Adsense

Selasa, 18 Oktober 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


'Kami sudah seperti adik-beradik'

Posted:

'Kami sudah seperti adik-beradik'

'Kami sudah seperti adik-beradik'

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
(Yang mengikuti lawatan Anugerah Skrin 2010 ke Los Angeles, Amerika Syarikat, baru-baru ini)


SEPANJANG di Los Angeles, Bront Palarae sempat berjumpa dengan Ka Hoe (kanan).


HAMPIR seminggu di bumi Los Angeles (LA), California, Amerika Syarikat, baru-baru ini, penulis begitu asyik memerhatikan gelagat dua pelakon muda ini.

Ke mana sahaja mereka pergi tetap berdua. Ibarat belangkas yang amat sukar dipisahkan.

Cuma sesekali akan disertai oleh aktor popular masa kini, Shaheizy Sam dan juga pengarah drama terkenal yang merupakan sahabat baik Bront Palarae dan Sharifah Amani iaitu Shahrul Ezad Mohamedin.

Canda dan tawa Bront dan Sharifah Amani sememangnya menarik perhatian delegasi Malaysia yang ke LA atas urusan lawatan sambil belajar untuk meraikan pemenang Anugerah Skrin 2010 (ASK 2010).

Sehinggakan Bront dan Sharifah Amani sanggup melepaskan waktu untuk membeli-belah yang telah diperuntukkan selama dua hari lalu membuat rancangan mereka sendiri.

Seperti kata Bront dan Sharifah Amani, mereka bukannya kaki shopping seperti mana ahli rombongan lain yang sememangnya menunggu waktu untuk membeli-belah di Camarillo Premium Outlets dan Desert Hills Premium Outlets.

Keakraban dan hubungan mereka yang begitu rapat itu membuatkan penulis berasa kagum dengan menyelami hubungan yang terjalin antara Bront dan Sharifah Amani atau lebih mesra disapa Nani itu.

Sempat juga penulis mencuri masa Bront dalam lawatan itu untuk bertanyakan tentang hubungannya dengan Nani yang seperti adik-beradik itu.

"Saya memang tidak nafikan hubungan saya dengan Nani memang rapat. Seperti mana yang anda katakan itu, benar, saya dan Nani sudah seperti adik-beradik.

"Apatah lagi, saya perlu memikul tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh ibu Nani, Fatimah Abu Bakar yang meminta saya untuk menjaga puteri kesayangannya di sepanjang di LA ini.

"Jadi, apa yang anda perhatikan sepanjang lawatan ini, itu adalah keluhuran dan kejujuran kasih sayang kami yang bukan sahaja sebagai sahabat tetapi adik-beradik," jelas Bront tanpa selindung.

Rapat

Menyingkap sejarah, Bront atau nama sebenarnya, Nasrul Suhaimin Saifuddin memberitahu dia mengenali pelakon kecil molek itu menerusi kakak Nani, Sharifah Aleya sewaktu di sekolah menengah.

Daripada situ, hubungan mereka mula terjalin dan mereka menjadi lebih rapat selepas membintangi beberapa buah drama bersiri antaranya Rona Roni Makaroni dan Sindarela serta filem 1957 Hati Malaya.

Menyambung bicara, aktor tinggi lampai berusia 33 tahun itu turut memberitahu dia dan Nani memiliki keserasian lalu mereka berkongsi cita rasa yang hampir serupa terutama tentang filem.

Kerana itu kata Bront, di kala ahli rombongan lain sibuk dengan aktiviti membeli-belah, dia dan Nani lebih selesa mencari haluan sendiri dengan mengelilingi bandar raya LA.

Salah satu tempat menarik yang sempat dilawati adalah Griffith Observatory di Griffith Park, Mount Hollywood yang pernah menjadi lokasi dalam filem klasik lakonan James Dean, Rebel Without A Cause.

"Untuk saya, apabila tiba di tempat seperti LA, adalah lebih baik jika peluang itu diambil untuk melawat tempat bersejarah seperti itu kerana kita tidak tahu bila kita akan ke sini lagi.

"Bukan itu sahaja, saya dan Nani juga telah melawat Yuna di Downtown Los Angeles dan menghabiskan masa dengannya di kafe berhampiran kediamannya.

"Menariknya, ketika itu juga penggambaran siri CSI sedang dilakukan. Sempatlah juga kami merasai pengalaman melihat sendiri penggambaran siri popular itu," kata bekas pengacara program hiburan Beat TV ini sambil ketawa kecil.

Pengalaman

Sepanjang berada LA yang diberi jolokan kota perfileman dunia itu, Bront ternyata kagum dengan kecanggihan teknologi yang terdapat di Universal Studios dan Warner Bros. Studios.

