Hip
Pakar masakan tak menang tangan rai Syawal, layan cucuDARI luar rumah lagi sudah terdengar keriuhan empunya suara yang begitu melekat dalam sanubari peminat dunia masakan. Sebagaimana lazimnya karektor humor Datuk Redzuawan Ismail di dalam rancangan masakan, begitu jugalah realiti kehidupan sehariannya tatkala ditemui dalam majlis meraikan Syawal bersama keluarga dan sanak saudara di kediamannya.
Tatkala muncul menyambut kehadiran krew Inspirasi, sekali lagi usik mengusik dan lawak jenaka pemilik jenama Chef Wan ini menambah kemeriahan keluarga besar di kediamannya di Ampang, Selangor. Bau masakan di dapur menyemarakkan lagi keceriaan majlis yang dihadiri keluarga besar termasuk ibu, bekas isteri dan adik beradik Chef Wan. Tidak ketinggalan anak perempuannya, Serina Redzuawan juga memeriahkan majlis malam itu dengan ditemani suami tercinta, Salahuddin Ghaffar.
Menceritakan sambutan Aidilfitri dirinya kali ini, Chef Wan mengakui dia tidak berpeluang bercuti panjang memandangkan banyak perancangan sudah diatur selepas Aidilfitri yang menuntutnya meraikan Syawal secara ala kadar.
Cuma seketika pulang ke kampung halaman di Raub, Pahang, kemudian beliau terpaksa memenuhi komitmen dalam pencarian bakat baru program masakan, AFC Next Celebrity Chef yang dianjurkan Asian Food Channel (AFC).
"Disebabkan komitmen dalam program yang pertama seumpamanya di Asia ini, saya perlu berada di banyak negara seperti Hong Kong, Singapura, Malaysia, Filipina, Indonesia dan India bagi mencari tujuh wakil bagi setiap negara yang akhirnya akan bertanding dalam AFC Next Celebrity Chef.
"Saya baru saja pulang dari Singapura yang mana selama dua hari saja sesi uji bakat, seramai 120 orang yang hadir bagi merebut tujuh peserta akhir yang mewakili Singapura. Daripada wakil semua negara inilah kita akhirnya akan memilih lima peserta akhir yang akan bertanding merebut gelaran AFC Next Celebrity Chef," kata Chef Wan yang baru saja melancarkan koleksi buku masakan terbaru berjudul The Best of Chef Wan.
Di balik kesibukan Chef Wan yang tidak putus-putus menerima undangan dalam rancangan masakan tempatan dan antarabangsa, kesempatan waktu singkat dimanfaatkan beliau untuk bermanja dengan cucu sulung kesayangannya, Tristen Tareef yang sudah berusia 10 bulan.
Sepanjang sesi fotografi dijalankan, nampak cukup akrab hubungan datuk dan cucu ini. Sesekali beliau mengagah Tristen yang cukup bersemangat mengenakan baju Melayu, Chef Wan kemudiannya mendukung pula cucu kesayangannya hingga semacam tidak boleh berenggang.
"Jika ada kesempatan dan masa terluang di sini (Kuala Lumpur) memang masa itu dihabiskan bersama Tristen. Tidak dapat lama, sekejap pun sudah cukup kerana telatahnya sendiri sudah cukup menghiburkan saya," katanya yang juga baru pulang dari Perth, Australia bagi mewakili negara ke Festival Mandaring Truffle.
Serina yang turut mencelah mengakui yang papanya itu memang cukup memanjakan Tristen termasuk soal pakaian dan pemakanan. Untungnya kata Serina, Tristen sering mendapat ole-ole setiap kali Chef Wan bekerja di luar negara.
"Kalau saya kecil dulu memang jarang ada kesempatan dengan papa kerana dia banyak ke luar negara. Apabila melihat layanan papa pada Tristen, memang rasa bertuah sangat dan gembira kerana Tristen dimanjakan olehnya," kata Serina.
Bercerita pula mengenai buku masakan yang diterbitkan bersempena 25 tahun bergelar selebriti chef, pakar masakan ini mengakui buku The Best of Chef Wan memberi makna besar sepanjang pembabitannya dalam bidang masakan.
"Bukan saja kerana buku ini mewakili perjuangan saya yang genap 25 tahun pada Mei lalu, pada masa yang sama saya turut dedikasikan penghargaan dalam buku ini kepada ibu saya yang genap usia 80 tahun pada tahun ini.
"Ketika kunjungan saya di Perth, baru-baru ini pihak penerbit memilih untuk melancarkan terus buku masakan ini dan apa yang membanggakan saya dalam tempoh kurang tiga jam saja sebanyak 200 buku berjaya di jual," katanya yang turut menjangkakan akan melancarkan buku masakan itu di Kuala Lumpur, Jakarta dan Manila dalam masa terdekat.
Kemeriahan sambutan Syawal di kediaman Chef Wan dengan kehadiran kaum keluarga itu secara tidak langsung membuka pintu hati untuknya mencari kediaman baru bagi menampung jumlah keluarga yang kian bertambah.
Selama 15 tahun menetap di Ampang Selangor, memang berat bagi Chef Wan untuk memikirkan soal berpindah tetapi mengenangkan suasananya kini sudah berbeza dan status dirinya sendiri yang baru menerima cucu membuatkan dia terbuka untuk mencari lokasi kediaman yang lebih selesa.
Tatkala menjamu nasi ulam hasil air tangan Chef Wan, pakar masakan ini turut melahirkan rasa bimbang kerana budaya makanan rakyat Malaysia pada masa kini. Selain menyaksikan semakin ramai yang mengalami obesiti, Chef Wan mengakui masyarakat kian membazir dengan apa sajian yang kadang kala tidak dinikmati sepenuhnya.
Mengakui dirinya sendiri pada hari-hari biasa sekadar menikmati juadah ala kadar, baginya cukuplah sajian yang mengenyangkan.
"Termasuklah sambutan raya kali ini. Wan tidak membeli baju pun kerana baju raya tahun lepas pun masih ada yang tidak pakai. Memandangkan keadaan ekonomi yang tidak menentu, adalah lebih baik duit yang kita ada itu dimanfaatkan untuk perkara lain termasuk mendahulukan kepada adik-beradik dan anak buah yang memerlukan.
"Pada tahap sekarang ini, Wan sudah umpama sebuah pohon yang rendang di mana banyak cabang yang memerlukan perhatian Wan. Sebagai anak sulung, inilah cabaran bagi Wan untuk keluarga sebagaimana dari dulu pun. Kehidupan ini kita memiliki pilihan dan tidak terkecuali cabaran itu sendiri untuk kita mengharunginya," katanya.
Disapa apakah gelaran 'Datuk' mengubah kehidupannya, dalam nada tergelak Chef Wan tidak menafikan tanggapan orang mulai berbeza walaupun pada akhirnya dia tetap selesa dengan sapaan Chef Wan.
"Walaupun gelaran ini membuktikan pengiktirafan ke atas sumbangan kita kepada negara, Wan tidak sesekali merasakan itu mengubah diri. Pada akhirnya, orang tetap mengenali nama Chef Wan juga," katanya mengakhiri pertemuan.
Rezeki berganda Serina
RAUT wajahnya sebegitu berseri tatkala berkongsi cerita mengenai sambutan Syawal kali ini. Bukan satu tetapi dua perkhabaran indah dilalui Serina Redzuawan, sekali gus mengakui kehadiran Syawal kali ini begitu bermakna buat dirinya dan suami, Salahuddin Ghaffar.
Selain pertama kali meraikan Syawal dengan kehadiran cahaya mata sulung, Tristen Tareef yang memasuki usia 10 bulan, Syawal kali ini turut menyaksikan dirinya mengandung anak kedua yang sudah lima bulan usia dalam kandungannya.
"Andai tahun lalu, saya dan suami berdua meraikan Aidilfitri kerana hanya raya keempat baru saya melahirkan Tristen. Tetapi, raya kali ini memang meriah kerana berhari raya bersama suami dan Tristen yang semakin membesar.
"Saya pula mengandung lagi, rasanya memang meriahlah sambutan kali ini," katanya yang meraikan Aidilfitri di kampung halaman di Raub, Pahang.
Sebagaimana pengalaman mengandung dulu, Serina bersyukur kerana dia tidak mengalami sebarang alahan sebagaimana lazim bagi ibu mengandung. Sebaliknya, Serina lebih aktif dan giat mengusahakan perniagaan dan kerjaya seni.
Ditanya mengenai persiapan Syawal kali ini, Serina mengakui dia cukup teruja terutama ketika membuat persediaan persiapan raya untuk Tristen yang sudah mula berjalan.
"Bagi saya, mengandung memang menyeronokkan kerana saya sangat aktif dan boleh melakukan semua kerja dengan mudah. Mungkin ibu mengandung lain berdepan dengan mual dan kepenatan, saya pula Alhamdulillah tidak mengalami simptom sebegitu. Saya percaya, kita tidak boleh melayan sangat perasaan," katanya yang masih aktif berlakon drama bersiri kepolisan.
Menceritakan pengalaman berhari raya, Serina mengakui agak bertuah apabila bersuamikan lelaki Inggeris kerana tidak bercanggah pendapat soal giliran pulang berhari raya. Lantas, Hari Raya pasti akan diraikan di kampung halamannya.
Lebih-lebih lagi, Salahuddin bagi Serina sangat mudah menerima budaya Melayu sehinggakan mudah bergaul serta menikmati hidangan Melayu.
"Ketika awal berkahwin dulu saya memang gusar memikirkan bolehkah dia mengikuti cara Melayu lebih-lebih lagi berhari raya di kampung dengan keadaan panas, tidur berhimpit dan kurang selesa.
"Tetapi dia jenis yang memahami membuatkan semuanya berjalan lancar," katanya yang dijangka melahirkan anak kedua pada Januari depan.
Melihat 'tenaga' dengan semangat Serina bercerita, memang dirinya jenis yang tidak duduk diam. Sambil bercerita yang dia aktif berniaga termasuk baru saja menerbitkan sebuah telemovie iaitu Man Pos Masuk Kampung yang akan disiarkan di Astro dan turut giat memasarkan produk kesihatan, MaVellous yang turut melantik papanya sebagai duta produk.