Adsense

Sabtu, 8 Oktober 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Terbayang azab menanti

Posted: 07 Oct 2011 06:49 AM PDT

SUATU ketika dulu, gadis lincah ini pernah terpalit dengan kontroversi sebagai pelakon seksi di awal pembabitannya dalam dunia seni.

Kini si cantik manis Diana Amir melakukan penghijrahan terbesar dalam hidupnya dengan mengucapkan selamat tinggal kepada imej berkenaan.

Semakin matang dan dewasa menempuhi kehidupan sebagai seorang artis menyebabkan dia mengambil keputusan untuk berubah ke arah yang lebih baik sesuai dengan peningkatan usianya.

Pemilik nama sebenar Nurdiyana Amir Hashim yang mula mencipta nama menerusi drama bersiri Impian bergandingan dengan Wardina melakukan perubahan mengejut apabila mula memakai hijab sepenuhnya bermula pada bulan lalu tanpa memaklumkan kepada sesiapa termasuk ibu bapanya. Apa yang pasti, Diana nekad menutup aurat.


Bukan mudah gadis kelahiran Johor Bahru ini membuat perubahan besar seperti itu, tetapi apabila membayangkan masa kiamat nanti Diana tanpa menunggu lebih lama melakukan perubahan itu.


Mengambil masa selama empat bulan, Diana mengenakan tudung secara berperingkat bagi membiasakan dirinya dengan keadaan baru.

Kini gadis berusia 25 tahun itu tidak kisah sama ada peminat atau masyarakat di luar mengatakan dia lebih cantik jika tidak bertudung kerana baginya hijab bukan hanya di kepala, tetapi juga di hati.

Diana lebih selesa dengan penampilan terbarunya kerana merasakan dirinya lebih terjaga daripada pandangan umum.

Mungkin sesetengah individu menganggap Diana bertudung hanya sebagai gimik untuk filem 7 Petala Cinta kerana buat pertama kalinya dia memegang watak dengan karakter bertudung labuh.

Namun, realitinya ia adalah imej yang akan dikekalkan Diana sehingga ke akhir hayat.

Yakin dengan keputusan itu, Diana cuba memenuhi tuntutan sebagai Muslimah iaitu hukum wajib bagi seorang wanita Islam memakai tudung.

"Saya mengambil masa selama empat bulan melatih diri sebelum memakai tudung sepenuhnya.

"Pada mulanya saya memakai tudung untuk beberapa hari kemudian kembali ke imej lama iaitu 'free hair' apatah lagi apabila saya memenuhi tuntutan watak dalam lakonan. Apabila melakonkan watak dalam 7 Petala Cinta, saya terbiasa dengan hijab di kepala lalu selama beberapa minggu apabila keluar dari rumah saya mengenakan tudung, tetapi saya akui pada ketika itu saya masih belum cukup kuat lalu kembali tidak bertudung.

"Sebenarnya, niat untuk bertudung ini sudah lama namun mungkin sebab azab bukan
di depan mata maka niat untuk bertudung ini ditangguhkan.

"Tetapi, sejak beberapa bulan lalu, apabila saya seorang diri, selalu terbayang azab di hari kiamat. Sekarang ini kita ada kawan dan keluarga yang selalu bersama-sama dengan kita namun bila di akhirat kita tidak ada siapa-siapa," katanya.

Mempunyai keluarga angkat di Shah Alam, Diana menyifatkan mereka golongan yang warak.

Sebagai seorang Muslimah, dia segan sendiri apabila bertandang ke rumah itu kerana menyedari tanggungjawab sebagai seorang Islam namun tidak menunaikannya.
Mencari ruang untuk melawat keluarga angkatnya ketika bulan Ramadan yang lalu, Diana berkata sepanjang berada di rumah itu, dia menutup aurat sebagaimana yang dituntut agama.

Semuanya bermula apabila pada hari raya ketiga, Diana berkesempatan berjumpa dengan temannya yang terlebih dulu sudah memakai hijab.