Daripada kunjungannya ke dua buah studio terkemuka itu, aktor itu dapat menyimpulkan bahawa Hollywood tidak hanya mementingkan keuntungan semata-mata dalam setiap penerbitan filem dan televisyen.

"Sebaliknya, mereka mengimbangi antara nilai komersial dan estetika dalam setiap penghasilan produk mereka.

"Tiada lain yang mampu saya katakan melainkan terima kasih kepada pihak TV3 kerana lahir dengan idea seperti ini.

"Selain berseronok, saya percaya sebagai seorang anak seni, kami mendapat sesuatu yang berharga daripada lawatan ini," jelas Bront yang berpeluang ke LA atas tiket kemenangannya sebagai Pelakon Lelaki Filem Terbaik ASK 2010 menerusi filem Belukar.

Nani teruja di LA

MENGALIH perbualan kepada si kecil molek ini, Nani yang sememangnya memiliki perwatakan ceria itu melahirkan rasa bertuah apabila dapat menjejakkan kaki ke LA untuk pertama kalinya.

Tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepada TV3 terutama ketua delegasi, Pengurus Perhubungan Awam dan Acara TV3, Muhammad Aziz dan Penganalisa Jenama Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Asyraf Hamdi Dusuki, Nani menyifatkan lawatannya ke LA umpama percutian yang menyeronokkan.

Di LA jugalah, kata Nani, peluang itu diambil untuk meluangkan masa bersama Bront, Shaheizy Sam dan Shahrul Ezad yang merupakan sahabat baiknya di dalam industri.

"Kami memang sentiasa sibuk dengan agenda masing-masing. Jadi, apabila dapat bercuti seperti ini, secara tidak langsung kami sendiri dapat beramah-mesra dan bertanyakan khabar.

"Saya juga gembira kerana mereka semua dapat turut serta dalam lawatan ini dan apa yang boleh saya katakan ia telah membuka mata saya seluas-luasnya dalam pelbagai aspek," luah Nani yang dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Filem Terbaik ASK 2010 menerusi filem Muallaf ini tanpa selindung.

Mengulas tentang hubungannya dengan Bront pula, Nani atau nama sebenarnya Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya ini dengan pantas memberitahu, dia memang cukup selesa berdampingan dengan aktor yang dianggapnya sebagai seorang abang itu.

Borong buku

Sementelah adik-beradiknya semua perempuan, kata Nani, kehadiran Bront disifatkan sebagai penerang kehidupannya apabila banyak perkara yang boleh dikongsi bersama.

"Bront bukan sahaja seorang sahabat tetapi abang yang menjaga adiknya dengan baik. Kami saling berkongsi pandangan dalam pelbagai perkara yang kami bincangkan terutama filem.

"Kerana itu, kami banyak menghabiskan masa bersama dan membeli buku-buku tentang filem yang susah didapati di Malaysia.

"Bukannya saya menolak atau sengaja tidak mahu turut serta dalam aktiviti membeli-belah dengan anggota rombongan yang lain tetapi saya mahu menikmati peluang ini dengan sebaik mungkin.

"Saya memang suka membeli-belah tetapi kepuasan itu lebih dapat dirasai seandainya saya dapat melakukan aktiviti yang kena dengan jiwa saya," ujar Nani yang telah memborong lebih daripada 10 buah buku tentang filem dan novel.

Bangga

Daripada penjelasannya itu, barulah dapat disimpulkan mengapa Nani lebih selesa menghabiskan masa yang lama di kedai buku popular seperti Barnes & Noble bersama Bront.

Sempat juga Nani berbisik kepada penulis bahawa dia tidak membawa wang yang banyak ke LA iaitu sebanyak AS$300 sahaja.

Selain dapat berjumpa dengan Yuna, aktres genit berusia 25 tahun itu juga melahirkan rasa gembiranya apabila dapat meluangkan masa dengan salah seorang anak didik Allahyarham Yasmin Ahmad iaitu Howard Hon Ka Hoe atau lebih kenali sebagai Ka Hoe.

Mungkin ada yang terlupa, Ka Hoe diperkenalkan menerusi filem Talentime oleh arwah Yasmin pada tahun 2008.

Kata Nani, dia cukup berbangga dengan Ka Hoe yang sudah setengah tahun mengikuti kursus ijazah sarjana muda dalam bidang perfileman di LA.

"Saya gembira kerana semua anak-anak arwah Mak (panggilan untuk Yasmin) berjaya dalam bidang masing-masing. Mendengar Ka Hoe bercerita tentang pelajaran dan pengalamannya di LA, saya pasti arwah Mak juga akan tumpang gembira dengan kejayaannya," kata Nani yang mula dikenali menerusi filem Sepet ini tenang.

