiga Hari pada penghujung tahun lepas sebelum mereka kemudian mengambil keputusan untuk bertunang 15 Februari lalu.

Bukan itu sahaja, tambah Dira, Helmi juga merupakan seorang yang tenang dan menyifatkan lelaki itu sebagai air yang dapat menyejukkan dirinya setiap kali dia berada dalam keadaan marah.

Ditambah pula dengan keserasian dan kemesraan antara Helmi dan Anggun membuatkan Dira benar-benar terharu dan tersentuh lalu yakin dengan keputusannya untuk hidup bersama Helmi adalah tepat selepas Helmi melamarnya selepas kira-kira enam bulan tempoh perkenalan mereka.


UNIK. Topi keledar putih dan kek berbentuk tangki minyak motosikal kuasa tinggi antara barangan hantaran daripada Helmi khusus buat Dira.


"Saya bersyukur kerana abang Helmi menerima Anggun seadanya dan mengatakan dia sangat menyayangi saya dan Anggun. Bukan saya yang pinta, tetapi dia sendiri yang mahu membina keserasian dengan Anggun," ucap Dira.

Sementara Helmi pula mencelah, katanya: "Sememangnya, saya seorang yang gemar pada kanak-kanak-kanak dan mempunyai ramai anak saudara. Anggun akan saya anggap seperti anak sendiri. Tentang sikap Dira yang ada kalanya boleh diibaratkan seperti api khususnya ketika dia sedang marah, saya sememangnya menyukai sikapnya itu. Ini kerana kami boleh bertolak ansur dan mudah menyelesaikan segala masalah yang timbul."

Menyentuh mengenai kerjaya pula, Helmi berkata, dia tiada halangan jika Dira meneruskan penglibatannya dalam bidang seni.

"Saya juga terlibat dalam bidang sama seperti Dira. Sejak bertunang lagi kami dah pandai susun masa untuk bersama," katanya yang merancang untuk berbulan madu di Eropah penghujung tahun ini selepas berbulan madu di Bali dalam tempoh terdekat ini.

Motosikal kuasa tinggi

Majlis resepsi yang berlangsung di kediaman Dira di Melaka itu bukan sahaja dimeriahkan dengan kunjungan sanak saudara dan sahabat handai tetapi juga rakan-rakan artis Dira dan Helmi termasuklah Afdlin Shauki, Reizman Khuzaimi dan Harun Salim Bachik.

Namun, antara elemen yang memeriahkan lagi majlis perkahwinan Dira dan Helmi ini sudah tentu barangan hantaran mereka yang ternyata unik, sama unik dengan tarikh perkahwinan dan angka wang hantaran serta mas kahwin mereka.

Pihak pengantin perempuan menerima sembilan dulang hantaran daripada pengantin lelaki yang termasuklah beg tangan, minyak wangi, telekung, iPad 2, topi keledar berwarna putih, kek berbentuk tangki minyak motosikal kuasa tinggi.


DIRA sedang memangku Anggun sambil memerhati Helmi pada upacara akad nikah yang berlangsung di kediaman Dira di Melaka, Jumaat lalu.


Khusus buat pihak pengantin lelaki pula, pengantin perempuan membalas dengan 11 dulang hantaran antaranya komputer riba Apple Macbook Air, senaskhah al-Quran, dompet, kurma, coklat, buah-buahan, minyak wangi, kasut dan topi keledar berwarna hitam.

Menariknya, topi keledar dan kek berbentuk tangki minyak motosikal kuasa tinggi ternyata berjaya membezakan dan menjadikan barangan hantaran Dira dan Helmi unik dan lain daripada pengantin yang lain.

Sementelah berhampiran pintu utama kediaman Dira, lokasi berlangsungnya majlis perkahwinannya itu turut dihiasi dengan tiga keping foto bersaiz mega yang menunjukkan Dira dan Helmi bersama motosikal kuasa tinggi. Apakah kisah di sebaliknya?

