Adsense

Sabtu, 8 Oktober 2011

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Jackman, jurulatih robot petinju

Posted:

Jackman, jurulatih robot petinju

Jackman, jurulatih robot petinju

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

AKTOR hebat Hugh Jackman adalah antara pelakon ternama Hollywood yang berada di kelas yang tersendiri. Sudah bergelar sebagai pelakon selama 17 tahun, pelbagai genre filem yang dilakonkannya termasuk filem aksi, cinta dan seram.

Nama pelakon yang berasal dari Sydney, Australia itu mula melonjak naik dan dikenali di seluruh dunia setelah membintangi filem X-Men dan memegang watak utama sebagai Wolverine. Selepas itu terus beraksi dalam sekuel filem berkenaan seperti X2, X-Men: The Last Stand dan X-Men Origins: Wolverine.

Bagaimanapun, selain filem-filem tersebut, Hugh juga sebenarnya banyak membintangi filem-filem yang turut mendapat sambutan hangat. Antaranya filem Kate & Leopold, Van Helsing, The Prestige dan Australia.

Setelah dua tahun tidak muncul dengan filem yang bergenre aksi, kali ini pelakon tersebut akan muncul dalam sebuah filem terbaru berjudul Real Steel yang akan ditayangkan di Malaysia pada 13 Oktober ini.

Real Steel yang diarahkan oleh Shawn Levy mengisahkan mengenai harapan seorang lelaki, Charlie Kenton (Hugh Jackman) untuk bergelar juara dunia dalam sukan tinju musnah apabila sukan tersebut telah diambil alih oleh robot.

Kemudian dia telah menukar kerjayanya sebagai seorang promoter tinju yang membabitkan pertandingan di antara robot, tetapi berhadapan dengan pelbagai kesukaran. Selepas itu dia telah bergabung dengan anak lelakinya untuk menghasilkan sebuah robot bernama Atom dan melatihnya untuk bergelar juara.


KATA Jackman, selain banyak aksi tinju dengan robot, filem Real Steel menjadi lebih menarik kerana ia mempunyai jalan cerita yang cukup menyentuh emosi.


Menariknya tentang filem ini, pelakon yang berstatus kelas A di Hollywood itu bergandingan dengan seorang pelakon kanak-kanak iaitu Dakota Goyo yang pernah berlakon dalam filem Thor sebelum ini.

Boleh ceritakan serba sedikit watak anda dalam filem Real Steel?

JACKMAN: Pertama sekali ketika saya membaca skrip filem ini, saya dapati watak Charlie adalah seorang lelaki yang mengalami kegagalan dalam hidup. Namun setelah membaca lebih daripada separuh, apa yang saya dapati ia juga turut menekankan tentang nilai dalam sesebuah perhubungan di antara ayah dan anak. Setelah gagal untuk bergelar seorang juara tinju, hidupnya seakan-akan telah musnah. Malah, Charlie merasakan bersalah terhadap anaknya kerana tidak dapat memberikan kehidupan yang sempurna, sehinggakan terpaksa berhutang untuk meneruskan kehidupan.

Apa yang membuatkan anda tertarik untuk membintangi filem ini?

Saya cukup tertarik dengan paparan emosi terhadap hubungan di antara ayah dan anak dan ia telah mengingatkan saya tentang filem Rocky. Kepada penonton yang menyangka filem ini adalah sekadar mengenai kisah robot yang dijadikan alat untuk bertinju, pasti mereka akan terkejut apabila menontonnya. Saya akui ia adalah sebuah filem yang penuh dengan aksi-aksi menarik terutamanya perlawanan yang membabitkan robot, tetapi jalan ceritanya juga begitu menarik sehinggakan saya menerima tawaran untuk berlakon dalam filem ini.

Bagaimana pula perbezaan dengan filem-filem tinju yang lain?

Sebelum ini sudah banyak filem-filem berkenaan tinju yang dihasilkan seperti Rocky dan Million Dolar Baby. Sudah tentu perbezaan paling ketara adalah filem Real Steel apabila robot dijadikan sebagai peninju. Selain itu, penekanan terhadap hubungan antara ayah dan anak dalam filem ini juga dilihat berbeza supaya tidak nampak persamaan dengan filem tinju yang lain.


PADA usia 42 tahun, 'saham' Jackman masih tinggi dan terus mendapat tawaran melakonkan banyak aksi lasak.