Berkongsi perjalanan hidupnya, pada malam itu Diana menilai dirinya dan merenung masa akhiratnya.

"Kenapa mesti berdegil sedangkan dalam al-Quran sendiri sudah menjelaskan mengenai perihal bertudung.

"Jadi, tidak ada alasan lagi kenapa saya menangguhkan perkara yang baik.

"Apabila sudah menutup aurat, semuanya terjaga. Dari segi percakapan, perlakuan, pergaulan dan pemakaian, semua perlu dilakukan seimbang dengan imej bertudung kerana saya tidak mahu dikatakan bertudung hanya kerana terikut-ikut," katanya.

Apabila dilihat industri seni pada masa kini, fenomena artis bertudung seakan-akan menjadi ikutan. Bermula dengan Irma Hasmie, kemudian Raja Farah dan kini anak keempat daripada tujuh beradik ini.

Tidak kisah dengan rezeki selepas bertudung, Diana berkata dia percaya sekiranya rezekinya, maka ia akan datang tanpa dicari.

Selepas ini, dia akan lebih berhati-hati ketika memilih watak yang sesuai dengan imej bertudungnya.

Tidak menafikan pelakon yang tidak bertudung mungkin menjadi pilihan kerana boleh membawakan pelbagai peranan, tetapi Diana lebih takutkan akhirat berbanding tawaran berlakon.

Diana yang merancang untuk memasuki kelas usrah menjelaskan selagi dia tidak berkahwin, dosa yang dilakukan ditanggung oleh ayahnya.

Tidak mahu kejam dengan orang tuanya, dia turut menambah bahawa ayahnya selalu mendoakan yang terbaik untuknya maka tidak ada sebab bagi Diana membiarkan dosanya diletakkan atas bahu insan yang disayanginya.

Tidak berniat untuk memberitahu peminat berita penghijrahannya, Diana mahu benar-benar selesa dengan imej baru dan yakini terlebih dulu sebelum uar-uarkan perubahan itu. Namun, peminat lebih dulu menghidu perkara baik itu dan Diana tidak mempunyai pilihan lain selain mengiyakan perkara terbabit.

Menafikan perubahan itu disebabkan oleh kekasih hati, Diana menjelaskan setakat ini hatinya masih belum dimiliki dan keputusan untuk bertudung adalah disebabkan diri sendiri dan bukan berpunca dari orang lain. Keluarganya juga hanya mengetahui Diana sudah bertudung selepas beberapa hari dia menutup aurat.

Bercakap mengenai filem 7 Petala Cinta, Diana memegang watak sebagai Hilma Aqila iaitu penuntut madrasah. Hilma sanggup berkorban untuk kebahagiaan orang lain walaupun ia amat menyakitkan dirinya. Dia mencintai seseorang namun sanggup melepaskan lelaki itu demi kegembiraan insan lain.

Diana yang bernaung di bawah MIG Production Sdn Bhd merasakan keputusan yang dilakukannya itu tepat. Setakat ini masih ada lima filem yang bakal ditayangkan di pawagam - antaranya ialah Keramat, 7 Petala Cinta dan X.

Menurut Diana, 7 Petala Cinta adalah lakonannya yang pertama dia memakai tudung labuh manakala X adalah filem terakhir lakonannya sebelum dia berhijab.

Berdua lebih baik

Posted: 07 Oct 2011 06:38 AM PDT

"KAMI ada alasan tersendiri kenapa berpecah. Saya hanya mahu bekerja dengan mereka yang benar-benar serius dalam bidang ini. Masalah antara kami sudah lama berlaku sejak pertandingan Raja Lawak lagi dan ia tidak lagi dapat dibendung ketika final Maharaja Lawak tahun lalu.

"Sebab kami tinggal dua kerana Mamat tidak dapat berikan komitmen sepenuhnya kepada Sepah.