"Dira dan Helmi sememangnya gemar menunggang motosikal kuasa tinggi dan kami berkongsi hobi ini," akui Dira ringkas. Namun, pada majlis resepsi tersebut, Helmi muncul ke lokasi majlis dengan menaiki kereta Lamborghini dan bukan dengan menunggang motosikal kuasa tinggi.

Ini kerana acara menunggang motosikal kuasa tinggi sudah ditetapkan untuk dilakukan pada majlis resepsi kedua Dira dan Helmi yang bakal berlangsung di Lanai@Matic, di Kuala Lumpur malam Ahad lepas.

Acara gilang-gemilang yang turut dimeriahkan dengan percikan bunga api di udara itu menyaksikan rombongan tujuh buah motosilkal berkuasa tinggi termasuk yang ditunggang Dira dan Helmi secara berasingan tiba di lokasi majlis resepsi yang bertemakan rock-chic dengan kostum pengantin hasil kombinasi warna hitam dan putih.

Memeriahkan lagi majlis resepsi tersebut adalah kemunculan rakan-rakan artis termasuklah Nabil Raja Lawak, Bront Palarae, Sharifah Amani dan ibunya, Fatimah Abu Bakar, Sharifah Shahira dan suami, Ijoy serta tidak ketinggalan pasangan pelakon muda yang bakal melangsungkan perkahwinan menjelang 20 November ini, Zahiril Adzim dan Shera Aiyob.

Full content generated by Get Full RSS.

Henry Golding teruja pergi New Zealand

Posted:

Henry Golding teruja pergi New Zealand

Henry Golding teruja pergi New Zealand


HENRY GOLDING sememangnya terkenal sebagai hos program berbentuk pelancongan. Terkini, dia diberi kepercayaan mengendali program Now Everybody Can Fly To New Zealand.


SELEPAS mengacarakan program Welcome To The Rail World dan Without Boundaries - Islands and Beaches, Henry Golding sekali lagi diberi kepercayaan pihak 8TV untuk mengemudi program terbaharu mereka iaitu Now Everybody Can Fly To New Zealand.

Program terkini 8TV itu akan membawa penonton menerokai negara yang terkenal dengan jolokan middle earth yang mempunyai pelbagai aktiviti lasak dan menarik.

Telah bersiaran sejak 6 November lalu pada setiap hari Ahad, pukul 10.30 malam, Henry ketika ditemui melahirkan rasa gembira kerana diberi peluang merasai pengalaman melancong ke negara yang belum pernah dijejakinya.

"Sejujurnya, pengalaman melancong ke New Zealand merupakan satu pengalaman bermakna buat diri saya. Saya tidak dapat menjangkakan apa yang ada di sana sehingga ia berada di depan mata.

"Setiap hari saya melalui pengalaman yang berbeza di sana. Saya telah melakukan pelbagai aktiviti di luar imaginasi seperti bungy jumping, menunggang kuda dan pelbagai lagi. Malah, saya berjaya mengatasi ketakutan untuk melakukan aktiviti-aktiviti lasak seperti itu," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran program Now Everybody Can Fly To New Zealand di Sri Pentas, Petaling Jaya.

Sementara itu, menurut Pengurus Pemasaran Kreatif dan Komunikasi 8TV, Farah Shamsudin, program itu bakal membuatkan penonton teruja untuk melihat keindahan dan keistimewaan destinasi-destinasi menarik di New Zealand.

"Dalam program lapan episod ini, anda juga dapat menyaksikan perbezaan budaya dan cara hidup sekali gus melancong tanpa perlu mengeluarkan bajet yang banyak," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Bakat hebat si kecil Greyson

Posted:

Bakat hebat si kecil Greyson

Bakat hebat si kecil Greyson

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN


GREYSON bukan sahaja mempunyai vokal yang baik, tetapi juga boleh bermain alat muzik.