Adakah anda pernah membaca cerpen asal cerita ini yang dihasilkan oleh penulis Richard Matheson?

Terusterang saya katakan yang saya hanya membacanya selepas dua minggu menjalani penggambaran setelah diberikan oleh penerbit, Don Murphy. Menariknya, dia agak terkejut ketika memberitahu kepadanya yang saya belum pernah membaca cerpen itu lagi. Kemudian apabila saya membacanya, saya dapati ia sebuah cerita yang sangat menarik dan sepatutnya saya harus membacanya sebelum menjalani penggambaran lagi. Bagi saya dia adalah seorang penulis yang bagus dan saya berminat untuk membaca hasil tulisannya lagi selepas ini.

Berkenaan dengan gandingan anda bersama Dakota Gayo, bagaimana anda mencari keserasian untuk berlakon bersama seorang pelakon kanak-kanak?

Ketika ditawarkan berlakon dalam filem ini, saya diberitahu akan bergandingan dengan seorang pelakon kanak-kanak. Namun, bagi saya untuk mencari keserasian bukan satu masalah yang besar kerana saya sememangnya sangat menyukai kanak-kanak. Lagipun saya sendiri memiliki dua orang anak yang masing-masing berusia 11 tahun dan enam tahun.


SELURUH keluarga Jackman selalu menyokong kerjayanya dengan menonton filem-filem lakonannya.


Pandangan anda mengenai Dakota?

Pada saya dia adalah seorang kanak-kanak yang baik dan kelakar. Sepanjang menjalani penggambaran dengannya, saya dapati dia seorang yang matang walaupun usianya baru mencecah 12 tahun. Begitu juga dengan lakonannya dalam filem ini yang cukup memberangsangkan sekali. Malah, saya sangat yakin yang dia mampu untuk bergelar seorang pelakon yang hebat apabila dewasa nanti.

Adakah anak anda sudah menontonnya?

Ya, mereka sudah menonton dan sangat menyukainya. Sebenarnya ia adalah kali pertama mereka menonton filem lakonan saya, manakala ibu mertua dan isteri saya juga turut tidak ketinggalan untuk menontonnya.

Adakah anda mengetahui bahawa peninju legenda, Sugar Ray turut terlibat dalam filem ini untuk memberi tunjuk ajar tentang cara tinju yang betul?

Saya masih lagi ingat pihak produksi bertanya sama ada saya selesa atau tidak apabila mereka mahu menggunakan khidmat Sugar Ray. Kemudian saya beritahu mereka yang saya sendiri sangat berbangga dapat menerima tunjuk ajar daripada seorang peninju yang hebat. Selama ini saya sudah bertemu dan bekerjasama dengan bintang filem yang popular dan terkenal dari seluruh dunia. Jadi, saya berasa sangat bertuah apabila dapat bekerjasama dengan seorang ahli sukan yang berjaya dalam bidangnya dan sangat menghargai segala tunjuk ajar yang diberikan.

Bagaimana pula kerjasama anda dengan pengarah, Shawn Levy?

Sepanjang kami bekerjasama tidak ada masalah besar yang timbul sepanjang penggambaran dilakukan. Malah, saya sendiri cukup kagum dengan kerja-kerja yang dihasilkannya dan dia adalah seorang pengarah yang cukup berbakat.

Kemuncak Raya Suria FM 2011 gegarkan Putrajaya

Posted:

Kemuncak Raya Suria FM 2011 gegarkan Putrajaya

Kemuncak Raya Suria FM 2011 gegarkan Putrajaya

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL.


DATUK SITI NURHALIZA menjadi pembuka tirai Konsert Kemuncak Raya Suria FM 2011 baru-baru ini.


SELARAS dengan fokus kepada lagu-lagu dari era 90-an hingga terkini, Suria FM telah berjaya melaksanakan sebuah konsert mega yang menggabungkan artis tempatan lama dan baharu untuk menghiburkan peminat serta pendengar mereka.

Konsert Kemuncak Raya Suria FM 2011 yang telah berlangsung pada 1 Oktober lepas bertempat di Dataran Putrajaya, Putrajaya telah berjaya membawa senarai nama besar dan berjaya menarik minat kira-kira 10,000 penonton yang hadir membanjiri dataran yang terletak di Presint 3 itu.

