Adsense

Sabtu, 3 September 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Kad raya siapa lebih banyak

Posted: 02 Sep 2011 09:23 AM PDT

TIADA Lebaran yang lebih bermakna dalam hidup pelakon dan pengacara terkenal Zizan Nin selain dari meraikannya bersama keluarga tercinta, saudara-mara dan sahabat handai yang jauh mahupun dekat. Apatah lagi, ia tahun kedua dia beraya bersama isterinya yang juga penyampai berita Edisi 7 di ntv7, Fazilah Hani Harun.

Katanya, setiap kali tibanya Lebaran, dia pasti terkenang saat-saat manis ketika berpuasa dan menyambut Lebaran pada zaman kanak-kanak dulu.

"Saya masih ingat lagi, saya dan kawan-kawan mempunyai bermacam-macam aktiviti menarik yang kami lakukan kerana ketika itu kita belum mempunyai teknologi moden seperti Internet, laman sosial facebook dan telefon bimbit pun.

"Justeru, berbalas kad ucapan hari raya adalah suatu kemestian. Selain itu, mengira berapa banyak kad ucapan raya dan duit raya diterima pada zaman kanak-kanak memang menyeronokkan," katanya.


Kata Zizan, dia juga sempat merasai amalan kejutkan sahur untuk jiran tetangga dan giliran menghantar juadah berbuka puasa ke surau ketika zaman kanak-kanak. Begitu juga zaman kenakalan kanak-kanak bermain mercun.


"Walaupun ditegah ayah dan ibu supaya jangan bermain mercun, namun sebagai kanak-kanak saya dan kawan tetap curi-curi main dan ikut kawan membuat meriam buluh di kebun pisang. Namun tragedi demi tragedi berkaitan bermain mercun yang disiarkan di akhbar juga menginsafkan kami," katanya.

Kata Zizan, tahun ini dia dan isteri akan berhari raya di Kuala Lumpur pada raya pertama dan kedua kerana isterinya bekerja hingga raya kedua.

Selepas itu barulah mereka pulang ke kampung di Sungai Besar, Selangor pada raya ketiga untuk menziarahi kubur arwah ibunya, Allahyarham Bibi Kalsom Mohd Sidek, 62, yang meninggal dunia kerana penyakit radang paru-paru dan sakit sendi pada 10 Syawal dua tahun lalu. Menyusul selepas itu, barulah Zizan kembali semula ke Kuala Lumpur untuk berhari raya di sini pula.

Mengenai perkembangan karier seni, Zizan baru selesai penggambaran projek terbesarnya, filem Tanda Putera arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba terbitan Pesona Pictures Sdn Bhd dan dijangka ditayangkan pertengahan tahun depan.

Zizan bawa watak bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Dr Ismail dalam filem yang berlatar belakang sejarah dan kenegaraan ini.

Selain itu, tawaran berlakon drama dan telefilem juga mencurah buat Zizan ketika ini.

Antaranya, berlakon dalam telefilem komedi Cinta Thosai arahan Murali Abdullah bergandingan dengan Kenchana Devi untuk stesen RTM dan drama raya seram iaitu Pernikahan Sundel Bolong arahan Amorizan bergandingan dengan Yasmin Hani dan Didie Alias untuk Astro.

Selain itu, dia berlakon dalam drama bersiri 13 episod Ma'ahad Al Amin arahan Raja Ahmad Alauddin untuk siaran TV AlHijrah terbitan Global Station.

Zizan juga menjadi juri bersama Erra Fazira dalam program fesyen raya dan anak-anak, Stylista Raya selebriti tanah air. Tidak ketinggalan, dia juga dilantik sebagai Celebrity Frens of Jaspal 2011 dan Beautiful Earth Ambassadors 2011 oleh Estee Lauder.

Pada sesi fotografi khas raya petang itu, Zizan digandingkan dengan rakan seperjuangannya dalam pengurusan artis Aquila Emas Sdn Bhd iaitu pelakon dan pengacara kecil molek, Juliana Ibrahim.

Kali pertama mereka bergandingan ialah dalam drama bersiri yang juga slot seram TV3, Saka beberapa tahun lalu. Keserasian mereka semakin terserlah apabila digandingkan dalam program penyiasat imej, Ayu dan Tampan - Penyiasat Imej.

"Saya lebih selesa memanggilnya Ju. Pada pandangan saya, Ju seorang yang sangat komited dan berdisiplin. Dia amat meminati dunia lakonan dan turut mempamerkan bakat lakonan yang baik.

"Saya berharap akan di gandingkan bersama lagi dalam apa jua projek pada masa akan datang. Kami seronok bekerjasama. Malah, isteri saya sendiri amat meminati wanita kecil molek ini," katanya.

Bagi Juliana, 30, pula, Lebaran memang dinantikannya saban tahun. Lebih meriah, Lebaran kali ini bakal diraikan isteri kepada pengurus audit teknologi maklumat dari Belanda, Pelle Aardewerk, 37, bersama keluarga mentua yang datang dari jauh. Hasil perkongsian hidup dengan Pelle pada 2007, pasangan ini dikurniakan dua anak, Luna Alyssa, 2, dan Alaia Zahira, 1.

"Saya memang suka memasak dan suami dan anak-anak memang suka makan air tangan saya sendiri di rumah. Saya juga belajar memasak daripada ibu yang memang pandai memasak dan cekap di dapur.

"Justeru, pada raya kali ini, saya merancang untuk memasak sendiri juadah raya kegemaran suami dan anak-anak yang memang menggemari masakan Melayu iaitu nasi beriani dan rendang ayam dan daging.

"Kuih raya kegemaran saya dan anak-anak pula ialah Biskut Oat dan Coklat Cip yang dibuat sendiri oleh emak," katanya yang beraya di Kuala Lumpur dan Shah Alam.

Pelakon filem Gubra yang kembali berlakon selepas dua tahun menyepi ini juga baru selesai penggambaran filem Inggeris, Spilt Gravy On Rice (Ke Mana Tumpahnya Kuah Kalau Tidak Ke Nasi) arahan Zahim Al-Bakri. Ia filem ketiga lakonan Juliana selepas Gubra dan Jarum Halus.

Kali terakhir, Juliana berlakon adalah dalam drama bersiri Saka dan drama realiti impian Illyana di TV3. Sebelum ini, dia pernah mengendalikan program kanak-kanak Chicky Hour (TV3), program pengembaraan Memori (RTM) dan program realiti tarian, So You Think You Can Dance (8TV).

PROFIL

NAMA SEBENAR: Azizan Nin
TARIKH LAHIR: 17 Mei 1973
ASAL: Tanjung Rambutan, Perak
STATUS: Berkahwin
NAMA ISTERI: Fazilah Hani Harun
KERJAYA: Model, pengacara, pelakon
AKADEMIK: Ijazah Pentadbiran Perniagaan, De Montfront University, England
ANTARA DRAMA: Dengan Nama Cinta, Rafflesia, Villa Cinta Daddy, Nurhidayah, Selumbar Di Hati Mama, Table For Two, Villa Yasmin, Khalifah dan Realiti, Janji Seorang Anak, Spa Q, Kerana Karina.
FILEM: Cinta Terakhir
IKLAN KOMERSIAL TV: Dunhil, Ponds, Nescafe, Pensonic, Samsung Electrical, Visa Electron
PENCAPAIAN: Pelakon Harapan Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-20 (FFM20)

PROFIL

NAMA PENUH: Juliana Ibrahim
ASAL: Shah Alam, Selangor
TARIKH LAHIR: 5 September 1980
USIA: 30 tahun
KERJAYA: Pelakon dan pengacara
STATUS: Berkahwin
SUAMI: Pelle Aardewerk, 37
ANAK: Luna Alyssa, 2 dan Alaia Zahira,1
TELEFILEM & DRAMA: Drama bersiri Saka dan drama realiti Impian Illyana di TV3
PROGRAM: Ayu & Tampan - Penyiasat Imej, program kanak-kanak Chicky Hour (TV3), program pengembaraan Memori (RTM) dan So You Think You Can Dance (8TV)
FILEM: Jarum Halus (2008), Gubra (2006)
ANUGERAH PENCALONAN: Pelakon Wanita Harapan pada Festival Filem Malaysia ke-19

Zizan diganggu roh gadis

Posted: 02 Sep 2011 09:15 AM PDT

FAKTOR kejayaan atau kegagalan sesebuah filem suatu yang subjektif untuk dirungkai. Ada filem yang menampilkan gandingan pelakon popular sebaliknya gagal meraih kutipan besar.

Malah, filem lain menggunakan tema dikitar semula mampu tarik perhatian penonton sehingga mencatat kutipan memberangsangkan. Sama ada filem itu berjaya atau gagal, ia tidak seharusnya mematahkan semangat produser tempatan terus berkarya menghasilkan filem baru.

Keberanian ini dibuktikan pengarah Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang tidak putus harapan menghasilkan filem baru untuk menggalak penonton ke pawagam dan membangun industri perfileman tanah air.

Selepas mencipta kejayaan menerusi Remp-it (2006), Jangan Pandang Belakang (2007), Senario The Movie: Episode 1 (2008), Jangan Pandang Belakang Congkak (2009) dan Adnan Semp-it (2010), Idham masih percaya genre komedi mempunyai tarikan kuat pada penonton.


