Adsense

Jumaat, 16 September 2011

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Belum ada rezeki

Posted:

Belum ada rezeki

Belum ada rezeki

PERKAHWINAN mereka pada 16 Disember, 2009 lalu sempat menimbulkan kontroversi. Namun masa berlalu, kini tiada lagi kontroversi. Aktres putih gebu, Zizie Ezette,32, sebaliknya nyata sedang diulit kebahagiaan bersama suami tercinta, Ahli Parlimen Kinabatangan, Sabah, Datuk Bung Mokhtar Radin.

Sementelah, usia perkahwinan mereka kini hampir mencecah dua tahun, Zizie tidak dapat menyembunyikan keinginannya untuk memiliki cahaya mata sebagai pelengkap kehidupan berumah tangga.

Ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Taman Sering Ukay, Hulu Kelang, Selangor baru-baru ini, akui Zizie yang kelihatan anggun dalam persalinan ungu, dia dan suami tidak pernah merancang untuk mempunyai anak pada waktu tertentu.

Malah, ungkap Zizie, dia sendiri sebenarnya sangat teruja menjadi seorang ibu. Bagaimanapun, Zizie dan suami menganggap mereka masih belum ada rezeki untuk menimnang anak buat masa ini.

"Saya akui yang kami pernah menjalani pemeriksaan (perubatan) bersama-sama dan keputusan yang diterima adalah masing-masing tidak ada masalah kesihatan yang mampu menghalang kami untuk memperoleh anak.

"Walaupun kami memang inginkan sangat menimang cahaya mata, tetapi itu semua adalah kehendak dan ketentuan Allah. Bagi saya, mungkin ada hikmah di sebaliknya atas situasi yang kami alami ini," luah pemilik nama sebenar Zizie Izette Abd. Samad ini.

Walaupun mengakui sangat gembira dan selesa dengan kehidupan yang dilalui sekarang, Zizie nyata tidak menolak untuk bergelar ibu.

"Sebenarnya saya sudah bersedia untuk bergelar seorang ibu pada bila-bila masa sahaja," ujarnya.

Suami bukan penghalang

Menyentuh tentang suami, justeru pasti ada yang tertanya-tanya adakah itu faktor di sebalik kenapa Zizie tidak aktif berlakon sekarang ini.

Memulakan karier lakonan sejak usia belasan tahun lagi, sehingga kini sudah puluhan drama serta telefilem yang pernah dilakonkannya.

Bagaimanapun, setelah berkahwin boleh dikatakan kemunculan anak kepada pelakon Khaty Fauziah ini di kaca televisyen dilihat semakin kurang berbanding sebelum berumah tangga dahulu.

Justeru, adakah pelakon yang mula dikenali menerusi filem sulungnya, Kekasih Awal Dan Akhir itu sudah berhenti menjadi anak seni atau tidak lagi mendapat mendapat keizinan suami untuk bergelar pelakon.

Zizie bagaimanapun menjelaskan, dia tidak pernah berhasrat untuk berhenti daripada bidang yang telah menaikkan namanya.


KELUARGA besar. Zizie bersama sebahagian keluarganya.


" Saya masih lagi berpegang teguh kepada prinsip untuk tetap setia dengan dunia lakonan. Lagipun, inilah satu-satunya punca rezeki saya selama ini memandangkan saya telah berlakon sejak remaja lagi.

"Suami saya sendiri langsung tidak pernah menghalang dan tetap memberikan sokongan dan keizinan untuk saya terus berlakon. Namun, saya akui sejak berumah tangga ini waktu saya memang agak terbatas," jelas pemenang Aktres Harapan Festival Filem Malaysia Ke-11 (1994) menerusi filem sulungnya itu.

Tambah Zizie, jauh di lubuk hati dia sememangnya sangat rindu untuk berlakon kerana minatnya yang tidak pernah pudar dan dia sangat bersyukur kerana masih ada lagi pihak yang sudi menawarkannya berlakon.

Menurutnya, walaupun suami tercinta masih lagi memberi keizinan untuk terus berlakon, tetapi ada tawaran yang terpaksa ditolak kerana faktor masa atau watak yang diberikan kurang sesuai.

"Walaupun suami seorang berfikiran terbuka dan begitu memahami kerjaya saya sebagai anak seni, namun terlebih dahulu saya akan tetap berbincang dengan suami mengenai tawaran yang diterima.

