Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Syahdu lebaran Jamal, RadhiRAYA tahun ini cukup syahdu buat Radhi OAG apabila kali pertama meraikan hari lebaran jauh dari kampung halamannya dan keluarga.Semuanya gara-gara najis dadah yang menyebabkan kehidupan bahagia Radhi atau nama sebenarnya Mohd. Radhi Razali, 34, berkecai dan kini Radhi sedang dalam proses pemulihan di Pusat Rawatan dan Pemulihan Dadah, Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) di Kuala Lumpur. Namun, hari rayanya tidak sunyi kerana dia ditemani oleh keluarganya dan juga anak tunggalnya, Mohd. Rifdhi Muslim, 6, hasil perkongsian hidup bersama bekas isterinya Shazlin Sharif yang akan melawatnya di Pengasih pada hari raya pertama. "Dulu saya hidup dengan dunia saya sahaja, tetapi bila saya tinggal di Pengasih, banyak benda yang saya belajar terutama baru saya tahu yang keluarga sangat sayangkan saya. Alhamdulilah, raya kali ini, keluarga akan datang melawat saya bersama Rifdhi, biasanya saya melawat mereka tetapi sekarang keluarga pula akan datang menjenguk saya. "Tetapi dalam masa yang sama saya bersyukur selepas saya menerima rawatan di Pengasih puasa dan raya saya lebih bermakna kerana saya lebih fokus dalam menjalani ibadah puasa berbanding sebelum ini. Syukur sangat-sangat kerana Allah sayangkan saya dan beri saya jalan untuk berubah," katanya yang ditemui pada majlis buka puasa Pengasih. Namun, jauh di sudut hati, Radhi tidak dapat menyembunyikan perasaan sedihnya kerana tidak dapat meraikan lebaran seperti mana orang lain yang meraikannya di kampung halamannya di Kuching, Sarawak bersama keluarga dan sanak-saudara. "Sedih memang sedih, saya tidak dapat nafikannya. Tetapi saya harus kuatkan diri supaya saya tidak terus hancurkan diri saya sendiri, saya cuba perbaiki diri untuk menjadi anak, ayah dan juga insan yang lebih baik daripada sebelum ini untuk diri sendiri, keluarga, anak dan peminat," katanya yang telah tinggal di Pengasih selama tujuh bulan. Sungguhpun Radhi masih menjalani rawatan pemulihan dadah, persiapan raya tidak dilupakan terutamanya buat anak tunggalnya. Kata Radhi persiapan untuknya hanya biasa-biasa sahaja tetapi tidak untuk anaknya. "Tahun ini peruntukan serta persiapan raya lebih tertumpu kepada anak kerana itu sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai ayahnya, manakala untuk saya biasa-biasa sahaja kerana sekarang ini saya belum boleh bekerja, jadi pendapatan agak terhad, saya pakai apa yang ada," balasnya yang terjerumus ke kancah dadah selama 10 tahun. Wanita di hati Radhi Selepas sah bercerai dengan bekas isterinya pada Jun tahun lalu, Radhi berazam memperbaiki dirinya kerana beranggapan masalah dadah yang dihadapinya antara punca segala masalah yang berlaku dalam kehidupannya pada masa lalu. Tidak menyalahkan sesiapa atas apa yang berlaku sebaliknya meletakkan segala kesalahan di bahu sendiri, tegas Radhi selepas ini dia mahu menjadi lelaki yang lebih matang dan bertanggungjawab terhadap keluarga. "Saya akui sebelum ini saya banyak mengabaikan tanggungjawab dan keluarga, jadi selepas ini saya mahu jadi ketua keluarga yang bertanggungjawab," ujarnya.
