Adsense

Jumaat, 16 September 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Ayuh kita majukan Malaysia!

Posted: 15 Sep 2011 07:43 AM PDT

SEMANGAT cintakan negara begitu menyerlah dalam diri Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad. Ia dibuktikan menerusi penghasilan album patriotiknya, Abadi yang menampilkan lagu Warisan, Punch Card, Kehadiranku, 31 Ogos dan Tegakkan Bendera Kita.

Dalam album itu juga memuatkan lagu menggambarkan kebanggaan beliau pada pemerintah negara seperti Bapak (ditujukan kepada Bapa Kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj) serta perpaduan kaum menerusi lagu Kul It! serta One Thousand Million Smiles.

Hingga kini, tidak dapat dinafikan lagu Sudirman masih segar di ingatan rakyat Malaysia pelbagai bangsa termasuk menyemarakkan kempen kerajaan memupuk semangat patriotisme. Lebih-lebih lagi, tatkala mengimbau memori Kemerdekaan Negara dan Hari Malaysia yang disambut kini.

Bukan sekadar meninggalkan lagu patriotik, malah anak seni kelahiran Temerloh, Pahang ini mengharumkan nama negara apabila muncul sebagai Penghibur Nombor Satu Asia pada pertandingan Salem Music Awards yang berlangsung di Royal Albert Hall, London, pada 1989.


Kejayaan 13 tahun lalu itu hingga kini menjadi sebutan ramai kerana Sudirman yang digelar Seniman Rakyat berjaya menewaskan penghibur dari lapan negara Asia lain iaitu Leslie Cheung (Hong Kong), Anita Sarawak (Singapura), Kuh Ledesma (Filipina) dan peserta dari Taiwan, Jepun, Korea, dan China.


Hari ini juga Sudirman kekal sebagai ikon artis muda termasuk juara One In A Million (OIAM), Suki Low turut merakamkan semula lagu Warisan yang juga cukup sinonim dengan Sudirman.

Selain itu pengarah filem terkenal, Saw Teong Hin juga baru selesai mengarah sebuah filem 'tribute' kepada Sudirman sebagai lambang perpaduan peminat muzik Malaysia.

Dalam bidang perfileman pula, Allahyarhamah Yasmin Ahmad menjadi pelopor pengkarya alaf baru apabila filem arahannya berjaya ditayangkan di peringkat antarabangsa.

Filem Sepet menang Filem Asia Terbaik pada 18th Tokyo International Film Festival, Pengarah Terbaik (Festival Filem Asia-Pasifik ke-54) manakala filem Mukhsin pula membolot trofi Filem Terbaik dan Anugerah Khas Juri pada Festival Filem Antarabangsa Berlin, Jerman.

Seharusnya kejayaan Yasmin itu membakar semangat pengarah muda lain untuk mewarnai persada filem dengan karya bermutu. Walaupun Sudirman dan Yasmin kini sudah tiada mereka tetap dianggap sebagai wira-wira Malaysia dalam bidang seni.

Datuk Siti Nurhaliza

PENYANYI handalan negara ini semakin terkenal di rantau Asia Tenggara dan melakar sejarah apabila berjaya mengadakan konsert solo di Royal Albert Hall, London pada April 2005.

Siti turut mendapat pengiktirafan penggiat luar negara dengan kejayaannya memenangi anugerah Artis Serantau Paling Popular pada Anugerah Planet Muzik (APM) dan MTV Asia Awards sebanyak empat kali.

Siti akui amat bersyukur menjadi anak watan malah bagi Siti, tempoh 54 tahun kemerdekaan Malaysia membawa sejuta rahmat kepada rakyat Malaysia.

"Apabila negara kita merdeka dan aman damai, Siti dan artis lain juga dapat berjuang melalui seni. Jadi, kepada golongan muda hari ini, Siti berharap mereka akan dapat menghayati erti kemerdekaan dan kebebasan yang kita sedang kecapi selama ini. Pertahankan kedaulatan dan kemakmuran tanah air kita kerana ia hasil perjuangan datuk nenek kita," katanya yang juga mahu menjadi usahawan Malaysia yang berjaya menerusi produk SimplySiti.

Kata Siti dia terus berazam memberikan yang terbaik kepada Malaysia. Menurutnya, perkembangan teknologi maklumat (IT) juga perlu diambil kira kerana sememangnya ia menjadi saluran informasi terbaru kepada masyarakat.

Berkongsi kenangan beraksi di Albert Hall, Siti berkata, ia memori yang cukup manis dan akan kekal dalam ingatan sampai bila-bila.

"Ketika itu Siti amat berbangga kerana Siti membawa nama Malaysia dan beraksi dengan pemuzik orkestra yang ternama," katanya.

Terbaru Siti akan muncul dengan album Inggeris pertama yang memuatkan 10 lagu. Menariknya dalam album itu Siti bergabung dengan penyanyi Barat, Sean Kingston dalam sebuah lagu. Album itu akan dipasarkan hujung bulan ini.

Yuna

BAGI Yunalis Zarai atau Yuna, dilamar menghasilkan album untuk dipasarkan di Amerika Syarikat adalah satu peluang yang tidak boleh dilepaskan. Album penuh dihasilkan di bawah label Fader Label berpangkalan di New York dijangka menemui peminat akhir tahun ini.

Yuna berkata, semangat untuk mengekalkan identiti dan keunikan diri sendiri menjadi faktor utama untuk melangkah lebih jauh, terutama apabila berhadapan dengan persaingan.

"Pada saya apa yang penting kita harus bekerja keras, berani dan yakin dengan kerja sendiri. Apabila peluang itu datang kita mesti mengambilnya. Jangan ada rasa rendah diri kerana ia boleh menjadi penghalang untuk kita melangkah lebih jauh," katanya.

Yuna juga sedar untuk mengembangkan bakat di luar terutama di pasaran Amerika Syarikat, cabarannya cukup besar kerana berada di tempat orang.

Katanya, sebelum mencipta nama seseorang penyanyi atau pemuzik itu harus terlebih dulu memahami selok-belok industri di sana.

"Saya harus bekerja lebih keras kerana persaingan di sana lagi hebat. Industri di sana sentiasa mahukan sesuatu yang segar dan istimewa. Sebab itu apabila menghasilkan muzik di sana, paling penting saya pastikan menjadi diri sendiri," katanya.

Maya Karin Roelcke

MAYA atau nama sebenarnya, Maya Karin Roelcke, melakar sejarah sebagai pelakon wanita tempatan pertama menang Aktres Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 (FFAP49) di Fukuoka, Jepun diikuti kejayaan Maya di Festival Filem Seram & Fantasi Estepona di Malaga, Sepanyol menerusi Pontianak Harum Sundal Malam.

Pelakon berdarah kacukan Melayu dan Jerman itu membuktikan tiada perkara yang mustahil asal saja setiap anak seni tempatan sanggup bekerja keras untuk mencapai apa yang dicitakan selama ini.

"Apa saja bidang kerjaya, usaha dan kerja keras itu amat penting. Kita tidak seharusnya memandang ringan apa saja tugas diberikan. Jika bercita-cita tinggi, kita buatlah yang terbaik," katanya.

Maya akui trofi Aktres Terbaik di FFAP49 itu satu pencapaian cukup manis buatnya memandangkan saingan cukup besar jika dinilai dari sudut penyertaan karya dari negara terbabit dan juga genre filem.

"Saya bertuah dan bangga apabila dapat mengharumkan nama negara di negara luar menerusi bakat yang saya miliki. Pencapaian diperoleh tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.

"Bagaimanapun ia berkat usaha keras dan kerjasama semua kakitangan produksi terbabit bagi memastikan filem dihasilkan benar-benar bermutu dan menarik," katanya.

Maya juga menegaskan, putus asa tidak pernah wujud dalam hidupnya sejak pertama kali membabitkan diri dalam dunia lakonan menerusi Seri Dewi Malam. Walaupun pada peringkat awal pelbagai kritikan diterima, ia dijadikan pembakar semangat untuk menjadi pelakon yang lebih baik.

Maya juga hebat apabila menang Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM21) melalui filem Anak Halal arahan Osman Ali pada 2007.

Afdlin Shauki

PENGARAH dan pelakon Afdlin Shauki bangga kerana industri perfileman tanah air kini semakin maju dan sudah berjaya menarik perhatian warga tempatan ke panggung dengan karya meyakinkan. Penerimaan penonton kini tidak dinafikan menunjukkan peningkatan amat baik.

Tidak hanya karya penggiat Melayu tetapi penggiat bukan Melayu juga turut menarik perhatian yang sekali gus menunjukkan ia adalah pencapaian industri filem Malaysia. Apa yang pasti, kualiti filem tempatan bertambah baik dan jumlah pembikinan pun makin banyak.

"Jika dulu, setahun penggiat seni tempatan hanya mampu menghasilkan sebanyak lima filem, tetapi kini pembikinan filem menjangkau hingga 50 filem setahun. Justeru, lambakan penghasilan filem yang besar ini juga menunjukkan peningkatan.

"Kos pembikinan filem juga berbeza yang mana ada berpendapat lebih besar kos maka hasil filem itu lebih baik. Bagaimanapun, harus diingat bahawa tidak semua filem yang kos pembikinannya kecil tidak bagus kerana apa yang penting karya berkualiti.

"Kini, saya memang melihat industri filem tanah air berada pada tahap sangat baik perkembangannya. Oleh itu, bagi memastikan ia terus bertahan kualiti karya harus diutamakan. Penggiat filem tempatan perlu sedar dan tahu apa kehendak penonton," katanya.

Berkongsi pengalamannya yang pernah bergandingan dengan Jodie Foster dan Chow Yun-Fat, katanya, ia pengalaman paling mencabar dan berharga.

"Saya masih ingat lagi, biarpun Jodie sudah selesai menjayakan babaknya, dia tidak terus meninggalkan lokasi. Berada di belakang tabir, Jodie pula membantu saya. Caranya membuatkan saya tidak berasa keseorangan dan itulah budaya kerja berpasukan.

"Mula-mula bekerjasama dengan Jodie, saya tergamam melihat cara kerjanya. Dia suka membantu antara satu sama lain," katanya.

Afdlin akan muncul dengan filem Misteri Jalan Lama yang menemui penonton di pawagam pada 24 November ini serta beberapa filemnya yang lain dijangka akan menjengah ke pawagam tahun depan.

Wak AG, Usop Wilcha cabar anda

Posted: 15 Sep 2011 07:11 AM PDT

MACAM-MACAM cara dilakukan stesen radio tempatan bagi mempromosikan siaran masing-masing. Terbaru, hadiah berjumlah RM60,000 menanti pendengar setia Hot FM menerusi peraduan 'Beraya Bersama Wak AG Dan Usop'.

Pengurus Besar Rangkaian Program, Rangkaian Radio Media Prwima, Anida Mohd Tahrim berkata, peraduan mudah dan sangat menarik ini dilihat sebagai salah satu cara menguji pendengar Hot FM untuk meneka nama lagu serta penyanyi.

"Caranya mudah. Seperti selalunya, pendengar perlu mendengar siaran Hot FM dan menunggu isyarat memanggil atau isyarat SMS ke udara. Seterusnya hantarkan SMS khas iaitu SMS BERAYA ke 33399 dan mereka yang terpantas akan dihubungi semula penyampai kami.

"Bagi Isyarat Memanggil pula, pendengar perlu menjadi pemanggil kelima menembusi talian Hot FM," katanya.


Dilancarkan pada 12 September 2011 selama tiga minggu, Anida berkata, pendengar hanya perlu meneka tajuk lagu bagi lirik yang dinyanyikan secara bersama atau bertindih oleh Wak AG dan Usop.


"Lirik yang dinyanyikan itu dipetik daripada lagu yang sama bagaimanapun disampaikan dengan cara berbeza oleh dua penyampai itu. Bersesuaian tema acara kesemua lagu yang diperdengarkan adalah berkisar hari raya.

"Sekiranya pendengar dapat meneka lagu dengan tepat, RM500 menjadi milik mereka. Jika gagal menjawabnya dengan tepat, wang itu dikumpulkan ke sesi seterusnya," ujanrnya.

Anida berkata, kadangkala kita hanya tahu artis yang menyanyikan sesebuah lagu tanpa ingat tajuk lagu itu.

"Justeru kali ini, Hot FM cuba menganjurkan kempen Beraya Bersama Wak AG Dan Usop kerana mahu menguji ingatan pendengar kami untuk meneka nama lagu serta nama penyanyinya.

"Cuma untuk lari daripada kebiasaan, kami meminta Wak AG dan Usop untuk menyampaikan lagu dalam cara mereka yang tersendiri. Ia tentulah lucu dan menghiburkan.

"Dalam pada keasyikan menyambut raya, kita juga akan bertambah peka dengan tajuk lagu raya yang memberi peluang kepada semua untuk memenangi wang RM60,000," katanya.

Sementara itu, ada satu lagi acara dianjurkan Hot FM iaitu 'Konti Terbuka' pada Jumaat, 23 September ini bermula dari jam 8 hingga 10 pagi. Isyarat Memanggil akan bermula pada 12 September 2011.

Pendengar hanya perlu mencipta mencipta serangkap pantun empat kerat dan menjual pantun tersebut apabila mendengar Isyarat Memanggil di Hot FM. Jika mereka bernasib baik, mereka bersama dua rakan masing-masing menerima jemputan istimewa ke majlis Konti Terbuka Hot FM.

Bukan sekadar bertemu barisan penyampai seperti Fara Fauzana, Faizal Ismail, AG, Usop, Kieran, Ikhwan, Suraya, Deen dan Chad, pemenang bertuah juga hiburkan artis jemputan seperti Aizat dan Jaclyn Victor.