SEKADAR ingin membuktikan kehebatan bermain piano sambil menyanyi kepada kawan-kawannya pada tahun 2009, Greyson Michael Chance, 14, tidak sesekali menyangka videonya sewaktu membuat persembahan di sekolah ditonton lebih 300,000 orang di laman YouTube selepas dua hari dimuat naik.

Tambah mendebarkan selepas seminggu videonya yang menyanyikan lagu Paparazzi (nyanyian asal Lady Gaga) memperoleh lebih 2 juta tontonan dan kini videonya itu mendapat hit sebanyak 44 juta dan angkanya kian bertambah.

"Saya tidak suka melihat diri sendiri menyanyi, sampailah saya terkejut dan tidak menyangka video yang saya muat naik di YouTube ditonton sebegitu ramai," katanya ketika pertemuan kali pertama di hotel JW Marriot, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Akademik atau karier

Kehadirannya ke Malaysia selama seminggu dari 11 hingga 17 November ini untuk mempromosikan album terbaharunya berjudul Hold On 'Till The Night telah direalisasikan oleh Tunetalk Mobile Prepaid dan Universal Music Malaysia.

Maka, kesempatan bersua dengan bintang sensasi YouTube ini sedikit sebanyak membuka peluang mencari sisi lain dalam diri remaja kelahiran Oklahoma, Amerika Syarikat itu.

Bagi figura yang terpaksa berdepan dengan dua prioriti iaitu belajar dan berkarier, pasti ada perancangan tersendiri untuk memastikan kedua-duanya berjalan sealiran.

"Saya suka matematik dan mengembara, dalam pada saya sibuk dengan promosi album dan sebagainya saya terpaksa mempunyai tutor peribadi dan sekolah dalam talian.

"Mujurlah ibu atau bapa saya sentiasa menemani saya ke mana saja demi memastikan saya tidak ketinggalan dalam pelajaran," bicara anak bongsu daripada tiga beradik itu.


PEMINAT setia Greyson hadir bersama kata-kata semangat yang dicatat pada sepanduk.


Dia tidak mudah melatah apabila ada ketikanya dia disamakan dengan Justin Bieber memandangkan popularitinya turut dirangsang atas faktor YouTube.

"Saya dan Bieber kawan rapat, kami ada aliran muzik yang berbeza malah suaranya juga tidak kurang hebatnya," tegasnya yang menghasilkan album mengambil inspirasi daripada grup Paramore.

Teman YouTube

Berbicara mengenai album sulungnya yang memuatkan 11 buah lagu dan separuh daripadanya ditulis sendiri oleh Greyson, katanya menulis lirik lagu menjadi impiannya dari awal lagi.

"Saya ingin jadi seorang artis serba boleh dan berjaya, semahunya itu impian yang ingin dicapai 10 tahun lagi," tuturnya yang menggemari lagu Take A Look At Me Now dalam albumnya.

Seandainya diberikan pilihan untuk berduet dalam album, Greyson juga sudah punyai senarai sendiri.

"Saya teringin untuk berduet dengan Lady Gaga kerana dia seorang yang unik dan tidak normal, penyanyi berbakat besar Charice Pempengco dan Bruno Mars," singkapnya yang melabelkan diri sebagai kelakar dan berani.

Dalam pada itu, Greyson benar-benar teruja saat dipertemukan dengan bintang YouTube tanah air, Najwa Latif untuk sesi latihan menjelang Anugerah Industri Muzik (AIM 18) baru-baru ini.

"Dia manis orangnya dan saya kagumi bakat yang dia ada, sebelum ini saya cuma melihatnya di YouTube dan akhirnya sekarang dapat berduet dengannya," katanya yang menyanyikan medley lagu Waiting Outside The Lines dan Paparazzi bersama Najwa Latif ketika AIM 18 pada hari Sabtu lalu.

Sementara itu,

Full content generated by Get Full RSS.