Idham tampil dengan filem baru, Hantu Bonceng menampilkan Zizan Razak bersama Juliana Evans, Jue Aziz dan Taiyuddin Bakar sebagai pelakon utama.


Filem terbitan Excellent Pictures bersama Global Station Sdn Bhd ini ditayangkan di pawagam pada 1 Syawal lalu. Ia mengisahkan kehidupan penghantar piza, Amran lakonan Zizan yang dihantui roh seorang gadis, Maya selepas mereka terbabit dalam satu kemalangan.

Plot bermula apabila Amran yang suka berlumba haram menang pertaruhan satu perlumbaan dan mendapat bohsia iaitu Maya sebagai hadiah kemenangan.

Idham berkata, kisah aksi komedi yang ingin disampaikan kali ini menjadi percubaan padanya dalam mendapat respons penonton.

"Apa yang saya mahukan ketika berkarya adalah mendapatkan cerita yang menghiburkan penonton. Namun, plot yang disampaikan tidaklah hanya santai, tetapi masih mempunyai isu atau mesej yang ingin disampaikan.

"Selepas menghasilkan pelbagai filem komedi sebelum ini, saya rasa masih nak teruskan komedi untuk filem baru. Soal lambakan filem baru ketika ini tidak boleh dipertikai kerana dari aspek perniagaan, ia menggalakkan ramai pelabur untuk masuk.

"Seperti orang berniaga rojak, orang lain juga berniaga sama apabila makanan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pembeli," katanya pada tayangan previu di pawagam Odeon, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Merangkap produser dan penulis skrip untuk filem ini, Idham berpandangan menanggung rugi sekiranya filemnya tidak mendapat sambutan adalah risiko yang harus diterima.

"Saya fikir 'magic' filem ini datang bila ia dapat tayangan pada Aidilfitri. Ia adalah keputusan antara pawagam yang mengambil filem ini sebagai pilihan utama dan ini sudah memberi kekuatan pada saya.

"Soal saingan, setiap filem mempunyai masa tayangan sendiri. Memberi kelebihan, filem saya sebenarnya mendapat tayangan dua minggu tanpa saingan.

"Saya tidak bimbang dengan filem lain kerana masing-masing membawa genre berbeza. Begitu juga, permintaan pawagam di luar negara memang mengejutkan. Filem ini ditayangkan di 76 pawagam tempatan termasuk dua di Singapura dan Brunei," katanya.

Katanya, filem ini sudah mempunyai konsep di peringkat awal sebelum memilih Zizan sebagai pelakon utama. Dia melihat Zizan mempunyai gaya komedi tersendiri yang memberi kelainan pada aksi lakon yang ditunjukkan.

Bagi Zizan, tidak mahu mendabik dada andai segelintir penonton beranggapan dia adalah tarikan utama yang mengajak penonton ke pawagam.

"Saya fikir itu mentaliti segelintir orang tetapi saya beranggapan filem ini berjaya atas kerjasama semua pihak. Sebolehnya, saya tidak mahu watak lain tenggelam kerana saya tetapi apa yang penting, setiap pelakon mempunyai keserasian antara satu sama lain.

"Bekerja dengan Idham, dia banyak memberi kebebasan pada saya untuk kembangkan aksi komedi tetapi ia harus berlandas skop cerita itu.

"Idham seorang yang ringkas dan tahu menjaga 'mood' pelakon di set penggambaran. Apa yang memberi cabaran pada saya sebenarnya adalah mengawal aksi komedi agar tidak keterlaluan," katanya.

Juliana pula berkongsi pengalaman sepanjang proses penggambaran suatu yang menyeronokkan. Dia yang pertama kali berlakon bersama Zizan dan produksi Excellent menyifatkan kerjasama terjalin secara profesional.

"Dalam filem ini, Juliana juga pertama kali melakonkan watak hantu. Walaupun tak selesa dengan solekan dan kostum dipakai tetapi ia memberi cabaran pada saya untuk terus harungi.

"Solekan mengambil masa selama sejam dan saya juga pening bila memakai kanta lekap dalam tempoh panjang. Menariknya ketika berlakon, muka kena serius tetapi sempat diusik Zizan dan Idham.

"Bagi saya, pengalaman berlakon filem ini adalah syot yang paling seronok. Sebenarnya, Idham banyak kali menawarkan saya berlakon tetapi jadual bertindih.

"Kebetulan ketika menerima tawaran Hantu Bonceng, saya mempunyai masa dan terus bersetuju untuk berlakon," katanya.