Adsense

Jumaat, 16 September 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Gemilang ke akhir waktu

Posted: 15 Sep 2011 04:12 PM PDT

Hip

DARI kiri, Suki, Daus, Jaclyn Victor dan Mohd.

DARI kiri, Suki, Daus, Jaclyn Victor dan Mohd.

Artis berlainan bangsa berjuang harum nama negara menerusi seni

SETEGUH tiang bendera yang berdiri megah di lokasi paling bersejarah iaitu di Dataran Merdeka, seteguh itulah juga semangat patriotik empat orang anak seni yang masing-masing melakar sejarah tersendiri dalam bidang yang diceburi.

Biarpun mempunyai pandangan berbeza, namun perjuangan mereka tetap satu, iaitu untuk terus mengharumkan nama negara sebagai tanda terima kasih dan rasa syukur mereka terhadap tanah air yang banyak berjasa pada mereka. Tampil mengenakan busana kebangsaan daripada akar budaya masing-masing, Jaclyn Victor, Suki, Mohd dan Daus sanggup berpanas di bawah terik mentari semata-mata untuk menjayakan sesi fotografi yang melambangkan penyatuan kaum serta berkonsepkan 1Malaysia ini.

Hip mendasari hati empat artis ini mengenai semangat patriotisme dan sejauh manakah pengorbanan yang mereka sanggup lakukan demi Malaysia yang sangat mereka cinta.

Malaysia masih selamat

PERJUANGAN penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi program realiti Malaysian Idol ini bukanlah seperti menghunus senjata di medan perang. Sebaliknya menurut Jac, diberi peluang mewakili Malaysia dalam mana-mana pertandingan nyanyian di luar negara baginya sudah boleh dianggap sebagai pengorbanan untuk bumi tercinta.
"Sebelum ini pun saya pernah mewakili Malaysia untuk pertandingan Voice Of Asia di Shanghai, selain pertandingan di Russia. Apabila menyertai pertandingan seperti itu dan menang, kita terasa amat puas dan bangga kerana itulah saja cara kami insan seni menunjukkan semangat patriotisme kita pada Malaysia," ujar anak jati Kuala Lumpur ini.

Tambahnya, apabila berjauhan seperti itu kerana membawa amanah yang diletakkan di bahunya, baru dia terasa betapa hujan batu di negeri sendiri lebih baik daripada hujan emas di negara orang.

"Selalunya bila kita di luar negara barulah kita terasa Malaysia sebenarnya lebih baik daripada negara lain. Apa yang membuatkan Malaysia berbeza adalah dari segi makanannya. Walaupun ada makanan Cina atau India di luar negara, namun rasanya tidaklah sehebat yang dimasak di Malaysia," katanya berdasarkan pengalaman yang dilalui sendiri.

Mengulas wujudnya pelbagai insiden yang mungkin mampu menggugat semangat perpaduan di Malaysia, bagi Jac itu bukanlah penanda aras yang menunjukkan negara sedang bergolak seperti yang dianggap sesetengah pihak di luar sana.

"Biasalah dalam mana-mana negara di dunia sekalipun, pasti ada berlaku pertelagahan. Namun Malaysia bagi saya masih lagi selamat dan apa yang penting, orang luar sebenarnya lebih suka untuk tinggal di Malaysia. Sebagai contoh, mereka yang pernah tinggal di Malaysia sebelum ini kerana bekerja, apabila mereka mahu bersara, mereka akan kumpul duit semata-mata untuk kembali dan tinggal di sini kerana semangat perpaduan kaumnya yang cukup tinggi.

"Mana ada negara yang kita boleh lihat tiga kaum bersatu padu seperti yang berlaku di negara ini," katanya penyanyi yang cukup terkenal menerusi lagu Gemilang ini.

Sering jayakan Hari Merdeka

MEMPUNYAI pendirian serupa dengan Jac, bintang Akademi Fantasia 8, Muhd Shahril Firdaus Eli atau Daus berkata, sebagai penyanyi, tiada apa yang lebih membanggakan dirinya selain dapat mengharumkan nama negara tercinta menerusi bidang muzik.

Namun, memandangkan pengalamannya masih hijau, hasrat itu disimpan jauh di lubuk hati buat waktu ini, sambil mengharapkan ia bakal menjadi kenyataan satu hari nanti.

"Apa yang boleh Daus lakukan ketika ini adalah untuk melakukan yang terbaik dalam kerjaya seni supaya impian untuk menjulang nama Malaysia di mata orang luar akan tercapai," katanya yang cukup popular menerusi lagu Kenapa.

Sempena sambutan Hari Malaysia yang jatuh pada hari ini, Daus juga terbabit dalam acara sambutan yang di Dataran Merdeka.

"Daus bersama-sama artis lain akan terbabit dalam persembahan nyanyian. Untuk acara ini Daus menyanyikan tiga lagu iaitu Gemuruh, Jalur Gemilang dan 1Malaysia bersama beberapa artis, antaranya Adira dan Dafi," katanya.

Tambahnya, ia bukan kali pertama dirinya menjayakan persembahan sempena Hari Merdeka kerana dia sering terbabit dengan acara sedemikian sejak di bangku sekolah lagi.

"Lazimnya Daus akan terbabit dalam persembahan tarian kerana Daus memang artis kebudayaan di Sarawak," katanya yang kini sedang berjinak-jinak dengan bidang pengacaraan.

Ditanya mengenai bidang nyanyian, Daus berkata, walaupun kini bergelar pengacara namun menyanyi masih lagi menjadi cinta hatinya nombor satu.

"Selepas single Kenapa, Daus kini mengeluarkan single kedua berjudul Akhir Waktu. Ini percubaan pertama Daus menulis lagu dan lirik sendiri. Ia berkisar mengenai pengalaman sendiri, iaitu Cinta Monyet. Daus mengambil masa sehari suntuk untuk menyiapkan melodi dan juga liriknya," kata jejaka berasal dari Kuching ini.

Hiba rindukan negara

MENYINGKAP erti kemerdekaan, pelbagai golongan ceria menceritakan kisah sambutan yang penuh suka sehingga ada kalanya sambutan yang disertai meninggalkan kesan mendalam dalam lipatan sejarah masing-masing.

Jika golongan veteran sibuk menceritakan kisah kepayahan perjuangan mereka, golongan popular seperti artis juga ada kisah menarik yang dititip dalam kehidupan mereka sebelum dan selepas menjadi artis.

Bagi Suki atau nama sebenarnya Low Sook Yee, hatinya terdetik untuk menyambut Hari Kemerdekaan dan Malaysia pada tahun lalu ketika menjalani penggambaran drama di Taiwan.

"Pada tahun lalu, saya ke Taiwan untuk menjalani penggambaran drama terbitan produksi di sana. Hati saya tersentuh, sayu, sebak dan seperti menangis secara tiba-tiba. Kebetulan pada masa itu ialah bulan merdeka di Malaysia.

"Saya rasa rindu sangat, rasa seperti mahu cepat-cepat pulang ke tanah air. Dari situlah timbul satu perasaan yang sukar saya gambarkan dan hanya yang saya tahu ketika itu saya sayangkan Malaysia yang cukup unik dan istimewa berbanding negara lain," kata pemenang pertandingan program realiti One In A Million (OIAM) musim pertama ini.

Gadis berusia 21 tahun ini berkata, hidupnya ketika di perantauan ibarat tidak lengkap kerana berasakan satu suasana yang cukup berbeza ketika di negara asing.

"Jika di Malaysia, rakyatnya bercampur gaul, berkongsi budaya serta pelbagai juadah, di sana ia agak asing kerana penduduknya sibuk dan membuat hal masing-masing. Saya terasing di sana dan dari situlah saya lebih menghargai negara kita dan bertuah menjadi salah seorang daripada berjuta rakyatnya," katanya.

Selepas menjadi artis pula, katanya, dia lebih bersemangat patriotik dan cintakan negara.

"Kehadiran saya dalam dunia seni membantu memupuk perasaan sayangkan tanah air kerana kerap kali diundang membuat persembahan ketika sambutan merdeka," katanya yang pernah menyanyikan lagu merdeka pada tahun lalu di Dataran Merdeka, sehingga menimbulkan perasaan yang cukup bangga pada dirinya.

Jika sebelum ini dia hanya mengikut saja apa yang dilakukan rakan dan orang lain dengan mengibarkan bendera, menyanyi lagu kemerdekaan, melaungkan frasa merdeka serta menunggu detik jam 12 malam, tetapi kini dia lebih peka kepada makna kemerdekaan itu sendiri yang perlu dihayati sebaik mungkin.

Kenang tarikh bersejarah menerusi restoran

ZAMAN kanak-kanak dilalui juara program realiti musim ke-4, Mohd, yang berasal dari Johor ini penuh keceriaan kerana dia bukan saja antara golongan kanak-kanak yang sibuk mengutip duit raya pada musim Aidilfitri, tetapi turut sering menyambut Hari Kemerdekaan.

Setiap tahun, tanggal 31 Ogos serta 16 September diisi dengan jadual wajib - memeriahkan acara yang berlangsung di Stadium Johor Bahru bersama rakan atau keluarga.

"Ketika masih kanak-kanak, saya hanya suka-suka ke stadium kerana mahu berjumpa artis dan menyertai acara yang dipertandingkan seperti kuiz mahupun cabutan bertuah. Tetapi sejak meningkat remaja, saya lebih menghayati sambutan yang dianjurkan," katanya sambil memberitahu banyak bertemu penyanyi popular seperti Jac, Ameng Spring serta Haziq sebelum bergelar artis.

Katanya, jika dulu mulutnya ternganga kerana terlalu asyik untuk melihat persembahan artis, kini Mohd boleh dianggap bertuah kerana pada tahun lalu dia pula tampil membuat persembahan di Johor Bahru.

"Paling menarik, saya mengadakan persembahan di hadapan rakan yang sama-sama ke stadium untuk menyaksikan artis suatu masa dulu," katanya.

Katanya juga, bagi mengabadikan tarikh bersejarah itu juga, pembukaan restoran barunya di Johor Bahru diadakan pada 16 September sebagai tanda ingatan kepada dua hari penting dalam diari kehidupannya.

"16 September ialah Hari Malaysia dan saya juga membuka restoran pada hari yang sama supaya saya sentiasa dapat mengingati tarikh penting ini dalam hidup," katanya yang memberitahu, sambutan bagi album singlenya, Nasib, mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat.

Tajaan pakaian: Terima Kasih Istana Budaya


Bukan kerana kecewa

Posted: 15 Sep 2011 03:52 PM PDT

Hip

Maya Karin

Maya Karin

Maya kembara ke Australia selepas selesaikan segala tugas seni

WAJAH Maya Karin, 32, kelihatan sedikit gelap seakan 'terbakar' ketika menghadiri majlis rumah terbuka portal Murai di Hotel DoubleTree by Hilton di ibu negara baru-baru ini. Namun perubahan tona kulitnya tidak sedikit pun menjejaskan kemanisan wajah wanita Melayu-Jerman ini.

Ayu di sebalik kurung bercorak jalur rona hitam putih, Maya berkata, sepanjang percutian selama dua minggu ke Australia, dia menghabiskan masanya hampir setiap hari meluncur di pantai dan menantikan kemunculan ikan paus di Byron Bay. Ditambah keadaan cuaca yang panas, justeru tidak hairan kulit wajahnya menjadi gelap. "Percutian lebih dua minggu di sana satu kenangan yang tidak mungkin saya lupakan. Selain ke Byron Bay, saya turut ke Sydney dan Gold Coast. Saya suka berjalan-jalan, jadi sepanjang berada di Australia saya mengambil peluang itu melawat pelbagai muzium, galeri seni, mempelajari sejarah Australia, malah saya turut berkesempatan memanjat Sydney Harbour Bridge yang mengambil masa selama tiga jam.

"Dapat bercuti panjang sekali-sekala memang cukup menyeronokkan, apatah lagi ia kali pertama saya ke sana. Sebelum ini saya memang berhajat sangat hendak ke Sydney, kebetulan seorang sepupu saya memang menetap di sana, tetapi kesibukan kerja sering menghalang hasrat itu. Kali ini saya nekad juga untuk pergi memandangkan semua penggambaran sudah diselesaikan. Kalau saya terus menunggu, alamatnya sampai bila-bila pun tak jadi," katanya.

Bagaimanapun, pesan aktres anggun ini, jangan pula menyangka yang bukan-bukan apabila dia 'membawa diri' ke Australia.

"Saya bawa diri bukan sebab hati saya hancur berkecai di atas kegagalan rumah tangga, dan jangan juga anggap saya pelik hanya disebabkan tidak meraikan Syawal di sini.
"Tiada sebab khusus kenapa saya ke sana, kerana saya memang suka melancong. Cuma saya rasa sudah 15 tahun meraikan hari raya di sini. Kebetulan saya juga tiada lagi tanggungjawab dan sedikit berkemampuan, jadi rasanya tidak salah jika saya pergi berjalan-jalan. Bukan bermakna saya tidak ingat langsung hari mulia, bagi saya ia boleh diraikan dalam pelbagai cara," katanya yang akan kembali sibuk dengan kempennya terhadap alam sekitar sedikit masa lagi.

