macam macam hiburan terkini |
- Sepah ucap selamat tinggal
- Kontroversi Nora J
- Shahir (AF8) Berhenti Menyanyi Dakwa Dianiaya
- Farid Kamil Dapat Mengesyaki Individu Lakukan Ugutan
- 'Konsert Mega Raya 2011' Hari Pertama Aidilfitri
- Ziana Zain Kurangkan Aktiviti Sepanjang Ramadan
- Atilia Lancar Album 'Indah' Di Indonesia
Posted: 03 Aug 2011 03:26 PM PDT BUKAN sekali dua, tetapi sudah banyak kali perkhabaran tentang perpecahan kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Sepah ini bertebaran. Sesungguhnya ia bukanlah sebuah berita baru. Malah, cerita ini sudah menjadi bahan mulut pihak media selepas mereka bergelar juara Raja Lawak musim ketiga pada tahun 2008. Ketika itu, memang heboh diperkatakan tentang kumpulan ini yang berdepan dengan masalah disiplin sehingga menyukarkan ramai pihak untuk mendapatkan mereka. Namun, cerita itu terus senyap dan ia kembali timbul apabila salah seorang anggotanya, Mohd. Nazdri Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Jep memberitahu Sepah hampir berpecah sewaktu menyertai Maharaja Lawak, baru-baru ini. Ternyata gelaran juara sulung Maharaja Lawak tidak berupaya menyelamatkan kumpulan ini untuk terus kekal bersatu apabila sekali lagi dikhabarkan mereka akan membawa haluan masing-masing selepas Aidilfitri ini. Bertemu dengan kumpulan ini usai rakaman program Gegar Raya Kampung Pening Lalat yang berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur, baru-baru ini, peluang itu diambil untuk bertanyakan kesahihan berita tersebut. Dengan penuh tenang, Jep menjawab segala pertanyaan yang diajukan dengan baik meskipun jam sudah menghampiri pukul 1 pagi. "Kalau bukan selepas Hari Raya pun, memang kami sudah lama merancang untuk membawa haluan sendiri. Apa yang boleh saya katakan, buat masa ini, perpecahan Sepah belum lagi secara rasmi. "Kumpulan Sepah masih wujud dan kami juga akan terlibat dengan pertunjukan amal sepanjang Ramadan ini. Cuma, mungkin rezeki itu tidak tertulis untuk kami terus kekal bersama setiap masa," jelasnya tenang membuka bicaranya sambil dipersetujui dua teman Sepah yang lain, Shahmira Muhammad atau Shuib dan Mohd. Noor Murad (Mamat). Kata Jep lagi, mereka mula memikirkan tentang keputusan tersebut memandangkan begitu sukar untuk mengumpul kesemua ahli Sepah dalam satu-satu masa. Sukar Sementelah, masing-masing mempunyai komitmen sendiri, ujar Jep, adalah lebih baik untuk dia, Shuib dan Mamat memikirkan haluan sendiri dalam bidang seni. Memang tidak dinafikan, antara ketiga-tiga anggota Sepah, Shuib paling mendapat perhatian dan rezeki juga semakin mencurah-curah buat suami kepada penyanyi genit, Sarah Raisuddin itu. "Seperti saya sendiri, selepas tamatnya Maharaja Lawak, saya hanya duduk di kampung sahaja kerana masalah kesihatan. "Rakaman program raya inilah yang pertama untuk saya selepas pulih daripada masalah demam yang berterusan. "Sebagai teman, saya menyokong dan merestui perjalanan seni Shuib dan Mamat. Masing-masing ada rezeki. Jadi, tidak elok seandainya saya mahu menyekat mereka. "Bagi saya, kalau mahu meneruskan perjuangan Sepah itu, ia memerlukan komitmen dan disiplin yang tinggi," jelas Jep yang kini menetap di kampung halamannya di Johor Bahru, Johor. Bagi Shuib pula, meskipun akan bergerak secara solo bagi meneruskan kariernya sebagai pelawak, pelakon dan penyanyi, tetapi dia akan tetap bersama Sepah apabila diperlukan. "Memang saya mengaku, ada kala sukar bagi kami bertiga bersatu kerana pelbagai faktor antaranya lokasi kami sendiri. "Tetapi, antara kami, masing-masing saling menyokong demi kebaikan bersama," jelas Shuib. Sementara Mamat pula memberitahu, ada ketikanya penganjur mempunyai kekangan bajet sehingga menyebabkan mereka terpaksa membuat pilihan. Lantaran itu, apabila ada majlis yang hanya menampilkan dua anggota misalnya, pasti ia akan mengundang persepsi dan pandangan berbeza peminat. |
Posted: 03 Aug 2011 03:25 PM PDT MENGGUNAKAN huruf J sebagai singkatan kepada Johan untuk digabungkan dengan nama Nora, tidak pernah dilihat akan mengundang satu pandangan yang negatif. Sebaliknya, gabungan nama penyanyi yang popular dengan lagu Di Persimpangan Dilema hanya sekadar nama alternatif untuk mengelakkan kekeliruan apabila melakukan pencarian data maklumat di Internet. Sayangnya hasrat Nora untuk tampil dengan nama pentas sebagai Nora J dikaitkan dengan pandangan yang cukup negatif. Ada yang berpendapat, Nora J membawa maksud Nora Janda! Pedih dengan kaitan istilah janda pada namanya sedangkan maksud huruf J yang sebenar ialah Johan Nawawi (nama suami Nora), Nora tenang dalam memberikan jawapan terhadap soalan-soalan bacul sesetengah pihak. "Mengapa begitu cetek pandangan orang yang mengaitkan huruf J itu dengan istilah janda pada nama saya? "Apakah saya tidak boleh mengkomersialkan nama saya sendiri tanpa ada niat untuk mengenepikan nama bapa saya? "Sebagai anak seni, tidak salah jika saya komersialkan nama saya termasuk mahu dikenali sebagai Nora J iaitu Nora Johan dan bukannya Nora Janda. "Saya berasa pelik kerana hasrat saya itu turut dikaitkan dengan hukum hakam agama. "Apakah sebelum ini, tidak pernah ada artis tanah air yang menggunakan nama suaminya di akhir namanya?" soal Nora dalam nada tenang walaupun terpalit rasa kesal kerana dipandang serong oleh mereka yang mudah melabelkan orang lain tanpa menggunakan landasan fikiran yang lebih rasional. Nora atau nama sebenarnya, Wan Norafizah Wan Ariffin, 35, berkata, mengapa seniwati Datin Rosnani atau Mak Nani, menggunakan nama pentas yang digabung dengan nama suaminya, Jamil, tidak pernah dipersoalkan? Begitu juga dengan Norlia Ramli (kini dikenali sebagai Norlia Ghani) dan Aida Khalida yang suatu ketika dahulu, muncul dengan menggunakan nama Aida Rahim, diubah kepada Aida Radzwil tidak pula dipandang serong? "Kalau berdosa dan hukumnya haram kerana saya menggunakan nama suami sebagai alternatif untuk nama pentas saya, maka artis-artis lain yang sebelum ini melakukan perkara yang sama, pun berdosa dan haramlah hukumnya. "Bukan saya mahu mengelak daripada memberi jawapan mengapa saya tidak menggunakan nama bapa saya, Ariffin , bukan nama suami dan dikenali sebagai Nora Ariffin. "Untuk pengetahuan, saya pernah terfikir mahu menggunakan nama Nora Ariffin tetapi apabila disemak dalam Internet, sudah ada yang menggunakan nama itu. "Apa yang saya cuba lakukan hanyalah untuk memudahkan peminat mencari data mengenai diri saya dalam Internet, bukannya mahu mencetuskan isu. "Lagipun, Nora J bukannya didaftar atas kad pengenalan atau sijil kelahiran. Ia sekadar nama komersial," tegas Nora. Kata isteri kepada komposer Johan Nawawi ini lagi, dia tidak pernah mahu mengundang kontroversi sepanjang 17 tahun bergelar penyanyi. Tetapi apabila ada pihak yang sengaja mahu mencetuskan isu kontroversi, dia sama sekali tidak senang dengan keadaan itu. "Saya bukan artis yang mencari publisiti murahan. "Pengalaman banyak mengajar saya erti kehidupan sebagai anak seni dan saya juga berharap, mereka yang lama berada dalam bidang yang berkaitan dengan hiburan agar membuka minda seluas-luasnya. "Jangan berada di takuk lama kerana sebagai artis, saya juga perlukan sesuatu yang baru dan segar agar sesuai dengan imej saya hari ini," ujar ibu kepada tiga orang anak ini bersungguh. |
Shahir (AF8) Berhenti Menyanyi Dakwa Dianiaya Posted: 03 Aug 2011 03:22 PM PDT Menurut sumber yang juga rakan terdekat penyanyi lagu Luar Biasa itu, juara AkademiFantasia musim kelapan (AF8) tersebut nekad dengan keputusannya kerana tidak tahanterhadap penganiayaan dan penindasan pihak tertentu. "Shahir tidak akan menyanyi lagi dan meninggalkan terus karier seni ini kerana berasa dirinya telah dianiaya. "Saya kasihan dengan nasib yang menimpa Shahir kerana dia masih baru dalam industri seni tetapi sudah mengalami insiden seperti ini," kata sumber itu yang enggan dikenali kepada mStar Online, Rabu. Tambahnya: "Apabila sudah berhenti, dia mungkin akan mengikut jejak langkah pemuzik Sham (Kamikaze) yang terlibat dengan majlis-majlis berkaitan keagamaan. "Setakat ini, dia sudah memaklumkan perkara tersebut kepada pihak Astro Entertainment Sdn Bhd dan peminat Shahir Fan Club (FC). "Dia mungkin akan membuat sidang media kelak untuk menjelaskan dengan lebih lanjut tentang isu ini." Beberapa minggu lalu, industri seni kecoh dengan isu Shahir yang dikatakan 'ghaib' dan gagal dihubungi oleh pihak media sertapengurusannya. Bagaimanapun, ibunya, Mahanum Osman mengakui Shahir berada di kampung iaitu di Kampar, Perak dan sedang berehat. Sebelum ini, Shahir pernah menghilang kerana mengalami masalah kesihatan dan pulang ke kampung beberapa ketika. Dia juga pernah digosipkan bercinta dengan pelakon Rozita Che Wan. Namun pemuda tersebut menafikan perkara itu sebaliknya menganggap hubunganmereka sekadar teman biasa. Pihak mStar cuba mendapatkan Shahir dan keluarganya, namun mereka gagal dihubungi. |
Farid Kamil Dapat Mengesyaki Individu Lakukan Ugutan Posted: 03 Aug 2011 03:21 PM PDT Jelas Farid, dia pasti perkara tersebut dilakukan oleh seseorang yang mengenali mereka berdua. "Saya ada mengesyaki beberapa orang yang berkemungkinan besar melakukan perkara tersebut, namun saya sudah serahkan segalanya kepada polis. Biarlah polis yang menyelesaikan perkara itu. "Apa yang penting ialah keselamatan kami sekarang. Nasib juga dia beri amaran awal-awal dengan ugutan daripada terus menyerang kami," katanya ketika di temui pada Program Rakaman Mega Raya, di sini, Sabtu lalu. Farid diminta mengulas mengenai ugutan yang diterimanya minggu lalu menerusi panggilan telefon yang menyuruhnya agar menjauhkan diri daripada Diana. Bagaimanapun, pengarah filem "Kongsi" itu telah pun membuat laporan polis selepas kejadian tersebut. Jelas Farid, buat masa ini dia mengambil langkah berhati-hati terutamanya ketika berada di kawasan yang mencurigakan. "Kalau dulu mungkin saya rasa selamat untuk ke mana-mana seorang diri, namun kini perlu lebih berhati-hati terutamanya di tempat-tempat terbuka dan tidak biasa. "Tapi saya juga tidak mahu ambil serius perkara ini sehingga mampu membatasi pergerakan saya sebaliknya sekadar lebih berhati-hati," jelasnya. Dalam pada itu, Farid turut menceritakan peristiwa ketika dia diugut oleh lelaki tersebut. "Selepas lapan kali telefon bimbit saya berdering, saya fikir ia panggilan kecemasan kerana nombor tersebut juga tidak dikenali. Ada suara lelaki yang menyuruh agar saya jangan kurang ajar dan menjauhkan diri daripada Diana. "Dia juga mengugut untuk mencederakan saya dan tahu di mana saya tinggal. Selepas kejadian tersebut saya telefon Diana dan menyuruh agar dia berhati-hati," jelasnya. |
'Konsert Mega Raya 2011' Hari Pertama Aidilfitri Posted: 03 Aug 2011 03:20 PM PDT PETALING JAYA: Astro bakal menyiarkan konsert Mega Raya 2011 pada 30 Ogos 2011 pukul 6 petang. Konsert ini menampilkan gabungan artis eksklusif Astro dan beberapa artis ternama lain dengan pelbagai segmen. Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli, Konsert Mega Raya 2011 ini bakal menampilkan beberapa kelainan berbanding sebelum ini. "Ini merupakan tahun ketiga kami menerbitkan program Mega Raya 2011 dan ia banyak kelainannya berbanding sebelum ini. "Antaranya ialah kepelbagaian artis yang terdiri daripada artis baru dan lama serta beberapa segmen baru yang berbentuk permainan," jelasnya ketika ditemui pada sesi rakaman Mega Raya 2011, di sini, Sabtu lalu. Program selama sejam itu juga akan menampilkan beberapa sketsa bagi memeriahkan lagi program tersebut. "Dari segi pemilihan lagu, mereka bukan sahaja mendendangkan lagu Hari Raya malah lagu-lagu yang sedang popular masa kini. "Kami mahu program ini ditonton seisi keluarga pada petang Hari Raya dalam keadaan santai," ujarnya. Antara artis yang memeriahkan program Mega Raya 2011 ini ialah Aznil Nawawi, Farid Kamil, Akim AF, Zizan Raja Lawak, Jimmy Shanley, Kamal Adli, Adi Fashla, Scha Al Yahya, Erra Fazira, Ziana Zain, Elfira Loy, Kila Fairy, Ira, Erul AF9 dan Ana Raffali. |
Ziana Zain Kurangkan Aktiviti Sepanjang Ramadan Posted: 03 Aug 2011 03:20 PM PDT PETALING JAYA: Penyanyi Ziana Zain terpaksa menolak beberapa undangan untuk rakaman program Hari Raya yang biasanya dilakukan pada bulan Ramadan bagi memberi perhatian kepada keluarga. Tambahnya, dia ingin memberi tumpuan dan sokongan kepada kedua-dua cahaya matanya yang kini sudah mula berpuasa. "Saya terpaksa tolak beberapa rakaman raya sebab ingin menguruskan rumah tangga, saya nak buat persiapan buka untuk keluarga. "Ditambah pula tahun ini kedua-dua anak saya sudah mula berpuasa dan saya mahu memberi sokongan kepada mereka," katanya. Bagaimanapun, Ziana akan meluangkan waktu untuk berbuka puasa bersama anak yatim di Bukit Bintang dan Plaza Masalam pada pertengahan bulan ini. Sementara itu ketika ditanya tentang persiapan menyambut Hari Raya, Ziana memberitahu tidak membuat sebarang rumah terbuka untuk peminatnya. "Saya tidak buat rumah terbuka sebab kami masing-masing sibuk dengan keluarga, manakala kedua-dua ibu bapa saya pula sudah tua dan tidak larat untuk melayan tetamu. "Lagi pula masa Hari Raya inilah kami sekeluarga ingin meluangkan masa bersama tanpa gangguan orang luar," jelasnya. Sementara itu ditanya tentang perkembangan terbaru, Ziana bakal keluar dengan "single" terbaru bersama Suhaimi Mior Hasan berjudul Misteri Cinta. Dia turut akan mengadakan konsert khas sempena Hari Raya di Esplanade, Singapura bersama adiknya Anuar Zain pada 30 September depan. |
Atilia Lancar Album 'Indah' Di Indonesia Posted: 03 Aug 2011 03:19 PM PDT Menurutnya, dia sudah menandatangani kontrak dengan syarikat Demajors di Jakarta yang akan mengedarkan album di negara itu. "Saya tertarik dengan tawaran untuk mengedarkan album ini di Indonesia kerana saya memang ingin memasuki pasaran negara itu. "Saya akui, lagu-lagu saya kurang diterima oleh kebanyakan pendengar muzik di negara ini dan pendengar di sana lebih menyukai muzik jazz selain penduduk Indonesia sangat ramai," kata Atilia ketika dihubungi mStar Online, Rabu. Jelasnya, selain melancarkan album, dia juga mempunyai perancangan untuk mengadakan konsert mini di samping kumpulan Sore dari negara itu. "Saya mempunyai lagu duet dengan kumpulan muzik Sore berjudul "Silly Little Sing"dan sekarang ini kami sedang mencari masa yang sesuai untuk meneruskan projek ini. "Saya juga mendapat tahu lagu tersebut serta sebuah lagi lagu berjudul "Harus Bagaimana" mendapat sambutan yang baik di sana," katanya yang bakal tampil dengan album yang dihasilkan semula dengan tambahan klip video. Album "Indah" yang akan dipasarkan di Indonesia itu memuatkan 10 buah lagu termasuk tiga klip video termasuk lagu "Indah" dan "Silly Little Sing". Atilia yakin album tersebut bakal mendapat sambutan di negara itu memandangkan Ratu Jazz Negara iaitu Datuk Sheila Majid pernah memasuki pasaran Indonesia dan diterima ramai peminat. "Datuk Sheila Majid telah membuka jalan kepada penyanyi negara ini untuk memasuki pasaran Indonesia. Jadi, agak mudah untuk saya meraih sambutan yang baik di sana," ujarnya yang baru selesai menjalani rakaman "Konsert 4 Bintang" terbitan Astro di samping penyanyi Jaclyn Victor, Ramli Sarip dan Datuk Khadijah Ibrahim. Dalam perkembangan lain, anak kepada penyanyi Salamiah Hassan ini juga bakal melancarkan laman sesawang myhati.my yang menjual aksesori dan beg tangan wanita. Perniagaan itu diuruskan bersama-sama sahabatnya, pelakon Yasmin Hani dan disempurnakan selepas Hari Raya Aidilfitri ini. |
You are subscribed to email updates from macam macam hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |