Harian Metro: Rap |
Hati berbunga ‘2 madu’ disatukan Posted: 28 Aug 2011 06:13 AM PDT ADA apa dengan Zizan Raja Lawak? Bagaimana dia boleh memikat hati pelakon sedang mencipta nama, Juliana Sophie Johari Evans atau Juliana Evans dan Natasha Hudson? Begitulah soalan yang ditanya peminat apabila timbul gosip mengatakan pelawak yang nama sebenar, Mohd Razizan Abd Razak, 27, sedang hangat menyulam cinta dengan Juliana, 22. Kemudian timbul pula cerita mengatakan dia turut akrab dengan Natasha, 28, terutama apabila wanita kelahiran Ipoh, Perak itu menghadiri majlis ulang tahun hari jadinya, pertengahan April. Sejak berada di puncak populariti, nampaknya Zizan mula dikaitkan dengan ramai wanita dan lebih menarik kebanyakannya berdarah kacukan. Bagaimanapun, apabila diajukan mengenai perkara ini ternyata apa yang diperkatakan itu tidak benar dan hubungan mereka tidak lebih daripada teman rapat. Sekurang-kurangnya itulah yang diyakinkan tiga bintang popular ini sewaktu hadir di Studio Balai Berita bagi menjalani sisi fotografi khas sempena sambutan Aidilfitri.
Sebagai kawan, Zizan dan Juliana juga berkesempatan bekerja bersama menerusi filem Hantu Bonceng arahan Ahmad Idham yang akan menemui penonton pada hari raya pertama. Bercerita lanjut mengenainya kata Zizan, sewaktu diberitahu pengarah yang dia akan digandingkan dengan Juliana, terus hatinya berbunga memandangkan antara mereka sudah mengenali satu sama lain. "Lebih senang sebenarnya sebab kami dah kenal jadi keserasian itu senang hendak diwujudkan. Seperkara lagi, Juliana ini walaupun masih muda, tetapi apabila tiba bab kerja, dia akan serius dan mudah berkongsi idea. Lebih penting lagi, walaupun dia cantik dan popular, Juliana tidak pernah 'diva' di set. Saya suka bekerja dengan orang begini," katanya. Bercerita mengenai sambutan hari raya, jelas Zizan ia menjadi medan untuk dia bertemu dengan peminat di samping bermaaf-maafan. Bagaimanapun, kerana kesibukan kerja dia hanya akan beraya bersama peminatnya di Terengganu pada hari raya ketiga. Juliana pula pertama kali bergandingan dengan Zizan dan bekerja dengan Ahmad Idham berkata, dia berasa seronok dan setiap hari di lokasi penuh dengan gelak dan ketawa. "Seronok bekerja dengan produksi Hantu Bonceng ni sebab tidak ada tekanan. Cuma yang tertekan apabila saya perlu jadi hantu. Maklumlah, hendak disiapkan sebagai hantu dengan solekan kesan khas membuatkan saya rasa kurang selesa. Ini pertama kali saya membintangi filem seram," katanya. Juliana turut menafikan dia dilamar Ahmad Idham kerana gosip cintanya dengan Zizan atau pelawak itu yang menyarankan kepada produksi agar mengambilnya membintangi filem Hantu Bonceng. Sebaliknya, pengarah prolifik itu sudah lama mempelawa Juliana membintangi filem dihasilkan cuma belum belum ada kesempatan. Mengenai Raya, jelas Juliana setiap tahun dia akan mengikut keluarganya pulang ke kampung di Perak dan baginya ikatan silaturahim dapat diperkukuhkan apabila amalan kunjung mengunjung masih diamalkan. "Walaupun orang kata zaman sekarang cara sambut Aidilfitri sudah berubah, saya tidak pernah berasa begitu. Malah, saya nantikan hari untuk beraya di kampung kerana dapat berjumpa sanak saudara yang sudah lama tidak bertemu. Ada antara kami yang dapat berjumpa setahun sekali iaitu pada hari raya saja. Kerana itu pada saya, hari raya sangat penting. "Selalunya rutin kami sekeluarga akan pulang lebih awal ke kampung untuk berbuka puasa pada hari terakhir sambil mengemas di rumah nenek. Kami akan berada di sana sampai raya kedua dan apabila raya ketiga pula, saya akan beraya bersama kawan-kawan. Inilah rutin saya saban tahun tidak berubah dan saya harapkan ia akan diteruskan sampai bila-bila," katanya. Natasha turut mengakui senang berkawan dengan Zizan kerana sikapnya yang kuat mengusik dan membuatkan mereka sering ketawa. Begitupun, apabila berbicara mengenai perkara penting, Zizan akan serius dan cuba memberikan buah fikiran yang baik sebagai nasihat atau dorongan. "Saya juga agak rapat dengan Juliana sehinggakan kami menghasilkan lagu raya khas yang diterbitkan DJ Fuzz. Saya ajak Juliana berduet dan dia sendiri berkata apa salahnya mencuba. Ia masih dalam proses. Kalau tidak keluar tahun ini ia boleh juga didengar tahun hadapan," katanya. Bercerita mengenai sambutan raya tahun ini, Natasha yang kembali sendiri berkata, dia tidak tahu lagi sama ada mahu pulang beraya bersama ibunya di kampung, Ipoh, Perak atau beraya di Kuala Lumpur. "Kalau tidak pulang ke kampung bermakna ini pertama kali kami beraya di sini. Entahlah, perkara ini juga ada saya bincangkan dengan ibu dan adik. Kemungkinan saya akan pulang beraya ke Ipoh pada hari raya kedua," katanya. Dalam kesempatan ini juga, Zizan, Juliana dan Natasha mengucapkan Salam Aidilfitri kepada peminat yang banyak menyokong kerjaya seni mereka selama ini. PROFIL ZIZAN: Nama sebenar: Mohd Razizan Abd Razak Drama: Chaparela, Oh Yeah, Redah Kasi Pecah, Hang Pa La Hang Tu, Geng Raya Zizan 2009 & 2010, Nak Balik Raya, Gaia, Drogba & Rooney dan Cintaku 120KM/J. Program TV: Jozan Show, Zizan Show, Bolos, Raja Lawak, Maharaja Lawak dan Melodi. Filem: Duhai Si Pari-pari, Lu Pikirlah Sendiri de Movie, Kapoww!!, KL Gangster, Hantu Bonceng, Baik Giler, Bohsia 2: Jalan Kembali dan Jangan Pandang-Pandang. Single: Selamat Tinggal. Pencapaian: Naib Juara Raja Lawak Astro musim pertama, Favourite TV Personality Award di Shout! Awards, Zizan, Artis Komedi Lelaki Popular ABPBH 2010. PROFIL NATASHA HUDSON: Nama sebenar: Natasha Liana Hudson Filem: Chermin, Tipu Kanan Tipu Kiri, Sumolah dan Halilintar Drama: Pei Pan, Rahsia Cemara, Duyung Aridinata, Emily, Cinta, Pengantin Untuk Dijual dan Sultan Alauddin Iklan: H20, Hotlink (bersama Farid Kamil dan Siti Nurhaliza), Sea White (Follow Me) Teater: Teater Muzikal Ibu Zain dan Gamat PROFIL JULIANA EVANS: Nama sebenar: Juliana Sophie Johari Evans Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa, Sunway University College, Bandar Sunway, Petaling Jaya Kerjaya: Pelakon, Model dan Pengacara Program TV: E-Zone (Astro Ria), Majalah Moral (TVIQ), Bintang Kecil Raya (TV9) dan Remaja (TV3) Drama: Kami The Series, Ghost, Kasut Tumit Tinggi, Natrah, Warkah Terakhir, Ghost 2, Sayang Cendana, Cinta Lelong, 2nd Hand Henfon, Cheritera, dan Inikah Cinta. FILM: Kami The Movie, Hooperz, Adik Manja The Returns dan Hantu Bonceng. |
Posted: 28 Aug 2011 05:54 AM PDT SELEPAS menghasilkan filem genre cinta seperti Cinta, Sepi dan Nur Kasih, pengarah prolifik Kabir Bhatia kembali dengan Azazil. Tidak seperti sebelum ini, Azazil cuba memberikan kelainan apabila ia menampilkan tema seram. Menampilkan pelakon hebat Remy Ishak, Umie Aida, Diana Daniel dan Shaanaz Ahmad. Ia dijangka menjadi antara filem yang ditunggu ramai memandangkan kejayaan drama bersiri Ku Seru yang pernah dihasilkan Kabir sebelum ini.
Sebelum ini sewaktu Ku Seru mendapat sambutan hangat penonton TV3 suatu ketika dulu, Kabir pernah memberikan kenyataan akan menghasilkan filem konsep serupa. Sewaktu ditemui di lokasi di Ulu Yam, Selangor baru-baru ini, Kabir bagaimanapun menafikan bahawa Azazil adalah kesinambungan daripada drama bersiri Ku Seru sebaliknya ia adalah karya asli yang mana idea datang daripada isterinya juga penulis skrip, Mira Mustafa.
Mendengarkan penjelasan Kabir, pasti membuatkan ada yang mengaitkan ia dengan filem M Night Shyamalan, The Village yang membawa tema sama di mana sekumpulan masyarakat cuba membina hidup daripada dunia luar, bagaimanapun keamanan hidup dijalani diganggu kehadiran makhluk misteri yang sering dimomokkan sebelum ini. Ditanya mengenai perkara itu, Kabir sekali lagi menafikan dengan menegaskan bahawa Azazil yang membawa maksud dongeng adalah karya asli. "Tidak mungkin wujud persamaan antara Azazil dan The Village kerana keluarga yang lari ke dalam hutan tahu apa yang berlaku di dunia luar sedangkan The Village menggambarkan masyarakatnya tidak tahu akan kemajuan yang berlaku di luar," katanya. Menyentuh barisan pelakon dipilih katanya boleh dikatakan semua pernah bekerja dengannya jadi dia tahu akan kredibiliti mereka dalam melakonkan watak diberikan. "Memang kebanyakan pelakon yang terbabit dalam filem ini seperti Remy, Umie dan Diana pernah bekerja dengan saya. Ini lebih mudah kerana mereka faham cara kerja saya dan tahu apa yang saya mahukan," katanya. Sementara itu mengenai Shanaaz pula walaupun kali pertama bekerja dengannya dalam Azazil, Kabir tidak menghadapi masalah untuk membentuk lakonan pelakon yang sedang meningkat naik itu. Bagi Remy, dia berbesar hati apabila sekali lagi ditawarkan Kabir untuk memegang peranan utama sebagai Kamal dalam filem Azazil dan senang dapat bekerja dengan pengarah berpengalaman itu. "Saya tidak menghadapi banyak masalah kerana faham dengan kehendak Kabir, begitu juga dengan pelakon lain. Kami dapat bekerja sama dengan baik kerana setiap kali sebelum masuk lokasi kami akan berbincang. Keserasian antara saya dengan Diana yang memegang watak Aishah juga senang kerana kami pernah bekerjasama sebelum ini," katanya. Shanaaz pula menjelaskan sebelum diterima untuk berlakon dalam Azazil, dia terlebih dulu menjalani uji bakat yang sudah dijalani pada bulan Mei lalu. "Saya memang teringin sangat bekerja dengan Kabir, malah saya rasa ramai pelakon turut berasakan perkara sama dan ternyata rezeki berpihak kepada saya. "Pertama kali bekerja dengannya banyak perkara baru yang saya pelajari, terutama membabitkan pengarahan. Selaku pengarah dia menjaga semua perkara daripada lakonan, gerak sehinggalah persekitaran membabitkan setiap babak," katanya. Filem yang menelan belanja mencecah RM1.4 juta bakal ditayangkan pertengahan tahun hadapan dan turut menampilkan pelakon popular lain seperti Emelda Rosmila, Fizo Omar, Sara Ali dan Aznah Hamid. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |