Adsense

Selasa, 4 Oktober 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Bibir Kilafairy asli

Posted:

Bibir Kilafairy asli

Bibir Kilafairy asli

Oleh AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN
aida.kamaruddin@utusan.com.my


Tidak mahu menjadi artis kontroversi.


BERKALI-kali Kilafairy menafikan dia menyuntik botox untuk mencantikkan bibirnya. Namun kata-kata provokasi masih bertebaran mengaitkan kecantikan bibir pelakon filem Karak itu sebagai bukan asli.

Bagi pemilik nama sebenar Syakila Nisha Jangir Khan itu, dia hanya memekakkan telinga dengan segala provokasi itu dan terus melangkah sebagai anak seni.

Biarpun kehadiran Kilafairy dalam industri hiburan masih hijau, namun jika hatinya tidak nekad sudah pasti anak gadis kepada penyanyi popular dengan lagu Rayuanku, Rohana Jalil sudah berundur.

"Macam mana lagi yang hendak saya katakan bahawa bibir saya ini adalah asli dan tiada elemen lain digunakan untuk mendapatkan bibir seperti ini.

"Di hati saya terasa penat untuk menongkah segala kata-kata pedas yang mengaitkan saya dengan fizikal yang saya miliki.

"Tetapi saya tidak boleh menyerah dengan kata-kata negatif itu. Sebaliknya, saya sekali lagi ingin menjelaskan bahawa bentuk fizikal yang saya miliki termasuk bibir ini adalah kerana saya anak kacukan.

"Emak saya orang Melayu dan ayah pula orang Pakistan. Jadi, kombinasi darah emak dan ayah melahirkan saya dengan rupa sebegini," kata Kilafairy yang mesra membahasakan dirinya sebagai Kila ketika ditemui di studio Utusan Malaysia, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Kilafairy lagi, selain bibir semula jadi yang dimilikinya, dia juga tidak pernah melakukan sebarang suntikan pada mana-mana bahagian tubuhnya.

Itu semua tidak diperlukan kerana usianya masih muda, baru 19 tahun.

"Lainlah kalau seseorang itu sudah mencapai usia lebih 50 tahun. Kalau dia ingin cantik, dia berhak untuk melakukan rawatan ke atas tubuh badannya.

"Tetapi dalam usia saya ini, apakah logik jika saya berbuat perkara seperti itu? Jadi, saya sekali lagi ingin memberitahu mereka yang berpandangan serong terhadap saya bahawa keadaan fizikal atau tubuh termasuk bibir saya, semuanya asli," ujarnya bersungguh-sungguh.

Kilafairy yang bijak melontarkan jawapan bagaimanapun terdiam sejenak apabila ditebak dengan soalan dirinya sering dilanda kontroversi. Beliau menegaskan, tidak pernah terdetik di hatinya untuk menjadi seorang artis yang kontroversi.

"Impian saya adalah mahu menjadi seorang artis tanah air yang dihormati peminat dan saya tidak mengabaikan akademik. Itu yang membuatkan saya masih kekal berada di pusat pengajian tinggi.

"Selain daripada dikenali sebagai pelakon, saya juga mahu melangkah dalam bidang nyanyian seperti ibu saya. Saya mahu menjadi seorang penghibur yang disegani ramai suatu hari nanti.

"Walaupun saya sedar bidang hiburan adalah sesuatu yang penuh dengan glamor, tetapi glamor itu tidak kekal lama.

"Sebab itu saya menyimpan hasrat untuk bergelar seorang usahawan wanita berjaya suatu hari nanti," katanya.

Katanya lagi, dia sedih apabila memikirkan dirinya sering dikaitkan dengan pelbagai isu sedangkan hasratnya menjadi artis, bukannya mahu dipalit dengan pelbagai kontroversi.

"Saya mahu menjadi artis yang berada dalam kelasnya tersendiri. Saya bukannya menyesali langkah yang telah diambil. Tetapi saya mohon kerjasama semua pihak agar menilai saya melalui bakat yang ada.

"Saya juga tidak menyesal dilahirkan sebagai anak berdarah campuran yang memiliki fizikal dan rupa sebegini. Saya tetap bersyukur dengan apa yang saya miliki.

"Jika orang sibuk mempersoalkan tentang bibir saya ini, alhamdulillah. Bibir inilah yang membuka rezeki dan sebenarnya, ini bibir bertuah," katanya dalam nada lembut.

Kontroversi

Perbualan berkaitan dengan fizikal Kilafairy tetap menjadi topik utama pada pertemuan Hits bersama pelakon drama Hotel Mania itu.

Kata Kilafairy, dia tidak pernah mahu menyalahkan mana-mana pihak kerana mencetuskan kontroversi yang langsung tidak membantu mengembangkan karier seninya itu.

"Seperti artis lain, saya juga tidak pernah mengundang kontroversi tetapi perkara itulah yang tidak putus-putus melanda saya sehingga ia memberi kesan ke atas watak lakonan yang ditawarkan kepada saya.

"Seringkali saya mendapat tawaran watak antagonis. Mula-mula dulu, okey. Tetapi lama kelamaan, saya menjadi skeptikal.

"Akhirnya, saya terpaksa menolak tawaran untuk watak sebegitu kerana tidak sanggup di cop sebagai pelakon yang hanya mampu membawa watak jahat," ujarnya.

Kilafairy berkata, dia menanam azam untuk mempelbagaikan watak lakonannya kerana dari situ, berharap dapat memperbaiki teknik berlakon.

"Namun jika berterusan dihujani dengan pelbagai kontroversi saya percaya mereka di luar sana akan terus mahu saya melakonkan watak-watak antagonis.

"Tipu jika saya katakan saya langsung tidak kisah tentang perkara ini. Saya juga manusia biasa yang ada hati dan perasaan.

"Ada ketikanya, rasa tersinggung menyelubungi hati kerana nama Kilafairy sinonim dengan kontroversi," luahnya.

Semangat untuk bangkit menongkah arus tetap wujud dalam diri Kilafairy.

Justeru, dia berkata, untuk mengelakkan dirinya daripada terus-terusan menjadi sasaran kontroversi dia banyak menumpukan perhatian kepada kerjaya dan kuliah.

"Apabila sampai tahap bosan untuk menjawab segala isu kontroversi, saya memilih mendiamkan diri.

"Rasanya itu lebih baik daripada melayan perkara yang tidak ada kesudahannya. Apa yang lebih penting, peminat di luar sana terus menghargai hasil kerja saya.

"Lagipun saya melangkah ke dunia seni bukan bersandarkan kepada rupa paras tetapi bakat," katanya.

Kak Pah turut jayakan MPU

Posted:

Kak Pah turut jayakan MPU

Kak Pah turut jayakan MPU

Oleh HASNURUL MOHAMED

KELUNAKAN suara biduanita Datuk Sharifah Aini akan bergema pada Malam Puisi Utusan (MPU) di Mydin MITC, Ayer Keroh, Melaka, malam ini.

Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah, akan mendeklamasikan puisi hasil nukilan A. Wahab Ali berjudul Anjung Puteri.

Selain Kak Pah yang akan mendeklamasi puisi yang dihasilkan pada tahun 1965 itu, aktres Rozita Che Wan juga akan muncul dengan puisi berjudul Tak Dapat Ku Lupakan, hasil nukilan Anis Sabirin.

Turut menjayakan Malam Puisi Utusan yang julung-julung kalinya diadakan di luar Kuala Lumpur ialah Hazama AF9, Zamani, kumpulan Kopratasa dan Khalid Salleh.

Tidak lengkap jika program anjuran Kumpulan Utusan dan ExxonMobil dengan kerjasama kerajaan negeri Melaka dan Mydin Mohamed Wholesales Berhad (Mydin) itu tidak disertai oleh penyair-penyair tersohor tanah air.

Justeru, pada pukul 8.30 malam ini nanti, warga Bandar Raya Bersejarah Melaka digamit untuk menyaksikan kehebatan Khalid Salleh, Dr. Lim Siew Tin, Pyan Habib, Shukri Abdullah, Halim Yazid dan Marsli N.O mendeklamasikan puisi masing-masing.

Menurut Penolong Pengurus Komunikasi Korporat Utusan Melayu (M) Bhd., merangkap Pengurus Projek Malam Puisi Utusan, Nik Anura Nik Abdul Rahman, Malam Puisi Utusan adalah acara pembuka tirai kepada Program Sastera Utusan ((PSU) tahun ini.

"PSU bermula 1 Oktober sehingga November ini, bertujuan menyemarakkan lagi perkembangan dunia sastera tanah air," katanya yang turut memberitahu, Malam Puisi Utusan kali ini mendapat kerjasama Persatuan Penulis Melaka (Penama) dan Astro sebagai rakan penyiar rasmi.

Katanya, Sasterawan Negara, Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala juga hadir malam ini untuk mendeklamasikan puisi istimewanya.

Sementara tetamu kehormat lain yang akan hadir ialah Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Nik Anura juga berkata, bagi merancakkan lagi Malam Puisi Utusan, peminat dikir barat akan dapat menyaksikan Halim Yazid tampil membuat persembahan.

"Peminat dikir barat sememangnya mengenali Halim kerana lirik-lirik lagu yang dipersembahkan memberi suntikan intelektual.

"Selain daripada berhibur, hiburan yang disajikan bukannya kosong tetapi ia membawa mesej untuk renungan bersama," ujarnya.