Selain bertema raya, konsert itu juga diadakan bagi menghargai pendengar-pendengar setia Suria FM yang sentiasa menyokong pertumbuhan radio mereka dengan penampilan artis popular tanah air.

Antara nama-nama besar industri tempatan termasuklah Datuk Siti Nurhaliza, Datuk M. Nasir, Amy Search, Hattan, Ning Baizura, Hujan, Nurul Wahab, One Nation Emcees, Mawi, Yazer, Adira dan juga Awi Rafael yang mengadakan persembahan pada sebelah malam.

Sementara menanti acara kemuncak iaitu konsert utama yang bermula pada pukul 8.30 malam, acara pra konsert telah berjalan seawal pukul 3 petang di mana dua orang DJ, DJ Rezz dan DJ Naim telah mengendalikan acara Dj Spinning. Setelah itu, disusuli pula dengan persembahan beberapa artis baru serta 10 buah band Indie termasuk Dazmelon, Stubborn, Classmate Tanowarna dan ramai lagi.


PENUTUP daripada tiga figura terkenal tanah air (dari kiri) Datuk M. Nasir, Amy Search dan Hattan dengan lagu Mentera Semerah Padi cukup meninggalkan kesan kepada peminat hiburan di Putrajaya.


"Ini merupakan kali ketiga konsert seumpama ini diadakan dan keseluruhannya sambutan dari peminat memang menggalakkan. Ini kerana, kami memberi keunikan yang mana artis-artis yang ditampilkan merupakan artis 90-an hingga kini.

"Sebenarnya kami mahu konsert ini diadakan lebih awal, namun oleh kerana ketiadaan lokasi kerana tarikh yang diingini penuh, ia terpaksa ditunda hingga ke tarikh 1 Oktober. Malah, kami merupakan stesen radio pertama yang mengadakan konsert raya sebegini," jelas Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Azrul Mohd. Nor.

Akuinya lagi memang sukar untuk mengumpul artis-artis yang telah punyai platform dan nama besar dalam industri seni hiburan namun idea tersebut berjaya direalisasikan dan ia mengambil masa selama dua bulan untuk mengumpul kesemuanya di dalam sebuah konsert mega ini.

Selain itu, kos yang diperuntukkan juga amat tinggi, namun dengan sambutan dan kerjasama yang diterima, ia memang berbaloi kerana aktiviti seperti ini dibuat untuk peminat dan pendengar setia mereka.


PEMINAT yang hadir cukup berpuas hati dengan hiburan percuma yang diberikan oleh barisan artis tersohor tanah air.


"Suria FM ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua penaja, para artis yang terlibat serta rakan-rakan media yang terus menyokong kami. Sokongan dan kehadiran orang ramai serta semua pihak media memeriahkan lagi konsert ini," akhiri Azrul.

Konsert Kemuncak Raya Suria FM pada tahun ini juga mendapat kerjasama MYEG - Penyedia Perkhidmatan Kerajaan Eletronik selaku penaja utama konsert dan Perbadanan Putrajaya di samping Knock4Six sebagai penaja bersama.

Vina bukan diva

Posted:

Vina bukan diva

Vina bukan diva

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


VINA PANDUWINATA lebih selesa menjadi idola kepada peminatnya berbanding dipanggil diva.


KEPADA sesiapa yang pernah mendengar lagu berjudul Dia yang dinyanyikan ratu jazz negara, Sheila Majid, pasti ada yang menyangka bahawa lagu itu adalah nyanyian asal penyanyi tersebut.

Bagaimanapun, sangkaan itu pastinya silap sama sekali kerana lagu yang cukup popular di Indonesia dan Malaysia itu sebenarnya telah mula dinyanyikan oleh penyanyi Vina Panduwinata.

Jika di Indonesia, sememangnya tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Vina sebenarnya adalah satu nama yang cukup besar dalam industri muzik di sana setelah berkecimpung sebagai anak seni selama 33 tahun.

Selain lagu Dia yang sering kali menjadi siulan ramai, penyanyi tersebut turut popular dengan lagu berjudul Burung Camar sehingga mendapat gelaran daripada peminat sebagai 'Si Burung Camar'.

Setelah melahirkan 15 buah album sepanjang kariernya serta pelbagai rentetan kejayaan sehingga ke peringkat antarabangsa telah meletakkan dirinya sebagai seorang diva di kalangan peminat setianya.

Berkesempatan menemuinya pada majlis pelancaran laman Facebook dan Twitter saluran Indopek (141 & 142) di ibu negara baru-baru ini, penyanyi yang lebih mesra dengan panggilan Mama Vina memberi pandangan tersendiri terhadap gelaran diva yang telah diberikan peminat kepadanya.

"Sejujurnya saya berasa kurang gemar apabila digelar diva. Bagi saya gelaran itu terlalu tinggi dan sesuai untuk diberikan kepada individu yang telah banyak menyumbang bakti kepada masyarakat.

"Sebenarnya gelaran yang lebih sesuai diberikan adalah idola untuk penyanyi-penyanyi seperti saya ini. Bagaimanapun, saya tetap berterima kasih kepada mereka yang memberi gelaran setinggi ini serta sokongan yang telah diberikan," ujarnya.

Mengenai kerjaya awalnya sebagai seorang penyanyi jazz, Vina merupakan seorang anak diplomat yang menyebabkannya kerap berpindah ke beberapa buah negara seperti India dan Jerman.

Kemudian pada tahun 1978, penyanyi berkenaan memulakan karier profesionalnya setelah merakamkan dua buah single yang bertajuk Java & Single's Bar dan Sorry Sorry & Touch Me dengan syarikat rakaman RCA Germany.

Setahun selepas itu, dia kembali ke Indonesia dan bertemu dengan Mogi Darusman yang tertarik dengan suara yang dimiliki oleh Vina. Tidak lama kemudian Mogi memperkenalkannya kepada beberapa buah syarikat rakaman dan menarik minat Jackson Record sehingga lahirlah album sulungnya iaitu Citra Biru.

Selain telah merakamkan banyak lagu yang cukup popular sekitar tahun 80-an seperti Bisikan Malam, Di Dadaku Ada Kamu dan Tuhan Ternyata Ada, penyanyi itu juga pernah berduet dengan seorang lagi penyanyi terkemuka Indonesia iaitu Harvey Malaiholo.

Sementara itu, ditanya mengenai petua dirinya masih lagi mampu bertahan sehingga ke hari ini dan masih terus menjadi pujaan ramai di negara kelahirannya, Vina menjelaskan sebagai seorang penyanyi apa yang paling utama adalah disiplin.

"Pada mulanya saya menganggap nyanyian sebagai satu hobi sahaja. Namun, setelah menjadikannya sebagai satu kerjaya profesional, maka saya lebih fokus dan bersungguh-sungguh terhadap bidang ini.

"Dalam apa sahaja pekerjaan, jika mahu mengecap kejayaan sudah tentu disiplin menjadi keutamaan inilah yang harus ditekankan kepada penyanyi-penyanyi baharu sekarang sekiranya mahu bertahan dalam tempoh yang lama," jelasnya.

Biarpun dirinya kini sudah berjaya sebagai seorang penyanyi, Vina mengakui anak tunggalnya iaitu Joedo Harvianto Kartiko tidak berminat untuk memilih bidang nyanyian sebagai kerjaya.

Air suam

Di sebalik kejelitaan wajah yang dimilikinya itu, pasti ramai yang tidak menyangka bahawa pemilik nama Vina Dewi Sastaviyana Panduwinata sudah menjangkau usia 52 tahun.

Menurut Vina, salah satu rahsia dia dapat mengekalkan kejelitaannya itu adalah dengan mengamalkan meminum air suam yang sudah dilakukan sejak lima tahun yang lalu.

"Dahulu saya tidak sedar tentang kebaikan meminum air suam yang sebenarnya baik untuk kesihatan. Kini baru saya tahu bahawa air suam itu sebenarnya sangat baik untuk kesihatan dan penjagaan suara.

"Menariknya, sebelum ini berat badan saya pernah mencecah sehingga 75 kilogram dan dengan mengamalkan meminum air suam sebanyak dua liter sehari, akhirnya berat badan saya dapat diturunkan tanpa melakukan senaman," jelasnya.

Mengenai pandangannya terhadap tindakan beberapa artis di negaranya itu yang menggunakan botox untuk kelihatan kekal cantik, Vina menjelaskan ia terpulang kepada seseorang individu itu.

"Setiap orang memiliki cara masing-masing untuk mahu terus cantik termasuk menggunakan botox, tetapi saya tidak akan sekali-kali melakukannya dan percaya dengan apa yang saya lakukan sekarang ini," ujarnya.