Biarpun baru saja pulang daripada bercuti panjang, namun Maya akui masih belum puas. Jika tidak memikirkan kerja, ujar wanita peramah ini, mungkin sudah lama dia mengambil keputusan untuk bercuti panjang selama setahun dua.

Mungkin disebabkan mood bercuti masih menebal, dia tidak begitu memikirkan soal kerja. Beberapa skrip filem masih lagi belum diusik. Buat masa ini dia mahu mendahulukan kempen Anti Botol Plastik di beberapa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) selepas kejayaan kempen Anti Beg Plastik yang dijayakan lebih 25,000 kanak-kanak sekolah rendah.

Rancangan untuk menjenguk beberapa IPT dijangka dilaksanakan dalam waktu terdekat memandangkan dia baru saja selesai mengadakan perbincangan bersama pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar. Disebabkan perbincangan itu jugalah dia tiba agak lewat pada majlis rumah terbuka anjuran Murai, yang turut meraikan anak yatim daripada Rumah Kebajikan dan Bimbingan At Taqwa, Taman Putra Perdana, Puchong dan Rumah Perlindungan Rahoma Darul Fakir, Taman Melati.

"Kempen mayalovesnature yang dimulakan sejak tiga tahun lalu saban tahun mendapat sambutan menggalakkan, jadi ia tidak seharusnya dihentikan. Bagi kempen yang akan diadakan di IPT pula, buat permulaan kami mungkin akan ke empat atau lima IPT dulu.

"Selepas ini, saya kena fokus semula pada kerjaya lakonan yang tertangguh. Saya ada menerima beberapa skrip, tetapi disebabkan mood bercuti masih menebal, saya langsung tidak teruja untuk belek skrip. Tetapi tentulah kena baca juga kerana produser sedang menanti jawapan daripada saya.

"Selain filem, album ketiga saya juga masih lagi tertangguh. Kesemua rakaman untuk lapan lagu sudah pun dibuat, tetapi mungkin ada beberapa perubahan dari segi susunan muzik yang terpaksa dilakukan bagi disesuaikan dengan pasaran muzik semasa," kata Maya.

Tak terdesak cari pengganti

DALAM rancak berbual, kami turut mengambil kesempatan bertanyakan kepada wanita yang sudah kembali solo lebih setahun lalu ini, apakah dia sudah menemui pengganti.

Tidak cuba berselindung, kata Maya, dia belum terdesak mencari teman lelaki. Malah hidupnya juga tidak akan berakhir sekali pun tiada insan bernama lelaki di sisi. Sebaliknya, Maya seronok dengan kehidupannya sekarang. Baginya, mengumpul harta lebih penting daripada memikirkan mengenai pasangan hidup.

"Saya takkan mati tanpa lelaki. Bagi saya. lebih baik saya fikir macam mana hendak mengumpul harta daripada mencari lelaki. Sejak tahun pertama berlakon, emak mengingatkan saya supaya belajar kumpul harta sedikit demi sedikit supaya senang apabila menghadapi hari tua nanti.

"Pesanan emak saya ingat sehingga kini. Duit yang saya dapat daripada lakonan, saya laburkan dengan membeli hartanah. Setakat ini saya sudah memiliki lot kedai, pangsapuri, banglo dan juga tanah yang dibeli di Terengganu.

"Saya lebih yakin dengan pelaburan hartanah berbanding perniagaan. Saya lihat banyak artis yang menceburi perniagaan pakaian tapi beberapa tahun kemudian, perniagaan mereka ditutup. Begitu juga dengan perniagaan makanan. Bagi saya pelaburan paling selamat adalah dengan membeli hartanah, kerana nilainya tidak akan susut.

"Selain itu, saya ingin nasihatkan artis baru supaya belajar mengumpul harta. Jangan habiskan duit dengan membeli kereta mewah atau membeli barang yang tidak perlu. Gunakan wang yang ada untuk beli hartanah. Kadang-kadang saya kasihan melihat artis kita yang masih hidup menyewa walaupun sebelum ini mereka laris macam pisang goreng panas. Tapi disebabkan tidak beringat, kehidupan mereka tidak berubah," katanya.