"Mengenai watak pula kalau boleh saya mahu diberikan watak-watak yang sesuai dengan usia dan status saya sebagai seorang isteri. Misalnya watak seperti wanita korporat, berkerjaya ataupun watak seorang ibu," jelasnya.


ZIZIE melayan tetamu yang hadir ke majlis rumah terbukanya sempena Aidilfitri pada minggu lalu.


Menariknya, kakak kepada pelakon Shaheizy Sam ini memberitahu suaminya juga adalah penggemar setia kepada drama atau telefilem yang dilakonkan dan tidak pernah ketinggalan untuk memberi sebarang komen mengenai lakonannya.

"Saya menganggap suami merupakan pengkritik utama saya dan akan menerima dengan hati terbuka sebarang komen yang diterima. Sekurang-kurangnya ia boleh dijadikan satu panduan untuk saya lakukan yang lebih baik lagi selepas ini," ujarnya.

Ditanya mengenai aktivitinya sepanjang menjadi isteri kepada seorang wakil rakyat, Zizie menjelaskan dia lebih banyak menemani suaminya turun padang untuk beramah mesra dengan penduduk-penduduk di bawah parlimen suaminya itu.

"Saya lebih banyak menghabiskan masa di Sabah memandangkan suami saya perlu menjaga kawasan yang diwakilinya di Kinabatangan. Kalau ada sidang parlimen barulah saya akan pulang ke Kuala Lumpur.

"Memang saya mengaku pada mulanya agak kekok untuk bergelar isteri kepada Yang Berhormat, tetapi kini saya sudah semakin dapat membiasakan diri dan tidak kisah kalau terpaksa menemani suami melawat ke kampung yang terletak di pedalaman," ujarnya lagi.

Kasihan dengan Sam

Bayangkan diri menjadi kakak kepada seorang adik yang sama-sama menceburkan diri dalam dunia lakonan tetapi si adik langsung tidak meraih tawaran lakonan? Itulah yang pernah dialami Zizie dan adiknya, Shaheizy Sam suatu ketika dahulu.


MANJA. Pasangan bahagia ini tidak merancang zuriat.


Tidak keterlaluan kalau dikatakan Sam ketika ini adalah antara pelakon yang paling diminati ramai dan setiap filem lakonannya sering memberikan keuntungan kepada penerbit.

Sebagai seorang kakak, Zizie menyatakan yang dia sememangnya sangat bangga dengan pencapaian yang telah diperolehi oleh adiknya itu dan menyifatkan Sam adalah pelakon yang sangat berbakat.

"Dia sama seperti saya yang sudah mula berlakon ketika masih remaja lagi. Namun, dia agak kurang bernasib baik kerana bakat yang dimilikinya itu masih lagi tidak dipandang ketika itu.

"Sehinggakan saya pernah berasa kasihan melihatnya kerana tidak memiliki sebarang pekerjaan. Sedangkan dia mempunyai kesungguhan dan jiwa yang cukup mendalam terhadap bidang lakonan," luahnya.

Namun, kini selepas masing-masing sudah mencipta nama, Zizie bagaimanapun menegaskan adalah sesuatu perkara yang agak mustahil untuk dirinya bergandingan dengan Sam dalam sebuah produksi yang sama.

Ujarnya lagi, sepanjang dirinya dan Sam bergelar pelakon, hanya sekali sahaja mereka bergandingan bersama-sama iaitu menerusi filem yang berjudul Sama Tak Serupa pada tahun 1995.

"Saya sendiri sebenarnya tidak yakin untuk berlakon dengannya kerana kami berdua mempunyai sikap yang sama iaitu suka menyakat. Saya risau kalau kami tidak dapat mengawal sikap tersebut ketika di set penggambaran," katanya.

Meskipun begitu, menurut Zizie, Sam akan bekerjasama dengan dirinya itu menerusi sebuah filem.

"Filem belum berjudul itu bakal diterbitkan sendiri oleh syarikat produksi milik saya iaitu BZ 2121 Production," ujar Zizie.

Perginya permata hati Safura

Posted:

Perginya permata hati Safura

Perginya permata hati Safura

Oleh HARYATI KARIM


ANTARA tetamu yang hadir pada malam tahlil Nur Aisyah Mariam pada awal minggu ini.


MASIH jelas terbayang di mata aktres dan penyanyi Safura Yaacob bagaimana keletah Nur Aisyah Mariam, tiga tahun, anak sulungnya hasil perkahwinannya dengan aktor Sharonizam Noor.

Suara Aishah meminta itu dan ini juga masih terngiang-ngiang di telinganya. Rengekan dan hilai tawanya menjadi penawar duka Safura sekeluarga.

Namun, kini semua itu hanya tinggal kenangan yang cukup perit untuknya apabila Mariam menghembuskan nafas terakhir pada Isnin lalu pada pukul 9 malam di Hospital Ampang Puteri kerana demam berpanjangan.

"Arwah demam panas dan batuk, saya ada bawa dia ke Hospital Ampang dan doktor kata demam biasa walaupun saya lihat nafasnya seperti terganggu.

"Selepas tiga hari iaitu pada hari Isnin, saya lihat keadaannya bertambah lemah, jadi saya hantar dia ke Hospital Ampang Puteri dalam pukul 10 pagi memandangkan dia ada rekod di sana sebelum ini.

"Bila sampai di sana, doktor kata keadaannya sudah teruk kerana disebabkan batuk dia diserang asma walaupun dia tidak ada sejarah penyakit asma. Doktor rawat dia, saya lihat keadaannya okey dan boleh minum susu seperti biasa.


ATAS: Safura (kiri, di samping aktres Lydiawati) reda dengan pemergian anak sulungnya, Mariam.


"Dalam tengah hari saya keluar sekejap kerana ada mesyuarat, saya tinggalkan dia dengan suami. Saya janji nak belikan biskut untuk dia tetapi tidak sempat," cerita Safura dalam linangan air mata.

Bagaimanapun apabila Safura tiba di hospital kira-kira pukul 7 petang, anaknya berada dalam keadaan nazak dan telah dihantar ke Unit Rawatan Rapi Koronari (CCU).

"Daripada sebalik tirai saya nampak dia meronta-ronta tapi dia nampak lemah sangat. Doktor kata, badannya telah menolak semua ubat yang dimasukkan sebelum itu. Dalam dua jam di CCU, dia telah meninggal dunia

"Saya reda dengan ketentuan Allah kerana Allah lebih menyayanginya, tetapi saya tidak tahu bagaimana untuk menyesuaikan diri tanpa arwah," tuturnya lagi yang kini sedang sarat mengandung anak ketiga yang kini berusia lima bulan.

Luah Safura, meskipun anaknya telah meninggalkannya, sebagai ibu dia telah melakukan yang terbaik dan menuruti segala kehendak anaknya itu.

"Kami sempat menyambut hari jadinya pada 23 Ogos lalu, kami lakukan sambutan hari lahir serentak dengan suami yang lahir pada 24 Ogos di rumah opahnya di Gombak.

"Arwah mahukan kek warna merah jambu, saya buat sendiri kek cawan comel-comel bentuknya dan berwarna merah jambu seperti mana permintaan arwah. Alhamdulillah, segala permintaannya saya tunaikan," tutur Safura ketika ditemui pada majlis tahlil di kediamannya di Tasek Tambahan Ampang, pada Selasa lalu.

Kata Safura ketika memberi ciuman terakhir kepada arwah anaknya, dia sempat berbisik kepada arwah, jika anak yang dikandungnya perempuan, dia akan memberi nama yang sama seperti nama arwah.

"Selepas jenazah disembahyangkan, saya menciumnya dan berbisik kepadanya, kalau bayi yang lahir adalah perempuan, saya akan letak nama yang sama seperti namanya," ucapnya.

Suaminya Sharonizam Noor juga tidak dapat menahan sebak kerana arwah cukup manja dengannya.

"Saya tidak tahu bagaimana untuk cakap keadaan kami sekarang, Mariam manja dengan saya kerana sepanjang bulan Ramadan saya lebih banyak berada di rumah.

"Jadi, saya yang uruskan segala kelengkapan hariannya. Sebelum arwah pergi, dia gelisah mungkin kerana badannya sakit, ada sahaja permintaannya, dan sebagai bapa saya ikutkan sahaja kerana dia dalam keadaan tidak sihat," katanya.


TINGGAL kenangan. Safura dan Sharonizam bersama anak bongsu mereka, Yusoff dan arwah Mariam.


Bagaimanapun, Sharonizam sempat meluahkan perasaan terkilannya pada Hospital Ampang kerana gagal mengesan penyakit anaknya lebih awal.

"Saya tidak mahu ambil tindakan undang-undang, cuma saya akan buat aduan secara rasmi bukan untuk saya tetapi saya tidak mahu perkara yang sama terjadi kepada orang lain.

"Doktor kata demam biasa sahaja sedangkan ketika itu saya tanya berkali-kali pada doktor kerana saya lihat nafasnya terganggu. Tetapi siapalah saya mahu menidakkan pandangan doktor kerana mereka lebih arif. Cuma saya harap pihak hospital tidak mengulangi kesilapan yang sama," ujarnya.

Jenazah arwah Nur Aisyah Mariam selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam, Masjid Al-Ridhuan, Hulu Klang.

Selain Mariam, Safura mempunyai seorang lagi anak bersama Sharonizam iaitu Yusoff Firdaus, setahun. Hasil perkahwinan Safura sebelum ini, dia dikurniakan dua anak, Nurul Natasha, 17, dan Muhammad Daniel Khaqim, 11.

Alleycats kembali ke Istana Budaya

Posted:

Alleycats kembali ke Istana Budaya

Alleycats kembali ke Istana Budaya

Oleh HARYATI KARIM


DAVID ARUMUGAM mengepalai Konsert Sampaikan Salam Alleycats yang bakal berlangsung dari 16 hingga 18 September ini di Istana Budaya.


TIDAK dapat dinafikan, lagu-lagu dendangan kumpulan Alleycats tidak lapuk ditelan zaman, kerana sehingga ke hari ini mereka masih memiliki jumlah peminat yang ramai.

Pernah membuat persembahan di Istana Budaya pada tahun 2008 dan mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada peminat, tahun ini, Alleycats kembali ke Istana Budaya.

Vokalisnya, Datuk David Arumugam menyifatkan persembahan Alleycats di Istana Budaya kali ini merupakan satu penghormatan kepada kumpulannya.

"Bukan mudah untuk buat persembahan di Istana Budaya, ini pula buat kali kedua, jadi sebagai penyanyi saya rasa sungguh terharu," ujarnya mengenai konsert yang mendapat sentuhan Eddie Marzuki sebagai pengarah muzik.

Persembahan yang diberi nama Konsert Sampaikan Salam Alleycats itu akan bermula pada 16 September sehingga 18 September dan sempena Hari Malaysia, kata David lagi, Alleycats menyediakan satu persembahan istimewa.

"Kebetulan persembahan bermula pada Hari Malaysia, jadi pada segmen pertama Alleycats akan berkolaborasi bersama dengan orkestra tradisional dan mendendangkan lagu patriotik.

"Segmen kedua pula merupakan tribute untuk mendiang adik saya, Loga dan segmen ketiga, saya akan mendendangkan lagu-lagu popular Alleycats," kata David yang kini berusia 61 tahun.

Tambahnya lagi yang aktif menyanyi di sebuah kelab malam, Sparx, di Petaling Jaya, persembahannya kelak di Istana Budaya dijanjikan berbeza setiap malam.

"Memang kita sudah merancang, tetapi Alleycats ada 27 buah album dan beratus-ratus lagu, jadi akan menyanyikan semua lagu popular kami.

"Tetapi bukan bermakna setiap malam saya akan menyanyi lagu sama sahaja, ia pasti berbeza-beza. Kita lihat macam mana dengan sambutan dan saya akan menyesuaikan lagu dengan peminat yang datang," tuturnya yang menyifatkan konsertnya kali ini lebih santai.

Sementara itu, istimewa buat peminat, anda akan mendapat 10 peratus diskaun, jika membeli tiket secara berkumpulan minimum 10 orang untuk satu pembelian dan pembelian itu boleh dibuat dengan menghubungi Ismail di talian 019-3262659.

Selain itu, peminat juga boleh mendapatkan tiket yang berharga bermula RM65 sehingga RM450 dengan melayari laman sesawang www.ticket2u.biz atau hubungi talian 03-41478600. Setiap pembelian tiket, RM5 akan disumbangkan kepada Majlis Kanser Nasional.

Bukan itu sahaja, buat peminat yang hadir ke konsert tersebut juga berpeluang memenangi cabutan bertuah yang akan dibuat setiap malam persembahan. Hadiahnya, bermalam selama enam hari di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.