Adsense

Selasa, 27 September 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Bukan jual wajah

Posted: 26 Sep 2011 06:23 AM PDT

JIKA sudah tertulis rezeki itu miliknya, ia tidak akan berganjak ke mana walau datang badai menimpa. Lebih tiga tahun gigih berdiri memperdagangkan bakat yang ada, akhirnya si empunya wajah jelita, Siti Saleha Mohd Baharum mampu tersenyum apabila drama lakonannya, Nora Elena berjaya memancing perhatian ramai.

Sekelip mata, namanya menjadi sebutan ramai. Pesona yang melekat pada bakatnya juga menjadi pilihan ramai produksi. Siapa sangka, si gadis yang tidak lekang senyuman dulunya berasa sukar mengejar nama kini sudah selesa memilih skrip yang sesuai.

Siti Saleha yang ditemui di lokasi drama baru lakonannya, Rebah di Hujung Taubat, semua yang ada hari ini belum menjanjikan apa-apa buatnya sebaliknya yang penting, rezeki depan mata harus dipergunakan sebaik mungkin sebelum ia berlalu pergi.

Bukan menjual wajah jauh sekali mencari populariti murahan, sebaliknya gadis kacukan British, Belanda dan Melayu ini puas mencipta nama bersandarkan bakat semata-mata tanpa pernah terpalit sebarang isu yang mengundang kegelisahan padanya.


"Dulu ketika awal dalam lakonan, memang pernah terdetik juga rasa penat dan bimbang kerana masih ramai tidak menyedari kehadiran saya. Namun lama-kelamaan, rasa itu hilang dan fokus saya terus ke depan, memberikan yang terbaik sebagai pelakon.


"Apa yang penting adalah bakat dan saya begitu bersungguh dalam memperbaiki lakonan saya dari semasa ke semasa. Alhamdulillah, Nora Elena membuka mata banyak pihak dan membawa saya ke fasa yang jauh lebih baik dalam lapangan seni lakon.

"Saya memang minat lakonan sejak dulu dan sentiasa memasang impian untuk terus berdiri sebagai pelakon disegani satu hari nanti. Lantas peluang seindah ini yang mampu menjulang bakat yang ada ini tidak sekali saya persiakan.

"Undangan berlakon drama yang tidak henti dan kini diberikan pula peluang tampil dalam filem. Semua itu adalah rezeki dan hadiah atas kerja keras saya selama ini," katanya tersenyum.

Gadis kelahiran England pada 14 Mac 1990 ini lebih selesa berbual soal kerjaya berbanding menyingkap sisi peribadi, rancak berkongsi perkembangan baru kerjaya seninya. Dia kini begitu gigih mempelajari seni Muay Thai bagi persiapan filem sulungnya, Pukul Habis.

"Ada kalanya saya sendiri tidak mempercayainya. Selepas puas menimba pengalaman dan membina nama sebagai pelakon drama di televisyen, akhirnya saya diberi kepercayaan memikul watak utama dalam filem terbitan White Merpati Production. Ia bagai sebuah hadiah atas usaha dan kesungguhan saya selama ini.

"Filem ini akan memulakan penggambaran pada November depan dan saya bakal bergandingan dengan Johan Raja Lawak dan Aaron Aziz. Ia berkonsepkan komedi aksi namun menuntut komitmen yang lebih buat saya memperkukuhkan seni mempertahankan diri bagi menjayakan watak itu.

"Sebenarnya tawaran ini walaupun datang selepas tiga tahun saya bergelar pelakon, ia tidak sekali membuatkan saya terasa asing atau tertinggal berbanding kebanyakan pelakon lain. Ada juga yang menganggap peluang ini agak lewat dan perlahan buat saya tidak bagi saya kerana semuanya sudah lama dalam percaturan langkah saya.

"Sejak awal lagi memang sudah saya tetapkan untuk tidak cepat melangkah ke layar perak sebaliknya biarlah saya puas mencipta nama dalam penerbitan drama dulu. Kini selepas puas mencari kekuatan sebagai pelakon, saya berasa cukup selesa untuk membelek skrip filem pula," katanya.

Adik kepada vokalis kumpulan Bunkface, Sam mengakui, lakonannya dalam Rebah Di Hujung Taubat jauh lebih kemas dan lancar. Dalam drama arahan Fairuz Loy itu, Siti Saleha memegang watak Nisha.

Katanya, Rebah Di Hujung Taubat memberikan kepuasan berlainan kepadanya kerana ia berbeza berbanding kebanyakan drama yang pernah dijayakan kerana garapannya seakan sebuah pembikinan filem.

"Olahan plot cerita dan kekuatan skripnya begitu jelas hingga menghidupkan semua watak yang dibangunkan. Saya sendiri kagum dan bertuah kerana berpeluang melakonkan watak Nisha.

"Selain itu berlakon disamping Fauzi Nawawi umpamanya mampu memberikan saya pengalaman terbaik dalam memperbaiki mutu lakonan saya sendiri. Saya yakin dan percaya penonton akan tertarik untuk terus menonton drama ini nanti," katanya.

Rebah Di Hujung Taubat mengisahkan tiga beradik, Firman lakonan Fauzi, Fikri (Muniff Isa) dan Fifi (Mas Muharni), dibesarkan dalam keluarga berantakan. Mereka dibesarkan ibunya, Dahlia yang sering memomokkan kematian ayah mereka namun Firman sudah lama mengetahui hakikat ayahnya tidak seperti diceritakan ibunya.

Firman sanggup mengorbankan masa depannya sendiri demi membesarkan dua adiknya hingga sanggup bekerja sebagai pengawal keselamatan. Sayangnya, pengorbanan Firman dan kasih sayang yang diberikan kepada adik-adiknya itu sering disalah guna hingga Fikri dan Fifi terbabit dalam pelbagai krisis dan kemelut lain.

Telefilem yang bakal meragut emosi terbitan Nafalia Corporation Sdn Bhd ini akan disiarkan menerusi Astro Prima (Saluran 105) pada 30 Oktober, jam 10 malam.

PROFIL

Nama sebenar: Siti Saleha Mohd Baharum
Tarikh Lahir: 14 Mac 1990
Umur: 21 tahun
Tempat lahir: England
Keluarga: Anak ketiga dari empat beradik
Drama: Kasut Tumit Tinggi, Farah, Kapten Boleh, 5 Jingga, Zaleha, Kecuali Cinta Mu, Awan Dania musim 2, Puaka Topeng Putih, Hati Batu, Raya Mona, Kau Laksana Bulan, Ustaz Amirul dan Nora Elena
Filem: Pukul Habis
Teater: Stage TherapyIklan: Celcom, Wrigley's DoubleMint, Gillette, Maggi, Nestle, Honey Soft, Pantene, F&N dan Nescafe.

Legenda kota romantis

Posted: 26 Sep 2011 06:16 AM PDT

GADIS manis berdarah British, Belanda dan Melayu ini mula dikenali sebagai model iklan dan wajahnya banyak menghiasi iklan komersial seperti Celcom, Wrigley's DoubleMint, Gillette, Maggi, Honey Soft, Pantene, F&N dan Nescafe.

Terbaru, Siti Saleha dilantik sebagai duta Enchanteur Paris dengan dua produk, minyak wangi dan losyen. Paris yang terkenal sebagai pusat fesyen, kesenian dan kebudayaan serta sajian masakan yang menjadi ikutan, begitu dekat dengan wanita di seluruh dunia.

Kata Siti Saleha, dia bangga dipilih sebagai duta Enchanteur Paris kerana sejak dulu kagum dengan kehebatan Paris yang mempunyai ikon mercu tanda popular di seluruh dunia - Champs - lyses, Eiffel Tower, Louvre dan Arc the Triomphe hinggalah keindahan taman musim bunganya dari taman rasmi Tuileries dan laman hijau Champ de Mars yang luas terbentang.

"Saya sangat teruja kerana Enchanteur Paris ialah pengiktirafan pertama saya. Secara tidak langsung, ini membuatkan saya rasa terjalinnya satu ikatan amat istimewa dengan Enchanteur Paris.


"Produk pilihan saya dalam rangkaian Enchanteur Paris ialah Belle Amour (minyak wangi), Mon Ami (losyen badan) dan Adore (deodoran).


"Paris adalah kota kelahiran jenama minyak wangi yang menjadi legenda kerana keindahan suasananya dan turut memberi inspirasi kepada Unza untuk mencipta Enchanteur Paris diilhamkan daya tarikan dan keanggunan kota yang romantis ini," katanya.

Untuk minyak wangi, ada pelbagai pilihan yang dimuatkan dalam botol kaca anggun, dengan warna merah samar lembut untuk Belle Amour, kuning matahari untuk Mon Amie dan ungu lembut untuk Adore. Ia dijual pada harga RM26.90 untuk botol 50 ml dan boleh didapati di semua pasar raya, pasar raya besar dan kedai farmasi.

Untuk losyen juga mempunyai pelbagai pilihan khusus untuk wanita yang mengimpikan kulit cantik dan lembut. Kalau sebelum ini ramai menggunakan losyen badan tetapi faktor cuaca Malaysia yang panas dan lembap membuatkan kulit kurang selesa tetapi berbeza dengan losyen Enchanteur Paris.

Hadir dalam botol elegan dengan tiga varisi haruman, Extra Whitening, Light & Fresh dan Protect & Repair dengan harga RM8.90 untuk botol 150ml dan RM14.90 (botol 300ml). Semua produk ini boleh didapati di semua pasar raya utama dan farmasi.

"Variasi berlainan bukan saja mencetuskan mood tetapi juga boleh disesuaikan untuk setiap keperluan dan acara berlainan sama ada keluar membeli-belah, menonton wayang atau bersantai bersama kawan-kawan.

"Enchanteur Paris adalah jenama yang komited terhadap kehendak wanita masa kini dan losyen ada pelbagai pilihan sesuai dengan jenis kulit iaitu Enchanteur Paris Extra Whitening Body Lotion, Enchanteur Paris Light & Fresh Whitening Body Lotion dan Enchanteur Paris Protect & Repair Whitening Body Lotion.

"Produk ini disasarkan untuk remaja usia 18 hingga 23 tahun dan memahami kehendak mereka yang mahukan penampilan menarik dan sentiasa berada dalam keadaan segar," katanya.