Full content generated by Get Full RSS.

Kurangkan filem seram

Posted:

Kurangkan filem seram

Kurangkan filem seram

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar WAHIDIN SALIM

ISU filem tempatan yang membanjiri pawagam sejak kebelakangan ini menjadi bualan banyak pihak. Ia dikomen oleh banyak pihak termasuklah bekas Perdana Menteri. Tun Dr. Mahathir Mohamad kira-kira dua minggu lalu.

Filem-filem seram antara lain dikatakan banyak membawa implikasi kurang sihat ke atas pemikiran para penonton. Secara tidak langsung isu itu turut mengheret Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) untuk tampil ke depan.

Ini kerana, PFM yang menaungi para penerbit filem tanah air berasa bertanggungjawab memperjelaskan isu tersebut. Ia juga dilihat sebagai salah satu cara PFM bagi membela ahli-ahlinya dalam menangani isu itu.

PFM tidak terkecuali memberikan pandangannya bagi mengurangkan kebanjiran filem-filem seram tempatan. Presiden PRM, Datuk Paduka Shuhaimi Baba berkata, antaranya dengan menggunakan dana sedia ada.

Menurutnya, PFM mencadangkan agar para penerbit, pengarah atau penulis skrip diberi bantuan daripada Dana Perkembangan Projek bagi menggalakkan mereka mencari jalan cerita selain daripada filem seram.

"Saya mahu mencadangkan agar golongan terbabit diberi bantuan daripada Dana Perkembangan Projek atau Developement Fund Project yang telah disediakan sebelum ini. Ia sebagai suatu galakan untuk mereka.

"Daripada dana itu ia boleh digunakan bagi menjalankan penyelidikan supaya mereka dapat mencari idea dan jalan cerita yang lain selain daripada cerita-cerita seram. Penulis skrip paling utama dalam projek seperti ini.

"Dana sebanyak 15 hingga 20 peratus peruntukan daripada kos bajet pembikinan sesebuah filem itu boleh disaluran kepada golongan terbabit," katanya pada sidang akhbar di Hulu Klang, Selangor, baru-baru ini.

Pada sidang akhbar itu, Shuhaimi bersama Setiausaha PFM, Norman Abdul Halim dan Naib Presidennya, Ahmad Idham Ahmad Nadzri tampil menjelaskan isu yang sedang hangat diperkatakan dalam dunia perfileman hari ini.

Pada sidang akhbar itu, Shuhaimi menafikan berlakunya lambakan filem-filem seram sejak kebelakangan ini kerana katanya daripada 42 filem cereka tempatan yang dihasilkan tahun ini cuma terdapat 18 sahaja filem seram.

"Daripada jumlah 18 filem seram itu pula, hanya enam daripadanya adalah filem komedi seram. Jumlah filem-filem seram itu juga tidak termasuk filem-filem luar seperti daripada Thailand, Hong Kong ataupun Hollywood.

"Dalam hal ini, saya sendiri tidak boleh berbuat apa-apa kerana ia membabitkan soal bisnes. Ahli-ahli PFM mempunyai hak untuk menghasilkan filem yang mereka suka mengikut pasaran semasa. Mereka semua mengikut trend.

"Mereka mempunyai data dan asas yang kuat berdasarkan realiti dan trend semasa dalam dunia perfileman. Kami memberi maklum balas dan data tentang kecenderungan para penonton termasuklah dalam filem seram," katanya.

Bagi mengatasi masalah itu PFM bercadang untuk mengadakan pertemuan ataupun menghantar surat penjelasan kepada Dr. Mahathir bagi menjelaskan isu itu. Ia bagi menjaga kepentingan ahli-ahli PFM pada masa depan.

Selain itu, Shuhaimi juga berharap PFM akan mengadakan pertemuan dengan pihak-pihak yang terbabit dalam industri ini bagi menyelesaikan isu itu. Antaranya dengan Lembaga Penapis Filem Malaysia (LPF), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Finas, Mohd. Naguib Razak berkata, perbadanan itu memandang teguran Dr. Mahathir selain pada masa sama memahami tanggungjawab yang terpaksa digalas oleh ahli-ahli PFM dalam menerbitkan filem.

"Finas akan mengumpulkan data-data untuk rujukan para penerbit filem. Pada masa sama kami juga akan mengadakan pertemuan dengan mereka bagi berbincang bagaimana mahu menghasilkan lebih banyak genre filem.

"Contohnya dalam genre fiksyen sains yang masih belum banyak diterokai dalam industri perfileman di negara ini. Saya anggap lambakan filem seram hanya trend sahaja. Di negara Thailand, Korea dan Jepun trend itu semakin berkurangan," jelasnya.

Full content generated by Get Full RSS.