Apabila dirisik sudahkah hatinya dimiliki, sambil tersipu-sipu malu, Radhi menjelaskan dia kini dalam proses mengenali hati budi seorang gadis yang jauh lebih muda daripadanya. Malah, Radhi enggan melabel gadis itu sebagai teman wanita sebaliknya hanya sebagai sahabat wanita istimewa. "Dia berumur 17 tahun, masih bersekolah, sebab itu saya tidak mahu menggembar-gemburkan kisah peribadi. Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi, kerana jodoh pertemuan terletak di tangan Allah bukannya saya," tuturnya. Luahnya lagi membuka rahsia, selain keluarga dan anak tunggal, gadis yang mencuri hatinya itu merupakan antara penyebab utama dia berazam untuk memperbaiki diri dan dengan rela hati mendaftar di Pengasih. "Saya mahu jika saya berkahwin sekali lagi, saya ingin rumah tangga itu disulam dengan akidah yang betul, jadi sebelum itu saya harus perbetulkan diri saya sendiri sebelum saya boleh memimpin orang lain," katanya.yang mengakui gadis itu turut hadir dalam majlis buka puasa tersebut, bagaimanapun Radhi enggan memberitahu secara terperinci perihal gadis itu. Tahun kelima Jamal beraya di Pengasih Jika Radhi masih ada rasa sedih dan terkilan kerana tahun ini merupakan tahun pertamanya meraikan lebaran di Pengasih, tetapi tidak buat juara Bintang RTM 1979, Jamal Abdillah yang mana tahun ini merupakan tahun kelimanya meraikan Syawal di Pengasih. Bukan tidak mahu pulang ke kampung halamannya di Gunung Rapat, Perak, tetapi disebabkan tuntutan kerja pada hari raya pertama di Kuala Lumpur menyebabkan dia lebih selesa menyambut lebaran di Pengasih. "Saya mahu buat macam mana, bila rezeki selama lima tahun datang pada hari raya pertama sehingga ketiga raya. Tetapi biasanya pada sebelah petang apabila saya ada kelapangan saya akan pulang menemui anak-anak saya di kampung untuk menghabiskan masa bersama dan menikmati hari raya macam orang lain," katanya. Sebagai bapa kepada dua cahaya mata, Osama Yamani dan Ahmad Zaki Yamani, terpalit rasa bersalahnya apabila tidak dapat meraikan sepenuhnya lebaran bersama mereka. Namun, kata Jamal, sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai penghibur untuk menghiburkan orang lain. "Saya tidak kisah meraikan lebaran secara sederhana dan perlu bekerja pada hari raya pertama tetapi anak-anak sudah pasti perasaan mereka lain kerana hari raya satu hari yang sangat dinanti-nantikan mereka, sebab itu saya sedaya upaya menyiapkan segala persiapan selengkap mungkin untuk mereka. "Selepas saya habis kerja, saya akan bawa mereka balik kampung atau melawat saudara-mara. Kampung saya pun sudah tidak ada ahli keluarga saya, yang tinggal hanyalah ibu tiri," tuturnya. Konsert di Singapura Menjalani kehidupan biasa dan memiliki dua bisnes atas nama sendiri, Bintang Channel yang dikhaskan untuk acara seni manakala Pro Channel untuk dagangan dan pengedaran keperluan perubatan dan alat tulis, kehidupan peribadi Jamal kini boleh dianggap stabil tanpa pengaruh dadah. Namun begitu, Jamal atau nama sebenarnya, Jamal Ubaidillah Ali masih setia tinggal di Pengasih kerana Pengasih ibarat rumahnya yang pertama. Bukan tidak mahu berpindah, namun hatinya cukup berat untuk meninggalkan Pengasih. Selepas dirinya berjaya dipulihkan daripada dadah di Pengasih, Jamal rasa bertanggungjawab untuk membantu dan menyumbangkan tenaga membantu mereka yang sama nasib dengannya di Pengasih. "Bila saya lihat penghuni baru yang datang ke Pengasih, saya lihat diri saya dalam mereka pada waktu mula-mula saya di Pengasih. Saya juga seperti mereka dan selepas saya berjaya pulih saya mahu memberi sumbangan tidak kira dalam bentuk apa sekali pun untuk sama-sama membantu Pengasih," ujarnya.
Mungkin tahun ini merupakan tahun terakhir Jamal menginap di Pengasih kerana menurutnya dia sedang menunggu rumah baru yang dibelinya siap. "Saya ada beli rumah dan hujung tahun ini mungkin ia akan siap sepenuhnya, jadi saya akan berpindah di sana bersama anak-anak. Tetapi bukan bermaksud saya sudah tidak menginap di Pengasih atau saya tinggalkan Pengasih. "Saya masih akan membantu Pengasih seperti biasa kerana sukar bagi saya untuk tinggalkan Pengasih kerana semua orang di Pengasih sudah menjadi keluarga saya. Jadi saya harus meneruskan tanggungjawab saya membantu memulihkan dan memberi motivasi kepada penghuni Pengasih yang lain," balasnya. Mengenai perkembangan terbarunya, Jamal memberitahu, pada 24 September depan dia bakal mengadakan konsert solo terbesar pertamanya yang diberi nama Akustik Kasih di Indoor Stadium, Singapura. "Sekarang ini saya memang tengah sibuk dengan latihan dan persiapan untuk konsert Akustik Kasih. Berdebar pun ada juga kerana ini konsert terbesar pertama saya di Singapura," ucapnya. | ||||
Posted: Komedi raya 8TV QuickieOleh KHAIRUL AMRI HASSAN 8TV Quickie Raya Special: The Other Quickie Dramedy akan ditayangkan malam ini bermula pukul 11.45 malam. NAQIB, Prem, Adam, Ryan, Megan, Zhen dan Julie sering menggamatkan malam ketika mengendalikan rancangan bual bicara remaja 8TV Quickie. Namun, bagaimana pula jika kesemuanya digandingkan bersama untuk menghangatkan malam raya dengan drama komedi berjudul 8TV Quickie Raya Special: The Other Quickie Dramedy. Umpama filem legenda Tan Sri P. Ramlee, Masam-Masam Manis, kisah perang mulut antara arjuna dan hawa bakal menghiasi malam raya di saluran 8TV pada pukul 11.30 malam hari ini. Uniknya, drama pendek berdurasi sejam itu dilakonkan oleh tujuh pengacara tetap 8TV yang biasa mengendalikan slot 8TV Quickie setiap hari bermula pada pukul 11.45 malam dan 10.30 malam pada hujung minggu. Pada tahun lalu, drama komedi sama berjudul 8TV Quickie Raya Special: Homecoming pernah diterbitkan namun hanya melibatkan lima orang pengacara. Begitu pun pada tahun ini, elemen humor dan lawak bersahaja disuntik pula dalam drama komedi berjudul 8TV Quickie Raya Special: The Other Quickie Dramedy yang mengisahkan tiga lelaki bujang bernama Leman, Joe dan Andy yang berjiran dengan tiga gadis bernama XiXi, Jay dan Diba namun sentiasa bergaduh sesama mereka sehingga masalah itu diselesaikan oleh penghulu kampung yang dilakonkan oleh Prem. Kesempatan bersua muka dengan kesemua tujuh pengacara 8TV Quickie pada sesi penggambaran di Kuala Selangor baru-baru ini tidak dilepaskan untuk berkongsi kisah raya menarik walaupun mereka berlainan kaum dan agama. Adam serik beraya di luar negara Melakonkan watak Andy, jejaka yang obses dengan J-Pop (pop Jepun) dalam drama komedi itu yang akhirnya jatuh cinta dengan XiXi lakonan Megan, Adam mengakui agak kekok berlakon di hadapan kamera. Walau hanya tujuh bulan bersama krew 8TV Quickie, pemilik nama sebenar Adam Mohd. Zain, 25, sebenarnya sudah serik menyambut lebaran di luar negara. "Selama menetap di United Kingdom (UK) bersama keluarga dan belajar di Birmingham, setiap kali sambutan raya saya akan terkenangkan Malaysia. "Di sana kemeriahan raya tidak terasa seperti di sini (Malaysia) dan tiada cuti umum walaupun pada hari raya pertama, malah komuniti yang menyambut Aidilfitri juga kecil," bicaranya yang mengambil jurusan sains perubatan dan pernah berkhidmat di sebuah syarikat bioteknologi di Negeri Sembilan sebelum bertukar karier. Ujar anak kedua daripada tiga beradik itu lagi, juadah raya yang amat sukar ditemui di luar negara juga jadi penyebab untuknya selesa beraya di tanah air. SELURUH warga produksi 8TV Quikie yang terdiri daripada selebriti berbilang kaum turut mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan dan Aidilfitri kepada semua rakyat Malaysia. "Makanan istimewa yang wajib ada pada hari raya adalah soto emak saudara saya, selain tart nenas yang rasanya boleh membuatkan semua orang ketagih!" ujar jejaka kacukan Cina-Melayu itu berseloroh. Ryan pilih Pulau Pinang Anak kacukan Irish-Iban yang lama berkelana di Perth, Australia sebelum pulang ke tanah air dan menumpahkan segala keringat mengacarakan 8TV Quickie, Ryan Mat Jeraie, 25, sudah lama mendambakan kehidupan sebenar di Pulau Pinang. Katanya, kemeriahan dan diversiti kaum di sana menarik minatnya untuk terus menetap di pulau itu jika diberikan peluang. "Pelbagai budaya dapat dilihat di sana dan rasanya keseluruhan Malaysia jelas sekali terpancar setiap kali saya ke sana," ujar graduan Universiti Edith Cowan, Australia itu. Bukan itu saja, memilih pisang goreng sebagai sajian paling unik yang pernah dirasainya, jelas anak kedua daripada tiga beradik itu lagi pisang goreng tidak akan dijumpai di mana-mana melainkan Malaysia. Membawakan watak Joe dalam drama komedi 8TV Quickie itu, Ryan menyifatkan wataknya yang sombong dan tidak berpijak di bumi nyata langsung tidak serasi dengannya dan disebabkan itu dia mencabar dirinya untuk membawakan watak sebaik mungkin. Keluarga besar Naqib Bagi Naqib Nadhir Shamsuri atau mesra disapa Naqib, 25, dia sebenarnya teruja melihatkan kualiti lakonannya sebagai Leman dalam drama komedi itu. "Leman ada gerai pisang goreng dan merupakan jaguh kampung yang sentiasa mencari peluang bergaduh dengan geng wanita yang berjiran dengannya," ceritanya mengenai watak yang dilakonkannya itu. Berbicara mengenai sambutan rayanya tahun ini, ujar Naqib, sambutan 1 Syawal pasti diraikan bersama keluarganya di Rembau, Port Dickson dan Pedas, Negeri Sembilan. "Keluarga saya sangat besar, bayangkan ibu saya punyai tujuh beradik dan bapa saya pula 10 beradik, saat-saat berkumpul beramai-ramai ini yang paling saya nantikan setiap tahun," katanya yang gemarkan kuih conflakes setiap kali tiba hari raya. 1 Syawal Prem Makna 1 Syawal bagi Prem atau nama sebenarnya Prem Shanker mungkin sedikit berlainan dengan rakan-rakan seagama dengannya. Sudah menjadi rutin setiap tahun baginya menyambut kemeriahan pagi raya pertama di rumah rakannya beragama Islam, Zamri Ibrahim sejak enam tahun lalu. "Kalau dulu boleh dikatakan sepanjang hari saya akan berada di rumahnya untuk beraya tapi sekarang mungkin hanya separuh hari beraya dan selebihnya akan menziarahi rakan-rakan lain," tuturnya yang teringin beraya dalam suasana kampung. Bagi Prem yang telah banyak kali berdepan dengan kamera sementelah berlakon di samping selebriti terkenal antaranya Marsha dan Zizan Nin dalam drama berjudul Kerana Karina mahupun muzik video bersama Reshmonu, menggalas peranan penghulu kampung bernama Ash Burn tidak menjadi masalah baginya kali ini. Megan suka rendang Membawakan watak XiXi yang obses dengan K-Pop dalam drama komedi itu, Megan pula merasakan berlakon bukan lagi perkara yang sukar baginya. Apatah lagi, ujar pemilik nama sebenar Megan Tan Yue Mei, 23, sebelum ini dia pernah juga terlibat dalam beberapa telemovie dan mendukung peranan utama antaranya Kemaafan Sakura di samping aktor kacak Shahz Jaszle. "Harapan saya semoga lakonan saya bertambah baik dari hari ke hari, dan penonton juga boleh menerima saya seadanya," kata si cantik yang fasih berbahasa Malaysia itu. Pilihan juadah yang pedas menjadi idamannya ketika sambutan hari raya terutama sekiranya sajian itu bercirikan rendang ayam dan daging. Raya Zher ala Tahun Baru Cina Pengacara bertubuh langsing, Tham Zher Peen, 26, atau lebih dikenali Zher yang mendukung watak Jay menjelaskan wataknya dalam drama komedi itu lebih bersifat autokratik. Namun, jika ditanya tentang bagaimana sambutan Aidilfitri bagi gadis yang pernah menuntut di Universiti Griffith, Australia itu, hari raya ibarat Tahun Baru Cina baginya. "Kemeriahannya sama seperti Tahun Baru Cina, tiada apa yang perlu dibezakan kerana pada hari raya juga kita akan berkumpul ramai-ramai dan ziarah-menziarahi satu sama lain," bicaranya. Namun, katanya, juadah yang dicarinya sepanjang sambutan Aidilfitri tidak lain tidak bukan rendang tok, lemang dan kuah kacang. Bukan pendatang baru dalam arena seni lakon kerana pernah bergandingan dengan Qushairi Razali (Qi) dalam drama Blogger Boy, ujar Julie atau empunya nama sebenar Julie Woon, 27, peranannya sebagai Dibah dalam drama komedi itu sedikit sebanyak serasi dengan dirinya. "Dibah seorang peniaga cup cake yang sentiasa bergaduh dengan Leman akibat persaingan perniagaan, dalam masa yang sama dia juga seorang yang garang, suka berdendam, nakal dan agresif," ceritanya yang turut terlibat dalam telefilem Rembak terbitan RTM. Bercerita kisah raya pula, kata Julie, Aidilfitri adalah peluangnya untuk melaram dan menikmati pelbagai juadah enak yang jarang ditemui pada hari-hari biasa. "Saya sukakan baju kebaya, selain menawan pakaian itu juga ada ciri-ciri nostalgia dan peluang untuk menggayakan baju itu cuma pada Aidilfitri," kata gadis yang berasal dari Melaka itu. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |