Adsense

Khamis, 4 Ogos 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Biar peminat tentukan

Posted: 03 Aug 2011 05:05 PM PDT

Hip

Nama Scha belum kuat

NAMANYA pernah tersenarai dua kali dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 dan 2010. Namun ramalan dan keinginan peminat Scha Alyahya yang mahu dia menggenggam trofi itu tidak kesampaian apabila trofi itu menjadi milik Tiz Zaqyah dan Fasha Sandha.

Entah di mana kekurangannya. Nak kata pelakon dan pengacara yang genap 28 tahun pada 30 Mei lalu tidak ramai kelompok peminat, memang tidaklah. Scha adalah antara artis popular dengan mempunyai ramai pengikut di Twitter dan Facebook. Malah watak Dania yang dilakonkannya untuk tiga musim drama Awan Dania disifatkan antara yang terus meletakkan namanya di persada seni. Watak itu diingati hingga sekarang.

Sejak itu, hampir setiap watak lain yang dilakonkan Scha, watak Dania masih membayangi dirinya.

Si tinggi lampai bernama penuh Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir ini dikatakan seperti menjerat diri kerana wajahnya hanya terbatas ditonton di stesen TV berbayar terbabit hingga membataskan potensi dan peluang untuk menang di ABPBH.

Dihubungi pada pada hari kedua umat Islam menyambut Ramadan, Scha mengakui dan mula terlintas mengenai perkara itu.
"Scha melihat tawaran menyertai wajah eksklusif di stesen TV itu daripada dua sudut berbeza. Setiap yang dipilih pasti ada kelebihan dan kekurangannya. Itu perkara biasa. Cuma Scha tidak boleh menafikan liputan untuk TV secara percuma itu lebih meluas.

"Tapi sekarang pun sudah ramai yang melanggan TV berbayar. Malahan, semakin ramai penonton yang bukan pelanggan TV berbayar turut menonton lakonan Scha.

"Daripada sambutan dan sokongan itulah, Scha menyambung setahun lagi kontrak bersama stesen TV berkenaan," katanya yang memegang watak Rania di dalam drama Dunia KITA.

Bagaimanapun pelakon yang sedang berada di set penggambaran telefilem Prebet Jamilah 2 arahan Michael Ang itu tidak melihat pembabitannya sebagai wajah eksklusif di stesen TV itu sebagai punca ketara yang mengekang dirinya memenangi anugerah berpaksikan undian atau populariti seperti ABPBH.

"Nak kata tak ada peminat mengundi Scha pun tidak juga. Lihat saja dalam program Anugerah Shout! 2010 anjuran 8TV, Scha sendiri terkejut saat diberitahu memenangi kategori Hot Chick. Sedangkan kemenangan itu juga ditentukan melalui undian peminat.

"Pada akhirnya, Scha percaya menang atau kalah itu semua ketentuan Tuhan. Scha percaya setiap orang mempunyai nasib dan rezeki masing-masing. Pelakon wanita lain yang dicalonkan dalam ABPBH juga kita sedia maklum mempunyai kelompok peminat yang ramai.

"Berada dalam kelompok lima terbaik di samping pelakon hebat di ABPBH sudah dianggap kejayaan terbesar Scha. Cuma yang menang contohnya mempunyai pengaruh kuat dan meluas," katanya yang sedang menunggu tayangan filem Libas dan Aku Bukan Tomboy.

Bersama-sama Tiz jadi geisha

Dalam perkembangan lain, Scha juga bakal muncul dengan telefilem Geisha Melayu Terakhir (GMT) yang dijangka siarannya pada Aidilfitri nanti. Telefilem itu turut membariskan Tiz Zaqyah, Dawn Jeremiah, Sharifah Shahora dan Fir.

Scha memegang watak sebagai Suraya yang dipaksa menjadi geisha atau pelayan untuk melayan tentera Jepun.

"Ini juga kali pertama Scha perlu mengenakan busana kimono. Watak ini juga Scha sifatkan terlalu mencabar kerana perlu mengawal segala pergerakan dan bahasa badan supaya tidak keterlaluan.

"Ia lebih terkawal di mana gerak bahasa dan tangan Scha tidak bersepah ke situ ke sini. Emosi Suraya terganggu apabila melihat keluarganya menderita termasuk kematian ayahnya. Sekalipun berlatarbelakangkan zaman pendudukan tentera Jepun, pengarah telefilem ini memilih dan mempunyai alasan sendiri untuk menggunakan bahasa Melayu zaman sekarang dan tidak baku," katanya sambil memberitahu penggambaran GMT dilakukan pada Julai lalu selama seminggu di Ipoh dan Taiping.

Mengenai gandingannya dengan Tiz Zaqyah, anak kelahiran Sungai Petani ini memberitahu mereka pernah berlakon sama dalam drama Impian Ilyana dan masing-masing memegang watak pembantu.

Kata Scha lagi, sejak daripada drama itu lagi dia mula sedar potensi Tiz sebagai pelakon hebat.

"Memang dia boleh berlakon. Perkembangan wataknya cukup baik selepas diberi peluang berlakon drama Nur Kasih pula. Pada pandangan Scha lakonan dan gerak matanya sangat cantik. Dia tidak perlu berusaha terlalu keras untuk mengimbangi watak yang diterimanya.

"Scha sendiri memerlukan masa yang lama untuk menjadi sepertinya. Dunia lakonan memang sudah menjadi makanannya. Dia memang berbakat. Saya tumpang gembira dapat berlakon bersamanya. Kami juga pernah bersaing sama dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular ABPBH 2009 dan rezeki berpihak kepadanya," kata Scha sambil memberitahu saat ini sedang mempertimbangkan pilihan antara dua buah filem yang ditawarkan.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Takbir Cinta gabungkan Amy, Yassin

Posted: 03 Aug 2011 04:56 PM PDT

Hip

Vokalis Search turut rancang berduet dengan Ahmad Dhani

AMY dan Yassin sama-sama sudah lama merancang untuk berpadu suara, tetapi hanya baru-baru ini saja hasrat itu terlaksana kerana sibuk dengan aktiviti masing-masing.

Namun perkara baik biasanya akan dipermudahkan dan pada Ramadan ini, termakbul hasrat mereka untuk menyaksikan projek istimewa mereka itu menjadi realiti. Dan baru-baru ini, di Restoran Cheng Ho, milik, vokalis kumpulan Search itu, berlangsung majlis pelancaran single berjudul Takbir Cinta yang lagu dan seni katanya dicipta Yassin. Amy berkata memang sudah lama dia teringin untuk bekerjasama dengan penyanyi yang cukup popular dengan lagu Mimpi Laila itu, dan lebih penting lagi, lagu baru itu adalah yang pertama berkonsepkan Ramadan selepas 30 tahun berada di dalam industri ini.

"Saya berasa teruja kerana ini adalah lagu pertama saya yang dibuat sempena menyambut Ramadan. Memang sudah lama ya hendak berkerja sama dengan Yassin, tetapi disebabkan masing-masing sibuk, baru sekarang hasrat itu menjadi kenyataan.

"Saya pilih Yassin kerana saya suka dengan lagu-lagu gubahannya. Malah, dia juga seorang penyanyi nasyid kontemporari yang baik," jelas Amy yang juga berpuas hati dengan hasil ciptaan Yassin itu.
Walaupun sekadar single namun kata Amy, lagu itu dirakamkan dengan teliti supaya hasilnya mampu memuaskan hati semua pihak.
"Kami mengambil masa tiga bulan menyiapkan rakaman lagu ini. Semua ini kami lakukan untuk mendapatkan hasil terbaik. Saya tidak ada masalah bekerja dengan Yassin kerana kami saling berbincang. Pertama kali dengar lagu ini, saya sudah tertarik dengan melodinya.

"Secara peribadi, lagu ini cukup istimewa kerana ia projek pertama saya menyanyikan lagu berkonsepkan balada World Music," kata Amy.

Meskipun menyanyikan lagu berkonsepkan ketuhanan dan muziknya amat berbeza dengan rock, namun itu tidak bermakna Amy beralih arah. Jelas datuk kepada seorang cucu ini, apa yang dilakukan adalah sekadar mahu memenuhi keinginan yang sudah lama tersimpan dalam hati.

"Saya sedar sejak kebelakangan ini, saya sering terbabit dalam pelbagai projek kerjasama yang menjurus kepada lagu kerohanian dan spiritual. Namun itu tidak bermakna saya sudah lupakan rock.

"Saya menyanyikan lagu bercorak ketuhanan ini untuk waktu tertentu saja. Lagu Takbir Cinta ini hanyalah untuk bulan Ramadan dan Syawal saja kerana konsepnya memang sesuai untuknya," jelas Amy yang baru-baru ini menyambut ulang tahun kelahirannya ke-53 pada majlis itu.

Selain projek bersama Yassin, Amy sudah membuat beberapa merancang untuk berpadu suara dengan beberapa penyanyi muda seperti Stacy dan Hazama selain vokalis kumpulan Dewa, Ahmad Dhani.

"Siapa kata yang kami bermusuhan. Memang kami sudah merancang untuk merakamkan sebuah lagu duet bersama. Lagu dan lirik ciptaan Ahmad Dhani itu berjudul Jika Syurga dan Neraka Tak Pernah Ada. Lagu itu berentak moderate. Jika segalanya berjalan lancar, kami akan merakamkan lagu itu di Indonesia," cerita Amy lagi.

Sambutan 30 tahun Search

PADA Oktober nanti, Search mencatat sejarah tersendiri buat kumpulan yang terkenal dengan lagu Fantasia Bulan Madu, Isabella dan Cinta Buatan Malaysia ini apabila mereka bakal meraikan ulang tahun ke-30 penubuhan kumpulan itu.

Sebagai tanda terima kasih kepada peminat, Amy berkata Search akan mengadakan konsert jelajah negara di enam lokasi di Johor, Terengganu, Perak, Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur.
Selain mengadakan konsert, Search juga akan mengeluarkan box-set yang mengandungi album Search terdahulu.

"Diharap peminat Search tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan konsert kami dan box set ini," katanya dalam nada teruja.

Pada majlis itu, Amy turut meraikan sambutan ulang tahunnya yang ke-53. Hadir sama memeriahkan majlis itu ialah anak-anak tahfiz dari Rumah Manbaul Hufaz, Cheras Indah.

Sepanjang Ramadan ini, Amy memberitahu seperti tahun sebelum ini, dia lebih selesa untuk berehat di rumah.

"Setiap kali Ramadan, saya lebih suka berehat di rumah. Pada sebelah malam, seperti kelazimannya, saya akan menunaikan solat Terawih di masjid. Kalau ada pun aktiviti, saya perlu memenuhi beberapa undangan berbuka puasa yang dianjurkan oleh beberapa badan korporat. Jika tidak, masa saya akan dihabiskan di restoran melayan pelanggan," katanya.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.