Adsense

Sabtu, 8 Oktober 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Godaan G.NA

Posted: 07 Oct 2011 04:44 PM PDT

Hip

Susuk tubuh sempurna bantu raih peluang dalam karier seni suara

TIDAK seperti artis lain yang terpaksa merentas perjalanan panjang untuk mengecap nikmat kemasyhuran, Choi Ji-Na atau nama pentasnya, G.NA meraih semua itu hanya dalam masa setahun.

Namun kemasyhuran juga pernah menjadi beban kepada gadis yang membesar di Kanada, sebelum pulang ke Seoul, Korea pada usia 17 tahun untuk mencari ruang dalam bidang nyanyian.

Seperti ada yang tidak kena pada permulaan karier gadis yang diperkenalkan menerusi single digital, Things I Want to Do When I Have a Lover menemukannya dengan penghibur terkenal, Rain. Barangkali lumrah dunia hiburan, G.NA juga tidak terlepas daripada pandangan sinis peminat yang cuma melihat kelebihannya pada sudut fizikal dan bukan hasil kerja yang ditawarkannya.

Tidak dinafikan, susuk tubuh yang diakui sempurna oleh mata nakal membantu G.NA meraih peluang muncul sebagai model iklan pakaian dalam CF yang begitu selektif dalam pemilihan wajah untuk menyertai siri promosinya.

Ternyata populariti yang diraihnya itu tidak mudah ditangani oleh gadis yang meraikan ulang tahun ke-24 pada 13 September lalu.

Sehingga ini, G.NA masih berusaha keras meyakinkan peminat supaya melihat kepada bakat yang dimilikinya.
G.NA kurang selesa apabila susuk tubuhnya yang lebih diperkatakan, apatah lagi dia bekerja keras membuktikan kemampuannya dalam bidang seni suara.

Daripada seorang yang pekak bunyi, G.NA berusaha mengatasi kelemahan itu kerana percaya dia mempunyai kekuatan bakat sebagai penyanyi.

"Sehingga hari ini saya masih bekerja keras. Selama ini apa yang terlalu kerap diperkatakan mengenai saya, cuma berlegar kepada bentuk tubuh badan saya.

"Saya rimas dan untuk mengatasinya, saya mendesak diri supaya gigih berlatih menyanyi supaya khalayak memandang kepada bakat yang saya miliki," kata gadis yang fasih berbahasa Inggeris ini.

Permulaan kariernya menerusi mini album, Draw G's First Breath, tahun lalu tidak menghampakan apabila G.NA merangkul anugerah pertama
dalam M! Countdown.

Susulan kejayaan itu, G.NA memperkemaskan perjalanan karier nyanyiannya dengan melancarkan single terbaru, Black and White, awal Januari lalu.

Enggan populariti yang sedang dikecapinya berlalu, G.NA hadir dengan album kedua, Top Girl yang pantas mendaki tangga selesa pada carta Billboard's K-Pop Hot 100.

Biarpun semua yang dicitacitakan semakin mendekatinya, G.NA enggan pantas berasa selesa dan tidak melakukan sesuatu untuk masa depannya.

Dikenali sebagai seorang yang berhati-hati, G.NA sanggup melapangkan waktu bagi menghadiri mesyuarat dan meluahkan pandangan serta isi hatinya.

Gadis ini juga tidak menyerahkan semua aspek berkaitan produksi album dan perjalanan kariernya kepada label, sebaliknya dia akan duduk bersama berbincang mengenai hala tuju kerjayanya.

"Sifat ingin tahu membuatkan orang di dalam syarikat rakaman melabelkan saya sebagai penyanyi yang menggerakkan semangat mereka.

"Apakah itu bermakna setiap tindakan saya menyakiti mereka? Tetapi saya teruja merangka dan merencana sesuatu bersama mereka," katanya.

Dibesarkan dalam keluarga yang aktif bersukan, G.NA mewarisi sifat mahu sentiasa bersaing itu daripada kedua ibu bapanya.

Barangkali kerana itu, G.NA tidak pernah mengeluh biarpun terpaksa belajar semula teknik nyanyian hanya untuk mencari kepuasan yang dimahukan.

"Sasaran album pertama adalah untuk memperkenalkan nama. Saya bekerja keras untuk memastikan apabila nama G.NA disebut, peminat akan tahu siapa orang yang dimaksudkan.

"Mungkin saya berjaya tetapi itu belum memberikan saya kepuasan penuh. Masih banyak yang perlu diusahakan, malah saya berusaha memastikan peminat tertarik dengan pesona yang saya miliki.

"Daripada menjadi seorang yang baik tetapi kehadiran tidak disedari, saya rela dikenali sebagai gadis nakal namun mempunyai pesona tersendiri," katanya.


Libas sekadar raih kutipan RM900,000

Posted: 07 Oct 2011 04:41 PM PDT

Hip

SELEPAS seminggu tayangannya di 65 pawagam seluruh negara, filem Libas yang mengangkat kisah dunia sepak takraw membabitkan pasukan Malaysia dan Thailand secara underground, mampu berpuas hati dengan kutipan kasar mencecah RM900,000.

Filem arahan Jurey Latiff Rosli terbitan MDAG Marketing dalam genre aksi komikal yang mengangkat permainan sukan rakyat Nusantara itu sebagai jalan penceritaannya masih terus ditayangkan untuk minggu kedua, biarpun kini berdepan dengan saingan filem baru, Al-Hijab selain filem Bini- Biniku Gangster yang menemui penonton sejak 22 September lalu masih ditayangkan di beberapa pawagam tertentu.

Libas menggandingkan, Rosyam Nor dengan Scha Al-Yahya dan Johan Raja Lawak sebagai teraju utama apabila ia mula ditayangkan pada 29 September lalu. Jurey ketika ditemui mengakui, pihaknya mampu berpuas hati dengan kutipan sebanyak itu meskipun segala urusan promosi berjalan lancar dengan kerjasama antara pihak penerbit dan pengedar filem terbabit, Skop Production Sdn Bhd.

"Pihak penerbit dan Skop Productions selaku pengedar filem ini masih tidak faham mengapa filem ini kurang mendapat perhatian ramai penonton sedangkan tinjauan terhadap mereka yang datang menontonnya mengakui suka dan memenuhi konsep dan cerita filem ini. Kami terpaksa menerima hakikat filem ini kurang mendapat perhatian penonton yang memberangsangkan.

Sebagai pengarah, saya amat berpuas hati dengan Libas kerana segala usaha telah dijalankan sebaik mungkin oleh semua pihak yang terbabit dalam penerbitan filem ini.

"Namun daripada maklum balas awal diterima daripada penonton juga, ia amat menggalakkan kerana mereka memuji jalan cerita dan teknik imej janaan komputer (CGI) yang digunakan lebih 80 peratus dalam filem ini apabila kali pertama filem tempatan dihasilkan dalam genre aksi komikal," kata Jurey yang tidak menolak kemungkinan persaingan dengan Bini-Biniku Gangster terbitan MIG yang ditayangkan seminggu lebih awal turut memberi kesan kepada kutipan tiket filem arahannya itu.
"Penonton mempunyai pilihan sendiri untuk memilih filem yang ingin ditonton tambahan pula, Libas terpaksa bersaing dengan Bini-Biniku Gansgster yang khabarnya sambutan begitu bagus dan selepas seminggu tayangan, Libas terpaksa bersaing dengan Al-Hijab yang kini sudah mula ditayangkan.

Jika dilihat, banyak filem yang bagus kurang mendapat sambutan penonton, mungkin jalan cerita Libas ini agak berat walaupun turut ditampilkan secara komedi. Mungkin untuk filem seterusnya saya akan mengarahkan filem selepas mengkaji dan melihat selera penonton," katanya.

Jurey tetap berharap dengan tempoh tayangan di pawagam yang masih berbaki ini, Libas mampu menarik penonton di saat akhir dan mampu mencapai kutipan lebih baik. Filem berkenaan turut dilakonkan Adam Corie, Yank Kassim, Beego, Taiyuddin dan Z Zamri.

Libas memaparkan permusuhan tradisi antara Malaysia dan Thailand dalam pertarungan sepak takraw secara underground. Wira negara, Adnan Saladin yang juga dikenali sebagai Raja Libas diamanahkan menyelamatkan maruah bangsa merampas piala kemenangan yang berbentuk bola takraw warisan dari Thailand.

Akibat kecederaan kaki yang serius, dia tidak mampu lagi beraksi di gelanggang dan terpaksa mencari bakat muda sebagai pengganti. Kekangan masa menuntutnya berpuas hati dengan kemampuan Hamidi dan Ku Mok, biarpun sedar bahaya menanti.