"Disebabkan kami sudah tidak bertiga lagi, rasanya kami tidak perlu menggunakan nama Sepah sebab Sepah wujud atas tiga nama seperti yang Mamat pernah cakap.

"Jadi mulai sekarang kami berdua hanya mahu dikenali sebagai Sepahtu (Sepah Two)," jelas Jepp atau nama sebenarnya, Mohd Nazri Zainal Abidin kepada pihak media, baru-baru ini.


Jepp merujuk kepada status kumpulan baru, Sepahtu yang diteruskan bersama seorang lagi rakan asal Sepah, Shahmira Muhamad atau Shuib tanpa lagi Mamat (Mohd Noor Murad) dengan mereka.


Mengulas lagi mengenai punca terhadap perpecahan Sepah, Jepp tidak menafikan ia turut dipengaruhi sikap Mamat sendiri yang tidak lagi fokus dan berdisplin serta lebih banyak dikaitkan dengan kontroversi dan masalah peribadinya.

Sebelum ini timbul juga gosip Mamat bercinta dengan vokalis Butterfly, Adda dan kemudian menjalinkan hubungan pula bersama pelakon siri Kasih Alia, Fida (Rafida Ibrahim).

Ditanya kalau Jepp dan Shuib sanggup terima Mamat kembali andai rakan mereka itu memohon maaf, tergambar seolah mereka sudah berpatah arang.

"Saya tak tahu kalau situasi begitu (bergabung semula) akan berlaku pada satu hari kelak. Kami sebenarnya sudah banyak beri Mamat peluang untuk dia berubah dan lebih serius dengan kerja.

"Selepas Raja Lawak lagi, sudah ada ura-ura kami mahu berpecah, tapi kami tetap bertahan demi peminat.

"Peminat yang mahu kami bersatu, tapi mereka hanya melihat benda yang tersurat tanpa mengetahui apa yang tersirat. Semua masalah kami kenapa hadapi sendiri," ujarnya.

Shuib berkata, sukar untuk dia menjaga hal peribadi Mamat kerana dia sendiri sudah ada komitmen terhadap keluarga yang baru dibina. Sebagai rakan, dia sekadar mendoakan kehidupan Mamat agar terus berjaya.

"Kalau sudah tidak ada persefahaman, lebih baik kami tinggal berdua," ujar Shuib yang juga suami kepada penyanyi terkenal, Siti Sarah.

Mengenai pengenalan Sepahtu, Jepp berkata, kumpulan baru mereka akan muncul bersama album sulung di bawah label syarikat produksi MW Entertainment Sdn Bhd (milik Mawi) dan Sheikh Qalam Records.

"Pada mula, kami mendapat tawaran ini secara individu. Sukar untuk saya tolak rezeki ini apatah lagi tawaran ini turut diberikan kepada Shuib.

"Walaupun berdua, kami masih tampil dengan konsep lawak yang sama. Bezanya sekarang, sambil berlawak, kami juga akan menyanyi. Kami mahu buat kelainan untuk terus melangkah," katanya.

Komposer Sheikh Qalam pula berkata, album Sepahtu itu akan menampilkan genre pop rock dengan memuatkan enam lagu. Memberi kekuatan, album ini turut menggunakan khidmat komposer berpengalaman, Datuk M Nasir dan Azmeer.

"Mungkin juga mereka boleh selitkan muzik seperti K-Pop. Menariknya, anggota Sepahtu akan menunjukkan bakat dalam menulis lagu sendiri.

"Mungkin satu atau dua lagu lebih lirik yang serius manakala yang lain menyelit elemen jenaka. Album ini dijangka siap pada November atau penghujung tahun ini," katanya.

Sheikh berkata, buat masa ini album berkenaan masih dalam proses mengumpul lagu. Sebagai komposer dan produser, dia percaya Jepp dan Shuib ada bakat yang hebat sebagai penyanyi.

"Kami yakin Sepahtu akan berjaya kerana mereka berani mencuba dan tidak mudah patah semangat," ujarnya.