Adsense

Isnin, 29 Ogos 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Kenanga n Aidilfitri dua seniman unggul

Posted:

Kenanga n Aidilfitri dua seniman unggul

Kenanga n Aidilfitri dua seniman unggul

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar SYEFRY MONIZ


DALAM usianya yang mencecah 75 tahun, Ahmad Jais masih segak dan sihat untuk terus menyanyi.


CUKUP ralit mendengar perbualan dua seniman ini seusai sesi fotografi yang berlangsung di Panggung Anniversary, di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Banyak sungguh yang dibualkan bagaikan dua sahabat lama yang sudah lama tidak ketemu. Lebih-lebih lagi, pemilihan lokasi juga membuatkan mereka membuka cerita lama masing-masing.

"Lama juga tidak berkunjung ke sini. Teringat zaman dulu sewaktu membuat persembahan di sini. Pernah juga saya berkongsi pentas dengan abang Ahmad Jais," kata Ramli Sarip sambil melihat sekeliling panggung terbuka yang sudah berubah wajah itu.

Sambil mengangguk tanda setuju, Datuk Ahmad Jais pula membuka ceritanya.

"Di panggung inilah juga, ia menjadi pentas untuk ramai artis mempromosikan album dan membuat persembahan.

"Pernah satu ketika, Panggung Anniversary begitu meriah dikunjungi peminat yang memenuhi setiap sudut di sini semata-mata mahu menonton persembahan artis hampir setiap minggu.

"Saya sendiri berpeluang beraksi di panggung yang cukup masyhur ini," katanya yang cukup segak berpakaian baju batik berlengan panjang dengan sepatu hitam bertumit yang menjadi identitinya itu.

Namun, yang cukup menarik perhatian apabila Ahmad Jais dan Ramli Sarip cukup rancak bercerita tentang kenangan raya masing-masing sewaktu menetap di Singapura.

Bertepatan dengan sambutan Syawal 1432 Hijrah hari ini, sesungguhnya baik Ramli mahupun Ahmad Jais, kedua-duanya mempunyai cerita dan makna sendiri apabila memperkatakan tentang sambutan Aidilfitri.

Sambutan Aidilfitri umpama pesta

Posted:

Sambutan Aidilfitri umpama pesta

Sambutan Aidilfitri umpama pesta

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar SYEFRY MONIZ


RAMLI Sarip akan muncul dengan album terbaru selepas Aidilfitri ini.


DILAHIRKAN di Bukit Cantik, Singapura pada 15 Oktober 1952, nostalgia meraikan Syawal di tanah kelahirannya itu membawa seribu satu kenangan yang tidak mungkin dilupakan.

Masih segar dalam ingatan anak seni berusia 58 tahun ini bagaimana dia bersama teman sepermainan begitu teruja menyambut kedatangan Syawal.

Kata Ramli Sarip, itulah kelebihan dan keistimewaan apabila tinggal di kampung di mana suasana harmoni serta muhibbah cukup tebal dalam diri masing-masing.

Walaupun ketika itu kampungnya yang terletak di Lorong Camar berhampiran Bukit Timah tiada kemudahan air paip bersih dan elektrik, ia bukan penghalang untuk Ramli menyambut Aidilfitri dengan meriah.

"Ketika itu jugalah, kami sibuk mencari batang buluh untuk bermain meriam buluh. Apabila mendengar dentuman yang kuat itu, terasa hati ini cukup bangga. Mana tidaknya, ia bagaikan memberi isyarat bahawa Syawal akan menjelang tidak lama lagi.

"Perubahan demi perubahan berlaku dalam kampung saya sehinggalah kami dapat menyambut Aidilfitri dalam keadaan yang sempurna apabila kemudahan sudah disediakan.

"Detik yang saya tidak akan lupa apabila rumah saya sendiri menjadi pusat berkumpul pada pagi 1 Syawal memandangkan arwah ayah saya adalah ketua kampung di situ.

"Dengan tugas ayah saya yang juga merupakan seorang imam dan amil, secara tidak langsung juga memberi peluang kepada penduduk kampung mengeratkan silaturahim sesama kami," cerita suami kepada Sapiah Omar dan bapa kepada seorang cahaya mata, Zaheera, 32, ini bersungguh-sungguh.

Perubahan hidup

Dalam masa yang sama, dilahirkan dalam keluarga besar juga memberi peluang kepadanya untuk menikmati sambutan Syawal dengan penuh makna.

Kemeriahan dan kekecohan ibu dan adik-beradik lain di dapur menyediakan juadah manakala ada yang sibuk membersihkan rumah serta membuat persiapan lain cukup membuat Aidilfitri begitu simbolik sekali untuk Ramli.

"Antara hidangan yang cukup saya tunggu untuk dinikmati adalah kuah lodeh, sambal kacang dan ketupat istimewa yang begitu istimewa sekali pembuatannya.

"Saya sendiri tidak tahu apakah rahsia abang ipar saya dalam membuat ketupat tersebut kerana ia begitu berbeza dengan mana-mana ketupat yang pernah saya nikmati sebelum ini.

"Tekstur nasinya sangat lembut sehinggakan ia tidak puas untuk dimakan sekali sahaja," kata Ramli yang merupakan anak kelapan daripada sembilan beradik itu lagi.

Namun, semakin usianya meningkat dan menginjak fasa dewasa, Ramli merasakan penghayatan sambutan Syawal itu sudah mula berubah.

Entah mengapa, Ramli merasakan Syawal lebih bermakna apabila dia dapat menyempurnakan puasa enam yang cukup besar fadilat dan pahalanya.

"Kegembiraan menyambut Syawal itu mungkin lebih kepada kanak-kanak dan remaja tetapi untuk orang dewasa seperti saya, ia lebih kepada kerohanian serta spiritual," ujarnya dengan maksud yang mendalam.

Kagum dengan Ahmad Jais

Berpeluang digandingkan dengan Datuk Ahmad Jais dalam sesi fotografi ini membuatkan Ramli benar-benar rasa bangga dan terharu.

Bayangkan, selepas berpuluh-puluh tahun menyanyi, belum pernah dia disatukan dengan seniman yang cukup diminatinya dalam mana-mana fotografi.

Hanya pernah bertemu dalam persembahan pentas, ternyata Ramli begitu kagum dengan Ahmad Jais yang disifatkannya sebagai biduan yang tiada tandingan.

"Suara yang dimiliki oleh beliau memang unik dan hanya satu dalam sejuta. Jiwa Melayu sangat tebal lalu menjadikan setiap lagu nyanyiannya penuh dengan jiwa yang mampu mengusik hati kita.

"Walaupun memulakan kariernya dalam era 60-an, bagi saya Ahmad Jais adalah penyanyi pop Melayu yang unggul. Sehingga ke hari ini pun, suaranya masih diminati.

"Sehinggakan saya sendiri sukar untuk memilih lagu nyanyiannya yang menjadi kegemaran saya. Boleh dikatakan, semuanya menjadi pujaan hati saya," kata Ramli sambil tersenyum.

Menyentuh tentang perkembangan seninya pula, Ramli mengkhabarkan dia akan mengeluarkan album khas seperti Mutiara Zaman tidak lama lagi.

Namun, kali ini album itu akan menghimpunkan semua lagu-lagu kerohanian yang pernah dihasilkannya sejak dari zaman Sweet Charity lagi.

Selain itu, Ramli yang juga akan sibuk membuat persiapan bagi Konsert 2 Raksasa selepas Aidilfitri ini juga akan muncul dengan sebuah album baru.

"Album ini telah dirakamkan sekitar tahun 1999 namun ia tidak pernah dipasarkan atas sebab-sebab tertentu.

"Ia mengandungi tujuh buah lagu baru yang dirakamkan secara langsung di Studio Synchrosound. Kami akan memperbaiki apa yang patut untuk album itu sebelum dipasarkan nanti," kata penyanyi yang masyhur dengan lagu Bukan Kerana Nama dan Teratai ini lagi.

Sebelum mengundurkan diri, Ramli mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin kepada semua peminatnya dan pembaca setia Utusan Malaysia.