Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Antara selesa dan sederhanaMENGUMPULKAN empat figura yang cukup tersohor dan punya integriti tersendiri untuk sesi fotografi sempena Aidilfitri ini membawa aura kasih sayang yang tinggi dalam setiap gerak dan bicara mereka. Sofea Jane, Datin Paduka Umie Aida, Vanidah Imran dan Erra Fazira, sengaja disatukan bukan sekadar mahu berkongsi gemilang Syawal, tetapi mahu menggali kisah kehidupan dan persahabatan yang terjalin umpama adik-beradik. Senda tawa, nasihat, bertukar persepsi dan saling berkongsi ideologi yang sama membuat fotografi yang berlangsung di kediaman Umie Aida pada hari itu penuh dengan suasana harmoni. "Saya tidak punya ramai kawan, mereka inilah kawan rapat saya. Pada saya seorang kawan yang baik adalah kawan yang menyokong antara satu sama lain dan boleh dipercayai," ujar Erra tentang jalinan persahabatan mereka. Berbeza dengan Umie, dia mengaku mempunyai ramai kawan, namun katanya: "Saya akan mula menjauhkan diri daripada kawan saya apabila mereka mula menjadi hipokrit. Ini kerana antara kelompok kami berempat, kami akan melontar pandangan biar ia menyakitkan hati secara depan, bukan bercakap di belakang. Bagi Vanidah, menariknya hubungan mereka adalah kerana suami masing-masing juga akrab antara satu sama lain. Mentafsirkan mereka kini berada dalam zon selesa, masing-masing lebih senang memilih predikat mereka menjalani sebuah kehidupan yang sederhana tetapi kaya dengan seribu rahmat yang hadir selepas penat lelah sejak zaman remaja berhempas-pulas mencapai kedudukan kini. Habuan Erra Fazira ERRA FAZIRA, namanya harum satu Malaysia sejak lebih 10 tahun lalu. Melihat perjalanan dia sebagai anak seni, boleh dikategori dia sebagai wanita yang cukup berjaya. Malah kini barangkali pada usia melebihi 30 tahun dengan keseimbangan hidup, boleh dikatakan dia sukses menempatkan dirinya dalam kelas tersendiri. Lama isteri kepada Engku Emran dan ibu Aleesya ini terdiam apabila disogok dia kini sedang duduk dalam zon selesa. Namun kemudian Erra membalas definisi tersebut dengan berkata: "Saya seorang wanita yang berdikari. Sejak usia 18 tahun saya sudah giat bekerja termasuk menjual kerepek. Kemudian, saya masuk ke lapangan seni. "Sebenarnya saya tidak pernah merancang tentang apa yang saya lakukan, tapi saya jalani pekerjaan saya dengan ikhlas dan jujur. Orang yang banyak mengajar saya tentang merancang dalam dunia ini adalah Rosyam Nor. Mungkin kerana saya jujur dan bekerja kuat, pada detik ini saya sudah boleh berada dalam zon selesa. Tetapi saya adalah orang yang sangat suka bekerja dan kalau tidak bekerja saya akan sakit." Bagaimanapun dia tidak menafikan, hasil susah payah dahulu membuat dia kini meraih hasilnya dan menjadi sedikit selektif agar dia punya ruang untuk diri sendiri dan berkumpul dengan teman untuk berkongsi dilema dan aktiviti pada masa senggang. Bercerita tentang sambutan Aidilfitri, Erra yang terbabit dengan dua telemovie raya termasuk Pontianak Beraya di Kampung Batu memberitahu dia menikmati Syawal dengan cara yang cukup sederhana. Malah kata Erra, sambutan rayanya jauh daripada kehidupan bak selebriti. Dia yang berlepas ke Milan pada hari raya kelima selama seminggu untuk mencari fabrik untuk himpunan koleksi miliknya memberitahu: "Sambutan dan gaya raya saya sangat santai. Tiada yang berlebihan termasuk juadah yang masih lagi merupakan ketupat, lemang dan rendang. Saya juga senang memakai baju kurung dari jenis kain kapas berbanding baju yang glamor." Rezeki anak Vanidah SATU hal yang selalu membuat aktres Vanidah Imran bersyukur tentang kehidupannya adalah dia tidak pernah mengabaikan anaknya walau sibuk berlakon. Bersama suami yang juga aktor, pengarah dan pemuzik, Rashidi Ishak, dia bergilir menjaga dan mendidik dua buah cinta mereka, Mikhail dan Maryam. Biar pernah sepi selama dua tahun setengah untuk memberi fokus terhadap anak-anaknya, rezeki Vanidah tetap murah dan sempat diiktiraf sebagai Aktres Terbaik dalam Festival Filem Malaysia melalui lakonan daripada filem Red Kebaya. "Itu yang selalu membuat saya bersyukur. Saya kira inilah yang dikatakan zon selesa buat saya apabila saya tidak mengabaikan anak-anak, dalam masa yang sama saya melakukan hal yang saya cinta iaitu berlakon," katanya yang juga menganggap zon selesa dirinya apabila di dalam rumah tangga, suami tidak pernah menghalang hobi dan memberi kepercayaan antara satu sama lain. Kini Vanidah yang jarang berlakon juga selesa dengan rutin baharunya sebagai hos rancangan Nona dan pelajar. Baginya, segala yang dihadapi kini sudah tertulis dan dia yakin dengan jalan yang ditentukan Allah S.W.T buatnya. Berkongsi sedikit tentang sambutan Syawal, aktres ini hanya menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur dan sentiasa pulang ke kediaman ibunya untuk menikmati juadah raya kegemaran mereka, kurma kambing. Famili tunjang Sofea Jane CUKUP melekat dengan sosok Zaleha, watak yang dimainkan dalam filem Perempuan, Isteri Dan ... lebih 10 tahun lalu, Sofea hanya ketawa besar saat diberitahu dia masih unggul dalam kelasnya yang tersendiri. Pembawakan diri dan kredibiliti lakonannya membuat dia disegani. Ironi, wanita ini adalah seorang yang cukup peramah dan mudah didekati, jika tahu memetik 'suis' yang betul untuk mengajak dia bersembang. Ujarnya, dia sangat konfiden, selesa dan gembira dengan kehidupannya sekarang. Sokongan keluarga dan perjalanan karier yang masih berada dalam termometer panas menjadikan dia sangat menyenangi kehidupannya kini. "Pada masa kini, saya hanya mahu pastikan kehidupan mendatang anak-anak saya baik. Saya sangat bertuah kerana mempunyai keluarga yang amat menyokong apa yang saya lakukan," katanya yang suka untuk berfikiran positif dalam semua segi. Ditanya tentang karier, Sofea yang bakal muncul dengan filem Hanyut memberitahu dia kini boleh menjadi selektif terhadap apa yang dia mahukan. Paling penting, dia tidak akan menolak sesuatu tawaran itu apabila watak yang ditawarkan tidak klise dan memberi mesej atau impak yang cukup berkesan. "Saya memegang filosofi suami setiap kali ingin menerima tawaran iaitu orang akan suka mengingat perkara yang buruk tentang kita, maka pastikan setiap kali melakukan sesuatu, ia harus baik dan memberi impak," katanya yang gemar menjalani penggambaran di kawasan pedalaman kerana dapat bergaul dengan penduduk setempat dan mengingatkan diri tentang asal usul dan kesederhanaan hidup. Berkongsi tentang sambutan Syawalnya pada tahun ini, aktres jelita ini memberitahu mereka sekeluarga bercuti ke Pulau Pinang selepas meraikan 1 Syawal di kediaman mereka di Kuala Lumpur. Signifikan memilih negeri yang terkenal dengan jolokan Pulau Mutiara itu pula kata Sofea kerana dia dan anak-anak begitu mengemari arkitektur bangunan yang belum tercemar sehingga berada dalam senarai Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Kesederhaan Umie Aida SIBUK sepanjang Ramadan dengan penggambaran filem terbaharunya, Azazil, Datin Paduka Umie Aida enggan mendedahkan isi filem tersebut. Cukup katanya dia terbabit dengan filem tersebut untuk melepaskan gian kerana watak yang ditawarkan terlalu rugi untuk dilepaskan. Justeru saat ditebak dia kini berada dalam zon selesa selepas bernikah dengan Datuk Paduka Khairuddin, Umie menjawab dia dan suami hidup dalam keadaan sederhana biar mampu bermewah dengan kesenangan yang dimiliki. "Saya juga masih suka bekerja dan mencari duit sendiri. Namun saya akui, jika waktu solo dulu saya bekerja mencari duit untuk anak-anak, kini tanggungjawab tersebut dipikul suami, tetapi saya memang jenis yang suka bekerja dan sayangkan pekerjaan saya, jadi saya akan terus melakukannya kerana suami tidak pernah melarang," katanya yang mendefinisikan zon selesa terbaik buatnya kini adalah mempunyai kualiti masa yang banyak dengan anak-anak berbanding dahulu. Menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur pada hari raya pertama dan pulang ke kampung suaminya di Pulau Pinang selama empat hari, tahun ini kata Umie, dia sudah tidak begitu kekok berhari raya bersama mertua dan sanak saudara sebelah suaminya kerana sudah mempunyai pengalaman pada tahun lalu. Sementara itu bercakap tentang satu kecintaannya terhadap sukan, Umie memberi kategori terhadap diri sendiri sebagai seorang yang obses terhadap kesihatan dan ekstrem terhadap sukan. "Apabila saya berpeluh, itu adalah satu nikmat bagi diri saya," katanya yang padat dengan jadual bersukan termasuk bermain badminton, kelas kecergasan dan memanjat. | ||
Getaran raya Adira, Farah Asyikin Posted: Getaran raya Adira, Farah AsyikinFARAH ASYIKIN dan Adira masing-masing memiliki nostalgia raya yang manis untuk dikenang. DUA nama berbeza, membawa haluan menerusi laluan berbeza, namun yang pasti kedua-dua figura ini teguh mengukir nama di laman seni dengan cara yang sama iaitu menerusi program realiti televisyen. Sama ada Adira apalagi Farah Asyikin, masing-masing mempunyai pedoman tersendiri untuk mencorak karier di kanvas yang sudah ditempuhi beberapa tahun terkebelakang. Siti Adira Suhaimi atau lebih mesra dengan panggilan pentas Adira, 20, membikin fenomena tersendiri melalui Akademi Fantasia musim kelapan bersama single pertama Ku Ada Kamu. Ia sekali gus melayakkan pemenang tempat kedua Akademi Fantasia musim itu bertanding bersama barisan bintang ternama tanah air dalam anugerah paling berprestij, Anugerah Juara Lagu 2010. Walau tidak membuahkan hasil yang lumayan, Adira cukup berpuas hati dengan pencapaian yang diraih. Beralih sedikit ke arah sisi sambutan raya gadis kelahiran Kundasang, Sabah itu, katanya persiapan raya tahun ini dilangsaikan awal-awal lagi sebelum menjelang bulan Ramadan. "Ini tahun kedua saya bergelar artis, sebenarnya tiada beza sangat jika dibandingkan dengan tahun-tahun terdahulu cuma orang ramai lebih mengenali saya jika berjumpa di luar," tutur pelantun lagu Ilusi yang menjadi runut bunyi drama bersiri Awan Dania itu. Ditanya pula juadah pilihannya tatkala hari raya, Adira menjawab lemang dan ketupat palas menjadi idaman kalbu. "Tiada banyak bezanya antara raya di Sabah dan Semenanjung kerana apa yang ada di sini (Kuala Lumpur), sama juga di sana," cerita gadis berbangsa Kadazan Dusun itu lagi. Malah, tidak takut dengan bahaya bermain mercun walau diberi pilihan antara bahan letupan tersebut ataupun bunga api, figura itu juga sebenarnya suka akan bunyi yang kuat. "Bila main mercun, mood untuk raya itu secara automatiknya akan datang. Lagipun, jarang dapat kita rasai peluang untuk bermain mercun melainkan tibanya hari raya," kata gadis yang memilih lagu Balik Kampung sebagai siulannya sepanjang perjalanan pulang ke Sabah baru-baru ini. Sementara itu, bagi pemenang tempat ketiga rancangan realiti Malaysia Idol 2, Farah Asyikin Zulkifli atau mesra disapa Farah, kini dia sedang sibuk mempromosikan single terbaharunya yang berjudul Kembali Lagi Di Sisimu yang mana ia merupakan lagu yang telah dirakam 11 tahun lalu. Namun, atas permintaan peminat, lagu tersebut dirakam semula dan diolah serta diberi nafas baru yang lebih matang dan mengikut peredaran muzik kini.
"Ia perlu dinyanyikan semula oleh kerana 11 tahun yang lalu vokal saya juga berbeza. Jadi ia perlu dirakamkan semula dan kerana ada permintaan tinggi daripada peminat, kami keluarkan semula. "Selain itu, Farah juga ada merakam lagu raya bersama Meet Uncle Hussin (MUH). Ini kali pertama Farah bekerjasama dengan MUH dan Farah suka bekerjasama dengan Taja kerana dia faham apa yang sesuai dengan Farah atau artis-artis yang bekerjasama dengan MUH," ujarnya. Menyambut Aidilfitri di rumah ibu bapanya yang bertempat di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur menjadi lokasi penumpuan seluruh keluarga, dia memberitahu tahun ini juga merupakan tahun yang agak sibuk bagi Farah memandangkan dia sedang giat membuat penampilan semula setelah senyap selama beberapa tahun. Bercerita mengenai nostalgia hari raya, Farah merasakan suasana paling bermakna semasa raya ialah ketika sambutan raya pertama bersama keluarga dan sanak saudara yang berkumpul. Ini kerana ujar Farah, bersalaman dengan ibu bapa selepas menunaikan solat Aidilfitri dirasakan momen paling istimewa kerana bukan setiap waktu perkara seperti itu berlaku. "Saya memiliki keluarga yang besar dan apabila tiba hari raya pasti riuh-rendah. Pernah semasa saya kecil dahulu, semasa di kampung, saya dan saudara mara yang sebaya pergi berjalan pusing satu kampung untuk beraya di rumah jiran-jiran. "Walaupun tidak kenal, kami hanya pergi beraya untuk mendapatkan duit raya. Saya rasa itu biasa dilakukan semasa waktu kecil dahulu," ketawa Farah ketika menceritakan kenangan manisnya ketika beraya. Ceritanya lagi, pengalaman baju berlubang semasa bermain bunga api telah menjadi kebiasaan dan itu dianggap kenangan pada hari raya. | ||
Posted: Nostalgia raya Zizan NinOleh RONI HIDAYAT RIDWAN SEMENJAK membuat kemunculan pertama di kaca televisyen sebagai pelakon iklan komersial sekitar tahun 2002, kini Zizan Nin boleh dikatakan sudah mampu berdiri sebaris dengan pelakon lelaki popular yang lain. Sudah bergelar anak seni selama sembilan tahun, ternyata pelakon yang kini mencecah usia 37 tahun itu sering menjadi pilihan pengarah dan sudah tampil dengan puluhan drama serta telefilem. Lebih menarik lagi, pada tahun lalu bakat seninya itu lebih teruji apabila membuat kemunculan sulung dalam pentas teater menerusi pementasan Tun Mahathir dan membawakan watak Perdana Menteri Malaysia keempat sewaktu muda. Kemudian, pada tahun ini pula dia sekali lagi diuji dengan peranan yang cukup mencabar menerusi filem kenegaraan berjudul Tanda Putera yang diarahkan oleh pengarah berkaliber, Datin Paduka Shuhaimi Baba. "Pada bulan puasa yang lalu saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Tanda Putera di samping Rusdi Ramli. Dalam filem berkenaan saya memegang watak sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman. "Walaupun sebelum ini saya pernah memegang watak seorang tokoh yang penting, namun saya menganggap watak sebagai Tun Dr. Ismail ini memberikan cabaran yang lebih besar," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini. Menurut Zizan, antara cabaran paling besar yang terpaksa dilaluinya adalah membiasakan menggunakan tangan kiri sewaktu menulis, menghisap paip dan bermain golf memandangkan bekas Timbalan Perdana Menteri berkenaan adalah seorang kidal. "Apabila ditawarkan untuk berlakon dalam filem ini, bagi saya ia merupakan satu penghormatan yang cukup besar. Namun, saya tetap memberikan yang terbaik agar watak tersebut dapat memberi kesan kepada penonton," ujarnya. Ditanya mengenai pengalaman ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri, ternyata Zizan mempunyai cerita yang cukup menarik ketika menyambutnya di luar negara suatu ketika dahulu. Pastinya umum sudah mengetahui bahawa sebelum bergelar seorang pelakon popular, Zizan sememangnya pernah menuntut di Universiti De Monfort, Leicester, England dalam bidang pengurusan perbankan selama dua tahun. "Apa yang saya ingat kejadian itu berlaku sekitar tahun 1997 ketika saya menuntut di luar negara. Pada masa itu, saya bersama rakan-rakan dari Malaysia yang lain sedang sibuk memasak juadah pada pagi hari raya. "Boleh dikatakan agak banyak juga juadah yang kami sediakan bagi mengubat kerinduan tidak dapat berhari raya di kampung halaman. Namun, secara tiba-tiba dapur tempat kami memasak itu terbakar sehingga kelam-kabut kami dibuatnya," ujar Zizan. Tambah pelakon itu lagi, kalau diingatkan kembali kejadian yang berlaku itu adakalanya dia akan ketawa sendirian. Bagaimanapun, menyambut hari raya di luar negara juga sebenarnya adalah pengalaman yang cukup bermakna. Jelasnya, biarpun sambutannya tidaklah semeriah seperti sambutan di negara sendiri, tetapi suasana hari raya itu tetap dirasai apabila dapat berkumpul beramai-ramai bersama pelajar Malaysia yang lain sambil mendengar lagu-lagu raya. "Walaupun kerinduan untuk menyambut lebaran bersama keluarga sedikit terubat, namun apa yang menyedihkan saya dan rakan-rakan masih perlu menghadiri kelas dan membuat pembentangan ketika umat Islam di Malaysia masih meraikannya," ujarnya. Mengenai sambutan Aidilfitri pada tahun ini, pelakon berkenaan memberitahu, dia akan beraya di rumah keluarga mertuanya di Kuala Lumpur pada hari raya pertama dan pulang ke kampungnya di Sungai Besar, Selangor pada keesokan harinya. Jenama sendiri Sepanjang bulan puasa yang lalu, Zizan memberitahu bahawa dia langsung tidak terlibat dalam sebarang aktiviti seni selepas tamat menjalani penggambaran filem Tanda Putera. Menurut pelakon yang pernah diiktiraf sebagai Pelakon Harapan Lelaki pada Festival Filem Malaysia Ke-20 menerusi filem Cinta Terakhir, dia lebih banyak meluangkan masa melakukan amal ibadat memandangkan pada tahun lalu dia sibuk dengan latihan pementasan teater Tun Mahathir. "Sambutan puasa dan raya tahun ini juga cukup bermakna kerana buat julung-julung kalinya saya memperkenalkan pakaian baju Melayu yang menggunakan jenama saya sendiri iaitu Zizanin. "Setakat ini, baju Melayu tersebut diletakkan di butik rakan, K-Maria yang terletak di Kota Damansara. Namun, saya tidaklah menjahit baju-baju itu, sebaliknya saya hanya memilih kain-kain yang bersesuaian," jelasnya. Menurut Zizan lagi, selain baju Melayu dia juga sebenarnya mempunyai perancangan yang lebih besar iaitu mahu menghasilkan kemeja yang turut menggunakan jenamanya sendiri dalam tempoh terdekat ini. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |